Amirah Haziqah

Kalau mahu mengkaji asal-usul electronic dance music (EDM), sedikit sebanyak akan membuat kita terkeliru dengan fakta-fakta yang ada. Hal ini adalah kerana genre EDM mempunyai banyak sub-genre yang mengakar namun tetap kembali kepada induknya.

Umumnya, EDM telah berkembang sejak 40 tahun yang lalu dimana pada awal budaya hip hop dan rap digabungkan dengan elektropop dari Jerman dan Jepun, dan kumpulan yang berpengaruh seperti Kraftwerk dan Yellow Magic Orchestra mula mendapat inspirasi melahirkan muzik yang bersifat elektro. Apabila bunyi elektronik semakin dimajukan, instrumen seperti gitar bass dan drum telah digantikan dengan synthesizer dan mesin drum, di mana Roland TR-808 merupakan instrumen yang terkenal pada masa tersebut. Antara lagu yang hit dengan penggunaan Roland adalah Planet Rock oleh Afrikaa Bambaataa dan Sexual Healing oleh Marvin Gaye.

Sejak pertengahan tahun 2010, istilah EDM ini mula dikenali yang mana genre muzik ini adalah kombinasi hard dance dan elektro tekno. Genre ini secara umumnya menghasilkan bunyi sekitar 125 hingga 135 bpm. Festival muzik seperti Tomorrowland, Coachella atau Ultra Music Festival adalah antara festival yang meraikan genre EDM. 20 April lalu industri muzik digemparkan dengan kematian seorang artis EDM terkenal, Tim Bergling atau lebih dikenali dengan nama pentas, Avicii. Pada usia 28 tahun, Avicii membuat keputusan untuk menamatkan hidupnya sendiri di Muscat, Oman setelah beberapa lamanya menghadapi kesihatan mental dan tekanan diri yang tinggi.

Apa yang menariknya tentang sosok ini, bukanlah daripada berapa kuat  muzik yang dimainkan di setiap festival atau berapa banyak kekayaan atau skandal yang dikaut daripada popularitinya. Akan tetapi, bait lirik disebalik muzik yang dihasilkan banyak menghidupkan jiwa-jiwa anak muda yang terutamanya mengalami masalah eksistensialisme;

“… All this time I was finding myself

And I didn’t know I was lost …”       

– Wake Me Up, 2013.

 

“Steady yourself even though you know that you’re falling

Maybe you’re falling but you’re still alive …”                       ­

– What Would I Change It To, 2017.

yang mahu meraikan cinta;

“… If there’s love in this life we’re unstoppable

No we can’t be defeated …”

– Waiting For Love, 2015.

“You can be the poet

I’ll be the song

You can be the sunlight

I’ll be the dawn

You can be my everything

I’ll be your all”

– You Be Love, 2017.

serta anak muda yang mahu bebas dengan pemikiran mereka. Avicii juga ada menghasilkan lagu yang menyentuh isu-isu masyarakat seperti masalah perhambaan kanak-kanak dan ‘fidofilia elit’ (For A Better Day) serta keganasan berkumpulan (Pure Grinding). Muzik video bagi kedua-dua lagu tersebut walaupun pada awalnya dilihat begitu abstrak, namun pada pengakhirannya kita jelas penceritaan isu berkenaan yang dilihat mudah difahami. Inilah kelainan Avicii, hasil tangan yang menggunakan subgenre progressive house bukanlah menumpukan kepada rentak dan ritma bunyi semata-mata, malah diselitkan dengan lirik yang padu dengan isi dan persoalan kehidupan serta tidaklah kosong seperti kebanyakan orang sangkakan.

Pada peringkat permulaan karier Avicii juga jelas menunjukkan gaya deep house yang mendalam. Ini boleh dilihat dalam empat remix terawalnya “Sound of Now”, “Muja”, “Ryu” dan “Even”. Gaya muzik subgenre deep house selalunya berdasarkan struktur empat kord, sub-bass dan melodi sintetik yang tidak kompleks. Tahun 2013 ketika album True mula naik, kebanyakan lagu yang didebut adalah campuran daripada beberapa genre muzik yang salah satu daripadanya adalah folktronica. Folktronica mengandungi elemen muzik rakyat dan elektronika dan sering mempunyai gabungan instrument akustik. Avicii juga mengakui semasa membuat album berkenaan, muzik yang dihasilkan sengaja disuntikkan dengan elemen soul, funk, blues, folk and country kerana dia merasakan bahawa genre EDM ini terlampau tertumpu kepada “rentak kotor”. Namun, elemen bluegrass yang menjadi tunggak kepada album True telah menerima kritikan daripada seorang DJ terkenal, Deadmau5. Deadmau5 menyatakan homogenisasi EDM yang popular membawa kepada penghasilan muzik yang sama kebanyakannya. Lagu Wake Me Up juga dijangkakan tidak mempunyai hayat yang panjang.

Deadmau5 lupa bahawa elemen ‘jiwa’ perlu dimasukkan dalam penghasilan sesebuah lagu. Melalui elemen tersebutlah yang menentukan jangka hayat sesuatu lagu. Ketika proses lagu Wake Me Up dilakukan, Avicii memberitahu bahawa pada awalnya lagu ini disediakan dalam versi akustik. Akan tetapi, dia memikir untuk menghasilkan sesuatu yang akan mendapat perhatian ramai, maka elemen elektro inilah yang mampu mengutip mass yang luas. Dalam temubualnya dengan majalah Forbes, dia  menegaskan selagi mana adanya aliran muzik yang berterusan, EDM akan terus terkenal untuk tempoh yang berpanjangan. Gabungan muzik elektro dengan folk music adalah satu pencapaian Avicii yang paling berjaya dan inilah permata yang kita tidak dapat dalam mana-mana artis EDM yang lain.

Ramai yang mengatakan muzik EDM hanya layak dimainkan di tempat-tempat keramaian dan diraikan dalam parti-parti yang dipenuhi alkohol dan dadah. Dan ini adalah kesilapan bagi kebanyakan orang. Muzik EDM juga sama seperti genre muzik yang lain, yang berkembang seiring dengan zaman. Ketika hayatnya, Avicii menyuntikkan nilai-nilai yang tidak dapat kita jumpai dalam kalangan artis EDM yang lain. Editor majalah Variety menyatakan,

“Bergling’s “distinct sound” was comprised by “soaring synths and keening melodies”…”

Coldplay yang terkenal dengan genre rock alternatif memilih untuk bekerjasama dengan Avicii dalam penghasilan tiga buah lagu, A Sky Full of Stars, Hymn for the Weekend dan Heaven. Chris Martin membuktikan air tangan Avicii begitu serasi apabila digandingkan dengan band tersebut dan jati diri Coldplay masih ada walaupun beberapa lagu tersebut disuntik elemen EDM.

Mac 2016, Avicii membuat pengumuman tentang persaraannya daripada persembahan secara langsung dan jelajah. Hal ini adalah berikutan daripada masalah kesihatan yang dialaminya dan agak menyedihkan kerana dalam tempoh kesihatannya semakin merosot, Avicii sempat menghasilkan gandingan terbaru bersama-sama Otto Knows yang bertajuk “Back Where I Belong” pada Jun 2016. Dalam dokumentarinya pada tahun lalu jelas menunjukkan Avicii berusaha menghasilkan muziknya walaupun berada di dalam hospital. Kesungguhan dan minat yang mendalam dalam menghasilkan muzik ini tidak menghalangnya untuk terus berkarya dengan caranya tersendiri. Secara rasminya, Ogos 2016, Avicii membuat persembahan langsungnya yang terakhir di Ibiza.

Selain itu, ketika namanya mula melambung, Avicii dan Ash Pournouri, yang merupakan produsernya pernah mengembangkan satu badan amal, dikenali dengan nama House of Hunger. Ini merupakan usaha mereka berdua dalam mengurangkan kelaparan global. Di samping itu, mereka juga mahu mempamerkan semangat dan imej memberi (dalam kalangan komuniti house music) kepada yang memerlukan. House for Hunger telah membantu membiayai usaha The Feed Foundation, yang mengedarkan lebih dari 2 juta makanan sekolah di seluruh Afrika. Avicii menyatakan prinsipnya,

“You have to give something back. I am so fortunate to be in the position where I can actually do that. I feel lucky every day when I wake up and am able to do what I love and make a living.”

Tahun lalu sebanyak enam buah EP dihasilkan dan kali ini, Avicii menjelaskan muzik yang terhasil adalah gabungan rentak yang lama dan baru. Barangkali inspirasi untuk terus menghasilkan muzik datang daripada perjalanannya ke banyak negara dari Sweden, tempat kelahirannya hinggalah ke Hutan Amazon. 2017 juga kita dapat melihat Avicii menikmati hidupnya, namun kesihatan diri yang kurang mengizinkan dan masalah mental yang dialami membuatkan Avicii nekad dengan keputusan untuk pergi. Walau apapun, kejayaannya dalam menghasilkan muzik dengan pelbagai suntikan genre yang diserasikan dengan ritma EDM adalah homage untuk Avicii.

“One day you’ll leave this world behind, so live a life you will remember.”

– The Nights, 2014.