Razan Rose’
Aku ini binatang jalang/dari kumpulannya terbuang. Cuplikan daripada puisi “Aku” nukilan Chairil Anwar ini seolah-olah memberikan peringatan kepada pemuda-pemuda sebayanya agar bersedia untuk berdepan dengan pengasingan oleh masyarakat dan dunia. Chairil yang meninggal dunia ketika usianya belumpun sampai 30 tahun boleh dikatakan sebagai satu sosok pemuda par excellence. Beliau serta puisi-puisi segarnya diingati sampai hari ini sebagai seorang pemuda yang lantang dan mencabar tradisi.
Cocok dengan jiwanya selaku pemuda, puisi-puisi Chairil merembes dengan kesegaran dan kemudaan. Peminat-peminat puisi beliau juga rata-ratanya datang daripada kalangan muda. Ia bukanlah kebetulan memandangkan keresahan yang terpancar daripada puisi Chairil ini sememangnya kena dengan gejolak-gejolak rasa pemuda, baik pada waktu beliau hidup mahupun pada masa sekarang. Puisi-puisi Chairil tidak ada nada mengada-ada seorang remaja tetapi terpancar dengan kematangan seorang pemuda yang sedang (dan sudah) mengalami kenyataan-kenyataan dunia yang penuh dengan pancaroba.
Chairil sangat intim dengan pemuda yang sudah matang fikirannya serta mereka yang sudah mempunyai keupayaan untuk mencermati dan bermuhasabah dengan kenyataan yang dihadapinya. Pemuda-pemuda yang seperti Chairil ini mempunyai kecenderungan untuk mencabar tradisi yang dirasakan sudah tidak wajar lagi untuk dipegang. Perkara ini selalunya berkesudahan dengan pengasingan, baik secara rela ataupun paksa, daripada masyarakat yang dihidupi.
Pun begitu, bukankah pemuda sejak berzaman lagi sudah selalunya dipandang dengan prasangka? Apatah lagi mereka yang berjiwa besar dan tidak segan silu untuk melontarkan kritikan terhadap tradisi dan kebudayaannya sendiri. Pemuda-pemuda juga sering disalahfahami dan diperlecehkan dek kerana mereka masih lagi dianggap sebagai anak-anak remaja yang belum sepenuhnya mengenal dunia. Pandangan sebegini tidak lari jauh dari kesilapan dan harus diperbetulkan. Perubahan masyarakat dan perjuangan satu-satu bangsa selalunya berhutang kepada pemuda-pemuda berjiwa besar yang berani mencabar tradisi dan kebudayaan yang menindas masyarakatnya. Usut sahaja sejarah-sejarah kemerdekaan di Nusantara: sekadar memetik beberapa nama, kita ada Ibrahim Yaacob di Malaya, Boedi Oetomo di Indonesia, Jose Rizal di Filipina, dan ramai lagi pemuda yang menggerakkan perjuangan kebangsaan pada dekad-dekad lunturnya kolonialisme di serata dunia.
II
Istilah ‘pemuda’ mempunyai galur yang lebih utuh berbanding ‘belia’ atau ‘anak muda’. Pemuda dapatlah dilihat sebagai golongan lepasan remaja yang sudah mempunyai kematangan untuk mencermati, menilai, dan berupaya untuk mengenalpasti permasalahan serta mengajukan idea-idea yang berkait dengan penyelesaian permasalahan tersebut. Dalam lingkup masa sekarang, wajar untuk kita usulkan satu istilah dan takrif baru untuk golongan lepasan remaja ini. Ianya bolehlah dilihat sebagai sebuah upaya untuk melepaskan “kumpulan yang terbuang” ini daripada mana-mana pentakrifan kekuasaan. Kata ‘pemuda’ harus dipisahkan jauh-jauh daripada takrif banci kerana pelecehan selalunya terjadi atas faktor jurang usia, meski dalam kalangan pemuda itu sendiri. Pentingnya, istilah ‘pemuda’ turut melambangkan kehadiran sebuah pembawaan segar dalam kekontangan wacana pemuda yang sudah sedia terbeban dengan telunjuk serta takrifan politik kekuasaan.
Mengapa sebegitu mustahak sekali penggantian istilah tersebut? Wajarkah untuk kita berlegar-legar dalam soal pengistilahan sedangkan terdapat banyak lagi persoalan-persoalan lain yang lebih memerlukan perhatian kita? Jawabnya ya, tetapi soal ini harus dibataskan setakat keperluan untuk menuntut para pemuda supaya lebih kreatif dalam menerbitkan idea-idea segar untuk pertumbuhan wacana yang lebih dinamik. Seperti disebutkan di atas, pengusulan istilah baru atau penggunaan istilah lama dalam pembawaan baharu berkeupayaan untuk menjadi teraju dalam mengilhamkan wacana-wacana alternatif yang mampu bersaing sekaligus menggantikan wacana-wacana sedia ada yang sudah bejat.
Lebih penting untuk diingati, wacana yang masih lagi termaktub dalam takrif-takrif kekuasaan tidak mampu untuk mengusulkan penyelesaian yang murni melainkan pada akhirnya akan terhisap ke dalam bahasa-bahasa politik yang—sekadar memberikan contoh—rasis, prejudis, atau meminggirkan sesetengah golongan dan seterusnya hanya melanjutkan lagi perbalahan sedia ada. Kebanyakan ‘belia’ dan ‘anak muda’ yang berjiwa besar ketika mereka mula beraktivisme rata-ratanya berdepan dengan dilema sama ada untuk menurut jejak langkah orang-orang tua sebelum mereka (seperti cara berpolitik, mengurus organisasi sivil, dll) atau meninggalkan dunia aktivisme dan menjadi apati. Kempen baru-baru ini yang mengajak masyarakat supaya memboikot pilihan raya dan tidak turun mengundi boleh dilihat sebagai suatu kebuntuan yang dihadapi oleh pemuda-pemuda masa sekarang dalam mendepani kenyataan sosio-politik semasa.
Apa yang diperlihatkan sebagai kekecewaan terhadap sistem demokrasi sedia ada serta ketiadaaan tokoh-tokoh politik berwibawa dari mana-mana pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang, sebetulnya hanya mempamerkan kegagalan sebahagian besar pemuda-pemuda masa sekarang untuk mengusulkan alternatif yang berdaya maju. Keadaan ini juga menunjukkan kenyataan pahit berkenaan ketandusan idea dalam kalangan pemuda serta ketidakupayaan mereka untuk menjadi mandiri tanpa mengharapkan bantuan daripada sosok-sosok berkepentingan.
Justeru, pemaknaan semula istilah ini adalah bertepatan dengan tuntutan setiap zaman iaitu pemberdayaan pemuda sebagai peneraju masa depan oleh dan dari kalangan pemuda itu sendiri. Perkara ini harus berjalan serentak dengan penggalian semula hasrat pembentukan sebuah bangsa yang benar-benar merdeka, yakni boleh diungkapkan sebagai suatu bentuk cita bangsa.
III
Secara bahasanya, cita bermaksud keinginan yang selalu terlintas dalam fikiran seseorang. Namun, ini juga mirip dengan apa yang disebutkan sebagai angan-angan. Lantas, apa yang membezakan antara cita dengan angan-angan? Di sini, cita haruslah diperikan sebagai suatu tujuan atau destinasi yang hendak digapai dengan syarat seseorang atau masyarakat tersebut perlu menjadi lebih baik berbanding keadaan sebelumnya. Cita juga perlulah disertai dengan kesedaran serta pengetahuan akan matlamat yang hendak dicapai berserta cara-cara untuk melaksanakannya.
Persoalan berkenaan cita ini pernah dihurai secara panjang lebar oleh Syed Hussein Alatas dalam karangannya Cita Sempurna Warisan Sejarah. Ringkasnya, beliau merumuskan bahawa wujudnya dua bentuk cita dalam jatuh-bangun sesebuah tamadun besar sepanjang alur sejarah yakni cita sempurna dan cita bencana. Apa yang disebutkan sebagai cita sempurna ini adalah “satu pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna” manakala lawannya cita bencana pula merupakan segala perkara yang bertentangan dengan cita sempurna, yang beliau pecahkan kepada tiga iaitu (1) jenayah, (2) penyalahgunaan dadah, judi, serta alkohol, dan (3) keruntuhan nilai institusi serta kepercayaan masyarakat.
Menurut beliau lagi, cita sempurna satu-satu masyarakat, walaupun relatif sifatnya sesuai dengan keadaan masyarakat tersebut, tetap didasari oleh unsur mutlak yang bersifat sejagat yakni boleh ditemui dan dikongsi oleh sekian masyarakat di sekian tempat. Ujar beliau, “landasan nilai dan gerakan emosi yang merupakan arus bawah sungai itu adalah universal dan tidak relatif.” Huraian Syed Hussein berkenaan konsep cita ini lebih tertumpu kepada tanggungjawab di peringkat pemimpin negara. Ianya kelihatan wajar memandangkan pemimpin merupakan sosok yang mempunyai kuasa serta autoriti untuk menentukan letak-duduk nilai dan hala tuju masyarakat yang dipimpinnya.
Pun begitu, biarpun pemimpin mempunyai upaya untuk mempengaruhi masyarakatnya dengan berpandukan cita sempurna, ia juga terdedah kepada keburukan cita bencana dan lebih bencananya lagi apabila tidak ada undang-undang atau penguatkuasaan yang berupaya untuk mengawal pemimpin tersebut. Hal ini terpamer dalam sekian banyak contoh-contoh pemimpin kerajaan Islam dan Eropah terdahulu yang diberikan oleh Syed Hussein di mana wujudnya ramai raja-raja zalim (atau bagus pentadbirannya tetapi buruk pekertinya) yang kekal berkuasa kerana tiadanya undang-undang yang boleh mencegahnya.
Tambahan lagi, ketenatan institusi dan sistem politik pada masa sekarang menuntut kita untuk memulangkan kembali cita itu ke dalam rangkulan masyarakat iaitu melalui kerja-kerja pemberdayaan. Lebih-lebih lagi dalam sistem demokrasi berparlimen yang mempunyai ramai pemimpin ini. Jikapun seseorang pemimpin yang mempunyai cita sempurna hadir, ia tidak akan mampu untuk terus langsung dalam sistem yang mana kebanyakan pemimpin-pemimpin kecil serta ahli masyarakatnya masih berpegang kepada nilai-nilai usang seperti feudalisme dan kepercayaan tahyul. Sudahnya, pemimpin yang bercita sempurna tersebut terpaksa akur dengan arus tradisi dan budaya tersebut lalu mempraktikkan perkara yang sama.
Cara untuk mengembalikan cita ini kepada masyarakat adalah dengan sama-sama menggembleng semula sebuah pemaknaan bangsa yang merangkumi keseluruhan ahli masyarakat di Malaysia. Namun, cita ini tidaklah boleh terawang-awangan dan terhenti setakat anjuran-anjuran kepada pemelukan nilai murni semata-mata tetapi perlu didasarkan kepada kenyataan sosial masyarakat itu sendiri. Di sini, cita sempurna itu haruslah dilandaskan kepada suatu cita bangsa, yakni upaya untuk membentuk kesepaduan utuh antara ahli dalam masyarakat lewat pengilhaman sebuah konsep bangsa (nation) yang tuntas. Perkara ini perlu dirampungkan terlebih dahulu kerana satu-satu masyarakat yang mempunyai pemaknaan bangsa yang keliru tidak akan mampu untuk melihat melampaui perbalahan-perbalahan merebut kepentingan di tingkat praktis.
Cita bangsa harus bermula dalam hubungan sosial itu sendiri, digembleng dan diberdayakan oleh ahli masyarakat secara aktif dan berterusan. Buah-buah fikiran yang terbit harus meletakkan kesepaduan sosial sebagai langkah pemula, bukannya sebagai matlamat akhir satu-satu kerja pemberdayaan.
IV
Sebagai generasi yang akan mewarisi dan mewariskan masyarakat sekarang kepada generasi mendatang, pemuda mempunyai peranan penting dalam pelahiran cita bangsa ini. Sudah sampai masanya untuk pemuda berani menyusun langkahnya sendiri tanpa mengharapkan bantuan sosok-sosok berpengaruh. Pemuda juga perlu berhati-hati agar tidak terjerat dengan wacana-wacana identiti yang merugikan, seperti peremehan wacana yang berselindung di sebalik politik identiti. Keutamaan yang silap ini tidak akan menyumbang apa-apa penyelesaian melainkan hanya akan menyukarkan lagi kerja-kerja pelahiran cita bangsa. Ini juga secara tidak langsung akan mengalihkan perhatian kita daripada isu-isu kebangsaan dan setempat yang lebih mustahak serta meningkatkan perbalahan sesama kita. Terakhirnya, pemuda perlu berani memikul peranan intelektual dalam masyarakat, yakni intelektual yang bercakap dengan dan untuk masyarakat tanpa berpura-pura di sebalik kerumitan teori dan istilah-istilahnya.
*Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Bil. 12 2017.