Mussy Del Cunt
Artikel Tamu
Penulisan Zurairi (https://www.malaymail.com/s/1709777/when-old-men-write-open-letters) membawa diri saya mengenang percubaan “dakwah” di pusat pengajian. Para pelajar berasa teruja untuk memulakan kelas pertama mereka selepas minggu suai kenal bersama fasilitator kampus. Perasaan teruja itu juga bermaksud mereka perlu bersedia untuk segera membesar dan melangkah.
Salam Sejahtera daripada Seorang Ateis
Ia merupakan kelas pertama, bermula dengan kebiasaan untuk berkenalan antara pelajar dan pensyarah. Tiba giliran saya, diajukan “Selamat Sejahtera” disertakan nama juga asal usul. Salam tersebut dibalas dengan pertanyaan oleh pensyarah itu, curiga akan sebab saya mengujarkan salam sedemikian. Lantas saya menjawab, “Saya tiada pegangan agama,”
“Tiada agama?”
“Ya, ateis!”
Kedengaran bisik sana sini dalam kelas dan pensyarah bergelar ustazah itu mengambil masa sebentar sebelum meneruskan sesi pengenalan itu. Pengenalan ini tidak disangka akan membawa kepada pengenalan yang lebih mendalam untuk kelas yang seterusnya.
Pelajar terpinga-pinga saat seorang pensyarah lelaki masuk ke dalam kelas. Beliau menggantikan pensyarah yang sebelum ini. Setelah diberikan salam hormat, ditanya oleh pensyarah tersebut andai ada yang selain daripada Muslim dalam kelas tersebut. Memandangkan semua sudah tahu akan kepercayaan saya, mereka menuding jari ke arah saya walau saya hanya melaraskan tangan saya pada paras kepala.
Lantas pensyarah tersebut menyuruh saya berikan kad pengenalan lalu beliau membaca setiap butiran yang tertera pada kad tersebut. Dia memperincikan bahagian agama pada bahagian bawah kad tersebut dan bertanyakan kepada beberapa orang pelajar dalam kelas untuk turut membaca apa yang tertera pada bahagian tersebut.
“Kamu adalah seorang penipu,” tuding beliau tepat kepada saya.
Seorang penipu kerana mengaku sebagai seorang ateis walhal terma Islam pada kad pengenalan tidak bermakna saya diberi pilihan untuk memilih agama. Pensyarah tersebut berkongsi kisah seorang pelajar ateis di kampus tersebut. Terdetik perasaan ingin tahu terhadap pelajar tersebut: berpakaian mengikut aturan agama tetapi anti-Tuhan di dalam hati. Saya pasti dia melalui situasi yang lebih buruk memandangkan dia seorang wanita.
Pertukaran pensyarah untuk subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) tersebut juga demikian kerana pensyarah yang sebelumnya khuatir tidak mampu untuk menangani persoalan serta pemikiran yang bakal dilontarkan oleh saya sepanjang kelas tersebut berlangsung. Mungkin faktor jantina, atau mungkin kerana pensyarah lelaki ini mempunyai gelaran “Dr” walau ada yang memanggil beliau dengan gelaran ustaz.
Kelas pertama bersama pensyarah tersebut tidak lama. Dia mahu menghabiskan masa kelas tersebut untuk berbual dengan saya. Sejurus semua pelajar beredar, bilik kuliah dikunci, lantas perbualan dimulakan dengan mengenali latar belakang individu yang terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Daripada amal ibadat peribadi sehingga akidah ahli keluarga, demikian antara persoalan kebiasaan yang dilakukan oleh mereka yang rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan orang yang tersasar daripada jalan agama melalui kempen “kembali ke pangkal jalan”.
Sesi perbualan tersebut banyak bermain dengan isu sosial di mana pensyarah tersebut menyalahkan golongan liberal dan pemikiran bebas yang cuba merosakkan masyarakat yang hidup dengan nilai-nilai keagamaan. Isu seperti seks bebas dan maksiat dibangkitkan namun saya membidas perkara tersebut melalui usul pemerkasaan masyarakat melalui pendidikan yang holistik juga progresif. Sistem syurga neraka menjadi sebuah bentuk ugutan biasa dalam membentuk perasaan takut dan bersalah demi membentuk (baca: mengongkong) manusia untuk hanya patuh dengan satu bentuk gaya hidup, sehingga tidak mahu keluar untuk mencari pentakrifan baharu melangkaui pusara yang sudah berhabuk.
Beberapa hembus nafas kemudian, pensyarah tersebut memutuskan agar sesi tersebut diteruskan, tetapi dengan menjemput pendakwah agama untuk turut serta. Diberi nama pendakwah tersebut dan terus mengingatkan saya kembali kepada beberapa acara yang saya hadiri sebelum ini – sesi perbincangan mengenai agama. Jelas pada diri saya ketika itu, saya tidak berkenan dengan hujah yang diberikan oleh pendakwah tersebut. Walaupun dinyatakan bagaimana saya mengenali pendakwah tersebut, sesi pertemuan itu tetap akan dijalankan. Hanya menanti bila akan diputuskan sesi tersebut akan berlangsung, juga di mana tempat ianya akan berlaku.
Kelas diteruskan seperti biasa. Menarik sekali untuk setiap kelas, 10 minit terakhir akan digunakan untuk sesi dakwah – tayangan video islamik yang menyentuh isu sosial, tema penciptaan dan sebagainya. Salah satu percubaan untuk memastikan para pelajar untuk bertaubat dan sentiasa berada pada jalan yang benar. Kadang-kala terlintas dalam pemikiran bagaimana pelajar yang lainnya menjalankan kehidupan mereka sepanjang berada di kampus tersebut. Mungkin mereka dilahirkan dengan kelebihan untuk tidak mempunyai identiti berbeza juga kehendak untuk mempersoal apa-apa isu berkaitan agama. Ada yang menyebut kepada saya bahawa kebanyakan pelajar di situ hidup dengan nilai yang tidak terlampau konservatif namun mereka tidak menzahirkan nilai tersebut secara terbuka. Pada hemat saya, mereka sedang menikmati keistimewaan selagi tiada yang buruk menimpa diri mereka.
Semester berlangsung pergi, namun tidak dilupa janji untuk sambungan sesi.
Pertemuan semula dengan pensyarah tersebut sekitar kampus menyambung semula janji yang perlu ditunaikan: sebuah pertemuan untuk membincangkan usul kewujudan Tuhan atau sekadar “membeli tiket menaiki buraq ke syurga”. Idea asal adalah untuk berjumpa dengan pendakwah bebas, seorang yang memeluk agama Islam setelah terbukti cacat cela pada agama yang dianuti beliau sebelum kedatangan hijrah. Sesi tersebut bakal dijalankan secara santai pada waktu makan tengah hari di sekitar bandar. Imaginasi saya bermain harapan bahawa ianya sebuah tempat terbuka beserta capaian internet tanpa wayar percuma. Lebih molek jika ada ruang untuk meloloskan diri daripada kepahitan perbualan atau sekadar menyebarkan khabar kritikan berkenaan jamuan yang dihidangkan.
Oleh kerana saya mengenali pendakwah tersebut dan yakin untuk tidak terkesan dengan hujah beliau, saya berpendapat ini adalah peluang terbaik untuk menikmati jamuan yang menyelerakan memandangkan kos sara hidup yang tinggi di ibu kota ini. Namun pada satu sudut yang berbeza saya juga berpendapat sesi ini boleh mendedahkan saya dengan cara pendekatan terbaru oleh golongan Islamis terhadap golongan yang tidak percaya kepada Alif-Lam-Lam-Ha. Beberapa kehadiran saya ke sesi perbincangan yang meletakkan pendakwah tersebut sebagai ahli panel tidak berjaya memberi petunjuk juga keyakinan. Saya dapati kebanyakan yang memeluk Islam daripada agama lain hanya berpusing dengan hujah-hujah keperluan terhadap Tuhan yang terkini berbanding memahami siapa yang meletakkan kuasa untuk sebarang tindakan di atas muka bumi ini.
Masa berlalu pergi dan semester seterusnya telah diaturkan perjumpaan dengan Mufti Wilayah Persekutuan. Pertukaran yang mendadak ini berpunca daripada kesibukan pendakwah bebas tersebut. Agak berdebar di hati memandangkan perbincangan bersama Mufti mendekatkan diri ini dengan antara kuasa utama yang mewujudkan benteng Islam versi Malaysia yang ketinggalan dalam mencari kesesuaian aliran pemikiran yang semakin rancak juga kritikal. Saya cuba untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku seterusnya. Kelas juga terbatal demikian pensyarah lainnya telah sebulat suara untuk memberi ruang juga harapan “yang terbaik” bagi pertemuan saya dengan Mufti tersebut.
Tiada Jamuan di atas Meja
Ketibaan saya agak lewat memandangkan perjalanan yang perlu merentasi kesesakan manusia di sekitar ibu kota. Setibanya saya di kampus, terus memecut ke aras hampir ke puncak bangunan tersebut. Keadaan aras tersebut yang agak senyap, mengingatkan saya bahawa itulah normal hari Rabu di kampus tersebut. Bersama kepenatan perjalanan ke medan perbincangan itu, sesi diteruskan walau ketidakhadiran Mufti diganti dengan orang yang bekerja rapat dengan beliau. Langkah untuk berkenalan serta mengenali latar belakang dilangkau kerana beliau telah meninjau saya melalui laman media sosial.
Pertama, pengenalan latar belakang di sebalik pemikiran. Proses di mana untuk mengenali pandangan serta teori yang dipegang atau dipuja. Ketika itu saya sedang asyik membaca buku berkenaan intelektualisme, pembacaan yang mungkin tidak akan dibawa dalam perbincangan. Disebut juga beberapa tokoh ateis yang saya ikuti, saat bila pendakwah tersebut bersedia untuk mula bincangkan teori-teori berkaitan dengan sains.
Cabaran: Jangan rujuk Quran
Mengetahui perihal bagaimana saya melihat Tuhan atau agama secara am – sebuah percubaan bagi mereka mencari titik atau ruang kosong untuk menyelit unsur agama mereka dengan kehidupan manusia. Sejurus mereka mampu meletakkan diri saya dalam kategori yang tepat berdasarkan ideologi serta pemikiran yang saya bentangkan kepada mereka, barulah diizinkan Tuhan mereka untuk dibentangkan hujah yang mungkin turun dari langit atas menerusi tiang pemancar di atas permukaan tinggi kampus tersebut. Pendakwah tersebut membuka ruang andai saya mahu mendengar pendapat serta pendekatan yang tertentu untuk sesi perbincangan tersebut. Oleh yang demikian, saya menetapkan agar perbincangan tersebut untuk tidak menyentuh atau merujuk al-Quran.
Sayang seribu kali disayang, hujah mereka tetap berlandaskan ajaran bawaan Muhammad. Ditulis ayat-ayat daripada Quran di atas papan gelas penulisan untuk membuktikan posisi Tuhan apabila manusia buntu dan tidak mampu menjawab persoalan bagaimana kita tercipta sehinggakan mampu untuk bernafas sehingga sekarang. Sememangnya agenda mereka untuk tidak melayakkan manusia duduk dan berfikir buat seketika berbanding solat tanpa mengenal erti pencerahan. Adakah mereka sudah berpaling dengan syarat saya yang berbunyi “Jangan dibawa Tuhan kamu ke medan perbincangan ini. Ini adalah perbincangan manusia, bukan Tuhan yang tidak mampu berjalan atau yang perlu berhutang wang demi mencari ilmu pengetahuan,”?
Alif-Ba-Ta…
Maka berbicaralah mereka soal teori letupan besar, menjunjung Tuhan mereka yang telah menjadikan itu hobi saat kebosanan di ruang legar alam semesta. Setelah terbentuk bintang-bintang serta sistem-sistem dan ada di antara mereka yang berpotensi untuk kelangsungan hidup, dengan izin-Nya maka dihidupkan proses evolusi untuk setiap hidupan kecil itu berubah bentuk mereka kepada yang berbeza bergantung kepada persekitaran mereka. Inilah permainan anak kecil, sehingga manusia itu wujud setelah terhasilnya gabungan-gabungan serta acuan yang selari dengan kera lainnya. Kini, bumi menjadi sebuah pentas kehidupan, terima kasih di atas kewujudan akal dan juga gerakan manusia itu yang bermain dengan perasaan, politik, hiburan, pencarian, keilmuan. Kesemuanya demi kelangsungan hidup. Antara semua yang berlaku juga maka wujudlah agama, sebuah sistem kepercayaan bagi sesetengah kehidupan adalah untuk memakmurkan masyarakat, boleh diguna pakai untuk mengawal keadaan, atau sekadar mengekalkan kuasa untuk tetap memerintah atas kerusi empuk buatan hamba.
Persoalannya, sejauh mana hendak kita membuktikan kewujudan Tuhan sehingga lupa untuk mewujudkan ruang untuk manusia bersuara. Mungkin doa hanya untuk mereka yang dahagakan nafsu untuk berkahwin empat, atau bagi mereka yang percaya diskriminasi itu perlu berlangsung agar timbang akhirat menebalkan laluan titian as-Sirat. Sungguh diri ini hanya mengetahui laluan pengangkutan awam sekitar Lembah Klang. Diri ini juga masih menghitung pilihan yang lebih berbaloi antara kad konsesi pelajar berbanding kad bulanan RM100 oleh RapidKL. Tiada yang suci lebih daripada pengumuman belanjawan tahunan negara. Mungkin lebih banyak kebanggaan boleh dicapai bila si miskin semakin berkurangan di kaki jalanan.
“Tidurlah, sesungguhnya kematian kamu itu adalah satu proses kehidupan. Sungguh Hari Kebangkitan adalah untuk kemanusiaan, bukan ketuhanan…”
Maka perbincangan itu hanya menetapkan sesungguhnya manusia itu tidak mampu untuk bersendiri tanpa Tuhan disamping mereka. Mungkin mereka masih mahu berpaut pada tali tersebut, walau saya berhujah bahawa tidak semua manusia mahu diikat melainkan jika mereka sukakan ia menyiksa. Perbincangan itu cuba membuktikan bahawa Kita tidak boleh bermula tanpa bantuan sesiapa, mungkin pelajar di sini juga tidak boleh lari daripada berhutang untuk menuntut pelajaran tapi itu tidak bermakna kita tidak boleh merubah sebarang pendapat mengenai keperluan untuk kita berpaut dengan sistem yang mencengkam. Alam secara keseluruhannya dipenuhi dengan pelbagai persoalan juga misteri, namun ia bukan dalam bidang kuasa manusia untuk menentukan ianya perlu jatuh kepada bidang kuasa Tuhan. Sebaliknya, manusia perlu bergerak untuk teliti semua proses di sekeliling mereka dan menghidupkan budaya serta nilai kemanusiaan.
Masa yang terhad
Masa sudah Zohor, kelewatan saya ke sesi tersebut adalah perkara yang bernas dilakukan. Dengan ketiadaan jamuan minuman untuk diteguk serta makanan untuk dijamah, tiadalah guna untuk saya teruskan perbincangan ini dengan kondisi otak mahukan nutrisi serta oksigen untuk berfungsi. Demikian pendakwah itu juga perlu berkejar dengan majlis yang berlangsung selepas solat pasca tengah hari pada hari tersebut.
Jemputan ke Putrajaya
Sesi tersebut tidak berhenti di situ sahaja, wakil Mufti itu melebarkan jemputan untuk saya membawa kenalan yang sama pemikiran untuk turun ke Putrajaya untuk meneruskan perbincangan. Saat itu juga dia menetapkan untuk berbicara mengenai logik. Saya hormati dan berminat dengan sebarang perbincangan yang berunsur falsafah, namun pada pendapat saya ianya sebuah perbincangan yang melengahkan diri saya daripada fokus utama. Lebih-lebihan andai perbincangan itu sekadar antara kaum bertuhan dan kaum tidak bertuhan. Mungkin perbincangan tersebut boleh menjadi satu landasan untuk kembangkan lagi pengetahuan untuk diri saya, tapi ia hanya sebuah agenda untuk memesongkan tumpuan utama kepada aktivisme hak asasi manusia. Melainkan andai pihak di sana sanggup bayarkan tambang saya ke setiap perbicangan mereka, itu termasuk elaun makan dan minum.
Pasca Perbincangan
Tiada lagi perbualan atau perbincangan mengenai agama walau pertemuan antara saya dengan pensyarah tersebut tidak boleh dielakkan memandangkan kami hanya bertentang diri sekitar kampus. Sekadar “Apa khabar?” “Khabar baik” melainkan soalan seterusnya.
“Sudah berjumpa dengan pendakwah tersebut?”
“Maaf, saya ada banyak urusan yang perlu diselesaikan!”
Pusat Pengajian Sebagai Medan Perbincangan Pilihan
Insiden ini membawa kepada persoalan bagaimana pusat pengajian berfungsi. Adakah ia sekadar tempat untuk menuntut ilmu yang tercatit dalam buku? Bagaimana pula jika apa yang di dalam buku atau silibus itu tidak mampu untuk memuaskan nafsu ilmu pengetahuan? Ditambah pula dengan kewujudan ruang tanpa sempadan bergelar internet di mana segala macam bentuk pemikiran juga perbincangan berlaku dan mampu menjadi lubuk bagi mereka yang mengimpikan kiblat selain menghadap Kaabah.
Dalam proses mencari kebenaran melangkaui agama, pusat pengajian perlu ada ruang kebebasan untuk para pelajar mengutarakan pendapat mereka biar dalam atau luar dari kelas. Perbincangan ilmiah perlu berlaku dalam mewujudkan generasi yang berilmu pengetahuan juga mampu berfikiran kritis. Mungkin mata pelajaran TITAS (Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara) dicipta sebagai sebuah subjek propaganda “syok sendiri” dengan lompong aplikasi untuk menghidupkan nilai kemasyarakatan yang matang. Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menunjukkan gelombang perubahan oleh rakyat Malaysia daripada rejim yang sebelumnya. Sudah tiba masanya untuk anak muda celik sejarah gerakan pelajar dan menilai kembali kuasa yang sedia ada untuk menuntut ruang bagi mereka ekspresi diri secara terbuka sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
Saya ingin menutup penulisan ini dengan melontarkan cadangan agar sistem pendidikan Malaysia meletakkan perbandingan agama sebagai salah satu subjek Mata Pelajaran Umum untuk mendedahkan kepada semua pelajar tentang kewujudan agama serta bentuk pemikiran yang wujud di Malaysia dan juga di dunia. Subjek yang tidak akan mengambil hanya satu sudut pandang ini juga perlu memberi pendedahan mengenai falsafah sebagai langkah untuk mendidik proses pemikiran dalam kalangan anak muda. Pendedahan ini juga selari dengan memberi pilihan kepada mereka untuk menentukan agama apa yang mereka ingin anuti. Selain daripada itu, subjek ini juga mendidik mereka agar berwaspada dan kritikal akan sebab untuk mereka menganuti agama tersebut dan berasa yakin serta mampu untuk berhujah berkenaan agama atau pegangan mereka – sebuah pembentukan individu atau masyarakat yang berpendapat teguh.
Anak muda, ayuh sahut cabaran dan persoal segala mengenai agama juga pemikiran.
Selamat Sejahtera.
Salam perjuangan.