Pekan Mimpi
Tahun ini kembali dapat menjenguk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019, setelah gagal menyertai Jemaah bibliofilia berbondong-bondong bertawaf di PBAKL tahun lalu. Lokasinya ialah jantung PBAKL sekian kurun lamanya, Putra World Trade Centre yang berdiri gah di sebelah bangunan UMNO. Bersebelahan Sunway Putra Mall dan mudah diakses dengan LRT. Seperti biasa aku cuma pengunjung yang menyelit dicelah keriuhan gegak gempita buku dan manusia.
Melewati pelbagai reruai, ya sekarang orang sudah mula panggil reruai dan bukan lagi booth seperti dahulu, reruai pertama yang akan menyapa pengunjung selalunya buku-buku antarabangsa dan kanak-kanak di ruangan bawah. Meriah dengan kanak-kanak yang dibawa ibubapa masing-masing dan kanak-kanak sekolah yang datang diselia guru masing-masing dengan harapan anak semua bangsa kita akan mendakap ilmu dan memegang buku. Kemudian melalui pula pentas yang membicarakan entah apa aku kurang tahu, sekali imbas terlihat seperti pengacara seorang jurujual yang hendak melariskan produk MLMnya sekali imbas seperti sedang mengajar peserta bermain game diatas pentasnya, yang mana satu mungkin anda yang menyinggah boleh menjawapnya.
Aku cuba pergi ke reruai-reruai buku yang menarik minat aku. Berselisih dengan ramai orang, dan disapa jurujual yang bertanyakan status perkahwinan (kerana hendak menjual produk untuk anak-anak), aku cuma boleh geleng kepala, mungkin adik ni perlu belajar guna teknik yang lebih sesuai untuk menyapa pelanggan sebelum dia digelakkan oleh orang lain, fikirku diam-diam. Sempat bersembang dengan jurujual di Gerakbudaya (okay aku memang paling suka kedai buku ini) dia memberitahu aku banyak buku terjual ialah buku ilmiah berbahasa Melayu, yang mana merupakan satu perkembangan positif. Pertama, ini bermakna makin ramai pembaca yang medan komunikasi Bahasa Melayu cenderung membaca buku-buku ilmiah, dan kedua, lebih ramai orang mula menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ilmu secara serius dalam ruang awam, iaitu mengilmiahkan pemikiran masyarakat atau tidak keterlaluan dikatakan bertambahnya ‘critical mass’. Usaha ini memang telah lama ada, namun aku gembira melihat ia semakin disambut oleh para pembaca dan jumlahnya makin merancak.
Dalam sembang-sembang dengan teman pula ramai yang mengakui reruai Kafilah Buku merupakan reruai paling menarik, barangkali kerana banyak menjual buku Syed Naquib Al-Attas(?) atau kerana mengambil inisiatif menerbitkan terjemahan kitab-kitab lama yang wajar dipuji, atau mungkin kerana paling banyak beri potongan diskaun!. Malah ada beberapa reruai lain seperti IlhamBooks, Gerakbudaya, ISSI (buku terbitan IBDE di reruai IlhamBooks) juga menawarkan buku-buku yang berkualiti. Dan kebanyakkannya buku yang menggunakan Bahasa Melayu!.
Kemudian, perkara yang tak kurang menarik bagi aku ialah melimpah ruahnya pengunjung yang mengunjungi reruai The Patriots. Golongan ini diterajui oleh anak muda dan boleh dikatakan secara amnya berfikiran ‘konservatif’ dan pro-Bumiputra. Memandangkan ada buku berkualiti yang diterbitkan oleh golongan ini dan ramainya anak muda yang menyokong mereka, nampaknya ada persaingan sihat dengan kedai buku indie (Benderung Indie dll) yang selama ini melabelkan diri mereka kiri. Malah bagi aku kumpulan ini wajar diberikan kredit kerana tiada cara promosi yang menjatuhkan pihak lain dilakukan, mereka berdiri diatas kaki sendiri dengan terbitan buku daripada individu-individu yang popular dan mempunyai gagasan pemikiran sendiri. Adakah ini bermakna golongan anak muda ini akan pergi lebih jauh dan mencorakkan pemikiran anak muda massa? Memandangkan sambutan yang mereka terima sekarang? Kita tunggu dan lihat berapa jauh mereka mampu mengembangkan potensi diri.
Seorang teman juga ada menyuarakan mengenai reruai dan buku-buku indie-Islamik, jadi aku dapat lihat ketiga-tiga kecenderungan (kurang tepat hendak dikatakan aliran) iaitu konservatif, kiri dan Islamik kini kelihatan ‘indie’, atau ‘hipster’ (barangkali ini boleh dibincangkan dalam ruang yang berlainan), iaitu kesemuanya sesuai dengan imej anak muda. Aku minta maaf kerana kurang mengikuti scene Islamik indie ini tapi melalui jualan buku, promosi dan pengunjung boleh dikatakan boleh tahan meriah sambutannya dan memang ada pengikut dalam kalangan anak muda. Tepuk dada tanya selera.
Aku juga tertarik dengan reruai Kata-Pilar Books yang menyajikan karya-karya daripada para pengamal perubatan, dan bersifat mendidik, yang paling penting dalam Bahasa Melayu dan santai!. Sekadar menyebut contoh buku, Buku Pink 2.0, Diet-licious! 2.0, Untuk Kegunaan Luar 1.0: Gargle, Untuk Kegunaan Luar 2.0: Losyen, Kilo vs Kalori, Anekdot & Antidot: Catatan Doktor Rehabilitasi, dan Skrub Biru: Kronikel Seorang Doktor Bius. Nampaknya para doktor dah buktikan pada kita walaupun kerjaya doktor adalah kerjaya yang dikatakan sibuk gila tapi mereka tetap ada masa untuk diluangkan menaip papan kekunci demi menyebarkan pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan kepada masyarakat. Hanya satu kata: Kagum!. Semoga penat lelah terbayar dengan meramaikan masyarakat yang mempunyai kepala otak lurus dan bukan geng vaksin. Aku juga perlu kredit penulis yang menulis topik atau sarjana dalam bidang sains seperti buku The Physiccist Oddyssey karya bersama Zamir Mohyedin & Muhammad Musoddiq Jaafar kerana memperkenalkan sarjana fizik dengan orang awam. Penulisan-penulisan topik perubatan dan sains dengan konsep santai merupakan fenomena yang sihat yang perlu diraikan oleh masyarakat.
Pun begitu aku agak kesal dengan beberapa usaha menterjemahkan semula karya-karya yang tidak progresif seperti Seni Membimbing Wanita, Adab-Adab Perempuan (bukankah lebih baik jika dikatakan adab-adab insan? Kerana lelaki dan perempuan perlu punya adab dan perlu ditekankan sama berat) dan beberapa lagi yang mampu buat kening aku naik dan membulatkan mata kerana terkejut karya sebegini diulang sebar. Apa kata buang yang keruh ambil yang jernih daripada tradisi lama dan sesuaikan ikut zaman, bukankah lebih molek?.
Tetapi aku tetap juga nak nyatakan kekesalan dengan apa yang terjadi tahun ini apabila reruai Thuku Cetak meletakkan nama seorang individu dengan posting Facebook beliau yang bersifat negative. Padahal dalam posting tersebut ada kritikan dan ada juga hal positif diutarakan, tapi dipotong dan menampakkan ia seperti cemuhan saja. Bagi aku ini pembulian yang tidak beretika dan bertamadun, memandangkan kita sedang bercakap tentang industri yang sepatutnya membentuk ketamadunan. Aku secara peribadi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji ini.
Reruai Benderung Indie bagi aku idea baik merumahkan beberapa penerbitan kecil (kiri) bersama untuk berjualan buku. Cuma aku tertanya-tanya apa jadi pada penerbitan yang dikatakan melingkup dan tutup kedai itu. Jujurnya, buku-bukunya bagi aku setakat ini masih tiada kelainan (terutama fiksyen) dan selera tekak aku belum boleh masuk dengan karya-karya fiksyen indie yang kelihatan terlalu mencuba (try too hard) kecuali sangat sedikit tapi ada yang bagus dan dinanti-nantikan.
Berkait pengisian, aku tidak dapat menyertai mana-mana pengisian kerana kekangan masa. Tapi aku suka dengan tajuk-tajuk pengisian di reruai Republik Buku yang mengetengahkan perbincangan topik-topik berkualiti, dan juga reruai Rehat dan Baca (bagi aku ruang ini sangat ‘cool’!). Cuma aku mengharapkan di masa akan datang banyak pengisian dilakukan secara kerjasama di antara penerbit, atau mungkin boleh buat hangat sikit macam debat tetapi secara positif. Mesti lebih menarik.
Aku yang membelek-belek buku tentang politik Indonesia akhirnya disapa seorang teman yang memujukku membeli sebuah buku tulisan seorang aktivis veteran – yang aku fikir bilangan pembenci dan pemujanya sama banyak – dan sama fanatik. Termakan pujuk helah teman aku tadi, yang sememangnya pintar memujuk rayu, aku angkat satu dengan tandatangan penulisnya sekali!. Hah, selesai PBAKL tahun ini untuk aku.