Amirah Haziqah
Umumnya orang asal di Malaysia dibahagikan kepada tiga iaitu Negrito, Proto-Malay, dan Senoi yang mana dipecahkan lagi kepada beberapa subkumpulan.
Di bawah kategori Senoi, suku Temiar merupakan suku yang kedua tertinggi selepas suku Semai. Kumpulan Senoi pada masa sekarang aktif bergiat dalam pertanian, mengawal getah serta ladang koko dan kelapa sawit dan mereka ini mempunyai sikap bertoleransi terhadap dasar-dasar kerajaan. Ada antara mereka yang menyertai sektor awam dan swasta.[1] Bagi suku Temiar kebanyakannya tinggal di sekitar negeri Perak dan Kelantan. Gua Musang merupakan antara kawasan di Kelantan yang diduduki oleh orang asal suku kaum Temiar.
Pos Tohoi, Pos Kaleg dan Pos Bihai di daerah Gua Musang sering menjadi ancaman kepada pihak-pihak pemaju yang hanya melaksanakan projek tanpa memikirkan bahawa tanah yang dicerobohi adalah tanah adat milik suku Temiar. Tamak dan jahil itulah gelaran pemaju-pemaju ini. Hanya tahu mengaut keuntungan tanpa mempunyai sifat kemanusiaan terhadap pihak yang mereka tindas.
Cerita Orang Asal memang payah mendapat liputan media. Pergilah ke negara mana sekali pun, komuniti orang asal memang sering dilayan sebagai pihak yang tidak punya apa-apa dan seolah-olah layak ditindas. Itulah yang berlaku beberapa hari lalu. Sekumpulan lelaki telah melakukan kekerasan di blockade Pos Kaleg yang dibuat oleh orang asal bagi menghalang aktiviti penanaman durian Musang King di tanah adat mereka. Perkara ini tular dalam media sosial tetapi pencerahan di kalangan rakyat masih kurang mendapat perhatian.
Hujung bulan Mac lalu, sekumpulan anak muda yang dikenali dengan SUARAM Youth telah menghadirkan diri ke Pos Tohoi dan Pos Kaleg untuk melihat sendiri keadaan blockade di dua pos tersebut. Realiti di sana amat sukar malah lelaki-lelaki yang berada di sana bekerjasama menjaga blockade tersebut sehinggakan sanggup meninggalkan keluarga mereka demi mempertahankan tanah adat mereka daripada terus dibotakkan.
Ketua di Pos Kaleg yang lebih ramah dikenali dengan nama Dendi menyatakan kubur nenek moyang habis digondol dan dibersihkan tanpa sebarang izin pihak mereka. Jika anda melihat sendiri kawasan yang ditarah, terang-terangan aktiviti yang dilakukan pemaju menjejaskan sungai yang menjadi sumber rezeki. Kotor dan berkeladak serta penuh dengan pencemaran. Orang asal yang tinggal di sana kebanyakan mereka bergantung dengan air sungai ini. Di mana mereka mencari sumber rezeki dan meneruskan kehidupan seharian jika sungai yang menjadi nadi kehidupan habis tercemar dan berbahaya? Tidakkah pihak-pihak ini memikirkan kesan tindakan mereka?
Jika meneliti undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan orang asal (indigenous people), hanya United Nation Declaration on the Rights of Indigenous People singkatannya dikenali dengan (UNDRIP)[2] yang relevan kepada Malaysia memandangkan negara kita ini telah mengundi untuk memihak kepada orang asal. Di bawah undang-undang antarabangsa ini menyatakan dengan jelas tentang prinsip Free, Prior, and Informed Consent (FPIC) di mana ia memberi kuasa kepada orang asal kearah keadilan terutamanya alam sekitar (environmental justice).
Konsep “keadilan alam sekitar” memberikan mandat bahawa semua orang, tanpa mengira bangsa, asal-usul malah pendapatan sekalipun, mempunyai keupayaan untuk “menikmati tahap perlindungan alam sekitar yang sama.” Terasnya FPIC, adalah hak untuk penentuan sendiri seperti yang termaktub dalam Perkara 1 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR). FPIC membolehkan orang asal untuk “menegaskan bahawa wilayah mereka harus diiktiraf oleh kerajaan dan persetujuan mereka yang bebas, terdahulu, dan diberitahu perlu sebelum aktiviti pembangunan boleh berlaku pada wilayah mereka.”
Walaupun undang-undang antarabangsa tidak mengenakan kewajipan terhadap usaha transnasional akan tetapi prinsip FPIC masih perlu dihormati. ICCPR dan UNDRIP menekankan bahawa negara-negara terlibat perlulah mengetahui bahawa ini adalah tanggungjawab utama. Perkara 32 UNDRIP secara jelasnya menyatakan bahawa merujuk kepada FPIC, dan proses ini harus dijalankan untuk mendapatkannya. Sebagai hasilnya, sistem perundangan serantau perlu mula mengamalkan prinsip FPIC sebagai garis panduan apabila membuat keputusan yang akan memberi kesan pembangunan terhadap orang asal.
Malaysia menerusi undang-undangnya telah memperuntukkan kesamarataan serta perlindungan yang sama mengikut undang-undang. Orang asal layak dan dibenarkan memiliki undang-undang untuk perlindungan, kesejahteraan atau kemajuan mereka sendiri termasuk tanah rizab atau kedudukan yang sesuai dalam perkhidmatan awam kepada orang asal.[3] Tambahan pula, kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan Orang Asli melalui undang-undang. [4]
Kerajaan negeri Kelantan apabila dicanangkan hal ini tidak ambil peduli. Apa yang mereka kisah hanyalah aurat wanita, dosa pahala, syurga neraka akan tetapi sifat kemanusiaan langsung tidak diberikan dalam perhatian terhadap komuniti ini, malah ada antara mereka yang beragama Islam tidak langsung dijaga kebajikan mereka. Hanya tahu meng-Islamkan kelompok yang dianggap kafir tetapi ditinggalkan terkapai-kapai selepas itu. Janganlah kita buat tidak tahu bahawa sebenarnya memang lesen yang meluluskan aktiviti pemaju tersebut adalah pihak kerajaan negeri sendiri. Mereka terlalu lama berdalih dalam hal ini. Apabila disoal minta jawapan terhadap apa yang berlaku, masih kekal dengan jawapan tidak mengetahui apa yang berlaku di sana? Mengapa orang sebegini tiada hati perut untuk sedar penindasan yang dilakukan?
Bangkit, kita harus bangkit dan sedar. Masyarakat orang asal ini sama saja seperti kita. Melaung-laung hak bangsa sendiri perlu diperjuangkan, akan tetapi hak pihak tertindas, orang asal terutamanya, adakah hak mereka tidak perlu diberi perhatian? Tanah adat mereka habis diceroboh oleh kaum pemodal yang tidak berhati perut dan yang tiada sifat berperikemanusiaan. Orang ramai harus sedar dan bersama-sama bersolidariti untuk masyarakat orang asal di Malaysia ini. Sudahlah, kerajaan negeri, berhentilah menjarah hutan di negara ini.
Tidakkah kita ingat kes Kajing Tubek, Sagong Tasi dan Adong Kuwau? Bukan pampasan yang penting buat mereka apabila kes mereka dibawa ke muka pengadilan tetapi hak mereka selaku orang asal dalam memelihara budaya dan masyarakat mereka.
[1] Rohaida Nordin, Matthew Albert Witbrodt, Muhamad Sayuti Hassan@Yahya, Paternalistic Approach towards the Orang Asli in Malaysia, Malaysian Journal of Society and Space, 2016, hlmn. 52
[2] Human Rights Commission Reports of the National Inquiry into the Land Rights of Indigenous People http://nhri.ohchr.org/EN/Themes/BusinessHR/Business%20Womens%20and%20Childrens%20Rights/SUHAKAM%20BI%20FINAL.CD.pdf ( 8 Mei 2017)
[3] Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan
[4] Perkara 19, Jadual Kesembilan – Senarai Pertama, Perlembagaan Persekutuan.
