Fadiah Nadwa Fikri
Wawancara ini diterjemah ke Bahasa Melayu oleh Azmina Nordin dan disunting oleh Zikri Rahman
Juliet Chin, perempuan pertama dilantik sebagai Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Singapura (USSU) pada awal 1974 yang lantang bercakap benar soal kekuasaan. Mengambil jurusan senibina di universiti tersebut pada 70an, beliau turut aktif terlibat dalam menggembleng pelajar untuk bangkit bersama mereka yang tertindas dan terpinggir. Akibat daripada aktivisme beliau yang radikal, Juliet dibuang daripada Universiti Singapura dan ditahan tanpa bicara di bawah akta kejam Internal Security Act 1960 (ISA) selama setahun. Juliet terpaksa mendapatkan suaka politik di Perancis dan melepaskan kewarganegaraan Malaysia. Di bawah adalah perkongsian sesi temu ramah bersama Fadiah Nadwa Fikri.
Fadiah: Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai zaman kanak-kanak anda? Bagaimana rasanya ketika meningkat dewasa? Apa buku yang dibaca dan membentuk cara pandang politik anda?
Juliet: Ibu melahirkan saya ketika beliau berumur 30 dan saya merupakan anak sulung yang boleh dikatakan lewat pada zaman tersebut dan kebetulan Perang Dunia Kedua telah tamat. Ibu menginginkan hanya seorang anak. Walaupun ibu hanya sekadar mendapat pendidikan Cina beberapa tahun kerana penjajahan Jepun di Malaya ketika itu, ibu sudah cukup moden pada ketika itu untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat kawalan kelahiran. Beruntungnya saya, ibu melahirkan lagi seorang anak perempuan pada 1957, enam tahun muda dari saya. Ini adalah kerana nasihat yang bijaksana oleh mendiang nenek yang melihat saya ketika itu sebagai seorang yang keras kepala dan tidak boleh diharapkan untuk kekal berada di sisi ibu pada usia tua suatu masa nanti. Ianya benar berlaku. Adik perempuan saya menceritakannya selepas kematian ibu kami.
Seperti keluarga yang lain selepas kehancuran Perang Dunia ke-2 dan kebangkitan semula eksploitasi kolonial oleh British, kami menjadi miskin. Hanya sedikit kegiatan ekonomi, dan juga hampir tiada peluang pekerjaan untuk perempuan. Walaubagaimanapun, saya dilindungi sepanjang masa daripada kelaparan mahupun tiada tempat berlindung, oleh ibu-bapa saya. Ianya sendiri pengalaman zaman kanak-kanak saya yang berharga, yang dinafikan dengan penuh kekejaman terhadap jutaan anak lain di bumi kita.
Saya ingin memberi penghargaan terhadap ayah yang juga berfikiran moden pada ketika itu. Lebih-lebih lagi dengan sikap patriarki yang masih menebal di kalangan komuniti Cina di luar negara, ianya sesuatu yang aneh untuk seorang lelaki begitu berpuas hati dengan kedua-dua anak perempuannya. China baru sahaja merdeka pada 1949 dan dasar kesamarataan gender masih asing di kalangan masyarakat China di luar negara. Pada saya, saya gembira untuk tidak mempunyai adik-beradik lelaki. Dalam erti kata lain, dengan sumber yang semakin berkurangan – kais pagi makan pagi, kais petang makan petang – saya pasti tidak akan mampu meneruskan pengajian tinggi.
Ibu bapa saya membuat perjanjian untuk tidak bergaduh atau saling bertengkar, menangis atau melolong histeria di hadapan anak mereka. Jadi saya tidak ada langsung trauma semasa membesar. Saya percaya bahawa inilah yang menjadikan saya sentiasa tenang semasa berhadapan dengan krisis penahanan saya dan penyiasatan di bawah ISA. Saya dengan tenang terus tidur dengan nyenyak setiap malam di dalam jel kecil yang dipenuhi nyamuk!
Buku? Kami hanya ada beberapa di rumah. Antaranya The Dream of The Red Chambers dalam bahasa Cina milik ayah saya. Saya mendapat pendidikan daripada Inggeris. Beberapa tahun selepas itu, saya membacanya di universiti dalam bahasa Inggeris. Ianya mengambil masa beberapa tahun untuk saya memahaminya sebagai sebuah gambaran masyarakat feudal China di mana nilai wanita terlalu rendah dalam masyarakat yang menindas itu.
Walaupun kami miskin, ayah tidak terlepas untuk melanggan The Reader’s Digest untuk saya mengasah Bahasa Inggeris sepanjang persekolahan menengah saya. Saya begitu tersentuh dengan kepedulian dan perhatian orang Amerika ke atas kemiskinan di Negara Ketiga. Antara jiwa-jiwa yang baik hati ini cuba untuk mencipta lembu yang mampu memproseskan rumput menjadi susu bagi mengatasi kebuluran kanak-kanak; ada yang memberi vitamin-vitamin untuk mereka di ceruk gunung-ganang Vietnam dan banyak lagi. Ketika itu, saya sudahpun melangkah ke alam universiti pada 1970 dan keliru dengan keadaan negara-negara dunia ketiga yang masih tidak mampu untuk berdiri di atas tapak kaki sendiri.
Saya banyak membaca di perpustakaan dari zaman sekolah Convent tetapi tiada yang meninggalkan kesan: banyak mengenai Enid Blyton yang mengisahkan pengembaraan Inggeris atau buku-buku kisah misteri untuk remaja. Walaubagaimanapun, saya merasakan biarawati bangsa Irish di sekolah saya telah memperkenalkan sedikit tentang agenda feminisme. Dalam kelas sastera tingkatan empat atau lima, dipakai sebuah tulisan berjudul They Dared to be Doctors – sebuah kisah tentang 2 orang perempuan Inggeris yang terlibat dalam bidang perubatan yang didominasi kaum lelaki.
Konsep politik saya tentang kelas dan gender diperoleh daripada pengalaman saya sendiri. Mungkin ianya lebih sesuai untuk saya huraikan dengan panjang lebar dalam soalan seterusnya.
Fadiah: Arundhati Roy pernah mengungkap “There’s really no such thing as the ‘voiceless’. There are only the deliberately silenced, or the preferably unheard.” Sepanjang sejarah, wanita seringkali berada di dalam nadi gerakan sosial namun suara dan kisah-kisah mereka kurang didendang. Lelaki berterusan menguasai segenap ruang-muka hadapan buku, forum awam, tajuk berita, politik. Bagaimana anda menanggapi realiti ini? Kenapa ianya mustahak bagi wanita untuk mempunyai tempat di ruang perbincangan?
Juliet: Kenapa ianya sangat penting untuk wanita mempunyai tempat di dalam perbincangan! Cukup tepat frasa yang digunakan. Kamu pasti akan terkejut di mana Mao Zedong juga menyatakan frasa yang hampir sama sewaktu di dalam sebuah mesyuarat (saya rasa semasa pra-kemerdekaan China), Mao menyeru wanita untuk masuk ke dalam bilik dan duduk di kerusi yang disediakan! Duduk di kerusi dengan pinggul anda! Lebih kurang begitulah. Saya terkejut dengan bahasa digunakan Mao. Namun, itulah yang perlu kita lakukan untuk menuntut hak kita seadanya.
Saya tidak mempelajari tentang penindasan kelas atau gender daripada Marxisme atau mana-mana gerakan emansipasi wanita. Semuanya adalah daripada pengalaman saya sendiri. Mak cik saya yang kaya-raya mempunyai sebuah perusahaan di mana ayah saya bekerja dengannya mengakibatkan saya tidak pernah melupakan mengenai perbezaan kelas di antara kami. Mak cik saya juga mengingatkan ibu saya tentang jumlah wang yang dipinjam oleh keluarga kami sehingga ibu saya jatuh pengsan. Begitulah bagaimana saya membesar menjadi seorang yang keras melawan sejak berumur sepuluh tahun lagi; menggunakan suara kecil saya untuk berhadapan dengan mak cik saya sambil bersusah-payah mendukung ibu.
Mak cik saya yang kaya amat memandang rendah kepada perempuan yang mengandung sebelum kahwin. Malahan dia juga memalukan kanak-kanak perempuan yang miskin kerana ibu mereka yang keras kepala. Ironinya dia membiarkan lelaki yang terlibat dalam perhubungan itu bebas. Apakah hanya upacara yang dipanggil perkahwinan ini yang boleh menyucikan persetujuan untuk melakukan hubungan seksual intim dan memberikan kehormatan kepada wanita? Fikiran usia muda saya hanya melihat hipokrasi daripada upacara ini.
Agnes Smedley pernah menulis dalam autobiografi beliau, Daughter Of Earth bahawa kehormatan ibunya yang berkahwin perlu bergantung kepada ayahnya yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk memberi makan dan perhatian kepada anaknya. Zaman kanak-kanak Agnes begitu sukar dan penuh kelaparan namun dibantu oleh wang yang diberikan oleh mak ciknya yang merupakan seorang wanita yang berdikari bekerja sebagai seorang pelacur.
Fadiah: Sebagai aktivis pelajar, anda begitu aktif terlibat dalam menggembleng mahasiswa untuk mencabar kuasa dan mengangkat suara-suara golongan marginal. Anda baru berusia 22 tahun ketika dilantik sebagai presiden Kesatuan Pelajar Universiti Singapura (USSU). Anda memprotes autoriti universiti dan kerajaan pada ketika itu. Anda juga melakukan protes menentang sebarang pengusiran paksa keluarga miskin di Tasek Utara, Johor Bahru. Di dalam sebuah dunia di mana individualisme beraja, seringkali kita memilih jalan selamat daripada menongkah arus. Apa yang merangsang anda untuk teguh menyatakan sikap terhadap sesuatu yang berisiko, tidak popular yang pastinya akan menerima banyak cemuhan?
Juliet: Ironinya, perkara yang memberi motivasi pada saya awalnya adalah pengaruh agama Kristian. Kiranya, saya menuntut di antara sekolah Convent yang terbaik. Ianya di Johor Bahru dan ditadbir oleh biarawati bangsa Ireland. Mungkin mereka sendiri merasa penindasan ketika di bawah penguasaan British. Mereka tidak pernah berusaha berdakwah untuk menukar agama kami kecuali ada di antara satu atau dua orang, tiada di antara kami yang akhirnya bertukar agama! Benarlah yang sebenar-benar bakti kepada kemanusiaan adalah bakti kepada tuhan. Ingin saya mengambil peluang ini untuk menyatakan penghargaan kepada Sister Xavier, pengetua sekolah saya. Beliau telah pun meninggal dunia. Merupakan seorang pengetua yang cukup menghormati dan mempercayai pelajarnya. Kami tidak perlu menyediakan surat sakit; saatnya kami datang haid, kami akan terus ke pejabatnya dan memberitahunya di mana beliau kemudiannya akan membenarkan kami pulang ke rumah atau tidur di sofa perpustakaan.
Kemudiannya, saya ke Kolej Inggeris Johor Bahru meneruskan pengajian Tingkatan Enam. Ianya sekarang dinamakan sebagai Maktab Sultan Abu Bakar (Dr Syed Husin Ali dan Dr Maszlee, Menteri Pendidikan Malaysia sekarang merupakan bekas pelajar sekolah tersebut). Kami dilambakkan dengan kerja rumah sehingga merasakan perlunya untuk menyampaikan kepada pengetua bahawa kami tidak mampu melakukannya. Walaubagaimanapun, kami begitu takut dengannya. Dua orang pengawas kelas kami kemudian meminta wakil untuk ikut bersama mereka untuk menyatakan tentang hal ini dan dibawa kepada pengetua. Percayalah, saya bergelut dengan diri saya sendiri mencari keberanian untuk berhadapan dengan beliau. Yang menggerakkan saya ketika itu adalah ingatan saya tentang Jesus di dalam rumah berhala, menolak keluar peminjam wang; sebuah tindakan menolak status-quo.
13 Mei 1969 berlaku ketika saya berada di Tingkatan Enam Atas. Tidak berlaku apa-apa di Johor Bahru. Namun, ayah saya yang ketika itu bekerja di Kuala Lumpur kemudiannya memberitahu saya yang rakan sekerjanya dan dia sendiri turut mengasah tombak dan alatan lain sebagai pertahanan kalau berlaku serangan. Mereka bersembunyi di bengkel pembaikan lori bos mereka di Segambut.
Ketika berumur 18 tahun, saya tiada analisis mengapa 13 Mei berlaku. Namun, saya menolak untuk menerima sebarang penjelasan berbaur cauvanis yang berunsur perkauman bahawa ianya terjadi kerana Melayu menentang Cina dan sebaliknya. Malah, saya kemudiannya menerima dengan terbuka Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai diskriminasi positif untuk komuniti Melayu (sehinggalah ianya digunakan dengan tujuan mengkayakan segelintir elit Melayu). Pada masa yang sama di Semenanjung Malaya, bersebelahan dengan Singapura, orang Cina di Johor Bahru dapat tidak dapat, terpengaruh dengan Lee Kuan Yew dari Singapura terutamanya selepas 13 Mei – sebagai pelindung kepada golongan etnik Cina di Malaysia. Bukan sedikit yang berhijrah untuk menjadi warga Singapura, ada di antara mereka juga adalah di kalangan ahli keluarga saya sendiri. Lee telah mencetuskan banyak sekali api kemarahan di kalangan Cina Malaysia semasa dalam tempoh 1963-65 ketika Singapura masih lagi sebahagian dari Malaysia. Perasaan simpati kepada perpisahan yang berlaku tahun 1965 dengan laungan rasis Lee, secara tidak sedar bersembunyi di sebalik slogan “Malaysian Malaysia” – yang kemudian diteruskan oleh DAP (Parti Tindakan Demokratik) iaitu klon kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah menimbulkan kerosakan kepada perpaduan yang tak terhitung kepada negara kita sehinggalah pada PRU14 apabila DAP akhirnya menyertai kerajaan gabungan. Amat mengejutkan, ketika seawal usia 18 tahun dahulu dengan perbualan yang berlaku di keliling saya mengenai hal ini, sedikitpun saya tidak tertarik dengan idea etnik Cina untuk menerajui Singapura. Saya mempunyai kepercayaan dan masih lagi teguh dengan kepercayaan bahawa masyarakat yang rencam etnik yang sepatutnya membina sebuah bangsa berdasarkan perpaduan dalam kepelbagaian.
Pada 1970, saya sambung pengajian di Universiti Singapura ketika berumur 19 tahun. Benar yang saya tidak tahu langsung tentang politik – dilarang untuk berbicara soal politik di sekolah. Saya membesar dengan sikap apolitikal. Untuk memasuki Universiti Singapura, saya perlu mengisi satu borang yang dipanggil ‘Suitability of Certificate’. Saya mengisinya tanpa mengetahui apapun sejarah atau signifikan borang tersebut. Hanya beberapa tahun selepas itu barulah saya ketahui bahawa ianya sebuah alat penindasan.
Sebagai pelajar tahun dua dalam jurusan senibina, saya berhadapan dengan ketidakadilan dalam akademik. Separuh daripada rakan kelas saya gagal (tidak termasuk saya) dalam satu subjek elektif, walaupun kami semua membuat satu lukisan yang sama seperti yang telah kami bincang bersama. Saya tergamam melihat diskriminasi ke atas mahasiswa yang datang daripada aliran bahasa Cina khususnya. Kami mendesak untuk keadilan akademik; kami melakukan boikot kelas. Saya masih ingat, 27 daripada kami duduk dalam bulatan meja lukis yang besar (sebelum adanya rekabentuk menggunakan komputer) dan soalan yang berlegar di kalangan kami adalah soalan yang sama; adakah mampu untuk kita tidak bergraduasi? Sehingga ke tahap ini kami mengambil sikap. Saya memilih untuk tidak bergraduasi. Keluarga saya yang miskin menerima kesan daripada pilihan yang telah saya buat. Ironinya, apa yang berlaku adalah sebaliknya, saya memilih untuk tidak bergradusi kerana merasakan mereka telah didiskriminasikan sepanjang hidup hanya kerana mereka datang daripada rakyat kelas pekerja, yang dirompak maruah dalam masyarakat tanpa sebarang jaminan keselamatan dan terpaksa mengemis daripada saudara yang kaya semasa berhadapan dengan kesusahan.
Kebetulan saya dilantik menjadi ketua pelajar pada 1974. Hujung 1973, kesatuan pelajar di Universiti Singapura terperangkap dalam komplot jahat dan strategi di mana beberapa kumpulan lain di dalam percubaan untuk merebut kerusi jawatan yang disandang untuk menguasai kesatuan, semata-mata hanya untuk mendapatkan kerusi jawatan, keistimewaan untuk melancong bagi ketua mahasiswa dan lain-lain. Jawatan di dalam USSU (Kesatuan Pelajar Universiti Singapura) menjadi ruangan debat serta batu loncatan untuk membina karier di dalam parlimen. Ianya sebuah menara gading dan bukannya alat untuk berkhidmat kepada warga yang berpenat-lelah dan bekerja untuk mendanai pendidikan universiti kita.
Saya tersentak mengetahui akan hal ini. Lewat pada satu tengah hari 3 Januari 1974, saya ke kampus Bukit Timah di mana berlangsung EOGM (Extra Ordinary General Meeting) yang diadakan untuk menjalankan undi tidak percaya kepada penyandang jawatan ketua-ketua pelajar. Selepas beberapa ketika hanya saling tudung-menuduh, saya merasa marah dan mengangkat tangan untuk diberi ruang bercakap; saya dengar laungan dari dewan kuliah “biar dia bercakap, biar dia bercakap!” Jadi saya diberikan ruang. Saya berucap sepintas lalu, mengajak mahasiswa-mahasiswa untuk merenung kembali bahawa banyak masalah yang kita berhadapan kerana orintasi sistem pendidikan dan peranan kita dalam masyarakat. Kemudiannya, saya menyentuh hal yang dekat dengan diri mahasiswa, iaitu pelajar terkhusus (misalnya, agen kerajaan) dalam kampus kita yang hadir melakukan intimidasi terhadap kesatuan mahasiswa. Pertama kali ianya dibincangkan dan dibawa ke tengah secara terbuka. Malah ianya mendapat tepukan gemuruh. Ada yang menjerit di dalam dewan tersebut, “Ayuh, kita undi dia pada majlis pelajar akan datang” atau lebih kurang begitulah. Dan kemudiannya saya telah dilantik sebagai presiden sementara dalam majlis pelajar seramai 6 orang atau wakil pelajar, dengan memikul tugas segera untuk melangsungkan persidangan melalui pilihanraya mewakili kesatuan pelajar untuk kali yang ke-28.
Apakah wujud kebencian kepada wanita yang pertama kali dilantik sebagai presiden Kesatuan Pelajar Universiti Singapura kali ke 28? Benar ianya terjadi, sesuatu yang untuk saya sakit ditanggung khususnya di kalangan teman-teman rapat yang mendiamkan bahawa perkara ini terjadi. Takdir yang tersurat bahawa ketika saya secara tidak sengaja masuk campur dalam EOGM lepas, yang baru saya sedar beberapa dekad kemudiannya, telah mengganggu rancangan lain untuk memasukkan pemimpin lelaki, yang walaupun dicalonkan untuk dewan sementara, malangnya tidak diundi semasa EOGM ketika itu.
Tetapi selepas apa yang berlaku pada 3 Januari 1974, saya tenang menghadapinya. Muda, tiada pengalaman dan jahil dalam politik serta sejarah silam, saya tenggelam di dalam tugasan yang melanda di hadapan saya dan rakan-rakan, yang perlu saya beri penghormatan kerana tanpa mereka, saya tidak dapat berbuat apa-apa – kumpulan teras daripada Fakulti Senibina (berhempas pulas untuk keadilan akademik) serta sokongan daripada Persatuan Cina dan Persatuan Melayu di dalam universiti berikut (kekurangan pelajar adalah universiti ini menggunakan bahasa Inggeris) begitu juga dengan penghuni kolej.
3 Januari 1974, saya nekad menjuruskan seluruh kehidupan bagi sebuah trajektori yang tidak akan saya berpaling balik lagi.
Tasik Utara adalah pengalaman yang sangat teristimewa. Kita boleh membacanya sebagai perjuangan untuk tanah perumahan oleh orang Melayu luar bandar yang berhijrah ke pinggir bandar pada separuh pertama tahun 1970-an. Apakah dasar ekonomi masa lalu Malaya, yang merdeka pada tahun 1957 dan kemudian Malaysia, dengan Dasar Ekonomi Barunya sejak tahun 1969, yang mendorong penghijrahan luar bandar ini? Apa pun sebabnya, ada keluarga Melayu miskin yang miskin tanah, menduduki padang golf Tasik Utara yang dicadangkan untuk dibina di Johor Bahru!
Memandangkan Universiti Singapura paling hampir, kami menyahut seruan daripada mahasiswa di Kuala Lumpur. Kamilah kumpulan pertama yang pergi ke Tasik Utara sebelum mereka tiba di sana. Ini adalah tanda solidariti yang kami ada, di kalangan badan pelajar.
Tidak lama selepas itu, saya didakwa di bawah ISA kerana saya telah menunjukkan beberapa slaid tentang perjuangan Tasik Utara ke beberapa kampung Melayu yang lain di Johor Bahru. Slaid sajalah yang ada ketika itu yang berfungis seperti telefon yang sofistikated seperti hari ini. Mahu pun begitu, kuasa media alternatif tetap perlu dibungkam.
Saya masih mengimbau tentang seorang wanita Melayu yang mengetuai perjuangan di Tasek Utara. Selepas saya dibebaskan dan berkunjung ke rumah ibu saya di kawasan flat kecil di tengah-tengah kawasan perumahan yang bernilai tinggi (ianya sudahpun dirobohkan) terletak di belakang stesen kereta api lama Johor Bahru, terdapat pohon pudina. Sewaktu itu, pudina sebuah tanaman yang jarang-jarang ada di luar kawasan dingin seperti Cameron Highlands. Wanita Melayu ini keluar berjumpa ibu saya, seorang wanita Cina dan memberinya tanaman ini semasa saya dipenjarakan di Tahanan Kamunting, Perak. Perilaku wanita Melayu inilah yang telah memberi dan menguatkan kepercayaan saya kepada masyarakat yang multi etnik.
Ada juga Majid, anggota Parti Rakyat yang juga merupakan individu yang berjuang di Tasik Utara. Dia ditahan di bawah ISA. Saya dimaklumkan selepas dia dibebaskan, dia bekerja semula sebagai buruh binaan. Yang menyedihkan, dia meninggal akibat kemalangan di tempat kerja di usia yang muda. Mereka inilah pejuang yang tidak didendangkan dalam gerakan rakyat.
Semasa perjuangan di Tasek Utara, saya mewakili USSU untuk menyatakan protes terhadap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Saya maklum yang mereka tidak menerima delegasi kecil ini. Adik perempuan saya yang ketika itu masih belajar di Sekolah Convent Johor Bahru memberitahu saya, bahawa rakan sekelasnya yang merupakan anak perempuan pesuruhjaya tinggi ketika itu menasihatkan saya untuk tidak pulang ke Malaysia kerana saya berkemungkinan ditahan. Saya terpinga-pinga – jenayah seperti apa yang telah saya lakukan?
Mungkin, kita cukup bertuah dulu tanpa sosial media serta tekanan akibat menerima mesej-mesej kebencian tidaklah membebankan diri saya. Satu-satunya yang saya ingat ialah sebuah karikatur yang ‘memuji’ saya, berkaca mata dengan berambut tocang menunggang seekor gajah yang besar dengan tag USSU di punggungnya, selepas dipilih ke majlis interim USSU di ruang lobi Fakulti Seni Bina. Karikatur sarkastik ini datangnya daripada rakan kelas tahun dua saya yang menolak perjuangan keadilan akademik. Ia hanyalah sebuah kumpulan kecil tetapi telah menggariskan perbezaan kami.
Ianya cukup menyukarkan di rumah. Ayah saya yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur, di mana tempat dia bekerja, mungkin ketika Tahun Baru Cina, cuba memujuk saya untuk memperlahankan keterlibatan di dalam gerakan pelajar “berilah yang lain untuk mengetuainya; ikut sajalah dari belakang; “Bagaimana jika semuanya hanya mahu mengikut?” saya membentak. Ketidaksepakatan yang sangat jelas memaksa saya untuk meninggalkan rumah untuk menyatakan sikap. Saya kembali semula ke Singapura di mana saya masih sebagai seorang pelajar. Ketika itu, ianya sungguh saat-saat yang begitu sunyi. Mujur, sebulan atau tidak lama selepas itu, saya menerima kiriman daripada ayah saya meminta saya pulang rumah dan berjumpa ibu saya yang sedang sakit. Begitulah cara ayah untuk menyatakan bahawa dia bertindak berlebihan terhadap saya.
Fadiah: Anda dibuang dari Universiti Singapura dan kemudian ditahan tanpa bicara di bawah akta ISA 1960 yang kejam. Boleh berkongsi apa yang membawa kepada pembuangan dan tahanan di bawah ISA?
Juliet: Saya kira aktiviti Kesatuan Mahasiswa di Universiti Singapura pada 1974 telah didokumentasi dalam pelbagai penerbitan, yang sebahagiannya boleh atau mungkin boleh diakses atas talian pada masa akan datang. Kami mengubah budaya di dalam Kesatuan Mahasiswa; ketika minggu orientasi, kami menghapuskan budaya ragging dan tidak menjalankan pertandingan Ratu Cantik Freshie. Sebaliknya, kami mengadakan kem untuk mahasiswa baru untuk mengetahui perihal masyarakat terpinggir. Kami mencabar kerajaan Singapura mengenai harga tiket bas yang melambung dengan melakukan kempen meraih tandatangan daripada orang awam; kami bersama-sama bekerja dengan kesatuan lain daripada peringkat pengajian tinggi di Singapura – Nanyang Universiti, Politeknik Singapura, dan Kolej Ngee Ann; saya kagum sekali dengan kekurangan sikap elitisme daripada Politeknik dan Ngee Ann (berbanding kami yang berada di universiti) dan dirangsang oleh semangat dan tenaga kerja mereka. Kami mengadakan perbincangan dan forum dan menjemput, antaranya Chandra Muzaffar dan Dr Poh Soo Kai (semasa pertama kali dia dibebaskan selepas 11 tahun). Kemudiannya hadir ke Tasek Utara, sebuah kawasan perjuangan miskin bandar di Johor Bahru; kami menyokong petani di Baling melakukan demonstrasi di Kedah; juga menyokong pekerja yang diberhentikan daripada American Marine dan menubuhkan Pusat Penyelidikan Pemberhentian Pekerja di USSU. Tahun 1974 berakhir dengan tiba-tiba di mana saya diusir pada 11 Disember bersama-sama dengan empat pemimpin pelajar lain warganegara Malaysia pada malam sebelum perbicaraan Tan Wah Piow, presiden yang menggantikan saya dalam USSU, kerana merusuh – satu cara untuk memusnahkan aktivisme pelajar di Singapura. Di seberang tambak, kesatuan pelajar yang bergabung dengan kami juga menghadapi tindakan yang sama di mana polis menyerbu kampus dan memukul pelajar, termasuk wanita di kolej kediaman dan penangkapan beramai-ramai penunjuk perasaan mahasiswa yang berlaku di luar Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Setelah diusir dari Singapura, kami diserahkan terus ke Cawangan Khas Malaysia di seberang tambak Johor Bahru. Ditahan bawah ISA merupakan satu lagi peristiwa penting dalam hidup saya. Ia mengambil satu bab panjang untuk menceritakan pengalaman itu dan bagaimana ia membentuk saya selepas itu. Sudah tentu, ianya pengajaran yang tidak ternilai mengenai penindasan dalam perjuangan untuk keadilan dan keamanan. Saya hanya mampu berharap yang ianya tidak begitu menyakitkan untuk ibu bapa saya.
Fadiah: Anda terpaksa mencari suaka politik di Perancis lalu melepaskan kerakyatan Malaysia yang dimiliki. Boleh kongsikan kepada kami apa perasaan berada dalam situasi segenting itu?
Juliet: Seorang peguam berbahasa Perancis di Brussels pernah memaklumkan bahawa saya tidak pernah mengemas beg saya! Mungkin itulah yang terbaik untuk menjelaskan keadaan saya semasa berada di luar negara. Saya tak pernah tinggal tetap. Seringkali hanya singgah.
Namun, realiti mendesak untuk saya meneruskan hidup. Ini melibatkan soal asam garam kehidupan. Setibanya di Perancis pada April 1983 ketika ianya dianggap menjadi tanah suaka yang dibanggakan, ianya tidaklah terlalu sukar. Saya menerima wang gaji yang hanya separuh daripada gaji minima untuk enam bulan yang pertama. Namun bagi saya, yang seringkali hanya membungkus makan tengahari, serta jalan berbatu jauhnya untuk menyimpan wang, saya tidak kisah. Mungkin satu-satunya kesesalan saya adalah tidak mampu untuk menyumbang kepada kebajikan kedua ibu bapa saya. Mujur, adik perempuan saya yang berada di sana bersama mereka dan tidak sedikit pun cemuhan daripada mereka. Sebaliknya, mereka sangat mengambil kisah terhadap saya.
Saya perlu belajar bahasa Perancis dengan cepat dan mendaftar di Universiti Paris VIII untuk melengkapkan pengajian sarjana muda saya lantaran diusir daripada Universiti Singapura tanpa sempat menyelesaikan ijazah saya. Lebih tepat lagi, saya seorang pelajar senibina yang gagal pada tahun kelima saya yang terakhir.
Daripada satu sudut, saya bersyukur kerana tidak mendarat di UK di mana Margaret Thatcher menikmati masa penggal kedua dan mengangkat neo-liberalisme, memusnahkan sistem keselamatan sosial pasca Perang Dunia Kedua di UK. Ianya cukup mengejutkan bagi saya melihat wanita muda berkulit putih di dalam kedinginan musim sejuk di pinggir bandar London, bergelandangan dengan bayi mereka.
Benua Eropah dan Perancis mungkin menjadi cabaran kerana mereka bukan daripada khalayak berbahasa Inggeris. Namun dengan mengenepikan sikap Inggeris-sentrik, hasilnya cukup lumayan secara intelektual. Claudine Salmon, isteri Denys Lombard (Pakar Perancis-Indonesia) yang juga merupakan seorang penyelidik di dalam bidangnya pernah mengatakan bahawa negara yang Inggeris-sentrik seringkali menganggap semua orang kulit putih mampu berbahasa Inggeris. Sempit sekali pandangan kita. Bagi Denys Lombard, sungguh menyakitkan apabila melihat karyanya diguna pakai oleh diktator Suharto, yang dengan berkat Amerika, telah membunuh 500,000 hingga sejuta jiwa di depan pintu rumah kita pada 1965.
Perancis juga merupakan sebuah negara di mana bermulanya amukan gerakan pelajar dan pekerja pada Mei 1968 merentasi Eropah. Boleh dikatakan, ianya sebuah revolusi kebudayaan di Perancis. Guru wanita merenggut kebebasan untuk tidak menyanggul rambut mereka seperti bun mahupun memakai stoking dan bukan seluar semasa musim sejuk! Universiti-universiti awam dijadikan terbuka untuk golongan miskin (walau sistem dua landasan masih wujud di mana politeknik untuk golongan elit terus bergerak); yuran sekolah rendah, serta kaum ibu dan orang tua diterima semula ke universiti. Upacara pengijazahan yang elit dengan gaun dan topi juga dimansuhkan.
ESCAR (Essential Security Cases Regulations) masih digunapakai di Malaysia setibanya saya di Perancis dan saya melibatkan diri di dalam kempen menentangnya. Seorang budak lelaki berusia 14 tahun, didakwa bersama sepucuk pistol dan akan digantung. Teman dari Malaysia dan Singapura yang bekerja melalui KHEMAS (kumpulan kerja Hak Asasi Manusia Malaysia-Singapura) melobi Parlimen Eropah. NGO hak asasi manusia Perancis pula menawarkan bantuan. Begitu juga wartawan Patrice de Beer dari Le Monde, yang telah saya temui ketika berada di rumah Usman Awang, tempat saya tinggal selama beberapa bulan, setelah dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting. Kemudian, kami menganjurkan FIDH (International Federation of Derma de l’homme – Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa) untuk misi mencari fakta di Malaysia. Kami berjaya menghasilkan laporan yang masih saya simpan. Delegasi mengalami gangguan yang teruk daripada unsur pro-kerajaan.
Sudah tentu, apa saja pengalaman saya sewaktu tinggal di Perancis tidak lengkap tanpa menyebut komrad restoran Indonesia di Rue Vaugirard di Paris, sebuah tempat di mana saya bekerja selama beberapa tahun sebagai pekerja sambilan; dan juga komrad dari Filipina yang melarikan diri daripada Marcos yang saya bantu untuk menetap di Paris. Hari ini mereka mempunyai autobiografi memperihal perjuangan mereka yang berjudul Subversive Lives yang saya diberitahu akan dijadikan sebagai sebuah filem. Saya belajar banyak perkara untuk diri dan daripada perjuangan mereka. Sekali lagi, perenggan yang singkat ini tidak memberi keadilan dalam menggambarkan solidariti yang saya peroleh daripada mereka dan yang lain sebagai seorang pelarian dan buangan.
Fadiah: Kenapa anda pulang ke Malaysia?
Juliet: Ianya rumah. Inilah tanah tempat saya lahir, dan dibesarkan; sungguh saya mahu mengenalinya lebih dalam, berharap yang saya dapat membuat lebih banyak kebaikan untuknya.
Sebagai seorang etnik Cina berwarganegara Malaysia (walau mungkin ada darah Carribean yang mengalir di dalam keluarga katanya), bagaimana rasanya diusir sebagai seorang pendatang? Malahan di kalangan bangsa Cina sendiri, saya dipinggir kerana hanya mampu berbahasa Inggeris dan tidak cukup fasih berbahasa Cina. Saya merenung panjang persoalan ini dan sewaktu berusia sepuluh atau dua belas tahun, saya sedar, tanpa berbasa-basi seorang warga Malaysia dan Cina.
Begitu juga, dengan isu perkauman yang saya tolak – satu yang saya menemui sendiri adalah sikap makcik saya yang kaya serta rasis di mana dia mengejek budaya orang lain selain daripada budaya orang Han. Saya perhatikan bagaimana pemimpin-pemimpin utama parti-parti berasaskan kaum Perikatan, yang kemudian menjadi anggota Barisan Nasional, mereka sangat akrab; jadi bagaimana kita kemudiannya dipisahkan di bawah angkara kaum dan agama?
Saya memasuki sekolah rendah pada tahun 1957 – tahun kemerdekaan negara kita. Saya masih ingat semangat kami untuk belajar bahasa kebangsaan, keterujaan kami membaca Dewan Pelajar bulanan; bagaimana kita mengharapkan pertumbuhan bahasa Melayu dan penyeragamannya dengan bahasa Indonesia yang dijalankan oleh Dewan Pustaka dan kerjasama rakan di Indonesia yang semuanya berakhir akibat Konfrontasi pada tahun 1963. Kita adalah negara yang sedang dibentuk. Hari ini, setelah segalanya terhenti dan terhalang sekian lama, saya berharap rakyat Malaysia dapat maju ke hadapan dalam pembangunan bangsa, arif dan penuh toleran, dengan ruang demokratik yang ditancap PRU14 lalu.
Saya tidak berupaya memperjuangkan semua nasib orang lain (misalnya, segelintir pemuda atau selebriti Amerika yang memanggil untuk pembebasan Tibet, namun mengabaikan perjuangan Orang Asal Amerika di tanah mereka sendiri.)
Soal lain yang juga saya dekat adalah pembebasan wanita. Namun, pastinya seseorang boleh merasa Terasing dalam Feminisme apabila ia dirampas oleh feminisme kulit putih.
Saya telah tinggal dan bekerja di empat buah benua dan Malaysia masih berada di hati saya.
Fadiah: Tidak diragui lagi, anda telah melalui saat-saat yang cukup kejam, tidak berperikemanusiaan, dan mencalar maruah. Walau berhadapan dengan segala macam ujian, anda dapat mengatasi segalanya. Apa yang mendorong anda? Nasihat seperti apa yang ingin anda kongsi buat mereka yang meniup ertinya keadilan dan pembebasan?
Juliet: Orang miskin akan sentiasa berada di kalangan kita. Mereka tidak punya pilihan lain seperti kita, sebagai intelektual, untuk menyerah kalah dalam perjuangan dan kembali ke kehidupan kelas menengah yang selesa. Selepas insiden Dataran Tiananmen pada tahun 1989 di Beijing, mahasiswa yang menentang di Cina kemudian melarikan diri ke Amerika dan Eropah di mana mereka telah diangkat sebagai pahlawan untuk demokrasi. Apabila kehabisan duit, mereka kemudiannya membuat kacau semata-mata mahu kekal relevan. Sesuatu yang memalukan. Ketika saya bersuaka politik di Perancis, sesuatu yang serupa bermain dalam fikiran bahawa “Jika anda tidak mencapai sesuatu ketika berumur 30 tahun, anda tidak akan berjaya selamanya” di kalangan teman saya. Mujur, segalanya sudah terlambat buat saya. Saya sudah pun berusia 31 tahun, bahkan tidak memiliki ijazah sarjana muda yang boleh dipasarkan di negara berbahasa asing mahupun kekayaan yang diwarisi daripada keluarga atau pendukung. Tidak mungkin saya boleh berfikir seperti ini, tidak kira betapa bersungguhnya saya untuk mencubanya. Jelas, ianya bukan satu pilihan.
Teman-teman adalah amat berharga dan lebih daripada itu, merekalah yang sepatutnya menjadi rakan seperjuangan. Malangnya, seperti yang dikatakan oleh Augustus Caesar mengenai Brutus, “Ianya luka yang paling dalam daripada kesemua yang terjadi”. Sekurang-kurangnya Brutus ikhlas dalam motivasinya. Luka ini pasti akan datang. Soalnya apa kita akan mengharunginya atau meninggalkan perjuangan dalam kepahitan?
Sudah tentu, sebagai wanita dalam perjuangan kita juga menghadapi masalah misogini daripada teman-teman lelaki. Mereka tidak akan mengakuinya; bahawa mereka menganggap hujah kita tidak bermakna; atau bahawa mereka akan memperolok-olokkan kita. “Dia memang suka berlagak” seringkali dilemparkan pada saya.
Pasti wujud percanggahan di antara teman dan komrad. Dan kita tidak perlu berasa sentimental.
Sebagai seorang yang menjadi musuh kepada kekejaman yang tidak berperikemanusiaan dan mencalar maruah, kita sudahpun memilih jalan, (“jejak yang tidak ditanggapi” seperti yang ditulis Robert Frost), pasti kita akan mengharungnya. Kesedaran atau pandangan alam saya telah saya gapai dengan akibat yang cukup besar terhadap diri saya serta ibu-bapa saya. Ianya cukup bermakna bahawa jika saya hidup semula untuk menjalani kehidupan ini, saya masih akan memilih untuk menelusurinya.
Telah banyak yang membantu sepanjang perjalanan saya, kepada ibu bapa dan adik saya – kepada mereka semualah, saya sentiasa bersyukur. Saya hanya boleh melunasi kepercayaan mereka dengan tidak membiarkan mereka kecewa.
Dan hakikatnya bahawa wujud generasi muda di Malaysia yang mencari dan berjuang untuk masa depan yang bermaruah untuk semua tanpa mengira kaum atau agama di Malaysia sudah cukup menjadi jaminan bagi saya untuk meninggalkan dunia dengan senang! Saya percaya bahawa hadirnya kalian pasti menjadikan dunia sebuah tempat yang lebih baik.
