Siyyah
Baru-baru ini kita terbaca seorang tokoh awam yang hubungannya sangat dekat dengan pemerintahan mengatakan bahawa Malaysia seharusnya mengurangkan kebergantungan kepada barangan makanan import dan mengurangkan kos makanan dengan membangunkan industri pertanian tempatan.
Sudah berdekad lamanya sektor pertanian di Malaysia tidak diberi perhatian kerana keinginan untuk modenisasi dan tumpuan terhadap sektor perindustrian berat. Agenda dan wawasannya pendek, kerana ia menjadikan Malaysia sebuah negara aneh. Masyarakatnya mungkin maju dan urbanisasi pesat berlaku. Barangkali pendapatan bertambah dan kaya materialnya, tetapi jurang kekayaan juga semakin bertambah dan taraf kualiti hidup dan akses kepada bahan keperluan asas hidup yang segar dan murah tidak maju seperti yang sepatutnya, bahkan mengecut.
Dalam tempoh ini dan selepasnya, bukan sahaja sektor perindustrian yang pesat berkembang. Antara lain, sektor pembangunan dan pembinaan hartanah juga meningkat.
Di Pulau Pinang, contohnya, sejak dari dekad pertama tahun 2000an, semakin banyak projek hartanah dan perumahan dilaksanakan. Di sini ada suatu korelasi yang mendorong pemikiran dan dasar sebegini, walaupun mungkin tidak dinyatakan dengan langsung. Bagi mereka, ‘bandarfikasi’ atau urbanisasi, dan pembangunan fizikal dan hartanah sinonim dengan modernisasi dan kemajuan negeri dan komuniti tempatan.
Kesannya, berlaku pengkonkritan bandar dan kawasan-kawasan negeri terutama di pulau, kesesakan jalan raya, kemusnahan alam sekitar, ketidakseimbangan ekonomi dan kekayaan, penurunan taraf hidup, alienasi sosial dan budaya, dan penyalahgunaan dan eksploitasi ruang.
Kita tidak lupa juga, proses tambakan laut yang berlaku sekitar pesisir pulau, dan juga pembinaan suatu konstelasi tanah dan kepulauan di selatan pulau.
Kita mengandaikan bahawa jika benar seriusnya dan perlunya untuk Malaysia mengurangkan import sumber bahan makanan serta mandiri soal keperluan asasi dan barangan asas hidup, juga untuk sektor pertanian dan tambahannya sektor perikanan, maka alam sekitar dan tabiat semulajadi harus dikekalkan dan dilindungi oleh dasar-dasar serta regulasi yang berpihak pada rakyat.
Tetapi, agak jarang kini kita mendapat pemimpin dan pemerintahan yang berwawasan dan pandangannya jauh ke depan. Ini termasuk mereka yang mengatakan diri mereka dan kumpulan mereka progresif, inklusif dan demokratik dan keberpihakan kepada politik masyarakatnya. Seperti semua parti dan kumpulan politik yang ingin merebut dan mengekalkan kuasa, pandangannya lebih berjangka masa pendek, tertumpu kepada kepentingan material dan fizikal, dan melihat kepada pencapaian, kemajuan dan kejayaan dalam bentuk statistik dan nombor semata-mata.
Erti keadilan sosial, dalam bahasa dan wacana kumpulan-kumpulan politik dan kelas pemerintah dan ekonomi-perniagaan berkenaan di arahkan mengikut kepentingan kuasa, kekayaan dan kedudukan mereka. Bukan untuk masyarakat dan komuniti tempatan secara luasnya.
Keadaan ini, menyedarkan dan mengingatkan kita bahawa modenisasi, pembangunan dan kemajuan tidak neutral dan objektif sifat serta kesannya. Ini termasuk segala dan setiap ruang, sama ada fizikal atau praktikal atau kehidupan, yang ada dalam masyarakat dan sekeliling kita.
Seperti kata penulis Perancis, Henri Lefebvre, setiap ruang ada politiknya, ideologinya, dan pemerasan dan kekuasaannya. Di Pulau Pinang, perebutan dan penguasaan ruang awam dan yang mana miliknya semua, tidak kira fizikal, konkrit ataupun mental didorong dan dilakukan oleh kelas peniaga yang memiliki dan menghimpun modal dan dana besar termasuk peniaga perumahan dan hartanah, dibantu kelas politik dan pemerintahan, telah giat berlangsung sejak kira-kira sedekad yang lalu, dan masih berterusan.
Keadilan sosial harus ditegakkan bukan sahaja dalam hubungan dan lapangan politik dan ekonomi, tetapi juga harus dipertahankan dalam gelanggang sosial dan ruang. Masyarakat dan komuniti setempat mempunyai kepentingan yang sama terhadap pemilikan dan penggunaan ruang dalam lanskap kehidupan awam dan seharian. Kepentingan ini dan keadilan sosial bukan milik dan monopoli segelintir kelas politik dan ekonomi-peniaga sahaja.
Setiap individu dan komuniti mempunyai hubungan dan pemilikan terhadap setiap ruang setempat dan di sekeliling masyarakat setempatnya serta kawasan-kawasan di dalam dan luar bandarnya, supaya dapat menjalankan kehidupan yang adil, sihat, dan berbudaya untuk mencapai taraf kualiti hidup yang paling baik.
Di waktu apabila ruang dan lanskap, termasuk ruang yang diwujudkan dan dibentuk seperti pulau buatan, dikomodifikasi dan berterusan melalui proses komodifikasi, perlu untuk kita mengambil sikap berlawanan terhadap mereka yang melakukan urusan sebegini.
