Ada apa di sebalik reformasi? Audi Ali menulis tentang ideologi sebuah gagasan dan hala tuju politik dan pembangunan yang tersisa.

Gambar: Pertarungan oleh Amron Omar. Dipamerkan di Ur-MU

Oleh Audi Ali

PERGESERAN politik yang sengit di Malaysia tidak dapat menyembunyikan bahawa politik dan idea pembangunan berdepan dengan kebuntuan. Sejak pilihanraya umum yang diadakan pada November 2022, Anwar Ibrahim menerajui kerajaan yang berteraskan kesepakatan antara kuasa-kuasa dan personaliti yang hingga pada takat itu, menganggap masing-masing sebagai seteru abadi. Pakatan Harapan (PH), wadah politik terbaru bagi gerakan “reformasi” yang dilancarkan beliau setelah tercetusnya Krisis Kewangan Asia 1997-98, akhirnya mendakap Barisan Nasional (BN), gabungan yang merangkumi parti-parti yang memerintah negara sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehinggalah tersungkur pada tahun 2018. Tewasnya BN yang diterajui United Malays National Organization (UMNO), diikuti dengan babak-babak politik yang penuh kabut dan gopoh; dalam tempoh 2018 sehingga 2022, Malaysia diterajui tiga perdana menteri sehinggalah kemunculan kerajaan “Madani” yang diterajui Anwar dan rakan-rakannya. Walau sarat dengan kekeliruan, akhirnya kelihatan bahawa kerajaan ini – yang turut dikenali sebagai kerajaan “perpaduan” di bibit permulaannya – terhasil daripada proses penyusunan semula kepentingan elit dan kompromi sesama mereka.

Logika klientelisme – atau “ghanimah politik” – yang berleluasa semasa pemerintahan BN, masih berlangsung yakni kuasa politik digunakan untuk mengagihkan kontrak kerja awam dan jawatan-jawatan di institusi pengelolaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan. Tatkala kompas reformasi kian samar, apa yang jelas kelihatan ialah kompleks syarikat terkait kerajaan (atau Government-linked companies, GLC) yang memainkan peranan yang penting dalam pelebaran pengaruh dan pendanaan politik dalam satu tatanan yang disebutkan oleh Wang Hui sebagai “negara – pelbagai parti” (state – multiparty system), yakni satu sistem yang mengintegrasikan mana-mana parti politik dalam aparat kerajaan sehingga membentuk dunianya tersendiri. “Rompakan agung” ini yang menyalurkan kekayaan ke atas – terutamanya kepada kelompok elit politik-perniagaan – berterusan bawah pentadbiran semasa lantas membangkitkan persoalan tentang keberkesanan peranan pembangunan yang sepatutnya dijalankan oleh institusi-institusi berikut (1). Dan puaka klientelisme ini menghantui dasar-dasar yang sepatutnya boleh dianggap sebagai langkah berani dalam memacu pembaharuan ekonomi (2). Lantas, tidak dapat dielakkan bahawa konsep “reformasi” membangkitkan rasa janji yang dimungkiri.

Mengapakah mobilisasi dan gagasan reformasi yang begitu utuh sekali mencabar hegemoni sepanjang dua dekad yang lalu, gagal untuk mengatasi logika rejim ini? Apakah mekanisme yang membolehkan jaringan elit untuk kekal bertahan? Dan dalam konteks perubahan geoekonomi dan penjajaran semula politik sedunia, pertanyaan ini menjurus kepada kegusaran tentang apa tersisa setelah reformasi terbengkalai.

Kebuntuan yang disebutkan dan cabaran pembangunan yang mendatang mungkin tidak boleh difahami sepenuhnya tanpa merungkaikan kandungan ideologi serta bentuk politik yang dibawa oleh reformasi dan kesannya terhadap idea pembangunan Malaysia. Menyusur ke akar ini, kita mendapati bahawa reformasi bukanlah satu penolakan, sebaliknya ia merupakan warisan tulen bagi pemikiran dan amalan dominan mengenai pembangunan yang melakari Malaysia semasa ia mencari jalan untuk mencatatkan perkembangan ekonomi yang pesat demi mengabsahkan dominasi BN pada dekad-dekad yang lalu.

I

Wujudnya satu ketegangan yang membingkaikan idea – idea pembangunan di Malaysia, iaitu kemunduran sosioekonomi kaum Melayu dan kekuasaan politik elit Melayu ke atas negara. Asal-usul ketegangan ini boleh dikesan dari zaman penjajahan British dalam tatanan dwi-ekonomi yang telah menyisihkan orang Melayu ke sektor pertanian subsisten dan membangunkan sektor-sektor perindustrian dengan menyalurkan modal British dan dengan mengeksploitasi buruh migran dari China dan India atas sistem pekerjaan berhutang. Apa yang diperlukan ketika itu ialah arus perindustrian yang beroperasi atas rasional kapitalisme, iaitu komodifikasi  tanah, buruh, malah segala aspek hubungan kemasyarakatan yang diabsahkan dengan persepakatan antara British dan kelompok feudal dalam satu tatanan tradisionalisme, iaitu apa yang dikatakan Donna Amoroso sebagai “pemilihan secara sedar terhadap ritual dan idiom yang sesuai serta pembinaan semula budaya Melayu mengikut garis panduan yang selaras dengan pemerintahan kolonial” (3). Dari Perjanjian Pangkor 1874 ke pemilihan yamtuan besar Negeri Sembilan di penghujung abad ke-19 ke terangkatnya ke takhta kesultanan keluarga bendahara di Pahang dan temenggong di Johor, British menjadi kuasa penentu.  Maka, dalam aparat pentadbiran kolonial, raja menjadi pelindung unggul  kepentingan Melayu dan bangsawan menjadi pentadbir. Aparat negara kolonial (“state”) ini menjadi benteng dan saluran bagi mengendalikan konflik dari atas dan bawah.

Sekiranya “tradisionalisme demi kapitalisme” ialah idea kelas pemerintah ketika itu, nasionalisme hadir sebagai pencabar hegemoni. Pada awal abad ke-20, gagasan pembebasan di benua-benua dijajah mula menyusup ke Tanah Melayu lantas dibiaskan kepada dua kelompok utama, iaitu gerakan komunisme yang mula bertapak dalam gerakan kesatuan sekerja, yang kebanyakannya terdiri dari etnik Hainan, dan kelompok intelektual Melayu di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang bakal memainkan peranan penting dalam memaknai konsep “bangsa” Melayu dari kiri dan kanan. Lebih terdahulu, gabungan arus Nasionalisme, Islam, dan Komunisme di kepulauan Jawa dan Sumatera mempengaruhi pembentukan gagasan “merdeka” di bawah payung parti-parti berhaluan nasionalis kiri dengan visi kerakyatan yang cuba mengatasi rasialisasi yang menjalar.  

Meskipun lambat bagi mereka untuk menggarap konsep pembebasan nasional, jelas bahawa persatuan-persatuan konservatif Melayu, yang sebelum ini lebih selesa untuk menjaga kepentingan kaum dalam kerangka kolonial-feudal, mula menggerakkan rakyat Melayu untuk menentang perjanjian Malayan Union yang termaterai antara raja-raja dengan British. Kekuasaan rakyat jelata diangkat sebagai raison d’être (4) bagi raja dan “bangsa” justeru menerbalikkan kerangka feudalisme yang meletakkan raja sebagai pasak kekuasaan politik dan moral. Raja bukan pelindung, tetapi dilindungi oleh rakyat. 

Dalam percaturan jajaran politik Perang Dingin yang menjelma, panji nasionalisme dan aparat negara dipegang pula dengan jelas oleh nasionalis kanan yang memimpin massa Melayu. Sejak pengisytiharan Darurat pada tahun 1948, penekanan ke atas kepimpinan kiri dan juga penggantungan pilihanraya tempatan 1963 (yang mencatatkan beberapa kemenangan penting oleh parti kiri) menjamin kestabilan kepimpinan elit antara kaum dan kesinambungan ekonomi kolonial. Maka, dalam kerangka “menjamin kestabilan ekonomi”, kelas dominan memobilisasikan segala aparat negara, represif dan intelektual, untuk membingkaikan satu perang saudara sebagai “darurat”, yakni sebagai isu keselamatan. Demikianlah, kestabilan ini berdiri atas keharmonian elit antara kaum dan nyahpolitisasi soal kesinambungan ekonomi kolonial. Dan dalam proses itu, pijakan sosial kekuasaan politik Melayu berdiri atas imbangan feudal – rakyat dan aparat negara menjadi menjadi perkakas dan kancah pergelutan kuasa sesama elit. 

Jika kita boleh meminjam perspektif elit, perselisihan dalam UMNO antara Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar, dan Mustapha Hussein (5) boleh diumpamakan sebagai pertembungan arus pemikiran antara kutub feudal, bangsawan, dan rakyat. 

II

Sosiologis dari Itali, Domenico Losurdo, pernah menulis: “sesuatu revolusi hanya boleh dianggap telah mencapai kemenangan yang stabil, apabila kelas protagonis tertentu berjaya mendirikan wadah politik yang bertahan setelah berhadapan dengan pertentangan dan kontradiksi yang melarat” (6). Dilihat dari perspektif global, proses dekolonisasi setelah peperangan ialah cerminan pergelutan kelas pada skala dunia, yang muncul dalam pelbagai ragam, setelah wujudnya peluang hasil pertemuan antara kelopongan yang wujud dalam cengkaman empayar dan gagasan pembebasan di benua-benua yang dijajah. Namun, lahirnya negara-bangsa Dunia ketiga pada saat tertentu dalam sejarah dunia, mengembangkan hegemoni kapitalisme global yang terdiri daripada rantaian negara-bangsa. Landasan pembangunan disempitkan sehingga apa yang tersisa hanyalah penubuhan rejim bagi menjamin proses akumulasi kapital. Bagi Malaysia, saat tersebut tidak tercetus akibat revolusi, tetapi melalui kudeta senyap, dan kelas protagonis yang mengharungi kontradiksi pembangunan bukanlah kaum pekerja, tetapi elit teknokratik yang terlahir daripada rahim nasionalisme-kanan. 

Mengapa? Kontradiksi feudal – rakyat di bawah laissez-faire yang diamalkan oleh kerajaan pasca-penjajahan pertama ternyata tidak terbendung.  Walaupun berdaulat, pola ekonomi kolonial masih berterusan. Hakikat ini jelas diamati oleh jalur kiri dan kanan. Misalnya, James Puthucheary, seorang sosialis yang aktif ketika itu,  telah menulis pemerhatian ini dalam bukunya, Ownership and Control in the Malayan Economy (1960),  yang turut menggarap imaginasi nasionalis-kanan sehingga beliau dijemput untuk menyumbang dalam proses perangkaan dasar kerajaan. (7) Memerhati dominasi British dalam tanah airnya yang dikatakan telah merdeka, Abdullah CD, pemimpin komunis yang berlegar di dalam hutan-hutan Banjaran Titiwangsa ketika itu, kemudian menulis: “kemerdekaan belum sempurna” (8).

Namun, jelas bahawa perspektif kanan yang kian instrumental dalam membentuk dasar kerajaan seterusnya. Tun Abdul Razak, misalnya, mula menggagaskan dasar intervensi kerajaan melalui pembangunan prasarana luar bandar di bawah Lembaga Pembangunan Luar Bandar (lebih dikenali sebagai Rural Industrial Development Authority, RIDA) bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar yang rata-ratanya Melayu. Idea intervensi ini mula disokong dengan lebih rancak saat kemunculan kelompok teknokrat dalam UMNO. Kelompok ini tidak hanya membawa gagasan pembangunan sebagai solusi ekonomi, tetapi juga mengarusperdanakan  satu gaya pentadbiran baru yang mengutamakan pemikiran teknokratik, kecekapan birokrasi, dan perancangan jangka panjang. Peranan agensi seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perpaduan Negara menjadi teras kepada pelaksanaan agenda pembangunan ini, lantas menginstitusikan pembangunanisme (“developmentalism”) sebagai prinsip asas dalam pembentukan dasar negara.

Pembangunanisme turut hadir sebagai perkakas dan arena bagi pergelutan kuasa. Di bawah laissez-faire Tunku Abdul Rahman, gandingan elit antara kaum bermaksud kekuasaan politik Melayu (UMNO) bergantung kepada pelaburan asing bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan pendanaan politik oleh perniagaan-perniagaan Cina, yang diwakili oleh Malaysian Chinese Association (MCA). Pembangunanisme muncul sebagai kritikan nasionalis-kanan terhadap Tunku Abdul Rahman kerana gagal untuk menghasilkan pijakan sosial baru bagi mengatasi kebergantungan ini terhadap elit-elit Cina. Di samping itu, bentuk pembangunanisme yang bakal mendominasi landskap politik turut dipengaruhi dengan ekonomi politik ketika itu. Misalan, pergelutan kuasa antara Tun Abdul Razak dan Aziz Ishak berpunca, sedikit-sebanyak, daripada penekanan yang berbeza berkenaan pembangunan (9). Bagi Aziz Ishak, tatanan ekonomi perlu diatur semula supaya kaum tani dapat mengawal pengeluaran secara langsung, lantas melemahkan pengaruh orang tengah (kebanyakannya kaum Cina) dan British di samping mencipta pijakan politik dari bawah, manakala Tun Abdul Razak pula ketika itu menekankan pelaburan prasarana luar bandar, yang pada ketika itu, tidak menggugat proses pengeluaran komoditi tetapi sekadar membina jaringan elit berpendidikan tinggi dalam UMNO yang dipupuk institusi dan syarikat milik kerajaan. Dari kiri dan kanan, pembangunanisme hadir sebagai wadah penciptaan pijakan sosial baru bersifat anti-barat namun bagi kanan, penciptaan kelas elit baru dalam UMNO kekal dalam jajaran akumulasi kapital. Seperti yang didengari semasa Kongres Bumiputera 1965, “Tiada syarikat Bumiputera, tiada usahasama, akan berjaya sekiranya tiada perancangan dalam pembangunan ekonomi Malaysia” (10).

Maka, rusuhan yang berlaku pada 13 Mei 1969, iaitu pencetus kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB),  wajar dilihat sebagai manifestasi tiga perkara yang berkait rapat. Pertama, rusuhan tersebut berpunca daripada keadaan materi segmen masyarakat yang terpinggir daripada arus pembangunan dan oleh itu wujudnya elemen kelas. Kedua, kemarahan tersebut mengambil bentuk permusuhan antara kaum disebabkan segmentasi masyarakat menurut ekonomi dan pembentukan identiti politik berasaskan ras. Dalam hal ini, rusuhan ini adalah sambungan kepada peristiwa berdarah 1945 antara elemen radikal PKM dengan perkampungan Melayu setelah Jepun menyerah kalah. Dalam simpulan mitos dan realiti, rasialisasi terhasil sebagai wadah politik: chauvinis kaum itu Melayu, komunis itu Cina. Ketiga, kemarahan tersebut didalangi pula sebagai alat pergelutan kuasa antara elit untuk meneruskan penjarahan kapitalisme tetapi dalam kerangka yang berubah dari laissez-faire kepada pembangunanisme, yakni dari Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak. 

III

Dalam buku pertamanya berkenaan pemikiran Mahathir Mohamad, pemikir sains politik Khoo Boo Teik memulakan nukilannya dengan frasa yang menarik: “Let us begin at a point which history may well judge to be nearly the end”. Ditulis semasa 1990-an, buku “Paradoxes of Mahathirism” diinspirasi oleh liku-liku politik Mahathir, dari seorang buangan setelah mencabar kepimpinan UMNO sehingga menjadi pemegang kuasa quasi-mutlak setelah menewaskan pencabar dalam dan luar parti di penghujung abad ke-20. Buku ini mengimbau kerjaya beliau serta impak pemikirannya kepada peranan negara dalam mengemudi ekonomi yang menunjukkan kontradiksi dalam mengimbangi apa yang dikatakan sebagai “nationalist project driven by capitalist impulses, or a capitalist project imbued with nationalist aspirations”. Dalam pensejarahan ini, Mahathir ialah wakil bagi kelas protagonis, yang berjaya mengembangkan “kuasa produktif” justeru meneruskan proses komodifikasi masyarakat dibawah payung aparat negara yang kian mengukuh. Tesis “pasca-sejarah” Francis Fukuyama, yang dilatari adikutub global Amerika Syarikat,  menemui terjemahannya di peringkat domestik dalam “Malaysia Incorporated”.  

Sememangnya, trajektori pembangunan Malaysia mempunyai sinergi organik untuk disusun atur dalam penceritaan pasca-sejarah ini. Dalam naratif ini, ideologi dan tatanan demokrasi, pasaran bebas dan masyarakat konsumeris ialah hasil terakhir dalam rantaian pertembungan ideologi dan tamadun yang berasaskan tuntutan universal untuk merangkul “maruah” (“recognition”). Maka, bermula dari pentadbiran pentadbiran Tun Abdul Razak (1970 – 76) sehinggalah ke pengakhiran pentadbiran Mahathir Mohamad (1981 – 2003), kita menemui gaya pemikiran dan amalan mengenai politik dan ekonomi yang mengutamakan pencarian “maruah” kaum Melayu dalam mengemudi tatanan kapitalisme sedunia.  Proses pencarian ini boleh dilihat dari evolusi ideologi dan pertembungan pemikiran elit Melayu dengan kemodenan. Dari Munshi Abdullah, Syed Sheikh Al-Hady, Za’ba, Senu Abdul Rahman dan juga ya, Mahathir Mohamad kita menemui intipatinya: kemajuan memerlukan transformasi psikososial yang disesuaikan dengan tatanan kapitalisme. Misalan, dari Revolusi Mental yang disunting Senu Abdul Rahman, “Prinsip mengumpul harta sebanyak-sebanyaknya oleh seseorang dengan apa cara juga merupakan asas bagi kemajuan seseorang, sesebuah masyarakat atau negara”. Individualisme dan kebendaan disaluti dengan politik berasaskan ras untuk menghasilkan kemodenan kapitalis ala Melayu Baru. 

Namun, dalam konteks pembangunan kapitalisme di Malaysia yang tidak pernah mempunyai kelas kapitalis Melayu organik,  amalan  “keperwiraan Melayu” (11) ini mempunyai detik akumulasi primitif dan dialektikanya tersendiri. Kelas tersebut perlu dilahirkan melalui jaringan agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan sehingga mewujudkan kelas pemerintah dari lapisan birokrat-kapitalis. Dan masyarakat Melayu perlu diserap arus pemodenan, justeru ditransformasi dari kaum tani menjadi pekerja. Secara beransur-ansur, proses ini menghasilkan kelas kapitalis dan kelas-kelas menengah Melayu yang mula menolak kekangan pembangunanisme.  Menjelang 1980-an, misalnya, digambarkan bahawa dalam UMNO, wujudnya dua kelas utama, iaitu kapitalis-kapitalis kecil yang masih bergantung kepada jaringan naungan  negara-UMNO dan juga kapitalis besar yang mula menggerakkan usaha penswastaan. Pencarian “maruah” wajar diteruskan di luar kerangka birokrasi. 

Pun begitu, perlu diakui pula bahawa berdasarkan aspirasinya sendiri, UMNO-Barisan Nasional berjaya untuk memupuk, mengarah, menggabung dan mengubahsuai aspirasi kelas kapitalis Melayu sebagai protagonis nasional dengan pembinaan negara-bangsa secara keseluruhan. Dasar ekonomi, meskipun memberi ruang yang lebar bagi dominasi dan akumulasi kapital, mencatat pertumbuhan ekonomi yang mendadak sehingga membolehkan kelas ini, melalui aparat negara, untuk menyumbang kepada reproduksi sosial. Dari 1971 – 2000, misalnya, KDNK meningkat sebanyak 7% walaupun turut terkesan dengan kemerosotan ekonomi sedunia  pada tahun 1981-85 dan krisis kewangan pada 1998.  Ini membolehkan usaha yang menyeluruh, dari penghasilan sektor pembuatan sebagai tunjang ekonomi, pengagihan tanah melalui skim FELDA dan FELCRA, serta perbelanjaan tinggi dalam sektor pendidikan dan kesihatan; semua usaha ini membantu mengurangkan jurang antara miskin dan kaya. 

Kini, mungkin ada yang gemar mengungkap “sosialisme negara” Tun Abdul Razak sebagai desakan moral supaya kelompok elit memikul tanggungjawab membina masyarakat egalitarian.  Namun, visi ini jelas berasaskan eksploitasi “populasi lebihan” (“surplus population”) yang dilaksanakan melalui pelonggaran perlindungan pekerja, penyahnilaian tenaga kerja reproduktif, dan penghijrahan besar-besaran yang boleh dilihat melalui kemunculan masyarakat peneroka bandar (migrasi dalaman) dan pelonggaran kemasukan pekerja migran (migrasi antarabangsa). Kesemua beban pembangunan ini dipikul kelas terbawah dan dijustifikasikan dengan alasan untuk mencipta “masyarakat stabil kelas menengah seperti Switzerland, Belanda, dan Jepun” (12). Bermula dari 1980-an, proses pengindustrian turut didampingi penswastaaan, terutamanya melalui mekanisme “build, operation, and transfer” (BOT) dan program latihan vendor sektor pembuatan dan pembinaan, justeru mengembangkan kelas profesional dan kapitalis Melayu. Demikianlah, wacana awam sarat dengan naratif keusahawanan dan mobiliti sosial, lengkap dengan aspirasi konsumsi kelas menengah dan fetish pertumbuhan ekonomi, yakni simptom bagi individualisme yang boleh dikesan dari pemikir pemodenan yang disebutkan awal tadi. Jalan “menuju Denmark” yang diungkapkan Fukuyama sebagai ideal masyarakat pasca-sejarah mencengkam imaginasi. 

Bukan bermaksud bahawa perlawanan tidak wujud dalam proses mendirikan hegemoni ini. Perseteruan sesama elit, misalnya, telah mencetuskan beberapa krisis politik: sepeninggalan Tun Abdul Razak pada 1976, wujud perseteruan antara kem yang menggelar lawan masing-masing sebagai “kuli British” dan “komunis”, yakni sambungan perdebatan mengenai pembangunanisme; semasa pemilihan UMNO 1987, parti itu sekali lagi berbelah bahagi atas isu sama ada untuk mengembangkan DEB melalui pelebaran sektor awam atau penswastaan. Wujud juga pertentangan dari bawah.  Cuma, legasi represif hasil daripada pengalaman darurat menentang komunisme, telah menghasilkan pemusatan kuasa aparat negara yang mengabsahkan dominasinya dengan naratif kestabilan demi kepentingan ekonomi. Wujudnya binari antara politik dan ekonomi yang lebih menyempitkan lagi ruang penghasilan subjektiviti politik berasaskan kelas. Seperti yang ditunjukkan melalui perseteruan sesama elit yang disebutkan tadi, kegusaran materi hanya boleh dipertarungkan di dalam dan melalui UMNO sebagai kancah pergelutan kuasa. Seperti itu juga, bagi pertentangan dari bawah, misalnya dalam kalangan pekebun FELDA, kaum tani, atau pekerja ladang, pemimpin tempatan UMNO kebiasaannya menjadi suara “dari bawah” melawan dominasi “dari atas” yang juga dikenakan oleh UMNO di peringkat negara (13). Sekiranya dalam zaman kolonial kelompok feudal menjadi barisan bagi menguruskan pertentangan, demikianlah nexus negara-parti UMNO memainkan peranan yang sama. 

Perlu ditekankan pula bahawa dominasi ini berasaskan pemikiran pembangunan yang dikongsi oleh kiri dan kanan ketika itu. Demi pembebasan, pemikir-pemikir elit Malaysia berkemungkinan setuju dengan kata-kata pemikir Marxis dari Perancis, Maxime Rodinson, bahawa negara-negara Dunia Ketiga “perlu sama ada melaksanakan pengindustrian, membangun, seperti negara-negara Eropah dan Amerika, atau kekal bergantung dengan wewenang kuasa-kuasa dunia” (14). Untuk melaksanakan projek ini, negara seperti Malaysia yang mempunyai demografik pekerja yang muda, perlu memanfaatkan kelebihan dengan mengeluarkan produk-produk pada harga yang “kompetitif”, yakni hasil proses pengeluaran yang berpasakkan atas pematahan daya organisasi kelas pekerja dan nyahpolitisasi lapangan ekonomi. Kemuncak hegemoni idea ini tercapai setelah kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Soviet serta diabsahkan di peringkat domestik dengan kemenangan total UMNO-Barisan Nasional pada pilihan raya 1995. Ideologi individualisme dan keberdikarian dipupuk bagi mengemudi trajektori pembangunan yang bermula dari kebergantungan atas pengeluaran komoditi, pengindustrian, dan setelah kehausan model pembangunan ini, diakhiri dengan masyarakat konsumeris. 

Abdul Rahman Embong, sosiologis di UKM, pernah menggambarkan bahawa usaha UMNO-Barisan Nasional untuk mengimbangi kepentingan pelbagai pihak – kapitalis dan marhaen Melayu, serta elit kaum lain – memerlukan aparat negara yang mampu untuk “bertukar gear”, yakni mampu untuk memobilisasikan gabungan politik bagi menukar taktik pembangunan untuk mencapai objektif strategik. Keupayaan ini terserlah dalam “paradoks” Mahathirisme, sebagai pewaris utama pencarian maruah Melayu, yang telah memusatkan kuasa aparat negara dalam tangan beliau serta penembusan total UMNO dalam masyarakat madani. Kekuasaan ini menggunakan apa-apa senjata yang boleh menstabilkan hegemoni lantas mencipta persepsi seolah-olah ia bebas dari sebarang ideologi: dari perbelanjaan kitaran-balas (“counter-cyclical”) ke langkah penjimatan, dari chauvinisme ke nasionalisme terangkum (Bangsa Malaysia), dari proteksionisme industri berat ke liberalisasi sektor kewangan, dari populisme ke otoritarianisme. Semuanya untuk memastikan keleluasaan kelas kapitalis. Seperti yang dikatakan Khoo Boo Teik, “Mahathir’s personalised hegemony might have lain in his ability to appear wondrously whole, while others fragmented him according to their personalities, dreams and fears, and thereby accepted him” (15).

IV

Dilihat melalui proses historikal ini, “reformasi” muncul tatkala dialektika pembangunan telah menjana sumber ideologikal – yakni sikap dan naratif modenisasi-  dan material – yakni penghasilan kelas-kelas yang memanfaatkan proses liberalisasi – untuk mengubahsuai cara ekonomi domestik berintegrasi dengan pasaran dunia. Pertumbuhan ekonomi dari tahun 1987 – 1995 merupakan ufti terakhir fasa industrialisasi dan itupun kadar pertumbuhan dibelonkan dengan kemasukan pelaburan asing dalam sektor-sektor yang tidak begitu produktif, seperti pembinaan dan ekuiti. Kini, ia ketara bahawa Krisis Kewangan 1997-98 terjadi akibat liberalisasi melulu dalam konteks institusi dan kawal selia pramatang, lantas memburukkan “serangan” spekulasi (16). Tetapi, jelas dalam konteks industrialisasi yang kian perlahan dan pasaran buruh yang kian terhad, pembukaan pasaran baru merupakan imperatif struktural bagi mengaut keuntungan, justeru menghalalkan liberalisasi sektor kewangan dan pembukaan migrasi antarabangsa untuk dieksploitasi. Sektor-sektor industri masih lagi memainkan peranan yang penting dalam pembangunan tetapi semenjak itu, konsumsi memainkan peranan yang lebih penting, mencerminkan juga komposisi masyarakat yang menunjukkan ciri-ciri kepenggunaan kelas-kelas menengah. Dinamika ini menjurus kepada usaha untuk mengembangkan pengewangan (“financialisation”) dalam setiap lapangan dari pelaburan runcit, pendidikan, perumahan, dan kesihatan, mencipta masyarakat pemiutang dan penghutang (17).

Di mana “reformasi” dalam proses ini? Dari luar koridor kekuasaan, ia hadir sebagai wadah pendemokrasian yang berjaya menyatukan ribuan gelisah dan impian pada momen kritikal. Walaupun pada asalnya bermula sebagai perseteruan antara elit kapitalis Melayu-Cina dalam kerangka negara-UMNO, gerakan ini kemudian menemui pijakan sosialnya dalam masyarakat umum. Bagi sesetengah, “reformasi” menjanjikan kemajuan yang berteraskan keusahawanan dan keupayaan teknokratik dalam tatanan negara yang bebas daripada kebobrokan korupsi, kolusi, dan nepotisme (KKN). Bagi sesetengah yang lain pula, “reformasi” ialah satu sambungan bagi perjuangan “maruah” Melayu, apabila salah seorang daripada mereka, iaitu marhaen yang berjaya menjadi elit, dizalimi oleh sang penguasa. Dan penolakan kekuasaan mentah ini menarik pula sebahagian yang lain yang memberi asas dan bahasa multikulturalisme dan hak asasi kepada gerakan ini. Sihir “reformasi” terletak dalam artikulasi program yang berjaya mempolitikkan semula lapangan yang sebelum ini tidak terganggu dengan mengambil kesempatan peluang yang dihasilkan oleh perubahan struktural masyarakat (18). Demikianlah, kita melihat penciptaan blok politik baru yang menuntut pendemokrasian: tokoh korporat, islamis, kelas menengah bandar, kelas pekerja bandar dan luar bandar (19). Pempolitikan semula masyarakat telah membenarkan kegusaran materi, yakni apa yang diwacanakan sebagai isu “bread and butter” dan soal pentadbiran, yakni “tatakelola terurus”, untuk menjadi pertentangan politik utama yang melimpah ke ruang awam sejak 1999. Sememangnya, “reformasi” membawa seribu makna (20). Namun,  pelbagai perjuangan ini akhirnya dibingkaikan dalam kerangka “ekonomi manusiawi”, yakni kapitalisme dengan wajah manusia yang dibentuk gabungan kuasa tangan ghaib pasaran dengan tangan nyata pemerintah (21).

Manakala dari dalam koridor kekuasaan pula, proses pemusatan kapital dan emulasi sektor swasta muncul sebagai reaksi kepada pendemokrasian. Dipacu oleh kelompok neokonservatif yang ingin “mengubah UMNO dari dalam”, prinsip “tatakelola terurus” mula diserap rejim status kuo bagi memastikan penjajaran ekonomi politik dengan kapitalisme sedunia (22). Ini bermula setelah redanya krisis politik dan apabila kegagalan kader korporat Mahathir-Daim tidak boleh dinafikan lagi. Demikian, dengan asbab pengurusan konflik dan hutang, Bank Negara berjaya menggabungkan syarikat-syarikat perbankan, sesuatu yang pernah dicuba dan gagal semasa 1980-an. Seperti itu juga, krisis ini membolehkan penstrukturan semula dunia korporat yang bermula dengan penghasilan “koridor pembangunan” di bawah Abdullah Ahmad Badawi (2003 – 2009)  bagi memelihara jaringan kelompok kapitalis kecil melalui sokongan perniagaan kecil-sederhana, dan disusuli pula dengan proses “liberalisasi” melalui Program Transformasi GLC yang telah menyaksikan penjajaran kekuasaan negara, kelompok korporat, dan kapital antarabangsa. Gabungan ini kemudiannya menghasilkan apa yang dikatakan oleh Terence Gomez sebagai “MOF Inc”, satu sistem pemilikan bersilang sektor korporat oleh syarikat milik dan terkait kerajaan. 

Dalam proses pelebaran kuasa dan pengaruh negara, “tatakelola terurus” hadir sebagai wadah penyerapan rasionalisasi kapitalisme dalam kerangka asal maka kita melihat pelbagai teknik pengurusan yang muncul dalam kompleks GLC, seperti pengenalan KPI, penjajaran gaji dengan sektor swasta (terutamanya institusi perbankan), penekanan terhadap rasional untung/rugi, dan amalan penyumberan luar tenaga kerja. Penyusunan semula kapital yang menyusul telah mengubah tatanan kesepakatan antara pentadbir dengan kelompok korporat menjadi tatanan kawal selia kapital secara langsung oleh aparat negara. Demikianlah, di tingkat tertinggi usaha pelebaran jalur kuasa pasaran, Renong, syarikat yang pernah dimiliki kader Mahathir-Daim, menjadi UEM di bawah kawalan EPF; IHH Healthcare menjadi badan pelaburan sektor kesihatan swasta oleh Khazanah; dan langkah-langkah ini dicerminkan pula di tingkat negeri, misalan, dengan penubuhan Johor Corporation (JCorp) dan MBI Selangor. Penyerapan etos kapitalisme dan konsolidasi ini wajar difahami sebagai sebahagian daripada proses pembentukan tatanan yang digelar Ilias Alami dan Adam Dixon sebagai “kapitalisme negara baru”, yang memperlihatkan bahawa imperatif keuntungan  dalam zaman pertumbuhan ekonomi sedunia yang meleset semakin memerlukan kekuasaan dan konsolidasi kapital di tingkat pentadbiran (23).

Maka, dari perlawanan jalanan “reformasi”, satu tatanan hegemoni baru terhasil. Konsolidasi dan pemusatan kapital di bawah kelolaan langsung aparat negara beransur-ansur menyusun atur pertentangan politik yang berlaku sejak 2008 apabila parti-parti pembangkang merangkul kuasa di beberapa negeri, lantas membolehkan mereka untuk diserap dalam tatanan “negara-pelbagai parti” ini. Pendirian hegemoni ini boleh dilihat daripada kemiripan idea-idea pembangunan oleh kedua-dua pihak yang menekankan peri-penting pelebaran jalur kuasa pasaran dan kepatuhan kepada diktat kapital antarabangsa, iaitu disiplin fiskal, bajet seimbang, dan pengurusan teknokratik. Seperti itu juga, hegemoni ini didirikan dengan keterangkuman kelas-kelas bawahan dalam idea pembangunan berteraskan konsumsi: Skim Peduli Rakyat  di Selangor yang mengandungi campuran sumbangan tunai means-tested, pembiayaan perumahan dan insurans kesihatan, serta jaringan politik di bawah MBI, boleh juga didapati di tingkat nasional dalam bentuk BR1M (sekarang Sumbangan Tunai Rahmah), sokongan kesihatan Peka B40, dan jaringan politik dalam kompleks GLC. 

Bukan bermaksud tiada pergeseran dalam proses ini. Pertembungan politik sepanjang 20 tahun yang lepas berkisarkan tentang nilai normatif tentang apa yang boleh dihalalkan dalam jaringan klientelisme dan usaha pelebaran jalur kuasa pasaran ini. Pencarian “maruah” Melayu dan pengharmoniannya dengan pembangunan seluruh negara bangsa turut mengstrukturkan persoalan ini.  Misalnya, apabila ditanya mengenai penswastaan pada tahun 2011, Muhyiddin Yassin menjawab, “[GLC] memainkan peranan yang penting selain daripada menjana keuntungan untuk membangunkan negara”. (24). Penstrukturan semula Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) oleh Anwar Ibrahim dan penubuhan SG4 oleh parti-parti pembangkang baru-baru ini merupakan salah satu jawapan bagi persoalan ini. Dilihat dari perspektif ini, kebobrokan Najib Razak (2009 – 2018) melalui skandal korupsi 1MDB ialah penjangkauan, dan bukannya percanggahan, logika rejim ini yang kemudiannya mencetuskan pemberontakan elit. Meskipun ada baiknya dalam campuran polisi ini – Najib, misalnya, masih lagi popular – jelas,  bahawa secara keseluruhan, segala usaha yang dipacu aparat negara bertujuan mencipta ruang baru bagi kuasa pasaran. Inilah neoliberalisme yang termutasi, dan “reformasi” ialah mutagen-nya. 

V

Kita bakal melihat sekiranya perkembangan ini mampu menjana hala tuju pembangunan yang baru. Semestinya, pemusatan kuasa politik dan ekonomi turut menandakan keupayaan untuk mendisiplinkan kapital untuk mencapai objektif pembangunan sosial sekiranya mobilisasi dari bawah mewujudkan lapangan perlawanan. Dalam proses pempolitikan semula sepanjang dua dekad yang lalu, inilah “spectre of Anwar” yang disebutkan Khoo Boo Teik. Tetapi proses ini telah menyemai benih nyahpolitisasi  sebagai objektifnya. Dalam setiap protes, himpunan, dan perarakan, naratif anti-politik dihunus sebagai penawar justeru menghalang gerakan ini untuk berkembang menjadi wadah politik. Sebaliknya, apa yang terhasil ialah penciptaan budaya NGO yang ketagih dengan dana luar negara dan penyerapan dan transformasi maksud “reformasi” dalam kerangka negara-pelbagai parti, yakni sebagai sambungan kepada proses akumulasi kapital.  

Apa yang tersisa? Dalam sejarah perlawanan, bayangan “rakyat” sering hadir menentang hegemoni, membawa pelbagai makna. Dalam konteks feudalisme, istilah ini merujuk kepada mereka yang berada dalam pengaruh suatu ke-raja-an. Kemunculan kapitalisme dan penyerapan feudalisme dan seterusnya nasionalisme ke dalam tatanan tersebut menghasilkan pula perebutan makna perkataan “rakyat” yang bergerak dari chauvinisme sempit ke keterangkuman hampir-utopia. Kepelbagaian makna ini diwarisi dalam kesatuan yang terbingkai dalam “reformasi”. “Rakyat” mewakili mereka yang menentang dekaden ekonomi pasca-sejarah. “Rakyat” turut mewakili mereka yang ingin mendakap sepenuhnya kemodenan kapitalis justeru penentangan mereka terhadap kebobrokan KKN.  Proses penyerapan “reformasi” ke dalam pendirian hegemoni baru ini mewujudkan ketegangan antara dua makna “rakyat”, iaitu sebagai hierarki  yang membahagi antara Melayu, Cina/India/dan yang lain, dan masyarakat migran, serta sebagai pembawa konsep kesamarataan, lalu menjurus kepada kemunculan “rakyat” sebagai pengguna, pelabur, dan penghutang, yakni mereka sama rata (hanya) dalam pasaran di bawah tatanan kapitalisme berasaskan ras. Dalam lapangan ekonomi yang kembali di-nyahpolitisasi, kecekapan dalam mengembangkan rasionalisasi kapitalisme, sama ada melalui nasab atau “merit”, menjadi titik pertemuan kelompok elit. Ragam eksploitasi bertindan lapis dan mempunyai pelbagai arah. 

Kesepakatan elit dengan kapital antarabangsa pada saat tercapainya kemerdekaan seolah-olah telah mencipta pola ketahanan elit dalam aparat negara walau apa jua krisis meledak. Kekuasaan barisan elit hanya disusun semula antara kelompok feudal, nasionalis kanan, dan kelompok teknokratik, mana mungkin disisihkan (25). Kini, robohan tatanan liberal antarabangsa disusuli pemusatan kuasa dan kapital di tingkat nasional, menyerlahkan lagi kekuasaan yang sedia ada untuk menyusun atur bagaimana penjarahan nilai boleh disesuaikan dengan rantaian nilai sedunia. Dinamika keterangkuman dan penyisihan dalam kapitalisme terus menjamin nasionalisme sempit.

Catatan

(1) Edmund Terence Gomez (2024), “Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia”
(2) Misalnya, pembelian lesen sejumlah USD 200 bilion daripada ARM bagi menciptakan industri perekaan IP chip, dan juga kontrak bagi pelebaran rangkaian telekomunikasi 5G.
(3) ms 52, “Traditionalism and the ascendancy of the Malay ruling class in Colonial Malaya”
(4) Asbab kewujudan
(5) Pernah dipenjara oleh British kerana memimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan tewas dalam pemilihan UMNO kepada Tunku Abdul Rahman dengan perbezaan satu undi.
(6) Ms 259, Class Struggle
(7) Turut rujuk laporan Bank Sedunia 1967. Artikel oleh Charles Brophy (2022), “The ‘theory of the unity of all classes and races against foreign capital’ in Malaya” , mengulas lebih lanjut tentang trajektori intelektual James Puthucheary.
(8) Ms 82, 2009.
(9) Juga bekas anggota KMM dan seorang menteri dalam jemaah menteri Tunku Abdul Rahman. Setelah dibuang dari UMNO, beliau membentuk Parti Konvensyen Negara yang kemudiannya menyertai Barisan Sosialis. Rujuk Mohamad Idris Salleh (2013), “Abdul Aziz Ishak: Biografi Politik 1955 hingga 1962”, UUM; Gayl D.Ness (n.d), “Community Development and Public Investment: The Programming of Economic Development in Malaysia”.
(10) Terjemahan oleh penulis. Dipetik dari Christopher Choong Weng Wai, “Anti-colonial raced capitalism in Malaysia: Contested logics, gendered repertoires”, Review of International Studies (2025), 51: 1, 139–158
(11) Rujuk penulisan Shaharudin Maaruf.
(12) Ucapan Tun Abdul Razak yang dipetik dari Torii, Takashi. (2003). “The Mechanism for State-led Creation of Malaysia’s Middle Classes.” The Developing Economies XLI-2 (June 2003): 221-42. Terjemahan oleh penulis
(13) Untuk pekebun FELDA dan pekerja ladang, rujuk Halim Salleh (1992). Peasants, Proletarianisation and the State: FELDA Settlers in Pahang; dan Zawawi Ibrahim (2022), The Malay Labourer: By the Window of Capitalism.
(14) Perbandingan ini dibuat oleh Khoo Boo Teik dalam “Paradoxes of Mahathirism”.
(15) Beyond Mahathir, ms 83.
(16) Robert Wade (1998) dan Jomo Kwame Sundaram (2003) memberi ulasan awal mengenai asal-usul krisis ini.
(17) Lena Rethel (2010), “Financialisation and the Malaysian Political Economy”, Globalizations, No. 4, pp. 489 – 506; Khazanah Research Institute (2024), “The Financialization of Our Lives: Values and Trade-Offs”.
(18) Khoo Boo Teik, 2023, “Anwar Ibrahim: Tenacious in Dissent, Hopeful in Power”. Terutamanya Bab 5. Lihat juga buku Beyond Mahathir (2003) oleh penulis sama.
(19) Wan Hamidi Hamid, “Bagaimana Reformasi 1998 mengarusperdanakan PAS”, SVARA, Isu 13 Okt-Dis 2022. Penulisan lain dalam isu ini mengupas pelbagai aspek lain reformasi.
(20) Farish A. Noor, (1999), “Looking for reformasi: The discursive dynamics of the reformasi movement and its prospects as a political project”, Indonesia and the Malay World, 27:77, 5-18, DOI: 10.1080/13639819908729929
(21) Anwar Ibrahim, ms. 91, “Gelombang Kebangkitan Asia”
(22) Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan Muhammad Takkyuddin Ismail, (2012), “Abdullah Ahmad Badawi: A Malaysian Neo-Conservative?” Japanese Journal of political Science, Vol 13, Issue 03.
(23) “The Spectre of State Capitalism” (2024)
(24) Terjemahan oleh penulis. Dipetik dari Asian Development Bank (2013), “Are Government-Linked Corporations Crowding-Out Private Investments in Malaysia?”
(25) Jeremy Lim (2023), “Malaysia’s Incomplete Revolution: From Comprador Capitalism to State-led Development to State-Dependent Development”, Rosa Luxemburg Stiftung.