Wawancara bersama pengarah filem, Shanjhey Kumar Perumal oleh penggerak Malaysia Muda, Zikri Rahman.

Masih teringat yang udara senja berkuap cukup hangat lewat wawancara Februari tahun lalu. Mungkin kerana itu, justeru pertanyaan-pertanyaan awal yang dilontarkan kepada auteur filem, Shanjhey Kumar Perumal yang tersohor dengan filemnya Jagat (2015), seakan-akan tergesa. Hal itu-ini; “Membesar di mana dan seperti apa suasananya sewaktu kecil dahulu? Pertembungan budaya; dari sastera, filem ke muzik seperti apa yang meninggalkan bekas sebagai seorang pembikin filem sekarang? Bagaimana segalanya kemudian dijelmakan di layar perak dan… ” – yang kemudiannya dipertutur oleh Shanjhey satu-persatu, jernih melihat ke dalam perigi sejarah diri.

Dan perca-perca ingatan Shanjhey itulah yang menjelma sepanjang wawancara kami; sewaktu membesar di kawasan setinggan sebuah kampung Cina, menjadi satu-satunya anak keturunan India di sekolah ketika itu yang menari Ulek Mayang, sehinggalah membawa kepada persoalan “bila mahu masuk Islam?” dek kerana pergaulannya yang rencam dan melata itu. Pengalamannya membesar ketika pertengahan tahun 70-an bahkan membuatkan dirinya merasakan bahawa “kamilah generasi yang terawang-awang; tidak terkesan secara langsung, tidak diacu apa yang kita fahami hari ini sebagai proses pembentukan nasion (bangsa)” yang menghambat Malaysia dan warganya selepas itu.

Bahkan, globalisasi deras yang menyelubungi kita kemudiannya, kata Shanjhey cukup meninggalkan janggal, “lebih-lebih lagi dari soal kebudayaan; kita sedar bagaimana syarikat siaran satelit mempengaruhi bagaimana kita melihat diri kita sendiri – hampir sebelas buah saluran khusus dari India yang kemudiannya mempengaruhi cara pandang tentang budaya kita sendiri. Perkara ini bahkan sudahpun lama terjadi kepada generasi terdahulu di mana mereka membaca lebih banyak berita politik dari India berbanding dari Malaysia sendiri”. Akhirnya, “jadilah kami generasi yang terawang-awang di tengah!”, ujar Shanjhey.

Masih terbayang oleh Shanjhey – yang membesar di dalam keluarga kelas pekerja, ketika kecil beliau sudah pun terpana dengan banyak sekali filem yang ditonton dari merata-rata dunia, biarlah dari Hollywood, Hong Kong hinggalah ke Kollywood sekalipun. Sekali-sekala, filem-filem Telegu dan Malayalam yang digaulinya. Namun, estetika geografik yang di dalam filem Red Sorghum (1988) oleh Yang Zhimou lah yang benar-benar meninggalkan tanda buatnya, seorang anak kecil yang membesar di belah pedalaman utara Semenanjung tanahair sewaktu itu.

“Saya melekat dengan filem itu kerana alur muka buminya”, namun, “tidak dengan, misalnya filem Tamil walaupun saya berkongsi bahasa dan budaya yang serupa”. “Di sini (Malaysia) hutan hujan”, dan, “rasanya Nusantara sekali. Nenek-moyang saya datang ke sini hampir dua ratus tahun yang lalu dan saya generasi yang ketiga di sini – muka buminya cukup rapat dengan saya”. Justeru, alam muka buminya itulah – paya-bakau, hutan hujan, air pasang – yang “ditangkap” Shanjhey untuk menggerakkan sinematografi Jagat yang memerihalkan lingkar bahana dan celaru warganya di tahun 1980-an.

Benarlah kata Shanjhey, “walau kehidupan cukup melarat”, muka buminya; “pemandangan dan persekitaran” itulah yang alih-alih, “mengilhami artis untuk keluar dengan sesebuah karya” justeru melangkaui “sempadan politik yang ditetapkan manusia”. Bahkan, sewaktu keluarnya Jagat, dirinya hanya mahu “menghambur kisah-kisah sewaktu diri membesar”. Tidak ada kesedaran untuk Jagat dicerakinkan sebagai filem yang mewakili suara “diaspora, filem Tamil, bahkan filem Malaysia”. Filem adalah filem, baginya.

Apa yang terzahir sewaktu Festival Filem Malaysia yang ke-28, cukup membingungkan dirinya sehingga sekarang. Yang terjadi adalah bila mana pihak jawatankuasa penganjur memperkenalkan kategori khusus untuk membahagikan filem-filem yang dipertandingkan ke dua jenis bahagian; “Filem Malaysia dalam Bahasa Kebangsaan” dan “Filem Malaysia bukan dalam Bahasa Kebangsaan”. Hanya filem dengan 70% penggunaan bahasa kebangsaan dapat dinilai bagi anugerah utama; Filem Terbaik, Pengarah Terbaik serta Sutradara Terbaik. Mujur, selepas hingar-bingar dan protes dari mereka yang di dalam lingkungan warga perfileman, segala kepandiran itu tidak diperpanjangkan lagi. Jagat menggondol beberapa anugerah lainnya selepas itu. Ranjau menuju kemenangannya satu hal, namun ada sesuatu yang jauh lebih menekan dari itu – rapuhnya sebuah Negara yang bebal tidak memperakui akan keberadaan realiti masyarakatnya yang berbilang bahasa untuk kesekian lama sejarahnya. Ianya sekaligus mendesak kita untuk mempertanya logik daulah di balik pembangunan nasion (bangsa) itu sendiri.

Tidaklah apa yang berlaku ini kemudian menjadi dilema buat Shanjhey, bahkan ianya seakan-akan membulat lagi tekadnya, “Seringkali saya mengatakan bahawa saya sudah lanjut bernikah dengan Bahasa Melayu, namun apakan daya, saya lagi jatuh hati dengan ‘bahasa filem’. Saya mendambakan keduanya, ianya sebuah hubungan (yang) sulit.  ‘Bahasa filem’ bahkan mengatasi bahasa sebenar, tiada sempadan untuk mereka yang berbicara dengan ‘bahasa filem’, bahkan ‘bahasa’ bukanlah segala-galanya. Mengapa wujudnya permasalahan bahasa di dalam filem?” Menyambung ujarannya, Shanjhey memasang niat “bukanlah untuk tidak menghormati bahasa kebangsaan namun ianya soal filem itu sendiri”. Ironinya, sekilas melihat filem-filem di dalam bahasa Melayu yang bertanding di tahun kontroversi penganugerahan itu, ada yang judulnya caca-merba bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Itu baru soal bahasa judulnya, belum lagi isi filemnya. Nauzubillahiminzalik.

Sedikit pun tidak terkesan dengan hingar-bingar yang berlaku, Shanjhey terus percaya dengan “kejujuran sesebuah pengkisahan”. Baginya, pengkisahan – perwatakan, corak, ideologi, falsafah – kemudian yang akan membebaskan segala-galanya. Bukan semata-mata yang itu sahaja, “kisah adalah segala penentuan menuju ke arah kebenaran”, dan akhirnya “kisah itulah sendiri adalah kebenaran”. Kita sekaligus mempertanyakan apa lagi yang mahu kita terokai tentang kebenaran yang dipresentasikan lewat pengalaman sinema? Apakah bekerja dengan Appoy, watak belasan tahun yang diperan non-aktor Harvind Raj itu akhirnya membawa kepada kebenaran kepada kisah yang diperam sekian lama oleh Shanjhey sendiri?

Filem jika dilihat dari kacamata industri, mengikut telahan Shanjhey, “hanya berfungsi sebagai eskapisme” di mana, “tiada apa-apa kebenaran langsung di sana” kerana “mereka tidak pernah upaya untuk merepresentasi diri (saya), kelas pekerja dan warga India (Malaysia) kebanyakan”. Konflik yang tidak tuntas seperti inilah yang kemudian menggesa Shanjhey untuk menukang Jagat masuk ke arus perdana. Awal-awal sewaktu mula menulis Jagat, ianya sebagai sebuah proses untuk mengubat diri semata-mata. Bahkan, skrip Jagat sepatutnya lahir sebagai sebuah komedi gelap.

Apakan daya, komedi dan tragedi di dalam Jagat adalah anak haram kepada sejarah yang terus-terusan menjadi drama yang “bakal memangsai generasi yang terkehadapan” – budak lelaki; Appoy itulah dirinya yang “menjadi anak-anak, sekaligus untuk memahami kebenaran”. Kebenaran yang bertalu-talu penuh kontradiksi hasil dari Tubuh yang tidak pernah aman untuk menjadi dirinya sendiri – orang Malaysia, sosok India, Malaysia-India atau India-Malaysia – dilaknat selamanya menjadi Yang Lain. Mana mungkin kita akan lupa esak tangis dari satu-satunya panggilan Appoy yang itu (kongsi Shanjhey, scene ini tidak pernah dirancang); namun takdir Appoy sudahpun tuntas di situ. Kita, sebagai warga, sebuah Negara, secara bersama sudahpun memilih untuk memalingkan telinga dari mendengar rintih kebenaran dari Appoy yang meratap akan nasibnya.

Nota: Wawancara ini disadur dan diterjemah dari teks asal bersempena Age of Anxiety:Malaysian Film Festival in Taiwan bertempat di National Chiao Tung University pada tahun 2019.

Laman Facebook: https/m.facebook.com/ageofanxietymff/

Teks asal di dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin boleh diakses di sini:

//drive.google.com/file/d/15vlu015wA-8JjrVDqN2aQPhW1xzbZGld/view?usp=drivesdk