Pekan Mimpi
Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak COVID-19 yang tiba tiba entah dari mana datangnya menyerang ummat manusia, rakyat dikejutkan berkali-kali lagi dengan mesej-mesej Kerajaan yang mengelirukan, sehingga rakyat tak ketahuan tingkahnya.
Sedia maklum 16 Mac 2020 yang lalu, Malaysia digemparkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan dalam sidang media kerajaan oleh perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang baru saja menggalas mandat sebagai perdana menteri susulan pertukaran kerajaan yang berlaku sejurus sebelum wabak COVID-19 menelan semua berita dan strategi politik. Semua terhenti, dan kerajaan dan rakyat sama-sama bimbang apakah nasib seluruh ummat manusia seterusnya. Hebahan dan berita palsu sama-sama menderu-deru memasuki telefon bimbit. Artikel, infografik dan ulasan tak putus dikeluarkan membandingkan nasib rakyat kita yang kelihatannya masih berlewah-lewah dengan nasib rakyat Itali yang kini menjadi tumpuan dunia, yang menjadi medan tempur virus moden yang menyerang ketamadunan manusia. Sehingga artikel ini ditulis, kita semua masih tertanya-tanya.
Oleh itu pada 18 Mac 2020, ketika kerajaan dan rakyat sama sama bingung akan nasib yang bakal menempa ke hadapan, pihak kerajaan bertindak menggariskan kawalan ke atas pergerakan rakyat Malaysia, tindakan yang dilakukan susulan desakan petugas barisan hadapan di bidang perubatan dan memandangkan keadaan yang makin meruncing. Rakyat Malaysia yang sudah terbiasa berkeliaran dan menjalani kehidupan seharian tanpa sekatan pun bertanya: Apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak?
Maka, dalam sidang media kerajaan mengumumkan hanya ketua keluarga yang dibenarkan untuk membeli peralatan asas dan barangan basah harian untuk sebuah keluarga.
Pengumuman itu tidak mengejutkan lagi disambut baik oleh ‘ketua keluarga’. Oleh itu berbondonglah ketua keluarga tadi meramaikan pasar borong, pasar raya dan segala jenis pasar yang ada untuk mendapatkan stok makanan untuk digunakan sepanjang 2 minggu (pada ketika pengumuman dibuat) untuk seisi rumah. Keluarlah pelbagai meme dan lawak jenaka tentang para ‘ketua keluarga’ yang serba janggal mengisahkan hal-hal dapur, tidak kenal yang mana ketumbar yang mana halia, tak tahu beza yang mana sawi dan kobis malah. Jenaka ini ada yang disambut bersahaja dan ada juga yang marah-marah kerana mengaibkan ketua keluarga.
Pengumuman ini sekurangnya menyelak londeh tiga perkara: idea masyarakat tentang siapa ketua keluarga; peranan gender (gender role) dalam keluarga yang pekat; dan mesej kerajaan yang bersifat seksis. Pertama, siapa yang memberitahu kita bahawa ketua keluarga semestinya lelaki? Akan ada yang menjawap bahawa ia diberitahu agama, atau adat masyarakat. Sekiranya ketua keluarga semestinya kaum lelaki, yang memegang status bapa dan suami, bagaimana dengan keluarga yang dipimpin oleh ibu atau isteri kerana suami meninggal dunia, sakit, bercerai, suami menghilangkan diri dan sebagainya, adakah mereka tidak mempunyai ketua keluarga? Bagaimana dengan isirumah bujang yang semuanya wanita?
Mesej yang disampaikan pihak kerajaan perlulah bersifat jelas dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia, dan bukannya sesetengah golongan sahaja. Masih ada yang tidak puas hati dengan persoalan ini jadi baiklah kita terus ke persoalan seterusnya. Wabak COVID-19 ini dikatakan mudah menjangkiti golongan berusia, yang mana sebahagian populasi yang dipanggil ketua keluarga merupakan golongan ini, warga emas. Mengapa dibebankan lelaki tua untuk ke pasar raya yang mudah terdedah risiko hanya kerana mereka ‘ketua keluarga’? Bukankan lebih molek jika yang mempunyai kudrat dan imuniti tinggi untuk menawarkan diri membeli belah?
Pesanan kerajaan yang disambut oleh rakyat ini juga membawa kita ke persoalan kedua, apa peranan individu dalam keluarga di Malaysia? Memandangkan ramai golongan lelaki yang kelihatan alah dengan ilmu dapur, kemampuan dan tanggungjawab yang digalas oleh golongan lelaki di malaysia mampu dipersoalkan. Ketika mana golongan wanita keluar bekerja dan berpencak silat di dapur pada masa yang sama juga menjaga anak-anak, apakah peranan kaum lelaki dalam keluarga tersebut? Modenisasi meminta kedua-dua individu keluar bekerja dek desakan tekanan ekonomi, maka wajarlah kita menyeru semua ahli keluarga (suami dan isteri) untuk sama-sama saling, membantu dengan kerja domestik dan tidak meletakkan beban memasak dan menjaga anak hanya kepada golongan wanita. Istilah double burden iaitu dwi-bebanan adalah fenomena yang dialami oleh wanita moden. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini hanya membuktikan dengan lebih jelas bahawa golongan lelaki di Malaysia masih belum cukup menjalankan peranan mereka, sesuai dengan sunnah Nabi dalam agama Islam.
Mesej kedua, datangnya daripada infografik yang dikeluarkan oleh Rina Harun, menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kita yang terkini. Infografik yang mendapat respons ramai tersebut menyeru wanita untuk menggunakan suara doraemon dan bernada manja ketika menegur suami yang tersilap melakukan kerja rumah. Informasi kedua pula meminta wanita mengenakan solekan ketika bekerja dari rumah.
Mesej intipati infografik tersebut sebenarnya adalah komunikasi berkesan dan produktiviti kerja. Tetapi info tersebut terlalu menyeleweng dan penulis mesej tersebut bersandarkan idea terpendam yang berbaur seksisme dan tanggapan menghina kepada golongan wanita. Kenapa? Meminta wanita bersolek ketika golongan wanita bekerja yang berkeluarga mengalami dwi bebanan (double burden) adalah bersifat kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Seorang ibu dan isteri yang tidak mempunyai pasangan yang membantu kerja dalam rumah akan sangat penat menyelesaikan segala kerja rumah dan kerja pejabat seorang diri. Mesej yang sepatutnya diberikan adalah menyeru golongan lelaki untuk melakukan sebahagian kerja rumah sebagai tanggungjawab masing-masing, bukan sekadar membantu atau kerja sipi-sipi kerana kasihankan isteri.
Kedua, meminta wanita bersolek dirumah adalah tidak adil kerana ia bersifat ‘memerintah’ (patronize) yang mana lelaki tak pula diberikan pesanan serupa. Bayangkan jika kita memesan golongan lelaki untuk jangan memakai singlet cap pagoda dan seluar pendek ketika bekerja dari rumah? Janggal bunyinya? Jika janggal mengapa ia tidak bermasalah jika disebutkan kepada wanita? Isu dan bebanan yang dialami wanita akan lebih banyak terjadi apabila pihak kementerian memberitahu masyarakat ia adalah okay untuk ‘membuli’ dan ‘menghina’ wanita sedemikian rupa.
Apa yang sebenarnya mengecewakan adalah apabila pihak kerajaan persekutuan sendiri yang menyampaikan mesej yang bertentangan dengan prinsip menghormati kesamarataan gender dan bersifat menghina golongan wanita. Tahun ini merupakan tahun ke-20 Convention of Elimination and Discrimination Against Women (CEDAW) dilangsungkan, yang mana Malaysia merupakan antara negara yang bersetuju menandatangani perjanjian antarabangsa ini. Pihak kami menyeru pakar gender ditempatkan di kementerian-kementerian kerajaan persekutuan (khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) bagi mengelakkan kekeliruan nilai sosial dan menghalang pembulian dan penghinaan kepada sesetengah gender berlaku, apatah lagi dalam keadaan kita sudah menjejak Wawasan 2020 ini.
Pihak kami berharap pihak kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming) kepada semua jabatan dalam semua kementerian untuk mempunyai lensa gender dalam mengamati perlaksanaan, keputusan dalaman mahupun mesej yang disampaikan kepada umum. Pengarusperdanaan Gender merupakan sebuah program untuk melatih kakitangan kerajaan untuk sensitif gender dan menganalisa kerangka program atau projek dengan analisa gender, bagi memastikan semua golongan dilibatkan dan mendapat manfaat sewajarnya. Jangan kelirukan rakyat, dan jangan jadi ejen yang mempropaganda ke arah ketidakadilan gender. Golongan wanita merupakan antara golongan yang paling terkesan dengan bencana dan wabak. Jangan memburukkan keadaan yang telah sedia ada getir.