Izzah Dejavu
MALAYSIAMUDA.CO – Inilah sedikit peribadi Dr. Burhanuddin Al-Hilmy satu tokoh patriot yang digelar Ahmad Boestamam sebagai ‘BAPAK KEBANGSAAN MELAYU’.
Dr. Burhanuddin Al-Hilmy (BAH) merupakan Naib Yang Dipertua Agong, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau nama Inggerisnya Malay Nationalist Party (MNP) ketika Ahmad Boestamam mula berkenal, bertemu muka dan berchakap-chakap dengan beliau.
Dalam satu bahagian tulisan Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin digelar sebagai Pembela Islam Paling Tenang. Manakah tidak? Di tengah masyarakat fanatik agama atau lebai2 kolot di zamannya, Dr. Burhanuddin membalas bersahaja apabila Mokhtaruddin Lasso, Pemimpin PKMM pada ketika itu secara tiba-tiba bertanya kepada BAH:
“Apakah benar Tuhan itu ada, tuan Doktor?” soal Mokhtaruddin.
“Sudah tentu saja Tuhan ada,” balas Dr. Burhanuddin pendek.
“Benarkah DIA berkuasa?” soal Mokhtaruddin lagi.
“Benar,” jawab Dr. Burhanuddin.
“Kalau benar DIA berkuasa, suruhlah DIA membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau DIA boleh membuatnya saya akan perchaya Tuhan itu ada dan DIA berkuasa, tetapi tidak sebaliknya,” kata Mokhtaruddin kepada Dr. Burhanuddin.
“Masakanlah patut Tuhan diminta membuat pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah kayu itu,” Dr Burhanuddin menjawab dengan tenang. Tidak ada tanda marah dalam suaranya ketika memberikan jawapan itu kepada Mokhtaruddin Lasso, sambil menambah,
“Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat terompah kayu itu,” Dr Burhanuddin meneruskan kata2nya lagi,
“DIA boleh. Kalau alam ini dapat dichiptaNya kenapa pula perkara mudah dan kechil seperti membuat terompah kayu itu tidak boleh?
Kalau seseorang yang pakar dalam ilmu pasti misalnya boleh menjawab masalah2 yang tinggi dalam ilmu itu dengan mudahnya mustahillah dua kali lima (2×5) dia tidak tahu. Itu lojik bukan? Demikianlah ibaratnya Tuhan dengan membuat terompah kayu itu.
Kalau banyak orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan, sudah boleh membuat terompah kayu belaka. Kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan untuk perkara yang remeh ini? Tidakkah itu sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap putingsedang bayi2 kechil pun sudah tahu belaka membuatnya?” balas Dr Burhanuddin panjang.
Mokhtaruddin tertegun. Dia kelihatan belum berpuas hati, lalu menimbulkan pula masalah lain yang berhubung dengan soal Tuhan juga.
“Orang2 Islam menyembah Tuhan yang mereka panggil Allah. Tetapi ada juga orang yang menyembah bulan, matahari dan banyak lagi. Mereka katakan benda2 ini Tuhan mereka. Bagaimanakah ini sedangkan Tuhan itu dikatakan Esa, tidak dua dan tidak tiga?” soal Mokhtaruddin yang langsung terus dibalas Dr. Burhanuddin.
“Ada orang yang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu. Tetapi bukankah ‘kasut’ dan ‘sepatu’ itu benda yang satu itu juga? Begitulah pula dengan Tuhan ini. Ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya Tok Pekong, ada yang memanggilnya Sami, ada yang bertuhankan Bulan, Matahari dan entah apa lagi. Itu soal bahasa dan istilah seperti ‘kasut’ dan ‘sepatu’ tadi. Panggilannya saja yang banyak tetapi bendanya tetap yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang Esa,” Dr Burhanuddin mengambil jeda seketika, sebelum menambah,
“Dan kalau saudara masih meragukan adanya Tuhan, maka hujah saudara itu dapat saya kembalikan untuk menikam saudara pula.”
“Bagaimana?” balas Mokhtaruddin pendek.
“Bukankah saudara mengatakan tadi ada orang yang mengatakan bulan itu Tuhan, matahari itu Tuhan. Allah itu Tuhan dan seterusnya – masing2 ada Tuhan yang disembahnya?” soalan Dr Burhanuddin dibalas anggukan kepala dari Mokhtaruddin.
“Tidakkah itu menunjukkan setiap orang perchayakan adanya Tuhan kerana tidak ada orang yang mengatakan tidak ada? Ya, Tuhan itu ada dan Esa,” Dr Burhanuddin menghabiskan ayatnya dengan tersenyum lebar sambil memandang tepat Mokaruddin.
Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya dan berkata,
“Cukuplah setakat itu sahaja tuan Doktor dan kita kira seri – tak kalah tak menang.”
“Saya ikut saja. Kalau chukup kata saudara, chukuplah. Kalau tak chukup ayoh lagi.”
Begitulah kenapa Dr Burhanuddin digelar Pembela Islam Paling Tenang. Bayangkan di tengah masyarakat fanatik agama atau lebai2 kolot di zamannya, dalam pro kontra tersebut, Dr. Burhanuddin menggalang nilai Islam tanpa bertegang urat bahkan dengan kecerdasan beliau, tanpa pertolongan hadith dan firman pun, masih dapat menegakkan kebenaran apa yang diyakininya.
Membaca tulisan Boestamam tentang sikap dan sisi Dr Burhanuddin sehingga ia menjadi seorang yang dihormati dan disenangi ramai sehingga yang kagum terhadap peribadi beliau, tidak boleh tidak harus membuat kita kembali mengrefleksi diri dan keadaan hari ini.
Dalam gelap manusia menggunakan topeng agama untuk menyucikan diri sendiri, membuat bisnes kaya raya, menggunakan anak yatim, membasuh dosa parti politik pada rakyat, menggembleng usaha memecahbelah rakyat atas ras bangsa dan agama – di hujung sana ada tubuh seorang nasionalis kiri yang tak pernah gentar mempertahan Islam.
Serangkap madah beliau yang pasti tidak akan dilupa oleh setiap patriot tanahair, ketika Kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya,
Di atas robohan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu padulah segenap baka
Membela hak keadilan pesaka.
Pesanan: Semua fakta diambil daripada buku Putera Setia Melayu Raya tulisan Ahmad Boestamam dan diringkaskan. Akan bersambung!