Izzah Dejavu

Apa yang berlaku di Bangladesh pada 29hb Julai 2018, bukan hanya kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dua orang remaja. Ia juga membawa pelajar berdemonstrasi ke jalan menuntut keadilan, penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan infrastruktur. Dan aku sempat melewati dokumetari protes pelajar di Bangladesh.

Pada tahun 1952, kerajaan memerintah pada waktu itu membuat keputusan untuk menjadikan hanya Bahasa Urdu sebagai satu-satunya bahasa yang diiktiraf. Ada beberapa gelombang yang wujud pada ketika itu yang membawa kepada satu gerakan besar iaitu ‘Gerakan Bahasa’. Salah satu kesan daripada gerakan ini ialah pada tahun 1971, Bangladesh terpisah dari Pakistan.

Mahasiswa dan pelajar telah bersolidariti dan keluar ke jalan menentang polisi pendidikan yang terkenal dengan nama, ‘Polisi Pendidikan Majid Khan’ pada tahun 1983, yang memaksa pelajar membayar separuh daripada yuran pengajian mereka dan menjadikan Bahasa Arab wajib. Lebih kurang 10 orang pelajar mati apabila pihak berkuasa menggunakan senjata pada ketika itu.

Sepanjang tahun 1987, banyak protes yang telah dilakukan oleh gerakan pelajar menentang regim ketenteraan Muhammad Ershad. Nur Hossain, seorang pelajar ketika itu telah ditembak mati dan menjadi simbol gerakan anak muda pada generasi selepas itu.

Pemberontakan massa pada tahun 1990 terjadi bagi menggulingkan rejim ketenteraan yang selepas itu membawa kepada penubuhan organisasi pelajar seperti Chattra Dal dan Liga Chattra bagi menentang kerajaan autokratik.

Pada tahun 2007, para pelajar telah menghalang tentera untuk memasuki univeristi awam selepas beberapa tentera menyerang pelajar-pelajar daripada Universiti Dhaka. Tentera telah dipaksa untuk meminta maaf dan keluar dari kawasan universiti.

Aku menulis ini supaya aku tidak lupa, bahawa hari ini aku terkesan dengan nama Nur Hossain. Nur Hossain adalah seorang anak pemandu beca auto di daerah Jhatibunia yang ditembak ketika menentang regim tentera Muhammad Ershad. Nur Hossain meninggalkan dunia pada umur 26 tahun dengan kata semangat di dadanya bertulisan, Gonotantra Mukti Pak, Swairachar Nipat Jak (Let democracy be freed, down with autocracy).

Sememangnya membaca kisah Nur Hossain, menimbulkan keinsafan kepada diri sendiri dengan perihal yang berlaku kepada rakan pelajar di Bangladesh, dan menguatkan semula semangat ketika masih terngiang-ngiang berhadapan dengan gelak tawa sekumpulan manusia atas,

Mahasiswa harus menyokong, berada di belakang sekian. Sekian.’

Aku fikir mereka lupa.

Menjadi mahasiswa itu seharusnya bebas daripada sebarang cengkaman kuasa dan pengaruh. Menjadi mahasiswa harus pandai membezakan diri sama ada menjadi alat kepada kekuasaan yang menindas, atau bersama dengan yang tertindas. Jika mahasiswa tidak membataskan satu garis antara penguasa, aku juga rungsing dan tertanya apakah makna ‘kebebasan’ yang mahasiswa anuti?

Dalam Solidariti Bersama Anak Muda Bangladesh.

Izzah Dejavu, Malaysia Muda.