Azura Nasron
Masih tergiang-giang di telinga, ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei yang lepas, ucapan pertama sejurus selepas beliau keluar penjara. Dalam ucapannya, beliau memberi amaran kepada ahli Pakatan Harapan untuk tidak membiarkan kuasa menjadikan mereka sombong dan angkuh. Malah, beliau juga tidak mahu wujudnya UMNO 2.0, sehinggakan jika Pakatan Harapan tidak membuat yang terbaik, kita akan usirkan mereka katanya.
Di saat beliau menyatukan orang ramai atas dasar reformasi pada September 1998, Dataran Merdeka menjadi saksi kepada ribuan rakyat yang berkumpul bersama-sama. Slogan-slogan Lawan Tetap Lawan, Ubah, dan Ini Kalilah mula muncul pada tahun-tahun seterusnya menjadi azimat anak muda dalam mengejar negara demokrasi. Tidak dilupakan pengorbanan beliau menegakkan keadilan sehingga dipenjara 3 tahun lamanya. Ah, mana mungkin anak muda lupa semua ini.
Tapi anak muda ini juga tidak lupa pada 9 Mei lepas apabila rakyat turun mengundi beramai-ramai menuntut perubahan. Kami mengidamkan satu perubahan pada tempat ini. Tempat istirehat masyarakat bawahan yang tidak mampu ke pulau-pulau mahal yang dipegang kaum pemodal. Dalam masa sama masih ramai lagi rakyat susah dan miskin di sini. Masih banyak lagi rumah-rumah perkampungan yang atapnya hanya ditutup dengan zink, yang banjir apabila hujan lebat. Masih ada rumah-rumah yang tandasnya di luar, sistem perpaipan yang tidak sistematik. Pembangunan yang terbengkalai dan banyak lagi.
Sayang sekali apabila akhirnya rakyat hanya dipermainkan, apabila MP mereka Datuk Danyal Balagopal meletakkan jawatan untuk membuka ruang Anwar Ibrahim bertanding. Lalu masuk ke kancah politik. Seperti Pesta Sarkas, kini Port Dickson menjadi pentas para politikus yang mengejar kedudukan dan kekuasaan.
Lebih menyakitkan apabila ruang yang dibuka ini, diambil peluang oleh Saiful Bukhari dan Isa Samad. Akhirnya pentas pilihan raya kecil kali ini benar-benar menjadi pentas para sarkas membuat persembahan. Seorang gila kuasa yang bertopengkan reformasi, Langkah Port Dickson, seorang yang teraniaya kononnya cuba menuntut keadilan, pembelaan atau dendam pada permainan mereka sendiri, seorang lagi yang gila wang, tidak cukup dengan skandal Felda berjuta-juta berani kedepan lagi sekali kononya mahu menjadi wakil rakyat.
Jauh sekali aku memandang jika Anwar memenangi Port Dickson, dan menjadi Perdana Menteri kelak, akan ada perubahan yang besar pada Port Dickson. Malah jauh sekali untuk kita memikirkan ia satu penghormatan kepada rakyat.
Tidak dapat kita nafikan bahawa dunia ini ada banyak kejahatan. Namun, kejahatan yang kita sering fahami hanyalah kejahatan yang jelas. Mengapa yang jelas? Kerana yang jelas ini mungkin mudah untuk kita lihat dan lawan. Kejahatan yang kabur dan terpendam, dipanggil banality of evil (kejahatan yang dibiasakan). Sesuatu yang kita tidak lihat, tidak nampak. Malah seolah-olah kejahatan itu diterima kerana ia menjadi sesuatu yang lumrah sehinggakan kita tidak sedar akan kejahatannya. Ini kejahatan yang bahaya, kerana jika kita cuba lawan, kita akan dilawan semula.
Adakah hanya sosok ini bernama Anwar, kita membenarkan semua perkara yang dia lakukan? Banyak lagi perancangannya yang kita tidak lihat dan tahu. Jangan kita lupakan kata beliau, semasa di wawancara oleh The Guardian, “what do you do when your so called enemy comes and says let’s be friends and forget the past?” “It is very difficult to say No.” Bukti kejahatan pertama beliau lakukan. Dalam politik, apa yang boleh berikan kamu kuasa, sememangnya susah untuk katakan “Tidak”.
Ketidakperluan “Tidak” bagi para penguasa adalah untuk menjustifikasikan kedudukan mereka. “Tidak” hanyalah untuk rakyat. Kelak, lepas beliau menang akan keluarlah ayat-ayat rakyat tidak faham. Rakyat tidak reti bersyukur. Rakyat tidak memahami perjuangan kerajaan. Rakyat tidak sabar!
Sebaliknya perkataan “Tidak” seharusnya digunakan untuk menolak kekuasaan. Rakyat tidak mengundi supaya wakil mereka menjadi Perdana Menteri. Rakyat tidak mengundi untuk di diskriminasi. Rakyat tidak mengundi untuk melihat para penguasa berebut kekuasaan. Rakyat tidak mengundi untuk melihat para penguasa membuat cerita-cerita sedih. Rakyat tidak mengundi untuk digunakan.
Rakyat mengundi untuk perubahan. Perubahan untuk kehidupan yang lebih baik. Rakyat berdaya bangkit, dan persoalkan. Tidak berdiam diri, membiarkan mereka melakukan aksi-aksi sarkas mereka. Rakyat bukan penonton. Kesusahan dan kemiskinan bukan perkara untuk ditertawakan dan dipermainkan.
“Jika kau tak sanggup lagi bertanya
kau akan ditenggelamkan keputusan-keputusan,
jika kau tahan kata-katamu
mulutmu tak bisa mengucapkan apa maumu
terampas,
kau akan diperlakukan seperti batu
dibuang dipungut
atau dicabut seperti rumput,
atau menganga
diisi apa saja menerima
tak bisa ambil bagian,
jika kau tak berani lagi bertanya
kita akan jadi korban keputusan-keputusan
jangan kau penjarakan ucapanmu,
jika kau menghamba kepada ketakutan
kita memperpanjang barisan perbudakan.”
Lawan kekuasaan. Lawan mereka 1 peratus kaum atasan yang fikir mereka punca segala perubahan.