Fadiah Nadwa Fikri

Sabar

Kata mereka

Sambil asyik menelusuri masa

Menyusun atur mencaturi kuasa

Di pejabat-pejabat gah bak istana

 

Sabar

Kata mereka

Masyarakat harus meletakkan segala keyakinan

Merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran

Bukankah mereka ini manusia maksum utusan Tuhan?

Merekalah yang lebih tahu, bukan?

 

Sabar

Kata mereka

Sambil perut penuh kekenyangan

Tidak pernah mengenal erti kelaparan

Dan derita yang berpanjangan

 

Sabar

Kata mereka

Sambil bersenang-senangan

Di kediaman-kediaman penuh keselesaan

Tidak pernah mengenal keperitan berumah di kurungan dan di jalanan

 

Sabar

Kata mereka

Sambil diiring pegawai-pegawai keselamatan

Tatkala masyarakat terpinggir dihimpit ketakutan

Hanya kerana berbeza dalam kewujudan

 

Sabar

Kata mereka

Sambil alam hancur dicengkam kemusnahan  

Demi pembangunan

Demi kemajuan

Demi pelaburan

 

Sabar

Kata mereka

Mudah bukan?

Untuk mengungkapkan sabar

Bilamana hidup hanyut dibuai keistimewaan