Siyyah
Setiap masyarakat ada kelas atau kumpulan sosial pengkritiknya. Lapangan kritikan dan tindakan mengkritik adalah asas kepada setiap masyarakat yang berbudaya, progresif dan matang. Aksi dan tuturan kritik ini termasuk setiap ekspresi yang menyampaikan inti dan simbol kritikan itu dengan bermakna dan langsung.
Tetapi kritikan tidak pernah dibenarkan untuk terapung di permukaan kesedaran masyarakat atau pentuturnya, atau pengkritik, dibiarkan untuk menonjolkan diri oleh mereka yang memegang kuasa politik dan pentadbiran.
Halangan kepada kritikan dan keengganan untuk mengiktirafnya timbul kerana kerap kali kritikan dan kesedaran sosial yang terarah kepada pemimpin negara dalam kerajaan, pentadbiran atau institusi lainnya menggugat kedudukan jawatan mereka, dan kepentingan kewangan dan kuasa perintah mereka.
Ini antara sebabnya kurang ekspresi, dan pada masa sama berlaku tentangan terhadap aksi tuturan kritikan dalam masyarakat kita.
Namun juga, fenomena dan kekosongan budaya ini berlaku kerana di Malaysia tidak pernah digalakkan pembentukan tradisi kritikan dan intelektual yang dinamik. Institusi2 yang menjadi medan untuk perbahasan permasalahan sosial dan kediaman untuk membentuk warga negara yang aktif dan kritikal lagi komited terhadap kemajuan masyarakat, seperti universiti2 kita, tidak biasa diberikan kebebasan dan digalakkan untuk berfikir dan bertindak berbeza daripada arus perdana masyarakat umum.
Kita boleh faham oleh itu, kenapa terdapat segelintir atua sekelompok kecil masyarakat Malaysia, dan mereka yang menduduki kedudukan2 otoriti formal dan yang juga pegang kedudukan sosial dan otoriti tidak formal kurang senang dan menghukum secara sosial dan prosedurnya mahasiswa universiti yang berani bersuara dan tunjuk perasaan terhadap seorang pegawai tertinggi universiti.
Keganjilan, dan bencana ketidakbolehterimaan dan kekhuatiran moral dan budaya yang terbit sebagai respons kepada peristiwa itu mewujudkan diri kerana kealahan dan keanehan dan kekakuan masyarakat kita terhadap ekpresi kritikan.
Dalam konteks pembangunan budaya dan pemikiran, mereka yang berpartisipasi dan kehidupannya sangkut dengan alam pendidikan dalam dan dengan universiti, perlu diberikan ruang dan galakan sebesar2nya untuk berfikir secara berbeza dan membangunkan ide2 dan praxis yang berbeza dan menjangkaui tabiat arus perdana masyarakat secara amnya. Ini termasuk ekspresi kritikan, seputar isu2 politik, sosial dan ekonomi yang berkait dengan wacana pembangunan masyarakat Malaysia.
Terlalu mudah dan cepat kita lupa bahawa universiti juga merupakan satu institusi besar yang memegang kuasa dan otoriti formal dan tidak formal. Kritikan harusnya selalu berterusan, dan pengkritik2 ke depan menunjukkan oposisi dan sudut pandang mereka.
Di dalam universiti sekalipun, wujudnya ketidaksamarataan kuasa dan otoriti dan sumber ekonomi. Makanya, kritikan harus langsung berterusan.
Di akhirnya perjalanan dan kehidupan, dan upacara, pendidikan dan universiti seseorang mahasiswa, kita harus lega dan aman jika individu yang dibentuk itu dapat berfikiran kritikal dan melakukan ekspresi kritikan. Ini bermakna, sistem dan alam yang kita bina walaupun terdapat kekurangan dan korupsi, masih dapat menimbulkan sebilangan individu yang berani dan ada tulang pendirian.
Kerana jika diakhirnya, selepas tamat dan kemudiannya melangkah ke garis dan pentas upacara penghabisan, kita mengangguk dan mengangguk dan mengangguk dan berjalan mengangguk berjalan sahaja, apa bezanya kita dengan ciptaan2 alam yang lain? Dan apanya kita?
