Azura Nasron
Apa itu Aktivisme FantaSIAL?
Ya, anda tidak salah membaca. Ia bukan Akademi Fantasia atau apa-apa rancangan tv, Mentor atau Pencetus Ummah.
Aktivisme fantaSIAL adalah aktivis-aktivis lama yang sering kali mereka membandingkan diri mereka yang banyak membuat kerja dengan orang yang baru mula. Mereka mengkritik seolah-olah merekalah paling layak dalam membicarakan tentang aktivis atau membuat kerja-kerja bawahan. Merekalah yang paling banyak pengalaman dan yang benar. Maka, mereka layak mengkritik dan menganjing kau di mana-mana mereka mahu.
Untuk masuk ke rancangan ini mudah, kau cuma harus buat kerja bawahan, tulis di facebook panjang-panjang dan kritik semua orang.
Akan tetapi perkara yang paling penting adalah kau harus mempunyai pemikiran yang feudal untuk menyertai aktivisme fantaSIAL ini. Mengapa feudal?
Supaya nanti selepas beraktivisme senang, kau boleh ketawa besar dan bila kawan-kawan yang lain tersingkir, kau peluang untuk menjadi ikon mahasiswa semakin menebal. Kemenangan adalah apabila kau berjaya diangkat dan dijunjung tinggi namun jangan lupa, selepas itu kerja-kerja keji merendah-rendahkan dan menganjing kawan-kawan lain harus terus dilakukan.
Jangan memahami lestarikan kebodohan dan budaya menganjing!
Alangkah sayangnya sebenarnya mereka ini. Turun ke bawah membumi pada rakyat tapi apabila soal bicara tentang kekuasaan pun mereka tidak memahami. Mereka tidak faham siapa yang harus dilawan siapa yang harus tidak.
Yang harus dilawan itu para penguasa. Yang ada kuasa, memiliki sumber, pembuat keputusan, pemegang sistem, dan sebagainya.
Aktivis bersama aktivis dan aktivis bersama universiti adalah perkara yang berbeza. Aktivis bersama aktivis berada dalam garis yang sama, tidak ada kuasa, tidak punya sumber yang besar dan lain-lain. Tetapi bila melawan universiti kau melawan kekuasaan yang besar; yang tidak berada di dalam satu bulatan bersama mahasiswa atau aktivis − mereka rasa merekalah yang layak untuk menentukan semua keputusan-keputusan universiti.
Maka, kalau bicara tentang mahasiswa yang melawan dengan univerisiti silakan aja terus kritik di Facebook di media sosial, kerana hanya dengan jalan itu universiti akan menjadi takut dan mendengar kata-kata mahasiswa. Jalan yang benar, menghantar surat, berjumpa dan sebagainya tidak akan didengari kerana kuasa seorang mahasiswa itu lebih rendah dari pentadbiran di universiti.
Akan tetapi apabila berbicara tentang aktivis bersama akitivis yang lain, apa perlunya sebenarnya kita menulis di Facebook tanpa berani menceritakan secara depan-depan? Aktivis bersama aktivis bukannya orang yang ada kuasa. Dua-dua tidak ada. Dua-dua mahu melawan penindasan, mencari kebebasan dan sebagainya. Tapi apabila salah seorang daripada mereka mempunyai cara mereka sendiri mereka mengkritik dan menganjing di media sosial, tetapi untuk membicarakan depan-depan mereka berpura-pura senyum seolah-olah tak ada apa-apa.
Lalu kita harus merenung semula dan mempersoalkan, mengapa sebenarnya begitu banyak aktivis kini yang begitu kemaruk dan taksub dengan perhatian-perhatian yang didapati di Facebook? Mengkritik semua isu seolah-olah mereka lah yang paling arif dalam semua isu, meletak status setiap satu atau dua jam. Menulis panjang-panjang seolah-olah merekalah yang paling intelektual. Nah, mengapa? Kerana itu sahaja cara mereka dapat perhatian. Mereka dapat nama. Mereka diangkat sebagai ikon dan dijunjung, dijadikan contoh pada aktivis-aktivis lain.
Maka akhirnya kau ada dua, sama ada kau mahu memahami atau teruskan sahaja melestarikan kebodohan dan budaya menganjing.
Mahasiswa Baru Terus bergerak!
Beberapa minggu lepas sewaktu program di Penang, aku sempat bertemu dengan seorang aktivis yang sudah lama melakukan kerja-kerja bahawan. Kini beliau sudah pun berumur setelah lebih 40 tahun dalam perjuangan. Beliau tidak pernah masuk universiti, tetapi beliau selalu berjumpa dengan mahasiswa untuk membawa mereka ke kawasan-kawasan nelayan untuk membantu para nelayan. Soal bagaimana beliau yang tidak pernah masuk universiti menjadi begitu dengan mahasiswa adalah kerana ibu bapa beliau yang sejak dari beliau kecil berumur 13 tahun lagi telah bersama-sama berjuang bersama mahasiswa. Bahkan, ibu bapanya dulu siap menyediakan dewan kecil untuk mahasiswa mempunyai tempat untuk berbincang dan berdiskusi.
Minggu lepas juga sebuah artikel dikeluarkan tentang seorang mahasiswa yang pernah dipenjara 1 tahun tanpa bicara lalu dibuang negara kerana mempertahankan isu rakyat. Sewaktu kami mula-mula bertemu dengan beliau meminta untuk diwawancara beliau menolak kerana dirasakan dirinya tidak layak. Ia, bayangkan mahasiswa ini dibuang negara dan menjadi pencari suaka (asylum seeker) di Perancis, namun tidak ada pun cerita atau penulisan beliau kerana yang penting bagi beliau adalah kerja-kerja di bawah dan bukan sama sekali mendapat nama pada masyarakat dan orang ramai.
Kawan-kawan,
Menjadi aktivis ini bukan perkara yang mudah. Melakukan kerja-kerja bahawan sahaja tidak cukup. Pemahaman atau kesedaran tentang penindasan, kekuasaan dan perjuangan (struggle) adalah perkara yang penting. Tanpa pemahaman atau kesedaran yang jitu akan melahirkan aktivis-aktivis dua muka yang tidak sedar. Juga, tidak kiralah selepas kau habis belajar, kerja kerajaan atau NGO atau apa-apa sekalipun, tetapi yang mendefinasikan aktivis ini bukan satu pekerjaan tetapi jiwa itu sendiri. Bagaimana kau mahu meneruskan perjuangan dan di mana perjuangan dan keringat itu harus diletakkan.
Menjadi aktivis bukan untuk dikenali, bukan untuk diangkat, bukan untuk bermegah-megahan.