Izzah Dejavu

“UNTUK jiwa-jiwa marah pada ketidakadilan dan ketidaktelusan. Untuk jiwa-jiwa luka dan sendiri. Ketahuilah, tidak ada cinta yang lebih besar melainkan cinta dan jiwa yang selalu ingin dekat pada keadilan, kerana kebenaran itu bersamanya adalah keadilan.”

Di negara mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen, di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama rasmi dan majoriti dianuti kaum Melayu umum maklum telah melangkah pada 1 Ramadhan. Tidak peduli pada mereka yang bersedia awal, atau mereka yang masih belum bersiap-siaga menjalani ibadah berpuasa, atau mereka yang tidak merasa apa-apa, semuanya memasuki Ramadhan berbondong-bondong. Demikian kerana, jika ada orang yang datang kepadamu, lantas mengatakan dia di bulan Zulkaedah pasti aneh.

Menjalani ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan haus tetapi juga menuntun berpuasa daripada kejahilan, ketamakan, bangga diri, sikap seksis, prejudis, diskriminasi serta haus akan kekuasaan, baik daripada kekuasaan negara mahupun kekuasaan kerana keistimewaan (privilege) yang dimiliki lebih daripada orang lain. Agama dan kepercayaan bukanlah hal yang boleh dipaksa-paksa dan dimarahi. Justeru ibadah puasa ini tidak dapat dilakukan oleh orang lain, melainkan dengan ikhlas jiwa, autonomi diri dan kebebasan berfikir tubuh pengendalinya sendiri.

Bacalah dengan Nama Tuhanmu

Baru-baru ini, ketika di kampung halaman, aku nyatakan pada ibu dan ayah,

‘Mufti Libya dan Kesatuan Imam-Iman Tunisia telah mengeluarkan fatwa untuk memboikot mengerjakan Haji kali ke-2 dan umrah kerana hasil wang itu digunakan Arab Saudi yang telah membunuh jiwa manusia dalam peperangan dan konflik. Jadi tenang saja.’

‘Ha, itu kalau hang bagitahu, habislah hang kena cop sesat!’

Iya, tapi itu kerana tidak ada orang yang benar mahu jujur nyatakan tentang dunia dan sisi lainnya. Sejak kecil kita jadi terbiasa mengikuti satu aliran faham agama, jeleknya ditentukan oleh pemerintah yang punya ratusan bahkan jutaan kepentingan kekuasaan dan diri.

Kita juga terbiasa kalau tidak PUTIH itu HITAM, kalau tidak YA itu TIDAK, kalau DIAM, tandanya SETUJU. Seolah kemampuan akal kita itu terhad sedangkan akal adalah anugerah Tuhan untuk hambaNya berfikir. Jika tidak, mana mungkin ayat pertama yang turun daripada kalamNya adalah ‘Iqra!’ (Bacalah!) yang pasti bukan tugas remeh, untuk membaca, menghadam, menganalisa, mengkritik agar natijahnya berlaku proses pemikiran (thought process).

Hormati yang tidak Puasa, Hormati yang Merokok

Aku kira begitu juga reaksinya dalam Ramadhan ini jika ada yang tampil ke depan, lalu meminta masyarakat menghormati yang tidak berpuasa dan hormati yang merokok.

Kita sudah biasa berbicara hal seperti apa tudungnya dipakai, kalau tudungnya belum dipakai dikafir-kafirkan, dihina pamer gambarnya kerana hati busuk hanya mahu mencari kepuasan mengundang jemaah masyarakat lain menghina nista. Kalau tudungnya sudah dipakai, kita sibuk mencari pita ukur mahu tahu seberapa labuh. Lalu kita sibuk lagi, apa solatnya cukup, apa malam tadi dia tahajud, dia bobok (tidur) sama siapa, apa si fulan/fulanah kaki kelab atau juara sukan… ini bukan anjuran agama, hanya ini saja anjuran agama bablabla kerana masyarakat (yang berfikir dan bersuara dengan nada pemerintah) serta ahli politik yang fikir dirinya jaguh masyarakat tugasnya cuma memfokuskan diri pada hal-hal dosa pahala kerana hal yang besar-besar selalunya sulit untuk dinyatakan, dibincangkan bahkan akan selalu menjadi topik asing/tidak popular.

Nanti kita pasti mendengar sendiri, apakah kelantangan ‘rahmatan lil’alamin’ (Rahmat Buat Semua) yang lebih pantas kedengaran atau kata nista amarah jiwa ‘pejuang’ yang katanya membela tuhan dan kedaulatan agama? Lebih besar sikap siddiq, amanah, tabligh, fathonah atau sikap fasik dan munafik? Yang lebih menonjol itu akhlak baik atau akhlak buruknya? Tidak ada jawapan buat persoalan-persoalan di atas kerana ia sulit.

Mensyahadati Islam itu bukan saja dinilai dalam perilaku, bahkan juga dalam semaian jiwa serta fikiran manusia. Tidak ada satu manusia pun dapat membaca isi hati dan naluri manusia lain, kecuali Tuhan Yang Maha Kuasa. Justeru, setiap ibadah adalah kesunyian masing-masing yang sepi daripada pandangan manusia. Cuma momen/saat berdua dengan Tuhan.

Argumen-argumen majoriti sila sekian, sekian dengan alasan ‘menghormati ibadah’ adalah satu bentuk pemaksaan. Memaksa manusia lain menghormati ibadah kamu sama seperti mahu memenangani perlumbaan mendamba pengakuan daripada sesama manusia, bukan pengakuan daripada Tuhan.  Bukankah puasa itu soal mengendalikan diri sendiri, bukan mengendalikan orang lain? Tidakkah beragama itu bagus, tanpa merasa dirimu yang terbaik? Jika seorang pemabuk, pendosa bahkan penzina juga berhak mencintai Allah, lalu siapa kamu dalam menilai urusan hamba dan Tuhannya?

Solidariti Sosial

Awal tahun Januari 2019, ada satu berita yang sampai hari ini selalu muncul difikiranku dan  belum sempat aku menulis di mana-mana. Ingatkah kita akan 2 orang yang meninggal kerana mahu mendapatkan kupon makanan. Ingat dan tahukah kita akan nama mereka? Hanya beberapa laman berita yang menulis hal ini, dan menulis nama mereka. Aku kira tidak sampai dua hari, berita kematian 2 orang ini sunyi daripada media dan seluruh Malaysia. Setiap pagi adalah pagi yang baru. Penderitaan, kesusahan, keperitan, jalan-jalan buntu, gelap malam, sunyi sepi adalah cerita yang jarang dibahagi. Yang mahu dibahagi hari itu cuma 200 kupon makanan percuma, tetapi yang hadir itu 1000 orang. Fikiranku masih belum berhenti-kira-kira berapa peratuskah manusia yang tidur kelaparan malam itu dan saat kamu membaca tulisan ini?

Ketika Mufti Libya dan Kesatuan Imam-Imam Tunisia mengeluarkan fatwa memboikot mengerjakan Haji kali ke-2 dan umrah atas faktor Arab Saudi yang tak henti-henti menyerang, ingatkah kita pada tindakan Arab Saudi yang melakukan serangan ke atas Yemen, dan mengenai satu bas sekolah yang membawa kanak-kanak yang bakal bergraduasi. Tahukah kita siapakah 40 anak-anak yang syahid dan 56 orang yang cedera itu? Tahukah dunia tentang nyawa dan kegembiraan mereka yang telah dirampas? Mengikut World Report 2019, di Yemen kini, 14 juta manusia berhadapan dengan risiko kelaparan dan kematian, 6872 manusia terbunuh angkara perang dan dianggarkan 3 juta perempuan menghadapi risiko kegananasan sejak awal 2018. Anehnya, sebahagian kita fikir ini soal Amber Heard-Johnny Depp? Ke mana pergi analisa sosial? analisa kelas? Perbandingan Marx dan Weber? Sosialis yada-yada? Sudah tenggelam dan larutkah ia dalam lapar, gelojoh dan rakus kamu menjulang panji-panji ke-egoan sendiri?

Tidak ada persoalan buat anak muda dalam artikel ini kerana aku mengerti aku dan jutaan anak muda lain sedang berusaha memperbaik status ekonominya. Cuma menurutku lebih lengkap dan sempurna jika usahanya kita juga sepantas itu dalam menyembuhkan kebutaan hidup dan cara pandangnya. Ibadah puasa lebih daripada menahan lapar dan haus. Ibadah puasa turut menuntut usaha membuang kejahilan, ketamakan, bangga diri, sikap rasis, sikap seksis, prejudis, diskriminasi serta rasa dahaga menghirup kekuasaan.

Tidak ada beza 1 Ramadhan di New York mahupun Malaysia, kerana di manapun, baik yang kamu namai kota Islam atau negara kafir, ibadah puasa milik mutlak antara urusan hamba dan Tuhannya. Tidak ada ertinya mendaulatkan sultan itu sama seperti mendaulatkan agama. Beratus-ratus tahun agama tidak pernah lari daripada kita, tetapi yang banyak adalah kita yang berlari meninggalkan agama dengan menanggalkan kedaulatan daya fikir serta memberi autoriti diri kepada selain Tuhan.

Mudah-mudahan, dengan memaknai puasa pada pengertiannya dan sentiasa memperdalam ilmu, kita semua akan seiring dalam membina solidariti sosial menuntut keadilan untuk masyarakat dan dunia yang lebih saksama, membangun dan mendidik manusia menjadi manusiawi.

Kata Cak Nur dalam sebuah khutbah Jumaat,

‘Kalau kau tanam jagung, tunggulah tiga bulan baru panen. Kalau kau tanam kelapa, sabarlah lima tahun untuk panen. Tapi kalau tanamnya adalah human investment mendidik manusia, menegakan keadilan, dan sebagainya, maka kamu harus sabar satu generasi.‘

UNTUK jiwa-jiwa marah pada ketidakadilan dan ketidaktelusan. Untuk jiwa-jiwa luka dan sendiri. Ketahuilah, tidak ada cinta yang lebih besar melainkan cinta dan jiwa yang selalu ingin dekat pada keadilan, kerana kebenaran itu bersamanya adalah keadilan.