Izzah Dejavu

Aktivis Yang Dipuja

Apakah yang muncul di kepala apabila berbual tentang kehidupan seorang aktivis? Suka merokok. Sering melepak. Baca buku-buku teori sambil mempamer gambar buku bertingkat tanda orang-orang membaca lalu kita jadi ingat puisi ‘Cintailah Perempuan/Lelaki Yang Membaca’. Lantas meyakini aktivis suka orang yang membaca pasti, mereka tahu benar apa yang dikatakan lantas sentiasa mempraktis teorinya di dunia nyata.

Aktivis ini tampak gagah kerana punya cita-cita idealis apatah petah berbicara soal keadilan dan hatinya sentiasa marah dengan kebobrokan pemerintah tapi sangat tersentuh melihat masyarakat. Lihat sahaja bicara dan kata-katanya yang diambil media, sudah pasti dia menjalani hidup yang jauh amat dari hidup gaya mainstream. Apatah lagi kalau dia faham tentang Hak Asasi Manusia? Pasti nampak istimewa dan gah di mata. Pasti seronok jika dapat berbual sampai langit ketujuh bersama mereka tentang masalah sosial dan kepincangan yang berlaku dalam sistem masyarakat hari ini bukan?

Namun ingat, aktivis-aktivis yang mengangumkan itu, bukanlah semuanya memahami dan punya kesedaran gender. Belum tentu mereka yang bercakap gah di hadapan awam dan bekerja di lapangan sehingga terlihat ‘suci’ itu memahami relasi (hubungan) kuasa dan privilege (keistimewaan) dengan rakan seaktivisnya, pasangannya bahkan kaum perempuan lain dan minoriti. Tidak diketahui sama ada analisa gendernya lemah atau sengaja memilih mengabaikan penindasan-penindasan yang berlaku kerana gender dan konstruk sosial.

Tidak Semua Cerah. Ada Gelapnya. Tidak Semua Murni. Ada Hinanya.

Ramai survivor (pemandiri), majoritinya adalah perempuan mengalami kekerasan, diperas tenaganya, tidak mendapat consent (kerelaan yang bebas), diambil kesempatan ketika punya hubungan, kayu tiga, dikhianati, tiada ketulusan dan kejujuran dalam perhubungan, menggunakan kuasa untuk ambil kesempatan atas orang yang mengagumi mereka, kekerasan fizikal dan emosi, bahkan ada yang memburu perempuan (kebanyakannya) untuk seks dengan cara manipulasi. Situasi menjadi lebih parah apabila hal bobrok ini hanya diketahui selepas mempercayai atau menikah dengan aktivis-aktivis yang luarnya memperjuang Hak Asasi Manusia-kesamarataan untuk semua kaum tertindas yang realitinya berbeza 180 darjah.

Jangan aneh dan tidak menyangka bahawa orang yang dikagumi, disanjung, dikenali ketokohannya, berbicara teori Hak Asasi Manusia, keadilan sosial, melaungkan Islam progresif bahkan yang melahap dan melumati ratusan buku falsafah siang dan malam, jaguh-jaguh diskusi ilmiah sebahagian daripada mereka juga adalah mereka yang subscribe (menjadi) pelaku hal-hal jelek ini. Nama-nama pelaku ini telah menjadi ‘Senarai Hitam’ dalam kalangan aktivis perempuan dan mereka yang punya kesedaran gender. Persoalannya timbul di sini, mengapakah tidak ada antara mereka yang dipanggil ke muka pengadilan?

Jangan naif dalam politik dan sifat ‘kuasa’. Kebanyakan pelaku ini menggunakan kekuasaan dan privilege yang dimiliki seperti ketokohan, kekayaan, jawatan tinggi, kemasyhurannya untuk menutup mata mereka yang bekerjasama atau bekerja di bawah mereka ini. Menggunakan privilege ini turut memberi kesan kepada orang-orang punya kesedaran (woke) untuk mudah memilih diam. Ini memberi laluan dan ruang besar kepada sebahagian pelaku ini melakukan kerja gelapnya terhadap mangsa baru dan banyaknya adalah kepada para perempuan yang mengagumi kerja-kerja aktivis, baru mengenal dunia aktivisme dan masih belum mempunyai kesadaran yang jitu tentang isu-isu politik dalam konteks yang lebih luas.

Ironi Dunia Realiti

Alasan bahawa aktivis sibuk dan terlarut dalam pekerjaan membuat mereka lupa bahawa mereka telah melakukan ketidakadilan dengan meninggalkan semua tugas yang sepatutnya dibahagi sama rata atas beban bahu pasangannya. Banyakkan alasan-alasan suci seperti ini yang kita dengari? Bagi pasangan yang punya kesedaran gender, ada yang dengan mudah dapat keluar daripada hubungan, tetapi ramai juga antara mereka yang buntu dan tersekat dalam perhubungan toksik. Ada pula pasangan yang tidak sedar, diri mereka tercampak dalam hubungan yang tidak setara apatah lagi dikaburi dengan perasaan memuja-muja separuh mati.

Ada pula sebahagian aktivis mahasiswa/anak muda yang meminta pasangan untuk menyiapkan segala macam kerja organisasi dan advokasi untuknya tetapi gagal mengurus pakaian, duit, tempat tinggal bahkan seluar dalamnya sendiri. Mereka mengharapkan pasangan untuk membereskan semua dengan alasan mereka pergi kerana kerja-kerja aktivisme, tugas suci yang tiada tolok bandingnya. Ini semua kerana ‘kepentingan yang lebih besar’.

Ramai juga aktivis yang sering membuat diskusi-diskusi tentang keadilan dan sedar dirinya memiliki ramai pemuja terus menganggap dirinya adalah ‘public figure’ hanya kerana punya ratusan ‘like’ lalu menggunakan populariti mereka untuk menjerat kebanyakan para perempuan ke lubuk mereka. Bagi pelaku yang takut terhadap kritikan-kritikan tidak mempraktis apa yang diperkatakan – mereka punya modus operandi halus untuk kekal berada dalam ‘zon suci’ buatan sendiri dengan menipu perempuan-perempuan baru dalam dunia aktivisme. Sebahagian yang sudah pecah temberangnya pula akan mula menyusup mencari mangsa luar dan jauh daripada kumpulan kebiasaan. Ini juga sebab mengapa tulisan ini hadir, sebagai peringatan kepada semua terutamanya rakan-rakan perempuan agar tidak terjerat.

Sebahagian aktivis yang telah berkahwin pula ada yang tak endah soal nafkah anak dan pasangan. Pasangan mereka terpaksa membanting tulang mengerjakan beban berganda demi kehidupan lanjut. Alasan selamat yang diberikan kebiasaannya adalah terlalu sibuk memikirkan bangsa dan negara lalu meminta pasangan mereka memahami dan terus bersikap acuh tak acuh terhadap perhubungan tersebut sangatlah menjengkelkan. Lebih parah, apabila ada yang memperlakukan pasangan mereka seperti hamba abdi di rumah sendiri.

Makhluk Tuhan Paling Seksis

Apakah yang lebih dasyat dan paling munafik adalah, ketika aktivis laki-laki (kebanyakannya) ini sudah punya jawatan dalam organisasi tertentu, ada pengaruh besar kerana lamanya berada dalam dunia aktivisme, dipuja puji dan diangkat-angkat sesama kelompok sendiri yang tidak jelas politiknya – ramai yang merasa berkuasa dan merasa berhak (entitled) terhadap diri para perempuan, pilihan dan kemajuannya.

Kerana sistem patriarki yang terus berakar dalam masyarakat dan diri kita, ramai pemuja aktivis-aktivis yang terang-terangan memuja tanpa mengetahui bahawa yang dipuja itu adalah musang berupa dua. Mereka menerkam mangsa yang mereka rasakan punya potensi untuk tidak melawan kekerasan atas diri mereka. Aktivis-aktivis ini juga tidak malu apabila masih terus bersikap seksis terhadap perempuan (tidak kira aktivis mahupun bukan) kerana aktivis begini licik.

Di hadapan perempuan-perempuan ‘badass’ dan yang mempunyai posisi kuasa yang lebih tinggi, mereka bijak menyembunyikan sifat patriaki, seksis dan nafsu serakah mereka tetapi di hadapan perempuan-perempuan yang masih baru dalam dunia aktivisme atau kebanyakan lebih gemar memilih ‘neutral’ berhadapan dengan penindasan halus ini, merekalah makhluk lelaki paling seksis memperlaku perempuan seenak hati.

a

Ingat, menghormati seseorang di hadapan mereka kerana ke-‘badass’an-nya, atau mungkin menghormati seorang perempuan yang kamu cintai dan kagumi sahaja, tetapi terus mempraktik budaya patriaki dan melakukan hal seksis terhadap perempuan lain, itu bukan hormat yang jujur. Ia cuma ketakutan yang cuba kamu sembunyikan kerana bimbang sikap jelek patriaki, seksis, mengambil kesempatan kamu itu akan di ‘point out’ dan disampahkan di hadapan wajahmu sendiri. Jujur sahaja, kamu malu dan takut diperlaku begitu, tapi tidak malu ketika berperilaku seksis terang-terangan!

b

Organisasi Budaya Patriaki

Di kebanyakan tempat kerja dan dalam organisasi, para perempuan masih dianggap kelas kedua, bukan rakan samarata. Percakapan serius dianggap remeh dan dipotong sebelum habis. Ideanya bukan sahaja tidak diangkat, tidak didengar, malah ada yang dipermain kerana ia datang daripada mulut seorang perempuan bukan laki-laki.

Meskipun di ruang kerja dan organisasi kerja lapangannya dilakukan bersama, tetapi yang disuruh banyak melakukan hal-hal teknikal seperti setiausaha, mesej setiap orang untuk datang ke mesyuarat, mencatat, dan kerja belakang tabir – pastinya diserahkan kepada perempuan sehingga jarang sekali terlihat perempuan diberi tempat sebagai penentu keputusan organisasi dan penggerak utama. Sedangkan jika diteliti rapat ramai sahaja para perempuan yang lebih terkedapan dalam melakukan kerja bahkan petah bercakap dan rapi mengeluarkan fikirannya (articulate). Tetapi lihat, dalam budaya patriaki, hanya kehadiran laki-laki yang dianggap memberi nilai. Sedangkan dalam kebanyakan waktu, kerjanya lambat. Yang laju cuma bila dipanggil media, berjumpa orang-orang besar, masuk tv dan berita, berlari aktivis laki-laki mengambil tempat ‘suci’nya tanpa dipaksa-paksa sampai kita tertegun melihat patriaki bekerja!

c

Ramai Aktivis Lelaki Kerana Sistem Patriarki

Dalam sistem patriarki yang melihat perempuan sebagai golongan yang rendah martabatnya, di mana ada hubungan kuasa yang tidak seimbang, jadi jelas bahawa aktivis laki-laki yang majoritinya berkeluakuan begini. Aktivis begini memang pandai berteori tentang keadilan sosial, kerja-kerja ‘suci’ serta slogan ‘kembali pada masyarakat’ seperti tidak dapat dipisahkan. ‘Demokrasi’ ibarat ratib zikir dibibirnya.

Yang membuat kita aneh adalah mengapa mereka ini miskin dalam praktiknya? Lebih keliru adalah para aktivis yang mengangkat feminisme, sebagai gerakan yang membantu untuk melihat realiti kehidupan masyarakat menjadi lebih baik dengan menggunakan lensa gender dalam menilai penindasan-penindasan yang berlaku agar lebih memahami tahu cara advokasi dan memperjuangkannya, bersikap sebaliknya. Kita jadi tertanya-tanya, teori dan aksinya untuk apa? Untuk dapat nama dan disanjung orang serta dahaga ‘like’ media? Untuk lebih mudah menggunakan kuasa dan pangkat menindas orang lain atau memang untuk bersuka-suka memperlekeh kerana mereka punya lesen besar nan ‘suci’?

Namun, kita juga sedar kebanyakan aktivis laki-laki ini, tidak akan benar-benar mampu memahami akar permasalahan ini kerana kebanyakan daripada mereka masih terperangkap dalam budaya patriaki dan tidak merasai sendiri pengalaman melalui penindasan terhadap perempuan dan minoriti.

d

Mengangkat Pengalaman Perempuan

Teori feminisme berangkat daripada pengalaman perempuan supaya ruang ketidakadilan gender ini diperkecil kerana sudah pasti relasi kuasa sangat terkait rapat dengan segala jenis penindasan. Membaca kritik-kritik terhadap Feminisme, kita jadi lebih faham bahawa Feminisme itu adalah gerakan untuk mewujudkan keadilan bukan hanya soal hak perempuan, tetapi juga kaum laki-laki dan minoriti. Feminisme itu adalah gerakan yang anti-patriaki, anti seksisme, anti imperialis dan kapitalis dan dokongan serta solidaritinya bersifat global.

Feminisme mengajar kita satu perkara kecil yang memberi impak besar, iaitu dengan mula memahami keistimewaan (privilege) pada diri sendiri dan paling utama menanam sikap mendengar pengalaman kelompok perempuan dan minoriti kerana orang yang mengalami penindasan itu sendiri, punya hak paling tinggi untuk menjelaskan situasi mereka.

Feminisme turut mengiktiraf adanya ketidaksamarataan gender, lalu memberi serta membuka ruang dan kesempatan bagi siapapun, apapun gender, orientasi seksual, kepercayaan, kemampuan ekonomi, mahupun kelas sosial untuk mewakili dirinya sendiri/kumpulannya tanpa harus dibatasi oleh konstruk sosial yang bernanah dalam sistem patriaki demi mencapai keadilan sosial serta menjalani proses demokrasi tulen. Hal ini bertepatan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh rakan falsafah; Bahawa setiap orang yang mahu serius berfikir tentang keadilan, di kalangan lelaki mahupun perempuan, tidak kisahlah daripada agama atau bangsa manapun ia, harus menjadi feminis.

Sikap Sumbang dan Bodoh Sombong

Tapi sayang, kerana kebanyakan yang bercerita sehingga berbuih tentang Feminisme atau relasi gender dan kekuasaan ini kebanyakannya adalah para perempuan – maka masih ada sikap-sikap sumbang aktivis laki-laki yang berteriak-

‘Mana ada lagi zaman 2019 ini perempuan kena tindas?’

‘Cuba bagi Analisa. Analisa mana Analisa?’

Ini kawan saya Muhammad XX, (letak gambar memasak di dapur) ini bukti dia bukan patriaki! Tapi malu ngaku jadi feminis.’

Dan pelbagai hal lain yang mencerminkan sikap mereka.

Mereka ini tanpa segan silu memuat naik memaparkan di dunia, bahkan mempamer sikap begitu untuk dilihat betapa seksisnya diri mereka sendiri yang kerap juga berlindung di balik nama-nama/page-page perjuangan gerakan. Kelihatan terlalu tolol untuk pejuang-pejuang ‘suci’. Tapi harus bagaimana, ‘suci’ tidak bermakna akalnya habis.

Analisa bukan hanya tentang nombor dan data. Ini sungguh dangkal dan naif. Analisa juga boleh datang daripada pengalaman. Misalnya anak stateless yang sudah punya kesedaran tentang haknya sudah pasti lebih pantas untuk bercakap isu dan pengalamannya berbanding para aktivis. Sekali lagi Feminisme mengajar kita untuk melihat keistimewaan (privilege) sendiri serta tidak menjadi juru terlebih cakap bagi mereka yang melalui sendiri penindasan apatah untuk bersikap dan berfikir menjadi ‘PENYELAMAT’ (saviour) meski seronok dipuja-puja.

Cerita Sedih Para Aktivis

Kalau mahu jadi penyelamat, bina alternatif dan ayuh bangkit melawan sistem! Bukan sekadar menulis cerita-cerita sedih, lalu membawa/mengundang berbondong-bondong ‘volunteer’ datang bergambar lalu pulang dan menceritakan hal-hal sendu daripada hati tisu.

Cuba ya kalau ditanya, sekiranya kamu ditindas, diperlakukan tidak adil, hari-hari yang dilalui antara hidup atau mati – Kamu mahu orang datang melihat kamu dan menulis kisah sedih kamu sahajakah? Ambil gambar kamu yang hidup tak keruan? Menulis perenggan yang kosong yang tak punya analisis sosial dan politik. Perenggan yang menagih ‘like’ tentang perasaan sedih, kegembiraan menolong orang susah, semoga syurga untuk kalian atau tentang betapa bertuahnya mereka dapat mengajar/menolong kamu untuk satu detik/tempoh itu sebelum pulang ke realiti bahawa mereka juga sengsara untuk terus hidup dalam sistem kapitalis?

Percuma. Jika alternatif tidak bergerak dengan aksi dan perlawanan, serta menyemai kesedaran politik yang jelas dan bersifat global. Cerita sedih kamu itu seperti sampah yang mengalir dalam sungai kapitalis. Menyesakkan dan cuma menempah tempat ‘suci’ untuk nama profile Facebook, Instagram, Twitter  dan Tinder kamu sahaja!

Belum lagi para aktivis yang menyalak ‘Aku patriaki! Aku patriaki!’ gaya anjing jalanan di hadapan rakan aktivis lain yang malangnya tidak merasa apa-apa keperluan untuk bersuara, mengapa diperlakukan dengan penuh tidak hormat begitu. Realiti yang sukar ditelan adalah, kerana sistem patriaki yang bernanah ini, para perempuan dan kelompok minoriti juga gagal dan jadi bingung terperangkap dalamnya tanpa sedar.

Aktivis Anjing

Yang mempengaruhi para perempuan untuk mendapatkan consent (kerelaan yang bebas daripada apa-apa manipulasi) menggunakan pengaruh dan kuasa juga ada. Bahkan ramai dan mereka ini hanya layak di panggil anjing. Bayangkan, para perempuan aktivis yang berwaspada kebanyakan sudah punya senarai nama pelaku yang menindas dan menipu pasangan mereka, mengguna perempuan-perempuan hanya dengan memanipulasi mereka adalah satu tindakan paling anjing abad ini.

Ingat, laki-laki anjing yang memanipulasi kamu, untuk melempias nafsu mereka untuk seks bukanlah satu consent tapi satu bentuk eksploitasi halus. Apabila adanya menipulasi untuk mendapatkan seks tanpa kerelaan (consent) yang tulen, maka perempuan tetap dilihat sebagai objek seks dalam sistem patriaki.

Tanpa memahami dan praktik konsep keadilan gender, maka kebanyakan para aktivis masih terjebak dalam konstruk-konstruk sosial sistem patriaki dan gagal melihat akar permasalahan sesuatu isu dengan lebih mendalam. Ia sekadar menjadi aktivis glamour, aktivis yang eksistensinya bermasalah, aktivis karier (careerist) dan paling jijik menjadi aktivis untuk memanjangkan senarai nama mangsa sikap seksis, perlecehan seksual atau bilangan yang ditiduri dengan memanipulasi. Inilah sebahagian realiti dan sisi gelap dunia politik toksik dalaman sebahagian aktivis yang merasa pintar bodoh saja tak punya!

The Personal Is Political

Penulisan ini bukanlah untuk menafikan tidak ada penindasan ke atas laki-laki, tetapi untuk memperingat kita semua bahawa sosial konstruk dalam sistem patriaki akan sentiasa memandang perempuan sebagai kelas kedua. Penindasan terhadap perempuan dan golongan minoriti sentiasa memberi kesan dua kali ganda lebih teruk kepada mereka kerana golongan ini lebih diletakkan redah dalam masyarakat daripada laki-laki. Bahkan pada banyak ketika, para perempuan dan minoriti juga tidak perasan bahawa mereka juga antara penyokong dan penyumbang kepada budaya patriarki dan penindasan ini.

Percaya bahawa Peribadi itu sikapnya Politikal (the personal is political), penulisan ini adalah pengalaman awal dan polos ketika memahami dunia aktivisme lebih kurang 4 tahun lalu sampailah ke hari ini melalui proses-proses kesedaran.

Terma aktivisme, bukan sesuatu yang suka untuk digunakan. Namun menyedari selepas pasca PRU14, lahirnya satu gelombang anak-anak muda/mahasiswa baru yang melihat konotasi ‘aktivisme’ hanya dalam konteks ‘menolong orang lain’ tanpa memahami betapa pentingnya melihat dan menganalisa sesuatu perkara daripada akarnya, maka terma aktivisme lebih mudah digunakan. Aktivisme bagi penulis secara peribadi adalah mereka; yang bergerak menuju/mencapai matlamat keadilan sosial dengan melihat semua jalur penindasan atas semua umat manusia untuk mengangkat hak kemanusiaan itu pada letak duduknya.

Konklusi

Sepotong pertanyaan WS. Rendra harus kita kembalikan kepada diri sendiri,

‘Kita ini dididik untuk berpihak yang mana?’

Jawabnya mudah, sudah pasti tulisan ini adalah untuk mengajak semua berpihak kepada mereka yang ditindas. Bayangkan betapa ramai masyarakat di luar sana yang masih ragu-ragu untuk membuat laporan tentang gangguan seksual dan yang sama waktu dengannya. Perkara ini bukan sahaja berlaku terhadap para perempuan di luar sana, bahkan berlaku dalam lingkaran para aktivis yang juga buntu untuk melakukan apa kerana kebanyakan yang menindas ini mempunyai kuasa, jawatan dan pengaruh sehingga sukar pada kita untuk melawannya.

Jika kita berani melawan sekalipun, keadaan dan persepsi masyarakat akan terus membelengu kita. Perempuan salah. Perempuan tak jaga pakaian. Perempuan yang gatal dan pelbagai tohmahan yang akan datang seperti peluru jatuh dari langit. Kesukaran-kesukaran begini menyebabkan ramai perempuan tersepit dan takut untuk membawa kes mereka ke hadapan. Untuk yang ke depan mendepani segala macam risiko, terima kasih kerana memberi ruang buat yang lain tidak merasa sendiri.

Semoga para perempuan yang membaca tulisan ini baik aktivis mahupun bukan, pasti dapat menghubungkait tulisan ini dengan pengalaman-pengalaman hidup mereka. Tulisan ini juga berniat untuk memanggil semua para pembaca untuk bersama dalam Gerakan #MeToo dan turut serta dalam perarakan Hari Perempuan Sedunia yang akan dijalankan pada 9 Mac 2019 di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

e

Moga semua saudara sedunia terus bersolidariti dan terus bersama untuk ‘call out’ mereka yang mengambil kesempatan melalui cara apa sekalipun. Mari turun dan duduk berbincang apa yang boleh kita lakukan bersama untuk mempertahan maruah dan melawan penindasan-penindasan ke atas perempuan dan kaum minoriti, diri kita, saudara-saudara serta anak bangsa kita daripada terus ditindas dalam diam.

f

Panjang Umur Perlawanan! Panjang Umur Perlawanan Perempuan!

Gerakan #MeToo ‘Hanya Sukar Jika Kamu Adalah Laki-Laki Yang Punya Sesuatu Untuk Disembunyikan’

P/S: Kredit gambar semua kepada google image 🙂