Bhairava Sivam
Salam semua pembaca yang kini tidak lagi dibelenggu darurat atau perintah berkurung di rumah. Mujurlah kita kini dipaksa kembali berkerah dan dikerah untuk memperkayakan golongan majikan yang sedang menempah bantuan kewangan daripada kerajaan.
Alangkah baiknya Ahli parlimen kesayangan kita telah diselamatkan daripada mengharungi lautan risiko kesihatan untuk berkampung di Parlimen selama seminggu/sebulan. Mereka sanggup berkorban demi rakyat untuk berhimpun mendengar titah YDP Agung selama kurang daripada sejam – jasamu dalam perang dunia ini akan dikenang sampai bila-bila masa.
Buat hari ini, saya tidak ingin bazirkan masa saudara-saudari dengan memerihalkan kegagahan dan keistimewaan kerajaan (dan juga pembangkang) kita di negara yang adil dan aman ini (Syukurlah… Malaysia masih Aman!). Tidaklah, sebagaimana yang kalian sedia maklum, sidang Parlimen kita yang cukup hebat telah akhirnya bersidang selepas kerajaan berkuasa selama lebih dua bulan dan membelanjakan bajet setahun (untuk diberikan kepada majikan, supaya majikan dapat mengambil keputusan sama ada ingin membayar atau membuang pekerja – hebat kan?).
Dalam hal ini, seperti hal lain (hak migran dan mangsa pelarian),ada segolongan rakyat yang cukup terpesong dan cuba berkempen untuk menyelamatkan demokrasi negara ini dengan membuat bising di media sosial (OMG, gara-gara Malaysia Muda pun turut serta, kan?). Cukuplah itu, parlimen negara ini tidak dapat diselamatkanlah… kelmarin aktivis diburu, semalam Fuziah Salleh diburu, hari pelini mangsa pelarian diburu, esok kau akan diburu – dan semua orang lain akan sibuk bermain tiktok, beraya dan sibuk menghitung sisa-sisa duit KWSP (syukurlah, Malaysia masih aman).
Oleh demikian, janganlah kita marah sangat pasal parlimen dan keputusan mahkamah yang tidak dapat dikawal. Tujuan saya melayangkan warkah ini adalah untuk membuat ulasan tentang satu pementasan teater yang dilangsungkan oleh The Actors Studio yang meraih kemenangan 4 kategori anugerah Boh Cameronian Award, berjudul ‘Kandang’ (Animal Farm).
Mengapa tiba-tiba tukar daripada parlimen kepada kandang?
Dua-dua macam hampir sama je; cuba korang lawat satu hari…
Untuk melihat di mana hala tuju setiap kerajaan yang wujud daripada penghasilan satu golongan yang berkuasa, yang kononnya memiliki mandat daripada rakyat untuk membuat segala keputusan mengenai rakyat tersebut (kenapa rakyat sendiri tak boleh dipercayai untuk mengambil keputusan?), yang menjanjikan negeri yang lebih adil, bebas dan bahagia (tetapi akhirnya suruh pakai kasut hitam, makan nasi timun, atau buat video tiktok) – silakan layan pementasan ini, anda mungkin terdengar slogan/alasan/justifikasi/janji yang anda kenali 😉
Dua kaki LAWAN;
Empat kaki KAWAN!
Tahukah rakan-rakan sekalian bahawa pada tahun 1945, iaitu sejurus selepas perang dunia kedua George Orwell telah menulis novela ‘Animal Farm’ yang merupakan hasil karya kedua terbesarnya. Cerita ini tentang perjuangan sekandang haiwan melawan petani manusia yang mengawal/memiliki mereka, bagi menubuhkan suatu masyarakat yang lebih adil, bebas, dan bahagia.
Seawal tahun 1945, George Orwell telahpun mendapat ilham daripada rampasan kuasa, pertukaran rejim, dan revolusi-revolusi yang bersejarah pada waktu itu, serta janji-janji kosong berselaputkan slogan-slogan pembebasan yang cepat menjelma menjadi alasan bagi melakukan tirani dan polisi populis.
Hasil pemerhatian Orwell, beliau menghasilkan novel Animal Farm ini dan watak-watak utama yang terdiri daripada haiwan-haiwan yang biasa dibela petani di kandang, seperti lembu, ayam dan babi (maaf ye, jangan sesiapa tersinggung, Orwell dibesarkan oleh budaya barat; semoga mereka mendapat hidayah tidak lama lagi). Haiwan-haiwan ini penat dipergunakan oleh kaum manusia dan mula bertemu secara rahsia untuk diskusikan keadaan di ‘negeri’ mereka yang cukup susah dan tidak adil. Lama-kelamaan mereka bersetiakawan dan menghasilkan rancangan untuk melawan petani lalu mendirikan kerajaan haiwan di kandang mereka. Namun segala yang dipersetujui di awal perlawanan tidaklah dapat ditunaikan selepas beberapa lama, ada segolongan yang menjadi kaya dan berkuasa, meskipun janji menolong golongan bawahan… tetapi entah bagaimana, selepas berpuluh tahun golongan yang dikerah berkorban demi kandang tetap miskin dan tidak berkuasa, berlanjutan diminta untuk bertaat dan terus berkorban demi kesejahteraan ramai (syukurlah, kandang masih aman!).
Apa yang istimewa dan hebat dalam pementasan teater ini adalah walaupun ditulis lebih dari 70 tahun dulu, di UK, tetapi penterjemahan cerita dan dialog ini kepada Bahasa Melayu tidak menghilangkan inti cerita ini (kredit juga harus diberikan kepada penulis skrip dan pengarah yakni Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim & Omar Ali). Terdapat adegan di mana haiwan-haiwan yang menubuhkan kerajaan mula memberikan pangkat-pangkat keistimewaan bagi “menghargai” kepimpinan gologan elit kerajaan, seperti ‘Datuk Panglima Dedak’! (gais faham tak? Sebab dedak adalah makanan ayam, dan sering digunakan untuk menggambarkan hadiah-hadiah semasa pilihanraya?? LOL)
Untuk waktu yang terhad, KLPAC kini menayangkan rakaman teater Kandang di saluran Youtube KLPAC, sehingga 24 Mei 2020.
Persembahan teater ini biasanya tidak ditayangkan dan harga tiket memang berpatutan (tetapi mungkin bukan semua orang yang mampu bayar); tayangan di Youtube ini adalah khas untuk mendorong rakyat tinggal di rumah, serta menghabiskan masa menonton program yang berkualiti dan berakhlak.
Jangan terlepas tayangan wajib ini!
Saksikannya di: https://www.youtube.com/watch?v=P7exzxybC58
Facebook: https://www.facebook.com/theklpac/ & https://www.facebook.com/TheActorsStudio/
Instagram: https://www.instagram.com/theklpac/
Segala hakcipta rakaman Kandang adalah milik The Actors Studio.
Sekiranya berminat untuk menyaksikan tayangan teater sebegini dan untuk memberi sokongan, boleh sila menyampaikan sumbangan kecil kepada KLPAC atau The Actors Studio melalui https://www.klpac.org/donations/