Azura Nasron
Apa pun yang dikatakan para sejarah atau intelektual, cerita tetaplah cerita. Sebuah fiksyen yang harus memainkan peranan tokok dan tambah untuk menarik minat ramai. Begitulah dengan filem Kesari. Sebuah filem yang berlatarkan cerita sebenar, sejarah peperangan Saragarhi pada tahun 1897. Peperangan ini merupakan peperangan antara Empayar British yang menjajah India pada zaman itu dan suku kaum Afghan. Ia berlaku di tempat kita kenali sebagai Pakistan hari ini. Tentera Sikh pada waktu itu berjuang bagi pihak tentera India British melawan Kaum Pashtun. Saragarhi pada waktu itu hanyalah tempat komunikasi antara dua kubu, iaitu Gulistan dan Lockhart. Maka, hanya sedikit saja tentera diletakkan di Saragarhi kerana peranannya yang kecil.

Pada 12 September 1874 pembawa berita menyebarkan maklumat bahawa ada suku-suku yang akan mula berkumpul, menyatu kekuatan bagi memulakan serangan. Maka mesej dihantar dari Saragarhi ke Gulistan. Tetapi sayangnya, tidak ada bantuan yang boleh dihantar dengan segera. Paling lewat bantuan hanya akan sampai pada keesokkannya. Namun itu tidak menghalang askar-askar Sikh yang sangat berani daripada menentang pasukan penyerang yang banyak. Havildar Ishar Singh yang merupakan Ketua Rejimen Sikh-36 menolak tawaran laluan yang selamat dengan melarikan diri dan memilih untuk mendepani musuh. Maka, 21 orang askar di Saragarhi ini telah memilih untuk melawan 10,000 ribu tentera tanpa mengalah, sehingga titisan terakhir selama enam jam bermula dari 9 pagi. Seorang demi seorang jatuh di tangan para musuh. Hinggakan kulit-kulit di jari mengelupas, melecet berdarah menekan punat senapang sampailah berdarah ditembak bertubi-tubi di badan.
Ya Bhagwan, siapa saja yang akan ada semangat dan kekentalan begini?
Jawapannya barangkali tidak lain tidak bukan mereka yang mempunyai kefahaman yang jelas mengapa mereka mahu melawan. Kata Sun Tzu di dalam Art of War;
“Know the enemy and know yourself; in a hundred battles you will never be in peril. When you are ignorant of the enemy but know yourself, your chances of winning or losing are equal. If ignorant both of your enemy and of yourself, you are certain in every battle to be in peril.”
Begitulah, dalam apa-apa perjuangan sekali pun. Harus ada kefahaman yang jelas. Ya contohnya, mengapa kita berjuang? Siapa yang sedang kita lawan? Apa itu penindasan? Siapa yang menindas? Apa yang tertindas? Soalan-soalan begini mungkin remeh dan sering dipandang rendah tetapi itulah sebabnya ramai akhirnya kalah atau mengalah dalam perjuangan.
Dalam cerita ini jelas menunjukkan bahawa dalam apa-apa perjuangan pun setiap orang memainkan peranan masing-masing mengikut kekuatan masing-masing. Dalam satu babak, Ishar Singh mengarahkan tukang masak untuk menuangkan air di mulut-mulut mereka (pihak lawan) yang sakit di tembak dan tersungkur di medan perang. Katanya lagi, kalau betul kamu seorang yang kuat dan berani lakukanlah walaupun berat, kerana sebelum mereka ditembak memang mereka adalah musuh-musuh kita, tetapi setelah ditembak mereka hanyalah manusia yang ingin terus hidup atau mati dalam ketenteraman.
Di akhir babak perlawanan, Ishar mengoyakkan lencana leftenan di tangan kanannya. Kata beliau, peperangan ini bukanlah peperangan demi British lagi tetapi demi kita semua, supaya selepas ini kita bukanlah hamba tetapi akhirnya bebas seperti sungai-sungai yang mengalir. Juga peperangan ini demi mereka semua yang tertindas, demi masyarakat dan komuniti yang lain. Perkara ini sebenarnya perkara besar yang dilakukan olehnya. Seperti yang kita ketahui, askar selalunya akan “melanggan” kepada idea pemerintah dan akan kekal dengannya dalam apa juga keadaan sekalipun. Termasuklah jika mereka diarahkan untuk membunuh kaum atau bangsa mereka sendiri. Juga, bagi Ishar peperangan ini bukanlah peperangan untuk masyarakat Sikh, nasionalis atau sebagainya. Akan tetapi beliau begitu menekankan tentang kemanusiaan itu sendiri.

Benar, hanya orang-orang yang memahami perkara ini sanggup bertahan melawan 10000 musuh di hadapan sekalipun. Biarpun gentar, akan tetapi atas dasar percaya mereka teruskan.
Semasa dalam peperangan, ketua para musuh telah mengatakan bahawa mereka tidak akan menang peperangan ini. Mereka akan melutut dan merayu untuk hidup dan nyawa mereka. Tapi kata Ishar lagi;
“Jeet toh hum tab hi gaye the jab humne ladne ka faisla kiya tha, baaki toh marna maarna hai, chalta rahega”
Kami telah menang peperangan ini disaat awal lagi apabila kami memilih untuk melawan. Yang tinggal lepas kemenangan itu hanyalah pembunuhan dan kematian, itu sahaja yang akan berterusan.
Tentera terakhir yang bertahan adalah Gurmukh Singh yang pada waktu itu berumur 19 tahun. Paling muda antara mereka 21 orang. Sempat beliau menghantar pesanan terakhir ke Gulistan.
Bagi, seorang Islamis, mungkin mereka akan melihat cerita ini seperti sebuah kritikan kepada Islam. Bagaimana seorang mullah menggunakan jihad untuk menuntut sempadan, membunuh dan menghalalkan darah para kufar. Dalam cerita ini, mullah ini akan membaca Al-Fatihah sebelum memulakan apa-apa.
Apa pun, sebagai seorang Islam, kita harus percaya agama ini bukanlah seperti ini. Sebaliknya ia adalah manifestasi-manifestasi kekuasaan yang mempergunakan agama itu sendiri. Malah perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang Islam, tetapi semua agama. Apa pun lihatlah cerita ini dengan mata kemanusiaan.
Berita tentang keberanian mereka telah sampai ke Parlimen di Britain. Britain akhirnya menganugerahkan semua 21 orang ini dengan Highest Military Honours, The Indian Order of Merit. Dua gurdwara dibina untuk memperingati mereka. Satu di Amritsar dan satu lagi di Ferozepur Cantonment. Sehingga kini juga 12 September setiap tahun akan diraikan sempena mengingati keberanian 21 tentera ini.