Malaysia Muda: Berfikir, Bersuara, Beraksi dengan Jiwa Baru dalam Suasana Baru
Setiap zaman melahirkan generasi yang diperlukannya. Melebihi itu, setiap zaman juga akan timbul sebuah golongan untuk memaknai, merebut dan mendorong zamannya. Tidak kira sama ada Jose Rizal di Filipina, Tjokroaminoto dan Sukarno di Indonesia, Rousseau dan Voltaire di Perancis, DuBois di Amerika, Marcuse di Eropah, ataupun Imam Khomeini dan Shariati di Iran.
Di Malaysia, benang ini tidak pernah putus dan sentiasa bersambungan. Daripada zaman penjajahan British dengan adanya Munshi Abdullah dan Syed Syeikh Al Hadi, dan ikatan PUTERA-AMCJA yang berjuang menuntut pembebasan dan kemerdekaan, ke tahun-tahun Angkatan Sasterawan 50, gerakan-gerakan kiri dan mahasiswa, dan seterusnya Reformasi 1998, dan sehinggalah gerakan demokratik tahun-tahun 2000an sehingga 2018 dengan bertukarnya pemerintahan.
Kebangkitan gerakan-gerakan ini adalah kesan, dan juga punca. Kondisi sosial yang runcing, kesusahan masyarakat dan ketiadaan cita sosial untuk digapai membawa kepada kemunculan perjuangan. Tetapi arus sejarah dan gerakan tidak pasif, dan tumbuh begitu sahaja. Ia berpadu kerana keinginan dan kedegilan untuk melihat perubahan sosial dan masyarakat yang menyeluruh. Di sini perjuangan menyala dan membara menerangi segala yang gelap, dan membawa sinar dan wawasan kepada semua yang ingin melihat dan membakar.
Menyedari kewujudan kita di titik sejarah Malaysia pada waktu ini, Malaysia Muda terbit untuk bersama dalam memanjangkan benang ini. Malaysia Muda sedar bahawa perubahan sosial harus direbut dan dipertahankan, supaya kelak idealisme dan cita sosial untuk masyarakat Malaysia yang lebih berbudi dan adil dapat diangkat dan dicapai.
Namun bukan perubahan sahaja yang diperlukan. Lebih penting dalam saat perubahan berlangsung, ruang sosial yang terbentuk mesti diisi dengan wacana moral, politik dan nasional yang progresif, kritikal dan mendalam. Malaysia Muda faham dan mengambil berat keperluan ini. Bahawa perubahan, keinginan dan aksi untuk yang lebih baik sentiasa berterusan.
Perubahan pasti harus disertakan dengan wacana dan gerakan yang membangun dan membina. Yang sudah berlaku dan mereka yang membawanya, tidak harus dipandang terlalu tinggi. Ini kerana walaupun akan ada golongan yang dapat mendorong zamannya, seperti yang dikatakan setiap zaman pasti akan sahaja melahirkan generasi yang diperlukannya. Kalau bukan pada waktu ini, akan berlakunya pada waktu yang akan datang, bersama dengan perubahannya.
Malaysia Muda sedar waktu yang bersejarah ini, dan berusaha bergerak menjalankan peranan sejarahnya dalam landasan perubahan membina warga dan dunia yang lebih baik serta adil. Keinginan Malaysia Muda walau sangat sederhana, ianya mengakar kepada membangunkan dan mempertahankan ruang wacana dan beridealisme melalui penulisan. Dan ini yang Malaysia Muda sudah mula lakukan dan ingin terus dikembangkan dengan cerdas dan bertenaga. Malaysia Muda yakin bahawa hanya pemuda dapat menentukan masa depan bangsa dan negara, dan dunia, dan antara usaha yang paling jitu dan mustahak hanya satu: menulis, menulis, dan menulis lagi.