Syazwani Mahmud
Umum mengetahui, undang-undang tanah di Malaysia diambil daripada sistem British dinamakan sistem Torrens. Sistem Torrens bermaksud pendaftaran sangat penting dalam membuktikan fakta material berkait hak dan kepentingan seseorang ke atas tanah. Melalui sistem ini, hak pemilik tanah dilindungi kerajaan negeri, iaitu ‘hak yang tidak boleh sangkal’ ataupun indefeasible of title. Sistem Torrens telah menggantikan Deed system dan undang-undang adat yang digunakan sebelumnya di Tanah Melayu.
Sistem Torrens ini diperkenalkan kerana kononnya ingin mengatasi masalah-masalah ketidakpastian, kerumitan dan kos yang berkaitan sistem lama. Antara elemen-elemen penting dalam sistem ini adalah sistem undang-undang tanah ini tidak mengiktiraf ‘squatters’ atau penduduk yang tiada pemilikan secara sah tanpa kebenaran, sama ada milik persendirian atau kerajaan. Juga sistem ini tidak mengiktiraf orang yang tinggal di suatu tanah untuk tempoh yang lama biarpun mereka telah membangunkan tanah tersebut dengan usaha mereka sendiri termasuk memegang lesen pendudukan sementara, dalam bahasa mudah “Peneroka Bandar”. Paling utama untuk sistem undang-undang tanah ini adalah registration is everything.
Sebagai seorang graduan undang-undang, di bilik kuliah teori ini dilihat begitu sistematik. Namun, apabila terjun dalam dunia kemasyarakatan, ternyata undang-undang ini berat sebelah. Tentu golongan kaya yang mempunyai wang mampu membeli tanah tersebut. Manakala, golongan miskin hanya mampu membayar sewa sahaja sampai mati, kerana harga tanah tidak akan turun malah hanya naik. Parah lagi apabila mereka boleh dihalau bila-bila masa sahaja dari tanah yang mereka duduk walaupun mereka merupakan Peneroka Bandar tersebut.
Ini yang terjadi kepada penduduk Kg Padang Jawa yang merupakan Peneroka Bandar asal sejak 1970 yang telah dibenarkan menduduki lot-lot tanah tuan tanah terdahulu melalui perjanjian sewaan tapak bersama pemilik tanah. Seramai 170 keluarga di Kg Padang Jawa ini telah membangunkan kawasan dipenuhi belukar, sehingga menjadi penempatan yang boleh diduduki manusia. Pada Jun 2016, pemaju Ehsan Sdn Bhd (pemilik sah tanah mengikut sistem Torrens) telah menyaman penduduk kampung dengan tujuan pengusiran. Namun, selepas isu ini dibawa ke mahkamah rayuan, penduduk telah menang. Mahkamah memutuskan bahawa penduduk Kg Padang Jawa bukan penceroboh, tetapi penghuni yang menduduki tanah tersebut dengan kebenaran.
Manakala YB Rodziah, iaitu ADUN Batu Tiga wakil rakyat yang sepatutnya mewakili suara Kg Padang Jawa hanya mampu memberitahu, bahawa pemaju telah menang dan dia tidak dapat berbuat apa dan hanya mampu mengesyorkan penduduk memohon Rumah Selangorku yang berada di tempat lain dari Padang Jawa. Adakah penduduk Kg Padang Jawa mengundi beliau akhirnya, hanya untuk beliau berkata-kata sebegini? Aku masih ingat lagi ketika hadir di sidang media untuk membantah perobohan Kg Padang Jawa betapa kecewanya penduduk Kg Padang Jawa terhadap wakil rakyat yang mereka ingatkan boleh membawa dan memperjuangkan suara mereka, namun akhirnya memilih untuk memihak kepada pemaju. Di mana keadilan di sini?
Justeru, usaha penduduk Kg Padang Jawa tidak berhenti setakat itu, mereka berusaha dengan menyampaikan memorandum kepada Menteri Besar dan cuba berbincang dengan YB Haniza selaku Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Selangor. Namun, pada 18 September 2018, perintah mahkamah memberikan kebenaran kepada Ehsan Sdn Bhd melalui bailiff mahkamah dan penguatkuasa untuk menggunakan kekerasan merobohkan rumah dan mengusir secara paksa pada 4 Oktober 2018. Pemaju hanya menawarkan pampasan sebanyak RM7000 tanpa menyediakan rumah baru. Semestinya, pampasan yang dijanjikan tidak cukup dan sangat tidak setimpal berbanding bertahun-tahun mereka tinggal dan membangunkan kawasan tersebut.
Akan tetapi, biarpun sistem Torrens ini tidak mengiktiraf Peneroka Bandar, terdapat beberapa kes di mana mahkamah berpihak kepada Peneroka Bandar, contohnya di Kg Rimba Jaya dan Kg Berembang. Namun, kampung-kampung ini menang setelah rumah mereka dirobohkan.
Jadi perlukah sekali lagi kita mengulangi masalah, kerugian dan ketidakadilan ini?
Bukankah undang-undang ini dibuat untuk memberi keadilan terhadap semua golongan masyarakat?
Adilkah, apabila ia hanya menyebelahi golongan yang privileged dan golongan penguasa?
Adakah tahap Malaysia Baru ini sama tahap seperti sebelumnya?
