Hilal Azman
Perhimpunan Agung Tahunan Ke-2 Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah berjalan baru-baru ini dan seperti biasa ucapan Pengerusi, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sangat ditunggu-tunggu. Apakah yang akan disampaikan oleh Tun Dr Mahathir era Malaysia Baharu ini?
Namun, seperti yang dijangkakan saya boleh mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir adalah seorang yang sangat konsisten dengan setiap pendapat dan idea-idea beliau sejak dahulu. Dalam mengetengahkan isu Bumiputera, Tun Dr Mahathir sentiasa mengulangi perkara yang lebih 40 tahun dahulu telah beliau ‘zikirkan’ iaitu bangsa Melayu ini malas. Bangsa Melayu miskin kerana malas dan tidak dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Bangsa lain berjaya dan kaya kerana mereka rajin bekerja serta bersaing.
Jika diteliti semula beberapa tulisan Tun Dr Mahathir terutamanya buku Dilema Melayu yang diterbitkan pada tahun 1970, Tun Dr Mahathir telah mula melakukan beberapa analisis dan mengkaji beberapa permasalahan orang Melayu. Dalam buku ini juga Tun Mahathir telah mengatakan bahawa antara faktor yang menghalang kemajuan serta menyebabkan orang-orang Melayu ini miskin adalah kerana malas berkerja dan berusaha. Naratif yang sama kita dengar pada tahun 2018 daripada Tun Mahathir di Perhimpunan Agung Tahunan ke-2 PPBM.
Saya yakin bahawa ada juga dalam kalangan penyokong tegar Tun Mahathir sendiri pun tidak habis baca dan hadam karya pemimpin yang mereka ‘mendewakan’ ini. Kita lagi suka membontoti sesuatu sosok tubuh itu daripada membaca buku-buku. Namun jika ditelusuri sejarah kecendekiawan tanah air maka kita akan temui seorang pendeta yang berpuluh tahun sebelum Tun Mahathir menyuarakan isu kemiskinan Melayu dalam magnum opusnya iaitu Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri oleh Pendeta Za’ba. Seawal tahun 1920an, Za’ba telah menyuarakan kritikan dalaman beliau mengenai cara berfikir, sikap dan perangai Orang Melayu yang dikatakan malas ini. Beliau dengan tegas telah menyeru supaya orang Melayu dengan sendirinya bangkit untuk memajukan diri sendiri.
Namun apa perbezaan antara naratif Tun Dr Mahathir dan Pendeta Za’ba dalam mengatakan perihal kemiskinan Melayu ini?
Pertamanya, dalam menyampaikan perihal kemiskinan Melayu ini Za’ba telah meluaskan definisi miskin itu kepada beberapa bahagian seperti miskin ilmu, miskin harta, miskin adab, miskin cara berfikir, dan miskin peribadi. Tun Mahathir hanya fokus pada kemiskinan harta dan materialistik orang Melayu sahaja.
Keduanya, teguran Za’ba adalah merupakan teguran suci daripada seorang sasterawan, budayawan dan cendekiawan yang walaupun keras namun terdapat hikmah dalam menanggapi isu ini. Kejujuran tanpa sebarang kepentingan politik terpancar jika dibaca dengan baik tulisan-tulisan beliau. Teguran yang disampaikan oleh Tun Mahathir adalah merupakan teguran seorang pemimpin politik dan politikus yang sudah semestinya mempunyai beberapa agenda tertentu. Seorang neoliberal seperti Tun Mahathir menggunakan naratif Melayu malas dan perlu berusaha lebih adalah untuk memerah setiap titisan darah rakyat untuk bekerja bermati-matian kerana dalam ekonomi neoliberal tiada istilah percuma daripada kerajaan. Semuanya harus berbayar dan keuntungan kepada kapitalis dan pemodal.
Ketiga, ketika menyampaikan naratif ini Za’ba hanyalah seorang guru, penulis, budayawan dan rakyat awam. Penyampaian beliau ini bukan semata hanya berdasarkan penelitian sahaja tetapi beliau benar-benar hidup dalam lingkungan kemiskinan dan merasai bertapa susahnya perjuangan hidup bangsa Melayu ini. Tun Mahathir ketika menyampaikan naratif ini beliau adalah seorang menteri dan malah Perdana Menteri sebanyak dua kali yang pendapatan sebulannya sahaja melebihi puluhan ribu sambil menikmati segala elaun yang disediakan secara percuma.
Melayu Malas situ adalah Melayu yang keluar menorah getah seawal pukul 4 pagi ketika para menteri sedang nyenyak tidur di katil empuk hotel. Melayu Malas itu adalah Melayu yang pagi sehingga petang bekerja pejabat dan malamnya jual burger di tepi jalan. Melayu Malas itu adalah Melayu yang pagi menghadiri kuliah dan petang selesai kuliah ambil upah cuci pingan atau bancuh air di gerai makan. Melayu malas itu adalah Melayu yang menjual nasi lemak di pasar pagi dan malam pula membawa Grab. Melayu Malas itu adalah Melayu yang menghabiskan seluruh hidupnya selama 55 tahun bekerja dan setelah pencen bawa pula teksi. Melayu Malas itu adalah Melayu yang dalam masa 24 jam dia menjadi seorang kerani, menjual satay dan security guard demi mencari sesuap nasi.
Melayu Rajin itu adalah pak-pak menteri yang pendapatan bulanan melebihi belasan ribu. Melayu Rajin itu adalah para pemodal dan kapitalis yang untung setahun jutaan ringgit tetapi gaji pekerjanya hanya RM 1500 sebulan. Melayu Rajin itu adalah Melayu yang menyendeng dan menjilat menteri untuk dapat projek tender melalui pintu belakang. Melayu Rajin itu Melayu yang dapat kerja dalam industri menggunakan ‘cable’ ketika mana ribuan manusia lain mengisi borang dan perlu hadiri sesi temuduga. Melayu Rajin itu adalah Melayu anak-anak pak menteri yang bergambar dengan kereta Audi ataupun Porsche setiap hari. Melayu Rajin itu adalah Melayu anak-anak tauke syarikat yang melancong ke Eropah setiap bulan. Melayu Rajin itu adalah Melayu kroni-kroni menteri yang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat ini dan itu. Melayu Rajin itu adalah Melayu yang bermesyuarat dalam penghawa dingin hotel sambil mengatakan Melayu ini pemalas. Melayu Rajin adalah Melayu yang menjadi professor dan ahli akademik yang ‘mengkuduskan’ tindakan menteri.
Melayu tidak malas, cuma pengagihan kekayaan kita sahaja yang tidak adil.