Jentayu dilancar semula tika Malaysia berada di persimpangan sejarahnya yang penting. Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar kini, dalam percubaannya untuk mewujudkan kestabilan, telah menyebabkan ramai berasa kecewa dengan politiknya. Pentadbiran yang ada bergelut dengan kemeruduman ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan kini menguruskan jangkaan masyarakat bagi menunaikan janji untuk mengembangkan ekonomi kepada semua. Di tengah-tengah semua ini, para kelompok politik sayap kanan yang hampir-hampir memenangi pilihanraya telah menyebabkan ramai daripada golongan tengah dan kiri bimbang dengan pembangunan sosial di negara kita. Dengan mengambil kira keadaan ini, kami di Jentayu berharap dapat berfungsi sebagai sumber ranah ideologikal yang berharga dalam menganalisis dan menangani pelbagai isu pada zaman kita ini. Di masa lalu, anggota kolektif kami menerusi penulisan yang dikarang turut berfungsi sebagai suara kritis di tengah-tengah euforia sewaktu tertubuhnya Pakatan Harapan 1.0. Di tahun-tahun berlangsungnya pandemik, kami terus menulis bagi menggembleng suara nurani progresif serta ideologi kiri memperihal isu-isu pro-rakyat. Ramai di antara kami turut terlibat secara aktif dengan gerakan dan protes sosial yang ada.

Kami tekad meneruskan usaha untuk menulis, mendidik dan menghimpun sumber serta membuka ruang bagi mempertemukan perjuangan progresif dan sosial yang rencam. Jentayu adalah ruangnya bagi kami sekarang. Pertamanya, untuk mengelakkan kekeliruan yang mungkin wujud sewaktu menggunakan nama kolektif yang sebelumnya, kami sekaligus berhasrat untuk memperbaharui hala tuju kami bersama warga Malaysia dengan lebih jelas serta mereka yang memilih jalan juang yang sama. 

Jentayu turut menyasarkan bagi merampung artikel dalam menerangkan sejarah dan sudut pandang sayap kiri, baik di Malaysia mahupun dari belahan dunia lainnya. Kami ingin menerjemahkan dan menerbitkan sejumlah siri artikel pemula mengenai subjek seperti kapitalisme, sosialisme, nasionalisme, feminisme dan pelbagai isme lain. Utamanya, kami bercita-cita untuk menghasilkan sumber yang relevan kepada mereka yang tinggal di Malaysia dan memahami realiti kita dalam semua ruwet lapisannya menerusi lensa progresif dan sosialis. Kami percaya usaha ini penting untuk menggembleng gerak kerja dalam merangka idea pembebasan yang tulen ke ruang politik, ekonomi dan sosialnya. Nantikan!