Izzah Dejavu

SEBUAH buku setebal 300 muka dan sepucuk surat ringkas sempat aku sisip pada pekerja Indonesia di warung sebuah flat kos rendah di Subang Jaya. Riuh di hujung minggu, sunyi di hari bekerja. Itulah tempat kebanyakan penduduk menjamu nyanyian lapar keroncong perut. 24 jam tanpa henti, pekerjanya silih berganti mengikut syif. Daripada wajah dan tutur sudah pasti begitu mudah aku ketahui, rata-rata dari Indonesia. Di penghujung pena sempat aku titipkan pesan Pram, bahawa ‘Hidup sungguh sangat sederhana. Yang hebat-hebat hanya tafsirannya. Semoga terus melawan arus kehidupan!’ sebelum pulang ke kampung halaman mencari diri dalam diri.

HINAAN MAHATHIR

Tanggal 1 Mei 2019,  laporan Free Malaysia Today (FMT) bertajuk, ‘Better low wage than no wage, Dr M reminds choosy Malaysians’ adalah satu penghinaan kepada kaum pekerja dan mereka yang terus mengerah kudrat dan keringat membangun negara ini hari demi hari.

Mahathir dalam ucapan Hari Pekerja berkata,

‘Ya gajinya rendah, tapi jika kamu tak bekerja, kamu tidak akan mendapat sebarang pendapatan. Pilih untuk bekerja, supaya kamu ada pendapatan.’

Modus operandi Mahathir masih sama, menggunakan hujah pekerja asing yang akan merebut segalanya. Enak dia berkata dalam dewan murah beratap langit dan terik matahari di Putrajaya;

‘Jika warga Malaysia memilih untuk tidak bekerja, pekerja asinglah akan mengambil tempat mereka, dan akan terjadinya aliran keluar wang. Kita akan menjadi miskin. Orang yang tidak bekerja tidak akan ada pendapatan. Kamu mesti ingat. Kita bekerja untuk negara. Membantu proses pembangunan. Jika kita tidak mahu bekerja, wang itu akan ke lain.’

Mahathir, terkenal dengan menyikapi warganegara dengan ‘Melayu Malas’ turut mencanang bahawa,

‘Kehadiran pekerja migran di negara ini adalah kerana sikap warga Malaysia yang tidak mahu melakukan sesetengah pekerjaan walaupun berkemampuan untuk melakukannya. Kesimpulan simplistik Mahathir menyatakan inilah sebab-sebab peluang pekerjaan tersebut diambil oleh pekerja asing, yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi kaya dan kita berterusan menjadi semakin miskin.’

Hakikatnya, berapa peratuskah warga asing yang menjadi buruh, bekerja siang dan malam menjadi kaya di Malaysia? Dalam laporan Pembangunan Ekonomi tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, Malaysia mencatat antara negara yang memiliki populasi pekerja migran yang tinggi. Namun, hanya 5.2% daripada mereka yang mempunyai kelulusan pengajian tinggi (tertiary education) dan Malaysia ada Perdana Menteri yang berfikiran pekerja Migran akan menjadi kaya dan jutawan? Silakan mencari di papan kunci ‘Pekerja Migran terkaya di Malaysia’ justeru anda telah melakukan sesuatu adegan Best Of May 2019: Guinness World Records kerana Mahathir dan kuncu-kuncunya sendiri pasti belum pernah terfikir melakukan itu.

KERANA MIGRAN JUGA PEKERJA

Aku memutar kembali rakaman tayangan Jiwa Migran-ku (My Migrant Soul). Sebuah dokumentari arahan Yasmin Kabir pada tahun 2000. Pada tahun 1993, dicatatkan seramai 244506 orang meninggalkan Bangladesh untuk mencari pekerjaan dan salah seorang adalah Shahjahan. Seorang anak muda berjiwa segar, yang penuh impian dan cita, meninggalkan tanah air bagi menjalani kehidupan lebih baik sebelum dilanyak menjadi ‘hamba’ dengan jam kerja yang panjang, gaji rendah, tak perikemanusiaan dan tiada jalan keluar. Malam tayangan tersebut ramai karam dan tenggelam dalam keperitan Shahjahan yang dihadapinya di Malaysia. Pita, kaset-kaset audio, surat-surat kepada keluarganya jelas tersarat mesej-mesej pilu, yang turut membongkar sejarah perit negara yang jarang kita dengari, apatah diceritakan.

Di hari-hari terakhir meninggalkan Bangladesh, Shahjahan seperti pemuda biasa menunaikan permintaan terakhir yang boleh ditunaikan. Dia pergi setelah selesai menyuap yogurt kepada kakaknya dan membawa ibunya menonton filem. Hal-hal kecil yang akan dirindui. Malam pemergian seiring hubungan ibu-anak yang tak terpisahkan, Shahjahan berbaring di riba dan memeluk ibunya menangis sedu-sedan, menciuminya dan menangis kembali. Shahjahan turut berpesan bahawa,

‘Sekiranya nanti aku masih hidup, aku akan menulis sejarah tentang perjalanan aku ke Malaysia…aku akan menulis puisi tentangnya…’ tetapi nasib adalah kesunyian masing-masing. Perjalanan yang disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Antara rakaman pita Shahjahan kepada ibunya sempat menyatakan:

‘Aku datang dengan kos yang banyak, dan aku tak tahu bila akan aku lunaskannya. Mungkin 20-30 tahun. Tapi aku tak sendiri. Kerana mereka yang bersamaku di sini juga adalah anak-anak orang miskin. Aku tak akan kembali sampai aku dapat memulangkan semula wangnya. Kami datang sebagai pekerja sah, tapi mereka jadikan kami pekerja tidak sah dan memisahkan tempat kerja kepada kami. Apakah niat mereka semua? Kami bekerja mengangkat benda berat seawal jam 7 malam sehingga 12 tengah malam setiap hari, tanpa gaji dan selepas pelbagai rayuan, mereka beri kami gaji RM300. Adakah kami perlu mengirim wang ke  rumah atau menyara hidup kami sendiri di sini untuk terus hidup. Ketika kami takut pada polis, polis hanya mahu rasuah dan kami ditakutkan untuk dihantar ke balai. Kami tak peduli kehilangan wang, tapi bagaimana jika mereka bawa kami ke balai, kami takut dengan keganasan polis yang mengakibatkan kami separuh mati. Terkadang, mereka hanya memberi kerja kepada kami untuk 3 bulan, sebelum kami dijual dengan harga RM500!’

Nafas terakhir Shahjahan adalah pada 25 Ogos 1995 di Hospital Seremban Malaysia. Beliau ditahan di Kem Tahanan Imigrasi Lenggeng. Jenazah Shahjahan dihantar ke Dhaka pada 9 September 1995 di mana ibunya, Maimuna Azad telah menuntut tubuhnya. Menurut laporan antara tahun 1993-1995, 62 tahanan mati di kem imigren, di mana 34 daripadanya adalah warga Bangladesh.

Shahjahan telah pergi meninggalkan kita, tetapi penderitaan, kecekalan jiwanya akan terus subur buat jiwa-jiwa yang mengharap pada keadilan sosial. Antara lagu yang dimainkan Shahjahan ketika hidupnya, memberi satu makna dalam tentang penindasan yang tak henti-henti kepada tubuh dan jiwa migrannya,

This migrant soul of mine

No one has recognised

Born to suffer…I am the one

Sail from port to port

Didn’t find the golden boat

O friend of mine

My soul cries

My heart afire

On your way, just once my friend

Turn back and look

O friend of mine

I do not know how to swim

And that is why I’m drowning

You set me adrift in the boundless ocean didn’t ask after me

In this life’s ocean

O friend of mine

How do I stay afloat

You lit the fire in my soul

Didn’t extinguish it

HARI PEKERJA 2019

Kita semua, anak muda mesti marah-marah dengan penghinaan di dewan berhawa dingin terhadap warga migran, pekerja buruh dan mereka yang setia membangun negara. Barangkali Mahathir lupa KLCC yang dibanggakannya itu juga terbina hasil penindasan ke atas pekerja migran? Ada yang mati ditindas, ada yang lunyai jiwanya, ada tubuh kerdil dan kudrat kecil dan perut kelaparan di sebalik pemodenan dan arus pembangunan sedang dia, berucap di dewan dingin, perut kenyang, pembantu-pembantu, harta-harta dan syarikat-syarikat terselit di poket lakonannya.

Jika nanti ada soalan kebiasaan,

‘Untuk warganegara kita pun belum cukup, kisah dengan warganeraga lain?’

Satu hal kita harus sedar, bahawa ‘kek’ ini cukup untuk semua orang dan sesiapapun, tetapi sistem, ahli-ahli politik, sebahagian kecil orang-orang kaya tidak akan pernah puas meratah setiap satunya untuk keturunan mereka.

Persoalkan juga kembali,

Kalaupun tidak cukup, apa yang buat kamu berfikir bahawa orang lain layak untuk bekerja setengah mati? Dibayar gaji kecil? Dilayan seperti hamba? Apa yang buat kamu berfikir bahawa mereka layak untuk mati? Bahkan mati dalam kelaparan dan bertarung hidup di pusat tahanan?

Permasalahan pada soalan itu adalah kamu, kerana gagal mengajar diri sendiri, atau memang ada orang kejam di dunia, bersenang hidup gembira atas penderitaan dan kesusahan orang lain? Kerana menurut aku, yang kamu panggil migran itu juga adalah pekerja dan manusia. Selayaknya dilayan seperti manusiawi, samarata, penuh keadilan dan bermaruah.

Semoga di Hari Pekerja jiwa-jiwa terus subur merasai, mendalami, mewarisi harapan-harapan untuk satu kehidupan yang lebih sejahtera dan kekal memperingati sebuah perlawanan, pengorbanan, dan perjuangan yang pasti berujung kemenangan.

Semoga kita terus memahami perjuangan (struggle) setiap manusia lain dan mula belajar tentang keistimewaan (privilege) sendiri kerana Sambutan Hari Pekerja, akan hanya tinggal sambutan biasa setiap tahun, jika kita gagal menyikapi zenofobia (perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing) dan diskriminasi yang terus berlaku di negara ini kerana setiap penindasan atas satu orang, adalah penindasan atas semua orang.

Barangkali perkara pertama yang boleh kita lakukan untuk menilai dan waspada dengan privilege yang kita punya, adalah dengan mula membaca tulisan mereka yang berbeza daripada kita. Jika hari ini kita seorang pekerja warganegara, silakan baca laman web yang dibangun oleh pekerja migran. Contohnya, laman PUSAT SUMBER DAYA BURUH MIGRAN adalah sumber Rujukan Informasi dan Pengetahuan Pekerja Migran Indonesia, yang ditubuhkan untuk saling belajar, berbagi, dan melindungi dan setiap kes bakal membuka mata hati kita untuk mula belajar menilai sesuatu lebih jauh mendasar.

Pasti, tidak ada yang rugi dengan mula membaca dan memikir ulang.

Ramadhan Kareem!