oleh Siyyah

Negara Malaysia kini sakit. Dan tenat. Bukan sebab fenomena pandemik yang melanda. Keadaan sekarang membawa keperitan yang seperti tiada penghujungnya kepada rakyat Malaysia. Kalau tidak kerana mereka, kaum medikal dan teknikal, pekerja, angkatan awam dan sivil dan semuanya sebagai barisan hadapan dan terakhir, sudah tentu akan bertambah sesak dan lemas masyarakat Malaysia dalam ombak bencana yang memukul bertalu tanpa simpati. Tetapi Malaysia sudah lama sakit. Sakit sosial dan politik.

Berdekad2 lamanya aksi dan retorik perkauman, keagamaan dan jiwa hamba mendominasi politik dan budaya masyarakat kita diolah oleh parti2 yang berdiri atas identiti dan pandangan sempit dan eksklusif. Tetapi yang lebih buruk lagi adalah korupsi moral dan kecetakan budaya berfikir yang melebur dan meliar di sebalik hegemoni dan keangkuhan yang dimiliki parti2 ini. Setiap penyelewengan wang dan salah guna kuasa dijustifikasi dan diterima atas nama bangsa dan agama. Yang ironisnya, setiap kritikan dan penentangan tindakan yang tidak bermoral dan tidak adil, dan tidak meluahkan cita2 sosial ditanda sebagai pengkhianatan dan asakan terhadap idea dan semangat negara Malaysia itu sendiri. Tetapi korupsi dan kebebalan tentunya bertentangan dengan prinsip cita2 negara dan masyarakat. Maka sudahpun berdekad lamanya Malaysia ini sakit dan rosak.

Kerana itu masyarakat Malaysia mengaju dan melakukan perubahan. Kita sedar negara dan bangsa tercinta tidak boleh dipandu oleh mereka yang tiada pendirian moral dan tidak kompeten. Atau dalam kata lain, korup dan bebal.

Perubahan bagaimanapun terbantut dan tidak dapat dilanjutkan. Pasca-2018, jangkaan dan keperluan kita terhadap pelaksanaan agenda perubahan tidak kesampaian. Suatu kelas atasan politik dan peniaga2 korporat dan bermodal besar digantikan dengan kelas atasan politik-peniaga yang lain. Nama dan individunya berubah, tetapi tatanan sosial dan kuasa tetapnya sama. Bahkan idea2 dan mitos2 lama yang feudal dan kolonial dikitar semula, walaupun tidak menyeluruh tetapi menduduki posisi dominan dalam perbicaraan awam dan nasional. Pemusatan kuasa dan kekayaan oleh tingkat atasan masyarakat dan kumpulan tertentu menjadikan kita tidak hairan jika kaum masyarakat terbanyak berasa resah dan susah. Pasca-2018, kita juga tidak lihat politik sosok diganti oleh politik nilai dan moral. Malah, heroisme politik, penonjolan imej ahli politik dan pemujaan sosok2 tertentu berkembang.

Origami yang ringan dan tergantung akan jatuh dan melayang jika angin bertiup. Dan kini, mereka yang pada awalnya dan sepatutnya dibuang supaya menjadi sisa sejarah kembali menjadi pemerintahan. Orde baru yang korup dan bebal.

Fenomena2 dan ciri2 kebebalan, egoisme dan heroisme politik, publisiti murahan, diskriminasi, stereotip dan ketidaksetaraan gender yang dulunya mempribadikan pemerintahan dan kepimpinan pra-2018, kini kembali dalam bentuk yang lebih kencang dan meluas lagi seperti yang ditunjukkan tanpa rasa malu dan martabat mahupun kompetensi oleh pemerintahan sekarang.

Melihat peristiwa2 di seluruh dunia, fenomena kemiskinan dan kesakitan kepimpinan dan pemerintahan yang bebal pengetahuan dan politiknya, machoistik dan egoistik gayanya, delusional dan dalam penafian psikologinya, dan mempertahankan ketidaksaksamaan dan ketidaksetaraan ekonomi, gender dan sosial agak menyerlah. Dalam hal ini, kita membayangkan beberapa negara masing2 di Eropah dan Amerika Utara.

Kerana itu, isu kesihatan dan pandemik yang sekarang kian menelan dan menyeksa menjadi semakin besar dan tiada penghujungnya. Basisnya dalam kesakitan politik dan kepimpinan ini yang sudah lama berpanjangan.

Di Malaysia, malangnya kita menghadapi senario dan fenomena yang sama. Masyarakat telah melakukan dan cuba sedaya upaya untuk berubah, dan mengubah. Tetapi seperti selalunya, sisa dan sampah enggan berangkat dan hilang, dan kembali terdampar, dan rosak dan cemarkan lanskap cita2 dan masa depan kita.

Kalau tidak kerana kaum profesional dan teknikal, kaum pekerja kurang mahir dan bukan profesional, perkhidmatan dan angkatan awam dan sivil, dan organisasi2 dan komuniti sosial dan sivil bertaraf dunia, kompeten yang berdedikasi, cekal serta berani yang bernaung di bawah payung dan menganjurkan kemanusiaan yang kita ada sekarang untuk suatu Malaysia yang bulat dan berpadu, sudah lama Malaysia hilang di dunia.

Perhitungannya agak langsung, jika kita tidak kompeten dan tidak berdaya untuk memimpin dan mengurus, dan bebal sifat kita, harus kita ke tepi dan turun untuk memberi laluan kepada mereka yang dapat mengerjakan kebajikan dan kemajuan masyarakat kita, masyarakat Malaysia, dan negara kita, negara Malaysia, dengan lebih baik dan cergas.

Label dan alasan bangsa dan ras, agama dan wang tidak akan dapat menutup kebebalan dan setiap kekurangan kita, terutamanya dalam keadaan yang getir dan mendesak.

Tetapi kita juga tahu, ini tidak akan berlaku. Kerana politik dan budaya kepimpinan dan pemerintahan kita, sememangnya sakit dan tenat. Dan sayangnya, masyarakat Malaysia mungkin akan bertambah menderita, sebelum beransur pulih.

Buat masa ini, mungkin tidak banyak yang boleh kita lakukan untuk mencungkil orde politik dan sosial sedia ada. Kita hanya boleh duduk diam dan bersabar. Tetapi masa mengajar kita untuk tidak lupa.

Kita sentiasa ingat.

Kredit gambar: hakcipta dan hasil lukisan Zunar, 2019; dipetik dari www.zunar.my. Digunakan dengan izin pelukis.

Sila kunjungi laman www.zunar.my untuk menghayati hasil seni Zunar Kartunis yang mencuit hati dan memberangsangkan.