Siyyah

“Even the posing of problems is in itself an intellectual problem,” sebut sosiolog Syed Hussein Alatas.

Kehidupan sosial dan kelestarian masyarakat bergantung kepada tingkat pemikiran dan wacana yang dimiliki anggotanya. Manifestasi terhadap kepemilikan keupayaan ini dapat diukur melalui ekspresi kritikan yang berlangsung dalam kehidupan seharian masyarakat tersebut. Sekiranya ekspresi kritikan ini bersemangat dan berada di tahap kematangan dan kontemplasi yang mendalam, maka ia menjanjikan masyarakat yang berbudaya. Mengikut konteks ini, berbudaya yakni masyarakat yang berteraskan dan memegang tinggi nilai kedaulatan manusia, pengasuhan erti etika-moral, penggunaan dan penyempurnaan intelek, dan luahan bahasa yang lembut dan nyata.

Di Malaysia, proses pembudayaan tidak berjalan dengan baik dan bererti. Ada beberapa sebabnya antaranya tidak ada tradisi keilmuan dan kecendekiawanan meluas dan konsisten, kepimpinan yang langka dalam lapangan cendekiawan dan kesarjanaan, dan ketiadaan tradisi pemikiran teori dan wacana politis yang tinggi. Kesemua faktor ini bertemu untuk melahirkan ruang dan institusi pendidikan yang lemah dan tidak dapat menyumbang kepada pembudayaan masyarakat mengikut erti seperti yang dianjurkan sebelum ini.

Universiti2 awam di Malaysia sebagai contohnya, tidak menghasilkan sumber dan bahan intelektual, budaya, dan etika-moral yang tinggi nilainya untuk membantu mendorong bicara soal visi dan cita sosial masyarakat Malaysia, atau bentuk negara bangsa Malaysia yang ingin didirikan dan dikejar.

Perkara ini serentaknya berkait rapat dengan praktik kuasa, khususnya kuasa politik pemerintahan dan negara. Sekiranya kuasa politik yang mendominasi dan menekan, universiti2 atau sebarang institutusi pengajian dan pendidikan tidak akan dapat berfungsi sebagai tempat bercambahnya dan membangunkan idea, falsafah dan agenda dan dasar untuk masyarakat dan negara.

Ini yang menjadikan kemandirian kritikan bersifat esensi dan harus diangkat dan dipertahankan dalam kehidupan dan ruang sosial masyarakat Malaysia. Lebih penting lagi untuk seluruh institusi2 pendidikan termasuk universiti2 awam di Malaysia, kemandirian kritikan untuk anggotannya perlu didorong dan dipupuk. Kuasa politik yakni dalam bentuk tindakan pemaksaan dan pengawalan oleh jentera birokrasi dan keselamatan negara dan sebarang undang2 negara, tidak harus wujud. Pemikiran, penulisan, aksi, bicara sosial pelajar dan pensyarah serta hubungannya dengan masyarakat secara umumnya, harus dibebaskan dan dijalin seluas2nya. Dasar2 dan amalan pemerintahan, dan juga intervensi parti2 politik yang mengikuti landasan kuasa politik sebegini juga harus ditentang.

Institusi2 dan ruang2 pendidikan yang kukuh dan cergas akan menyokong dan membolehkan bermulanya suatu proses pembudayaan bergerak dengan dinamis dan kritikal seiring dengan isu2 sosial dan cabaran2 yang dihadapi masyarakat Malaysia pada waktu kini. Kritikan sosial sebagai satu perspektif dan amalan hidup jika tidak dipupuk akan melahirkan sebuah masyarakat yang tidak sivil dan matang. Nilai2 dan prinsip2 bersama tidak akan dapat direnung dan dijernihkan, termasuk nilai2 insani, sebaliknya akan berlangsungnya pemikiran dan amalan yang bersifat menindas seperti diskriminasi, amalan menghukum moral, dan keganasan sama ada dalam bentuk pemikiran ataupun tindakan. Kesannya adalah sebuah masyarakat yang tiada kesatuan dan teras intelektual-moral.

Wajar untuk diketengahkan namun, ekspresi dan tindakan kritikan tidak akan diberikan untuk berlangsung dengan mudah dan bebas. Adalah menjadi sifat kuasa khususnya kuasa politik dan negara untuk menutup dan mengenepikan, jika tidak menghalang, kritikan. Ini kerana setiap ujaran kritikan adalah satu tindakan menyoal dan mencabar dan menentang punca kuasa itu sama ada pemerintahan, negara, parti2 politik ataupun pemimpin2 parti politik.

Dalam hal ini, aksi dan ruang kritikan adalah sesuatu yang perlu diperjuangkan dan direbut. Kritikan menghadap kuasa dan kondisi sosial manusia, khususnya dalam masyarakat Malaysia, untuk membangkitkan segala ketidakadilan yang berlaku. Ini termasuk rasisme, eksploitasi ekonomi, ketidaksamarataan politik dan sosio-ekonomi, peminggiran golongan minoriti, dan pemusnahan alam.

Kritikan berkait langsung dengan ilmu dan pemikiran. Sekiranya ilmu dan pemikiran adalah bertujuan untuk mengetahui batas pengetahuan, kritikan sebagai buah yang bercambah daripada benih ilmu dan pemikiran adalah untuk menetapkan batasan dan tindakan kuasa, dan seterusnya mengangkat dan mempertahankan nilai2 insani untuk masyarakat dan dunia yang lebih baik untuk semua. Ini yang dimaksud oleh Edward Said sebagai ‘speaking the truth to power’ yakni ‘it is carefully weighing the alternatives, picking the right one, and then intelligently representing it where it can do the most good and cause the right change.’

Oleh kerana itu pada akhirnya, kemandiran kritikan adalah sesuatu yang harus diberikan dan dipupuk, akan tetapi ia tidak akan disediakan begitu sahaja. Ekpresi kritikan, dan kemandiriannya, hanya boleh diperolehi dan dirikan melalui keyakinan dan perebutan.