Ain Nasiehah
Semalam, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM10 billion untuk pemilik perniagaan. Para pemilik perniagaan pun kini boleh menghembuskan nafas lega, kerana keluhan hati mereka telah didengari kerajaan. Mungkin Vivy Yusof dan kawan-kawannya boleh tidur lena malam ini.
Ketika pemohon Bantuan Prihatin sedang diproses pihak kerajaan dan bantuan sudahpun meliputi pihak yang sebelum ini tidak dipedulikan, ada banyak lagi masalah yang seperti bom yang menunggu masa untuk meletup. Lebih ngeri jika kita tidak menjangkakan dan tidak melihat ia datang kepada kita tanpa kita sempat menyelesaikannya. Jika virus ini melanda dan mengasak upaya kemanusiaan kita bersama, kita menghadapinya, tapi tidak punyai peralatan yang cukup dan tidak memakai kelengkapan sewajarnya. Akankah kita mengatasi keadaan ini?
Pada awal-awal Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, Talian Kasih (penjenamaan semula daripada Talian Nur) yang dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah diumumkan ditutup dan tidak berjalan. Setelah mendapat tentangan hebat daripada aktivis dan masyarakat sivil, tidak sampai sehari talian tersebut dibuka semula. Kemudian, poster pesanan yang dikeluarkan mendapat kecaman hebat masyarakat kerana meminta isteri yang sedia dibebankan dengan kerja rumah, untuk bercakap dengan suara Doraemon, cadangan yang dilapisi pesan bahawa wanita perlu menjaga ego suami dan sentiasa bertindak mengikut kehendak suami. Kemudian, pihak kementerian sekali lagi menafikan bahawa aduan keganasan Talian Kasih meningkat, dengan mengatakan aduan tersebut adalah aduan yang umum dan pelbagai. Malah, masih belum mendengar ura-ura mahupun bisik-bisik kementerian akan datang dengan pelan yang konkrit untuk kesejahteraan mental dan sosial masyarakat.
Rakyat Malaysia secara umumnya sedang berada dalam tekanan, daripada tekanan ekonomi kepada tekanan sosial. Ramai yang risau jika tidak ada makanan yang mampu dihidang atas meja esok, dan tidak mampu bertahan ke hujung bulan (kerana bantuan yang masih belum disalurkan ke akaun). Baiklah, kita tolak tepi elaun bantuan yang lambat sampai dan kita fokuskan kepada kesejahteraan mental rakyat yang semakin hari kian gelisah. Tekanan ekonomi sangat berkait dengan kesejahteraan emosi individu, yang seterusnya akan memberi kesan kepada kesejahteraan sosial masyarakat. Jika kerajaan menjengah dan melihat langsung keluh kesah rakyatnya, mereka akan tahu rumah bukan tempat selamat untuk setiap orang. Tidak semua orang bertuah untuk mempunyai rumah yang selamat dan bahagia untuk didiami. Ini selaras dengan ucapan presiden Council of Europe’s Group of Experts on Action against Violence Against Women and Domestic Violence bahawa untuk ramai wanita dan kanak-kanak, rumah adalah tempat yang ditakuti, bukan tempat selamat.
Di seluruh dunia, keganasan terhadap wanita meningkat. Google menyatakan bahawa carian terhadap ‘keganasan domestik’ (domestic violence) meningkat sebanyak 75 peratus, malah di Afrika Selatan, keganasan terhadap wanita meningkat 90,000 kes hanya pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Sekurang-kurangnya 18 orang wanita telah dibunuh di Turki sejak perintah serupa dilaksanakan 11 Mac lalu, menurut We Will Stop Femicide Platform, NGO yang menentang keganasan terhadap wanita. Kita masih menunggu data yang jujur dan tepat daripada Kementerian Pembangunan Wanita agar mudah untuk kerja-kerja ‘campur-tangan’ dilaksanakan.
Isu-isu sosial dan keganasan seperti keganasan rumahtangga meningkat di seluruh dunia, faktor campuran antara sifat patriarki dan tekanan yang dihadapi oleh pelaku. Mangsa kini terperangkap dalam rumah sendiri dengan pelaku. Isu penderaan kanak-kanak juga semakin serius yang mana kanak-kanak selaku golongan yang rentan dan sukar mendapatkan bantuan akan lebih teraniaya dalam situasi ini. Malah, pelbagai isu sosial lain seperti suami ketagih dan menonton pornografi sepanjang hari, pergaduhan pasangan suami isteri atau ahli keluarga, penceraian, malah ada yang terlalu tertekan untuk menyara keluarga sehingga mengadukan di talian bahawa mereka lebih sanggup mati daripada hidup. Keadaan sudah parah, kita perlu segera menyelamatkan.
Para NGO serta NGI kini giat dan tidak menang tangan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Bagi NGO yang membuka talian aduan seperti Women’s Aid Organisation (WAO), All Women’s Action Society (AWAM), Telenisa, Persatuan Pemberdayaan Keluarga (FAME) dan banyak lagi individu perseorangan yang menghulurkan bantuan melakukan yang terbaik untuk membantu isu-isu seperti penderaan, keganasan terhadap wanita, tetapi kita perlukan lebih ramai untuk membantu di lokaliti masing-masing, menghulurkan solidariti sebagai komuniti bagi membentuk komuniti selamat.
Jika anda berjiran dengan pasangan yang setiap hari bergaduh, mungkin anda perlu cuba pastikan isi rumah mereka selamat, keranaa bimbang adanya keganasan di dalam rumah tersebut. Para cikgu cuba perhatikan respon dan prestasi murid, bimbang ada yang kemurungan dan tidak mampu untuk berfungsi harian secara normal, dan jika anda menghulurkan bantuan mungkin boleh juga bertanya bagaimana keluarga tersebut menghadapi musim-musim genting ini kerana bimbang dengan kesejahteraan mental mereka.
Pihak Kementerian Kesihatan sudah bertungkus lumus fokus menyelamatkan kesihatan fizikal rakyat Malaysia melawan wabak virus COVID-19, kini tiba masanya untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan badan-badan berkaitan memainkan peranan untuk melindungi kesejahteraan mental dan sosial rakyat Malaysia.
Selangor Task Force COVID-19 sudah mengambil langkah proaktif dengan menempatkan mangsa keganasan di hotel-hotel yang dikenal pasti memandangkan banyak rumah perlindungan terpaksa ditutup atau mengekalkan bilangan penghuni sedia ada sahaja. Setakat ini, kos sesi kaunseling dan perkhidmatan masih mahal dan sukar diakses. Talian-talian aduan seperti Befrienders, talian psiko-sosial COVID-19 kerjasama MERCY dan Kementerian Kesihatan Malaysia dan talian-talian lain sangat sibuk dan hanya mempunyai kapasiti tertentu untuk menampung permintaan yang tinggi. Diharapkan, lebih banyak pihak yang turut serta dalam menangani krisis-krisis sosial ini di kala kita sibuk menangani dengan wabak virus COVID-19.
Ain Nasiehah ialah Pegawai Pembinaan Kapasiti di Institut Wanita Berdaya, dan percaya kita perlu melihat krisis COVID-19 dari kacamata gender.
