Noor Emelia Mohamad Noor

Sejauh manakah faktor perpaduan mempengaruhi kejayaan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Umum 1955?

PENDAHULUAN

Dalam menganalisa sistem politik di Malaysia, kita tidak dapat lari dari mengkaji hubungan kaum di antara tiga kaum utamanya iaitu Melayu, Cina dan India. Selepas berlakunya  perkembangan-perkembangan utama di Tanah Melayu bermula dari rancangan Malayan Union kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, seterusnya Pilihanraya Bandaraya Kuala Lumpur 1952 dan Pilihanraya Umum 1955, kita dapat melihat dengan jelas bahawa ketegangan hubungan kaum adalah masalah pokok dan isu utama yang harus diselesaikan sebelum Tanah Melayu bergerak ke arah berkerajaan sendiri mahupun untuk mencapai kemerdekaan. Kita telah melihat usaha pemain-pemain politik berasaskan kaum utama di Tanah Melayu; United Malays National Organisation (UMNO) dan Malayan Chinese Association (MCA) serta rakan sekutunya Malayan Indian Congress (MIC) dalam menggembleng tenaga dan bersama-sama bersatu membentuk sebuah pakatan tiga kaum, Parti Perikatan bagi menghadapi Pilihanraya Umum 1955. Selepas kemenangan besarnya dalam pilihanraya tersebut dengan memenangi 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan, terbukti bahawa faktor perpaduan adalah formula utama dan amat mempengaruhi kemenangan Parti Perikatan.

Namun begitu, di dalam esei ini kita akan melihat juga bahawa faktor perpaduan bukanlah satu-satunya faktor yang mempengaruhi kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Umum 1955.

PENGARUH TUNKU ABDUL RAHMAN DI KALANGAN KAUM MELAYU & UMNO

Kita sedia maklum, parti yang paling dominan di dalam pakatan Parti Perikatan adalah UMNO. Pemimpin utamanya, Tunku Abdul Rahman yang merupakan seorang anak raja dari keturunan keluarga Kesultanan Kedah sememangnya begitu popular di kalangan kaum  Melayu. Salah satu tindakannya yang terkenal di kalangan kaum Melayu ialah apabila beliau menolak tawaran Gerald Templer yang mahu melantik beliau menyertai kabinetnya pada tahun 1953. Di mata kaum Melayu, tindakan tersebut telah membuktikan bahawa Tunku Abdul Rahman tidak sekali-kali akan berkompromi dengan penjajah Inggeris. Kerana statusnya sebagai seorang yang berketurunan diraja serta mentaliti feudal yang kuat yang masih dipegang oleh kebanyakan kaum Melayu telah membolehkan beliau mendapat sokongan padu dari kaum Melayu dalam kempennya untuk mendapatkan undi mereka kepada UMNO dan Parti Parikatan. Selain dari itu, pandangan konservatif kaum Melayu bahawa hanya beliau dan UMNO sahaja yang dapat mempertahankan hak dan keistimewaan kaum Melayu serta pegangan kuat mereka beberapa tahun sebelum 1955 dalam menentang gagasan Malayan Union yang dirasakan telah mengenepikan hak dan keistimewaan kaum Melayu dengan memberi kerakyatan kepada kaum lain telah menambahkan lagi sokongan kaum Melayu kepada UMNO dan Parti Perikatan. Dalam Pilihanraya Umum 1955 juga, beliau dengan begitu bijak mengambil keputusan untuk bertanding di Sungei Muda, Kedah, sebuah kawasan yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu yang tidak berpendidikan, mengekalkan cara hidup lama dan masih berfikiran feudal bagi  memastikan teras sokongan kaum Melayu kepadanya tetap utuh. Beliau menang besar dengan majoriti 20,000 undi.

Seramai lebih 1,280,000 pengundi telah  berdaftar pada Pilihanraya Umum 1955 dan 84.2% daripadanya merupakan pengundi dari kaum Melayu dan hanya 11.2% dari kaum Cina dan selebihnya 4.6% kaum India.

Dengan ini, Tunku Abdul Rahman telah berjaya mengekalkan kesetiaan kaum Melayu dengan mengeksploitasi statusnya sebagai keturunan diraja.

HUBUNGAN BAIK DI ANTARA PEMIMPIN UTAMA PARTI PERIKATAN

Para pemimpin utama Parti Perikatan, seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dari UMNO dan Tan Cheng Lock dari MCA mempunyai hubungan peribadi yang sangat rapat di luar kerjaya dan aktiviti politik mereka. Mereka mempunyai latar yang hampir serupa – datang dari keluarga berstatus tinggi dan kaya, mendapat pendidikan Inggeris yang sama, dan dengan itu berkongsi aspirasi dan cita-cita yang sama untuk Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman, seperti yang sudah diketahui, datang dari keluarga diraja. Manakala Tun Abdul Razak pula berasal dari keturunan aristokrat atau bangsawan tradisional Melayu. Bapanya merupakan bekas Ketua Menteri Pahang. Tan Cheng Lock pula berasal dari keluarga yang kaya dan berpengaruh dari Melaka, salah sebuah Negeri Selat yang menjadi Negeri Jajahan Mahkota British dan menggelarkan diri mereka sebagai ‘British Chinese’. Kesemua mereka berbicara dalam Bahasa Inggeris, berpakaian dan menjalani kehidupan sosial ala-Inggeris  dan melihat asas demokrasi liberal cara Barat sebagai sebuah sistem yang boleh digunapakai di Tanah Melayu.

Walaupun parti-parti yang dipimpin mereka begitu berbeza dari segi latar budaya, bahasa, agama, dan yang paling penting kepentingan yang bercanggah di antara satu sama lain, mereka masih boleh berkompromi dan menjalin kerjasama erat. Bertitik tolak dari hubungan peribadi dan latar belakang ini, kerjasama dan pakatan di antara dua parti berasaskan kaum yang asal penubuhannya adalah untuk menjaga kepentingan kaum masing-masing dapat dijalinkan dengan lebih mudah dan harmoni dalam menjayakan kempen Parti Perikatan dalam memenangi pilihanraya kebangsaan pertama di Tanah Melayu pada tahun 1955 itu.

Dengan pengaruh Tan Cheng Lock, ahli-ahli MCA dapat diyakinkan bahawa kepentingan kaum Cina hanya dapat dijaga apabila mereka berkompromi dengan dan berakomodasi dengan kaum lain terutamanya dari pihak UMNO. Walaupun ini dapat menjelaskan yang faktor perpaduan dan juga faktor akomodasi di antara kaum merupakan teras kejayaan Parti Perikatan pada Pilihanraya Umum 1955, kita tidak harus menafikan bahawa di sebalik akomodasi dan penerimaan kaum Cina ini, asas kejayaannya telah ditanam dan dibentuk oleh hubungan erat Tan Cheng Lock dengan pemimpin dari kaum lain.

Faktor hubungan baik di tahap kepimpinan tertinggi parti-parti berasaskan kaum dalam kejayaan Parti Perikatan ini dapat dilihat dengan lebih jelas lagi sekiranya kita melihat pada tahun 1958 dimana pengaruh dan peranan Tan Cheng Lock sudah tidak begitu kuat lagi di kalangan ahli-ahli MCA dan kaum Cina selepas beliau mengalami masalah kesihatan dan kerana itu tidak dapat lagi bergiat aktif dalam aktiviti politik  MCA. MCA yang pada ketika itu mendapat kepimpinan dan ahli baru dari kalangan kaum Cina yang berpendidikan Cina, tidak lagi dikuasai oleh pemimpin berpendidikan Inggeris telah mula memperjuangkan kepentingan kaum Cina dengan lebih tegas dengan tidak mengutamakan asas bertolak-ansur, kompromi dan perpaduan dengan kaum lain yang menjadi teras Parti Perikatan.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa bukanlah faktor perpaduan sahaja yang menjadi teras kejayaan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Umum 1955, tetapi pengaruh dan kepimpinan pemimpin utamanya yang berjaya mendapat persetujuan dari ahli-ahli parti dan kaum masing-masing dalam menjayakan misi memenangi pilihanraya tersebut.

PERKEMBANGAN DATO’ ONN JAAFAR & PARTI NEGARA

Dato’ Onn menubuhkan Parti Negara pada tahun 1954, bagi menghadapi pilihanraya kebangsaan 1955 setelah parti terdahulunya, Independence Malayan Party (IMP) dibubarkan18. Beberapa tahun sebelum itu, beliau telah bersetuju untuk dilantik sebagai menteri di dalam kabinet di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Kerajaan Inggeris. Bertitik-tolak dari tindakannya ini, beliau telah mendapat cemuhan dari penduduk Tanah Melayu terutama dari parti-parti politik seterunya seperti UMNO, MCA dan MIC. Beliau digelar dan dicap dengan pelbagai gelaran seperti ‘boneka Inggeris’, ‘anak emas penjajah’, ‘budak suruhan British’ dan pelbagai lagi gelaran menghina yang membawa kepada kekalahan teruk Parti Negara dalam Pilihanraya Umum 195519. Beliau juga dituduh cuba menghalang Tanah Melayu dari memperoleh kemerdekaan dari British19. Tindakan Dato’ Onn menyebabkan penduduk Tanah Melayu semakin memberi sokongan kepada Parti Perikatan kerana setelah hilangnya sokongan terhadap Dato’ Onn dan partinya yang merupakan figura utama dalam arena politik Tanah Melayu ketika itu dan memainkan peranan paling utama dalam penentangan terhadap gagasan Malayan Union, tidak ada lagi parti yang dikatakan mampu untuk mengepalai penduduk Tanah Melayu dalam mencapai taraf berkerajaan sendiri dan seterusnya mencapai kemerdekaan. Dalam Pilihanraya Umum 1955, Dato’ Onn kalah teruk dan begitu memalukan kepada calon Parti Perikatan, Encik Suleiman bin Abdul Rahman yang menang 8,745 undi sementara Dato’ Onn hanya memenangi 2,802 undi20.

FORMULA BERKESAN PAKATAN UMNO-MCA YANG BERMULA PADA PILIHANRAYA KUALA LUMPUR 1952

Seperti yang telah diterangkan dalam bahagian Pendahuluan, Pilihanraya Bandaraya Kuala Lumpur 1952 telah menjadi salah satu perkembangan penting kepada penyatuan kaum-kaum utama di Tanah Melayu iaitu kaum Cina yang diwakili oleh parti MCA dan kaum Melayu yang diwakili oleh UMNO. Ianya bermula apabila MCA Selangor telah mengeluarkan manifesto pilihanraya yang di antara lain menyebut bahawa:

“The interest of the members of the other communities should also be represented” 21

Kenyataan ini telah menarik perhatian Datuk Yahya Abdul Razak dari UMNO Kuala Lumpur untuk berbincang dengan pihak MCA berkenaan dengan kemungkinan untuk melihat kerjasama di antara UMNO dan MCA dan seterusnya telah mengumumkan dua parti ini akan bergabung dalam menghadapi Pilihanraya Bandaraya Kuala Lumpur tersebut22.

Sekali pandang, perkembangan ini menunjukkan bahawa kaum Cina dan kaum Melayu telah dapat meletak ke tepi jurang perbezaan kepentingan di antara mereka dan bergabung di bawah asas perpaduan kaum bagi menentang seteru politik mereka pada ketika itu, IMP yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Namun begitu, yang jarang dibincangkan ialah pakatan ini tidak akan terjadi sekiranya MCA telah lebih dahulu membuat pakatan dengan IMP.

Dalam menghadapi pilihanraya bandaraya kedua ini pada tahun 1952 selepas Pilihanraya Bandaraya George Town yang telah berjalan setahun sebelumnya, MCA terutamanya pemimpin tertingginya seperti pengerusinya, H.S Lee sebenarnya memang diketahui memberikan sokongan kuat kepada Dato’ Onn dan IMP23. Dato’ Onn juga telah memberikan mandat kepada pemimpin lain dalam IMP, Datuk E.E. Thuraisingham untuk berbincang dengan H.S Lee berkenaan kerjasama di antara IMP dan MCA bagi persediaan menghadapi pilihanraya Kuala Lumpur24. Malangnya, kerjasama ini tidak menjadi kenyataan apabila IMP tidak bersetuju dengan permintaan MCA untuk bertanding di atas tiket MCA. Pihak IMP merasa begitu yakin yang mereka akan memenangi pilihanraya itu dengan kejayaan besar lalu menentang hasrat MCA itu25.

Rentetan dari peristiwa ini, MCA telah terpaksa melaksanakan ‘plan B’ nya dengan memilih untuk berkerjasama dengan parti lain. Jika sebelum ini mereka begitu menyokong IMP, sebuah parti yang bukan berasaskan kaum dan pemimpin dan ahlinya begitu majmuk, telah terpaksa memilih satu-satunya calon yang berpotensi memacu kemenangan mereka dalam pilihanraya Kuala Lumpur iaitu UMNO, sebuah parti berasaskan kaum yang kepentingannya amat bertentangan dengan MCA. Pakatan ini yang sebenarnya hanyalah ‘pilihan kedua’ MCA telah  membawa kejayaan kepada UMNO-MCA dalam Pilihanraya Bandaraya Kuala Lumpur 1952. Formula yang sama telah digunapakai dalam Pilihanraya Umum 1955 oleh Parti Perikatan yang telah menempah kejayaan yang lebih besar lagi lalu diberi mandat untuk mewakili penduduk Tanah Melayu untuk berbincang dengan pihak British bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Oleh itu, dari peristiwa dan perkembangan pada tahun 1952 itu dan seterusnya pada Pilihanraya Umum 1955, kita tidak boleh hanya mengatakan bahawa faktor perpaduan di antara kaum-kaum utama di Tanah Melayu pada ketika itu iaitu Melayu, Cina dan India telah membawa kejayaan kepada Parti Perikatan tanpa meninjau juga formula, strategi dan perancangan politik yang digunapakai oleh para pemimpin parti-parti politik pada ketika itu terutama sekali MCA dalam hal ini.

PENUTUP

Pada Pilihanraya Umum 1955, kita tidak menafikan yang faktor perpaduan kaum merupakan salah satu sebab utama kejayaan besar Parti Perikatan. Setiap kaum utama di Tanah Melayu pada ketika itu iaitu Melayu, Cina dan India telah dapat mengenepikan jurang perbezaan di antara mereka dan kepentingan kaum masing-masing dengan menjalin kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya kebangsaan pertama itu dan seterusnya berjuang menghadapi pihak British dalam mencapai taraf berkerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan. Namun begitu, terdapat faktor-faktor lain yang harus juga dikupas dan dibincangkan yang telah membawa kepada kejayaan besar Parti Perikatan. Kita sedia maklum, Tanah Melayu pada ketika itu, walaupun berbilang kaum dan majmuk, namun setiap kaum yang berbeza latar,  budaya dan system pendidikan ini hidup berasingan dan terpencil di antara satu sama lain. Kaum Melayu lebih ramai hidup di kampung-kampung yang menjalankan cara hidup bertani dan aktiviti perikanan, kaum Cina pula majoritinya tinggal di Bandar sebagai peniaga dengan cara hidup yang lebih maju dan moden sementara kaum India lebih ramai tinggal di estet-estet sebagai penoreh getah yang hidupnya mundur dan tertinggal.

Oleh itu, bagi mencapai kejayaan politik dalam pilihanraya yang berasaskan sistem demokrasi di Tanah Melayu pada ketika itu, perpaduan kaum sahaja tidak akan dapat menjamin kejayaan sesebuah parti politik. Formula, strategi dan pendekatan lain seperti yang telah dibincangkan dalam esei ini amat diperlukan.

___________________________________________________________________________

18 Ramlah Adam, Biografi Dato’ Onn; Hidup Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2005, hlm. 43

19 Ibid

20 Ibid

21 Joseph M. Fernando, The Making Of The Malayan Constitution, Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 2007, hlm. 20

22 Ibid, hlm. 21

23 Ibid

24 Ibid, hlm. 22

25 Ibid

BIBLIOGRAFI

  1. NSTP Resource Center, 2007. Road To Nationhood, Malaysia 1941-1966. Kuala Lumpur: The NSTP Group
  2. Joseph M. Fernando, 2007. The Making Of The Malayan Constitution. Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society
  3. Ramlah Adam, 2005. Biografi Dato’ Onn; Hidup Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
  4. Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya, 1982,2001. A History Of Malaysia. Kuala Lumpur: Palgrave Macmillan