Izzah Dejavu
“HIDUP! HIDUP! HIDUP ISLAM!”
“BANGKIT! BANGKIT! BANGKIT ISLAM!”
“BANTAH! BANTAH! BANTAH ICERD!”
“BELA! BELA! BELA ISLAM!”
“JAHANAM! JAHANAM! JAHANAM ICERD!”
“BANGKIT! BANGKIT! BANGKIT UMMAH!”
Laungan takbir berdegar di jalan raya dan disambut dengan ALLAHUAKBHAR! oleh para pembela agama ALLAH di hadapan Parlimen hari ini lebih kurang jam 10.30 pagi.
Itulah semangat perjuangan membara yang membawa Haji Ha untuk turun dari satu kota ke satu kota, mengetuk pintu dari sebuah rumah ke sebuah rumah untuk menyeru semua rakyat Malaysia untuk ikut turun ke Parlimen dalam sesi himpunan berikutnya. Bersama menuntut aksi pembelaan terhadap agama Islam yang sudah tercemar.
Haji Ha melepas lelah berhujah di sebuah warung kopi di hujung kota Kuala Lumpur sebelum memasang telinga mendengar desas-desus orang, bahawa di hujung jalan ada sebuah rumah yang dihuni oleh pemudi paling pandai di kota itu.
Perasaan ingin tahu Haji Ha melonjak-lonjak. Haji Ha sangat ingin bertemu dan mengajak pemudi paling cerdas untuk turut membela agama di hadapan pagar Parlimen. Setelah menyelidik lanjut, tahulah Haji Ha bahawa pemudi yang dimaksudkan penduduk bandar itu adalah Nawas Syifa. Penat juga Haji Ha fikir adakah Nawas Syifa ini adalah Abu Nawas, tetapi setiap yang dia bertanya pasti mengatakan mereka bukan orang yang sama. Abu Nawas itu kan laki-laki. Ini Nawas Syifa; perempuan paling cerdas di kota itu. Haji Ha kelihatan bingung, namun kebingungannya membantu mempercepat proses menemukan alamat Nawas kerana sudah tidak sabar menemukan gerangannya.
Haji Ha mengetuk pintu rumah 3 kali sambil mengintip-intip di luar tingkap.
“Assalamualaikum!”.
Tiada jawapan dari dalam rumah.
“Assalamualaikum!”.
Suara Haji Ha ditinggikan sedikit supaya persinggahannya ini tidak sia-sia. Pemudi paling pandai ini mesti di ajak turun ke himpunan membela agama Islam. Inikan nanti jadi keuntungan dan boleh mempengaruh orang ramai supaya lebih utuh membela Islam.
“Waalaikummusalam.” Satu jawab balas dari belakang mengejutkan Haji Ha.
“Siapakah saudara ini?” Nawas laju bertanya.
“Oh. Nasib ada! Nama aku Haji Hamzah. Tapi orang selalu memanggil aku Haji Ha, lebih singkat begitu agar akrab sama teman-teman seperjuangan.’
‘Aku Nawas. Nawas Syifa. Apa tujuan Haji Ha datang ke rumah aku di hujung kota tengahari panas ini?’ begitulah Nawas yang dikenali penduduk, tidak suka berbasa-basi panjang.
‘Aku sebenarnya dalam perjalanan untuk berkempen membela Islam. Tadi, ketika aku singgah di warung kopi hadapan, aku dengar kau pemudi paling cerdas di sini. Aku pasti kau sudah dengar tentang orang-orang di kota yang mahu mengiktiraf ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) bukan?
Nawas diam di bangku rumah. Lantas menjawab,
“Iya, aku membaca tentangnya. Lalu kedatangan kau ke rumah aku ini tujuannya untuk apa?”
Haji Ha tersengeh lebar sehingga ke telinga sebelum memulakan ceramahnya. Skrip yang sama menjadi begitu mudah ditutur di bibir Haji Ha sehingga menjadi fasih diulang.
‘Begini. Kita harus tunjukkan sikap kita, Nawas. Bahawa Islam tidak boleh dihina. Tidak boleh boleh dinista. Kau melayu, aku juga Melayu. Kedaulatan bangsa Melayu, Kedaulatan Raja-Raja. Inikan tanah kita, perjuangan nenek moyang kita. Mereka India, Cina dan lain-lain itu semua pendatang dahulu dan satu kita harus ingat Nawas, menangkan Islam! Menangkan Islam nescaya syurga untuk kita Nawas.” Kata Haji Ha penuh membara sambil menunjukkan risalah ajakan untuk aksi bela agama itu.
“Risalah apa itu Haji Ha. Mari sini aku baca dahulu.” Nawas mengambil risalah daripada Haji Ha, membacanya dan duduk termenung jauh.
“Kenapa wajah kau berubah begitu Nawas? Kau tidak rasa sakit hati melihat ada orang yang cuba menghina hak agama dan hak bumiputera kita. Nampaknya, meskipun kecerdasan kau itu dicanang-canang, ia cumalah istidraj¹.
Keislaman kau itu perlu dipertanya kembali Nawas kalau kau bersikap tenang begini,” sambung Haji Ha menegur perubahan riak wajah Nawas yang berubah sekelip mata seperti tidak senang dengan risalah yang dibawanya.
“Apa maksud kau untuk ikut campur mempertanya hal agamaku, Haji Ha? Urusan kau sebenarnya itu apa?’ Mendengar persoalan Haji Ha, Nawas seperti hendak pitam namun dia sempat menentang balas persoalan pada Haji Ha.
“Iyalah. Kamu itu bagaimana. Agama kita, bangsa kita, Raja-Raja kita yang berjuang sedang diserang. Kamu responnya begitu sahaja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Aku fikir kamu orang cerdas di kota ini. Tapi tanggapan dan cakap-cakap orang sekitarmu salah. Kamu tidak mendokong perjuangan Islam! Sekalipun kecerdasan kau di canang orang-ternyata ia perkara yang sia-sia,” Haji Ha membalas panjang tidak mahu mengalah.
‘Haji Ha, kamu ke sini mahu mengajak aku beraksi membela agama. Tapi aku pula yang malah di tuduh-tuduh sebagai yang tak mahu perjuang agama ketika aku memilih untuk tidak turun mengikut kamu. Jangan dibuat jadi rebut di rumahku ini, Haji Ha. Kalau kamu mahu turun bantah ICERD-silakan saja teruskan.” Nawas membalas perlahan Haji Ha yang baru ditemuinya itu.
“Aneh aku dengan kamu ini Nawas. Ini, hal yang aku katakan bukan urusan dunia. Tapi urusan kita dengan agama Allah. Kalau kerana Allah ini juga kamu tidak mahu ikut, kamu mahu mengikut urusan siapa? Urusan Super Liberal?” Haji Ha menjerit kuat. Tidak dapat menahan api marahnya pada Nawas.
Nawas Syifa mendengus sambil memandang tajam anak mata Haji Ha. Nawas yang dari tadi sedikit kaku, memperbetul tempat duduknya. Dia mesti jujur dan berterus-terang pada Haji Ha, bahawa perbuatan dan percakapan Haji Ha itu RASIS!
“Haji Ha, begini. Ketika aku melihat risalah dan tutur katamu-hak bumiputera, hak melayu, yang selain daripada Melayu itu dahulu pendatang-menurut aku itu jauh sekali daripada nilai-nilai agama yang aku percaya. Islam itu kan dibawa Muhammad tanpa mengenal nama, warna kulit, apatah lagi ras bangsa dan agama.
Makanya, yang aneh di sini kamu, Haji Ha. Bagaimana mungkin perjuangan rasis ini di samakan dengan perjuangan agama. Perjuangan Islam apatah lagi Perjuangan membela hak Allah pula.
Haji Ha, menurut pandanganku juga, perjuangan kamu itu bukan perjuangan Islam. Masakan kita yang ramai-ramai di suruh untuk membela agama dan Allah? Lemahkah Allah dan agama sampai memerlukan pembelaan dari umatnya?
Haji Ha, Allah itu Maha Besar. Ia tidak perlu kepada pembuktian akan kebesaran-Nya. Ia Maha Besar karena Ia ada. Apa pun yang diperbuat orang atas diri-Nya, sama sekali tidak ada pengaruhnya atas wujud-Nya dan atas kekuasaan-Nya.
Aku sungguh khuatir apa yang membuat Haji Ha berapi-api mempertahan dan membela agama ketika agama dan Tuhan tidak perlu dibela- Haji Ha sebenarnya lebih mahu membela Hak Bumiputera, Hak Melayu, Hak Raja-Raja dengan memandang rendah bangsa dan kelas masyarakat- dan itu bukan agama. Itu bukan perjuangan agama yang dengan sepenuh hati kita lafazkan, Aku Bersaksi Tidak ada Tuhan selain Allah, dan Aku bersaksi Muhammad itu pesuruh Allah.
Mustahil Allah dan Nabi itu rasis. Mustahil Allah dan Nabi itu membawa perjuangan bangsa. Tanyakan pada sesiapapun kalau Nabi pernah membawa perjuangan bangsa, pasti di maki orang.
Sudahlah. Pulanglah Haji Ha. Aku mahu berehat.”
Nawas menutup pintu rumah perlahan.
Haji Ha yang terdiam mendengar syarahan panjang Nawas terkebil-kebil di hadapan pintu. Risalah yang dipegang di tatap berulang kali. Kata-kata Nawas terngiang-ngiang di fikiran,
“Boleh jadi kita bukan sedang membela Tuhan, melainkan membela kepentingan dan pandangan kita sendiri…”
“Boleh jadi kita bukan sedang membela Tuhan, melainkan membela kepentingan dan pandangan kita sendiri…”
“Boleh jadi kita bukan sedang membela Tuhan, melainkan membela kepentingan dan pandangan kita sendiri…”
Haji Ha mengulang-ulang percakapan Nawas sampai dia terlupa bahawa dia belum menunaikan solat Zohor. Haji Ha lantas mengambil wudhuk di masjid berdekatan. Empat kali Haji Ha turun naik melengkapkan jumlah 4 rakaat solatnya. Sebelum keluar di pintu masjid, Haji Ha sempat memasukkan RM 0.40 dalam tabung masjid sebelum matanya tertumpu tajam di papan tanda Masjid,
‘Tuhan tidak perlu di bela, Dia sudah maha segalanya. Belalah mereka yang diperlakukan tidak adil.’
Haji Ha cepat-cepat menyarung selipar dan berlari keluar dari masjid. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat-ayat kitab suci. Haji Ha mahu lari jauh dari situ. Di fikirannya, tempat ini memang aneh dan terasing daripada masyarakat lainnya.
Glosari:
- Istidraj:
Kelebihan dan kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang ingkar untuk menarik mereka sedikit demi sedikit ke arah kebinasaan