Siyyah
“Peristiwa Nakba yang dialami oleh warga Palestin seharusnya menjadi sebuah tamparan buat segenap hati nurani dunia, dalam usaha membangkitkan dan melenyapkan terus saki-baki penjajahan di dunia.”
Hari ini, kita memperingati peristiwa Nakba di mana tanah Palestin dijajah oleh angkatan Zionis Israel serta menyaksikan pembersihan etnik rakyat Palestin yang juga diusir melalui kekerasan dan paksaan dari tanah mereka pada Mei 15, 1948. Peringatan Nakba ini wajar dikenang kerana selepas 72 tahun tragedi berlangsung sehingga ke hari ini di mana penindasan, pembunuhan serta penjajahan tanah terhadap rakyat Palestin oleh regim Zionis masih berterusan.
Projek dan tindakan regim Zionis tidak jauh berbeza serta menunjukkan bagaimana ideologi penjajahan dan kolonialisme yang bersandarkan serta mengajukan rasisme dan militerisme masih mengongkong politik moden dunia dan nasional. Terbaru, regim Zionis ini yang disokong Amerika Syarikat kekal dengan pendirian untuk meneruskan pengambilalihan tanah Palestin yang diduduki autoriti Zionis walaupun ditentang oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) dan Kesatuan Eropah (EU).
Di saat penindasan dan kezaliman berleluasa di serata dunia, bahkan juga di negara kita di mana ketidaksetaraan ekonomi dan sosial yang semakin meluas, kehilangan pekerjaan, penjarahan habitat dan alam sekitar, penjajahan negara dan tanah, penindasan kaum terbanyak, minoriti dan migran, kepimpinan pemerintahan dan ahli politik Malaysia mabuk serta lemas dalam perebutan dan nikmat kekayaan dan harta benda. Ternyata politik dan agama yang paling memudaratkan dan durjana adalah politik dan agama yang mahligainya kepunyaan pemerintahan.
Kita menentang segala imperialisme, militarisme, fasisme, rasisme dan kapitalisme dalam apa jua bentuk, dan bersetiakawan dengan rakyat Palestin dan semua yang tertindas di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Hanya dengan cara ini, kita akan, seperti kata penulis Elias Khoury,
“memahami apa yang dimaksudkan Edward Said tentang warga Palestin sebagai ‘mangsa kepada mangsa’, dan kita menemukan semula optimisme tekad manusia melangkaui pesimisme para intelek. Kita akan menjumpai semula nilai manusia yang diancam kemusnahan gara-gara kapitalisme, kegasaran, rasisme, tirani dan ekstremisme.”
image credit: Middle Eastern Monitor (https://www.middleeastmonitor.com/20190515-on-nakba-day-amnesty-international-slams-israels-refusal-to-allow-palestinian-return/)