Azura Nasron

Selepas membaca tulisan para aktivis lain, aku fikir tidak mahu membalasnya. Banyak lagi perkara yang bermanfaat yang baik aku lakukan. Tetapi setelah mengira-mengira ada baiknya juga aku membalasnya, kerja-kerja pemahaman ini juga satu kerja kebawah yang sering masyarakat terlepas pandang.

Mengapa terlepas pandang? Kerana mereka sering merasakan kerja-kerja kebawah ini adalah kerja-kerja yang harus dilakukan sekarang, tanpa fikir banyak dan terus buat saja. Contohnya terus membuka kelas, terus bagi makanan pada orang miskin, terus buka sekolah, terus bagi pakaian. Tanpa ada persoalan-persoalan, mengapa kita harus beri? Siapa yang seharusnya memberi? Sejarah mengajar kita bagaimana? Sampai bila kita harus memberi? Selepas memberi apa?

Malah mampukah kita bergerak ke bawah kalau kita tidak ada kesedaran? Bukanlah kesedaran ini hadir terlebih dahulu barulah pemerkasaan? Apa kau nak nafikan kepentingan kesedaran? Lihat sajalah, berapa ramai sahaja aktivis yang buat kerja. Aku pasti satu-satu organisasi itu tidak lebih daripada 20 orang yang betul-betul bergerak dan berterusan.

Tapi sayang sekali, bagi mereka soalan-soalan ini tidak penting. Soalan-soalan ini makan masa yang lama membazir masa, yang penting adalah kita harus bergerak sekarang. Apa masalahnya menggerakkannya dua-dua? Mudah, kerana soal-soal abstrak ini tidak mahu dibincangkan. Tidak dibicangkan dengan alasan tidak mahu terperangkap dan akhirnya terhenti menjadi liberal wannabe.

Kawan-kawan, siapa suruh hang berhenti? Perkara pertama yang seorang aktivis harus memahami adalah “Kebebasan itu adalah perjuangan berterusan”. Ia tidak berhenti. Tidak berhenti setakat perbincangan, tidak juga berhenti setakat turun ke bawah ke masyarakat, tidak juga berhenti melawan pentadbiran, tidak juga berhenti apabila mendapat kemerdekaan dan kebebasan.

WhatsApp Image 2019-01-02 at 4.37.03 PM

Pertembungan yang dicari selepas penat beronani

Ya mahasiswa seharusnya jelas dengan apa yang mereka mahu sentuh, cium dan jilat. Tetapi sebelum itu mereka harus memahami mengapa mereka harus sentuh, cium dan jilat? Apakah ada pertembungan dalam sentuhan, ciuman dan jilatan ini? Apakah sentuhan, ciuman dan jilatan ini akan puas pada satu bahagian dada? Atau kedua-dua? Atau keseluruhan badannya sekali?

Juga, soalan paling penting adakah definisi pertembungan kita sama? Pertembungan bagi aku adalah sesuatu yang tidak jelas, yang tidak boleh dirasa, tidak dapat melihat dengan menggunakan deria mereka tentang apa yang mahu digerakkan. Sebagai contoh, kelompok kanan mahu mengerakkan sebiji batu ke arah depan manakala kelompok kiri mahu batu itu ke belakang. Tapi dalam soal pertembungan perkara itu tidak jelas. Siapa kiri itu, siapa kanan itu? Kiri dan kanan itu kaum apa? Kiri dan kanan itu agama apa? Kiri dan kanan itu dijajah oleh siapa? Kiri dan kanan itu lelaki atau perempuan?

Nah kawan-kawan, pertembungan itu sama sekali tidak jelas. Lihat sahaja golongan kiri yang melawan penindasan tetapi patriarchal, golongan kiri yang melawan penindasan tapi memilih kaum dan bangsa, golongan kiri yang melawan penindasan tetapi memilih agama mana yang mereka hendak lawan.

Ya, perkara ini mungkin dilhat seperti remeh, tidak penting tidak membantu masyarakat, tidak membantu orang miskin, tidak bantu stateless people. Tetapi menulis di facebook panjang-panjang pun tidak membantu mereka semua, update di Facebook selalu pun tidak membantu mereka semua, jelajah Malaysia pun tidak membantu mereka, buat 100 forum pun tidak bantu mereka kalau kita memahami dan mendefinisikan bantu itu adalah seperti yang ditulis pada permulaan tadi.

Padahal turun, berbincang dan menulis ini semua adalah perkara yang penting. Kalau tidak, tak perlulah Za’aba, Syed Hussein Alatas menulis buku. Malah sia-sia Ali Syariati pergi menggembara ke Mesir dan pulang membawa makalah tentang penindasan sehingga tulisan beliau menjadi pemangkin para mahasiswa. Seharusnya Ali Shariati tinggalkan semua ini dan terus pergi kepada orang miskin dan orang yang tertindas bagi mereka makan dan pelajaran seorang diri untuk 100 tahun akan datang.

Kiri apa kalau tidak mahu bersatu?

Abangku sayang yang lagi keliru nan jauh ke pedalaman Semporna, apa maksud kamu mahu mati dalam kiri tetapi tidak mahu bersatu?  Adakah kamu mahu mati kiri seorang diri? Melakukan kerja-kerja melawan penindasan seorang diri?

Pertama sekali suka untuk aku ingatkan, menurut tulisan Dr Burhanuddin Al-Helmi, tahun 1511 hanyalah permulaan kepada hadirnya penjajah, kapitalis dan imperialis. Pada waktu itulah mulanya perjanjian-perjanjian di antara raja-raja dan penjajah. Walaupun pada waktu itu ramai yang melawan kerana mempercayakan bangsa sendiri, tetapi ramai juga yang berpecah ada yang melawan ada yang tidak melawan kerana setia pada raja dan pantang menderhaka. Maka, begitu lamanya mereka melawan dan melawan, daripada satu penjajah kepada satu penjajah. Sehingga akhirnya mereka berani bersatu dan bersatu ini dibahagikan mula kiri dan kanan.

Kalau bersatu ini tidak penting, maka sia-sialah PUTERA-AMCJA berkumpul menubuhkan front-front kiri. Sia-sialah student union yang bersatu melawan Tasik Utara, Sia-sialah mahasiswa di Indonesia yang bersatu mengulinggkan Soeharto.  Iya, pertembungan pendapat dan koflik memang satu dosa yang besar dalam keadaan yang tidak diperlukan. Lihat sahaja bagaimana cara yang sangat lembut digunakan oleh Burhanuddin Helmi sewaktu berbincang bersama Mokhtaruddin Lasso tentang Tuhan. Mereka tidak mengajing apatah lagi merendah-rendah antara satu sama lain. Tetapi memilih untuk memahami disebaliknya dan bekerja sama.

Malah mereka selalu mengkritik antara satu sama lain. Tetapi jauh sekali mereka menganjing. Kritikan dan menganjing adalah perkara yang berbeza kawan-kawan. Apa pun kritikan perlu lah dengan niat untuk bergerak bersama dan membina. Kritikan yang konsisten dan tidak selektif. Ini tidak, menganjing di media sosial, cakap bak serupa ahli politik, tetapi bila bertemu mata tertunduk-tunduk dan mengangguk.

Mahasiswa, bersatulah!

WhatsApp Image 2019-01-02 at 4.36.25 PM

Kawan-kawan, aku sedikit pun tidak heran dengan metod yang kalian lakukan. Buatlah apa sahaja, tetapi jika ada masalah tegurlah secara baik-baik. Tegur di media sosial ini untuk apa? Tidakkah ia hanya akan menciptakan kekeliruan dan pemikiran-pemikiran buruk? Bukankah kita semua ada satu cita-cita yang sama untuk melawan penindasan?

Minggu lepas semasa bertemu dengan aktivis daripada Sabah, beliau menyuarakan kerisauan beliau terhadap aktivis mahasiswa di UMS yang semakin berkurangan. Masalah ini sebenarnya bukan sahaja di UMS tetapi juga di kampus-kampus di semenanjung. Semuanya sama. Aktivis kita semakin berkurangan. Sudahlah semakin kecil, terbelah-belah pula. Adakah kita akan membiarkan ia kekosongan?

Sampai bila kita mahu berdemo Pandang Ke Sabah hanya 10-20 orang? Demo AUKU hanya 5-10 orang? Isu PTPTN hanya 100 orang? Ini baru membincangkan isu-isu yang dekat pada Mahasiwa. Belum lagi isu-isu yang lebih besar seperti isu Petani, Nelayan dan sebagainya. Kemana kita dalam menyuruh mahasiswa untuk jelas, untuk mencari tetapi sedikit pun kita tidak memandang ke arah mereka?

Memang, penentunya bukan bilangan. Tetapi soalnya kenapa masih ramai tidak ke depan mengangkat isu-isu msyarakat? Jelas, kerana kesedaran itu tidak ada. Mengapa pula kesedaran itu tidak ada? Haruslah kerana undang-undang yang menyekat Mahasiswa untuk berfikir, cara belajar yang tidak ada sistem kemasyarakatan, sistem kapitalis yang menyekat pemikiran, budaya yang tidak diterapkan, sejarah yang dilupakan, pemahaman yang diabaikan. Nah, banyak sekali sebab-sebabnya. Tapi itulah, kerja-kerja memberi kesedaran ini tidak dilihat penting. Tidak dilihat sebagai membumi, tidak dilihat sebagai turun ke bawah.

Mahasiswa negara ini sudah lama berada dalam kegagalan. Sudah lama kita bersendirian, terbiar, bermusuhan dan tidak bersatu. Tidak pernah lagi sejak 1970-an kita semua bersama-sama menggerakkan dan bersatu bergabung melawan isu-isu. Kita harus bersatu, bergerak secara kolektif bersama-sama turun kepada semua pihak. Membantu dan menguatkan antara satu sama lain.

Sebelum berakhir, satu kata-kata buat semua para pembaca terutama yang masih tidak ON selepas sis menulis;

‘Fahamilah pertembungan ini supaya lepas ini beronani tidak lagi tersekat-sekat, termahu-mahu dan tertipu lagi. ‘

Selamat Tahun Baru dari Malaysia Muda!

Benarlah kata-kata WS Rendra

“Kesadaran adalah matahari. Kesabaran adalah bumi. Keberanian menjadi cakrawala dan perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.” Semuanya perlu seiringan.

Azura Nasron

3.55 pagi, Desa Mentari.