Wawancara bersama pengarah filem, Namron oleh penggerak Malaysia Muda, Zikri Rahman.
‘Pernah saya tercongok sepanjang hari pakai spek mata gelap’, ujarnya, ‘(untuk) bebas pasang telinga dan perhati nak faham orang’. Acapkali inilah yang dilakukannya gara-gara membesar seorang diri di kampung. Namron, pengarah dan dramatis tersohor, sukar membawa diri untuk akhirnya bertemu tenang di pentas sajak. Umur lima belas tahun dan dirinya, ketika itu, masih bergelut untuk fasih membaca serta menulis dengan lancar. Parut dari trauma ini berkekalan; ‘Duduk dalam sistem pendidikan yang terpecah-pecah dengan pelajar dibahagikan ikut kepandaian, ianya cukup mempengaruhi saya’.
Cukup berselirat hidupnya membesar di Perlis, “tak pernah sekalipun terfikir nak buat seni”. Apa saja kerja yang tak dibuatnya, dari kerja di ladang, jaga parkir ke memburuh sehinggalah segalanya makin celaru. Cukuplah. Ketika awal-awal masuk ke ASWARA, usianya sudah pun lanjut 25 tahun, namun pilihannya untuk berteater bukanlah sesuatu yang asing baginya. Awal lagi, Namron berkecimpung dengan kelompok teater yang lain-lain; Grup Teater AKSI, Grup Teater SE BATU – yang cukup membentuk praktik teaternya sebelum menyambung bertukang karya di Rumah Anak Teater dan Alternative Stage.
Sedar yang kerjasama adalah segala-galanya di dalam teater, Namron secara halus mengembangkan kaedah dalam teater ke filem, dan sebaliknya. ‘Teater ni kerjasama, gotong-royong’ yang caranya dekat sekali dengan cara kerja dirinya dan sebagai pengarah ‘yang menyambung fragmen-fragmen’, Namron enggan ‘untuk (mem)bezakan pentas dan layar yang sepatutnya sekali’ di mana ‘saya perhati dan tilik orang melalui tingkah badan dan perwatakan kerana orang tetap “berlakon” sekalipun di luar bingkai. Itu yang saya perlu fikir untuk masukkan dalam skrin’ kerana ‘karya yang baik sepatutnya buat orang tidak selesa, resah’ dalam memahami lingkungannya.
Saya mengaku pada Namron yang mungkin saya terlalu memikirkan kenyataannya untuk membikin filem lucah (ianya sebuah stunt publisiti katanya), gara-gara ulasan bercampur-baur yang diterima untuk filem One Two Jaga (2018) yang mengetengahkan hal yang jarang disentuh (walau ianya sebuah rahsia terbuka bagi kita semua); rasuah sehinggalah salahlaku polis di mana setiap warga Malaysia punya cerita sendiri berhadapan dengannya. Ianya bukanlah semata-mata kenyataan harfiahnya yang mahu membikin filem porno (dapat tidak dapat, porno sebagai sebuah genre boleh jadi cukup sukar untuk dibikin – lihat saja kualiti video 3GP yang dikeluarkan saban tahun!) – yang menangkap perhatian saya namun untuk menelusuri runcingnya latar sejarah politik Malaysia sedari 1998. Di mana ketika hingar-bingar Reformasi, rakyat Malaysia buat pertama kalinya diperkenalkan dengan media arus perdana yang hiper-seksual dengan beragam terma dari ‘liwat’, ‘homoseksual’ hinggalah ke ‘air mani’ yang diputar saban hari. Seksualiti menjadi radas Negara yang ampuh menekan sebarang proses pendemokrasian sehingga mereka yang menangkap serba-serbi ‘lucah’ masyarakat kita turut dikata subversif.
‘Secara tak langsung, karya saya dilihat sebagai mengkritik regim’, ingatnya, ‘sebelum Reformasi, banyak karya (hanya) tentang dalam diri saya saja. Waktu Reformasi-lah saya banyak masalah dengan kerajaan’, kerana, ‘(ia) menekan kebebasan ekspresi. Saya jadi lagi politikal (semenjak itu)’.Dari banyak penulisan skrip sehinggalah adaptasi layar, filemnya yang pertama, Gedebe (2003) yang disadur longgar dari Julius Caesar karya Shakespeare-lah yang merungkai konflik yang kemudian membentuk politik Malaysia lebih dua puluh tahun lamanya – perseteruan di antara Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohammad.
Politik bukanlah sesuatu yang sama lagi buat Namron seperti apa yang diungkap mentor teaternya, mendiang Krishen Jit kepadanya; seni, harus melangkaui pergolakan dalam diri. Bertahun lamanya Namron memasang telinga mematangkan pandangannya tentang dunia seharian. Yang inilah diperam dalam banyak karyanya, antaranya, road-movie Jalan Pintas (2011) yang berselirat tanggungjawab serta harapan yang menggoda seorang lelaki muda. Gadoh (2009), yang paling dekat dengan pemerhatian tentang lingkungannya. Tentang bebalnya perkauman yang menjadi tema utama filem ini seperti yang dilalui ketika di sekolahnya sendiri. ‘Kita patut gali semula isu yang disenyapkan!’ tegas Namron.
Ditanya saat untuk meletakkan dirinya di dalam kecamuk sosio-budaya kita di Malaysia, Namron menancap tajam pandangannya. Beliau cuba mengingat perbualannya lama dulu dengan seorang aktivis teater dari seberang ketika pasca-Reformasi, di mana ketika itu ‘kita tahu Malaysia ni negara polis, jadinya karya saya pasti dilihat Kerajaan’ apatah lagi, ‘kita berkarya untuk kritik kerajaan namun ianya bukanlah benda baru, semua orang boleh mengkritik sekarang’.
‘Apa peranan kita kemudiannya?’ beliau beretorik, hanya untuk kemudiannya mengatakan bahawa asasnya sebagai seorang artis, ‘ianya (karya) perlu membuatkan orang berfikir, bukan menyelesaikan – itu kerja politikus’. Yang penting adalah berkarya dengan tujuan untuk membebankan kita dengan persoalan-persoalan kerana Malaysia, sebagai sebuah Negara akan sentiasa bermutasi entah makin membaik atau sebaliknya. Jawapannya mungkin ada di balik karya-karya Namron – yang seperti pisau bermata dua itu; merungkai keganasan sistemik yang dilakukan Negara, juga melihat gelisah dan hipokrasi kita sendiri di dalamnya.
Utama bagi Namron adalah untuk membiarkan ‘karyanya bercakap sendiri’ bagi menggambarkan citra politiknya. Untuknya, ‘setiap karya adalah sebuah pernyataan’. Apa yang dibayangkan melalui karyanya adalah untuk merungkai hubungan politik dan estetika; ‘semuanya tentang cara bikin’ dalam menangkap bentuk kolektiviti masyarakat yang renyah itu – nasion, rakyat, massa dan lainnya. Menerusi One Two Jaga, Namron mahu melihat soal ‘kepenyelahan’ (illegality) serta betapa rentannya batang tubuh seorang migran yang hidup di celah-celah kita semua. Baginya, suara-suara di pinggir tidak harus dibungkam.
Nota: Wawancara ini disadur dan diterjemah dari teks asal bersempena Age of Anxiety:Malaysian Film Festival in Taiwan bertempat di National Chiao Tung University pada tahun 2019.
Laman Facebook.
Teks asal di dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin boleh diakses di sini.