Ain Nasiehah
Semalam, saya menghubungi seorang kawan melalui telefon. Kami bersembang seperti biasa, bertanya khabar dan cerita baru tentang diri mengganti pertemuan fizikal, norma baru bak kata Perdana Menteri kita, terma yang menjadi buah mulut serata masyarakat. Kawan saya ini perlu ke tempat kerja setiap hari kerana pekerjaannya dikira sebagai servis asas. Dia berseorangan di rumah memandangkan kesemua teman serumahnya pulang ke kampung halaman sebelum PKP diumumkan secara rasmi. Beberapa hari lalu, seorang jiran menegurnya semasa dia sedang membuka kunci rumah.
Jiran tersebut bertanya padanya, “Awak tahu tak, Uncle depan rumah awak ini meninggal dunia semalam.”
Kawan saya itu terkulat-kulat, “Eh, saya baru nampak dia semalam, dia selalu bukak pintu luas-luas, tengok TV, semalam pun dia ada tegur saya tanya apa khabar.”
Jiran teman saya membalas, “Oh, ada beberapa jiran pun cakap benda yang sama, diorang nampak Uncle tu waktu malam walaupun Uncle tu dah meninggal malam sebelumnya.”
Kawan saya terdiam.
Menurut jiran kawan saya lagi, Uncle tersebut sebenarnya sudah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemui. Uncle tersebut tinggal seorang diri di pangsapuri berdepan dengan rumah kawan saya. Kawan Uncle itu menelefon beliau, dan kemudian bimbang apabila panggilan tidak bersahut. Lalu, beliau mengambil keputusan untuk menelefon pihak berkuasa. Pintu gril dipecahkan, menemukan sebuah jasad yang sudah putus nyawa. Begitulah, tragis sekali. Katanya, bila mengetahui cerita itu, seram sejuk juga, naik bulu roma. Tapi dalam masa yang sama, hatinya sayu dan dirundung rasa bersalah. Bayangan Uncle yang muncul dan menyapa kawan saya (dan beberapa jiran lain) malam sesudah pemergian beliau seakan mengejek jiran-jiran akan ketidakpedulian mereka.
Hati rakan saya tertanya-tanya, siapakah waris Uncle tersebut?
Mengapa dia seorang diri?
Mengapa dia tidak menelefon sesiapa atau memberitahu sesiapa jika dia merasa kurang sihat atau tidak seperti kebiasaan?
Dan rakan saya seolah menyalahkan diri, kenapa dia sendiri tidak pernah menyelidik lebih dalam, selain sapa berbasa-basi saban hari?
Kes ini, mungkin kes terpencil di Malaysia. Tanpa mahu menyebut kes ini terjadi di mana, cukuplah saya menyebutkan ia berlaku di kota raya, Kuala Lumpur. Namun, fenomena yang digelar ‘kematian sunyi’ ini (lonely death) bukan perkara baru di Jepun, malah fenomena ini mempunyai namanya tersendiri. Kodokushi merupakan istilah yang muncul pada tahun 1980-an, dan kes paling tragis adalah apabila seorang lelaki berusia 69 tahun ditemui telah mati selama 3 tahun di apartmentnya sendiri. Sekiranya anda tertanya-tanya mengapa tuan rumah beliau tidak mencarinya, ia adalah sebab rumah tersebut dibelinya dan bayaran bulanan rumah dipotong secara automatik dari akaun bank beliau. Hanya selepas 3 tahun, selepas wang di dalam akaun bank habis, orang mula mencarinya dan menemui rangka jasad. Fenomena ini lazimnya berlaku dalam kalangan lelaki, tua[i] seperti yang pernah dilaporkan oleh NY Times. Malah, NLI Research Institute, badan pemikir Tokyo menganggarkan kira-kira 30,000 orang di Jepun mati dengan cara setragis ini.[ii]
Di Malaysia, kita menuju ke arah negara warga tua, kelahiran makin kurang, jangka hayat agak baik mencecah ke umur 70 tahun. Menurut Jabatan Statistik Negara Malaysia, angka kelahiran ialah 501,945 pada tahun 2018, menurun 1.3 peratus daripada 508,685 pada tahun 2017. Angka kelahiran kasar menurun daripada 15 (2017) ke 15.5 (2018) per populasi. Malah, kesuburan wanita juga menurun sejak 3 dekad lalu, kesuburan wanita berumur 15 ke 49 tahun menurun daripada 4.7 bayi setahun kepada 1.8 bayi pada tahun 2018. Sejak tahun 2013, Kadar Kesuburan Total (TFR) merekodkan angka penggantian 2.1 yang bermakna purata kelahiran bayi per wanita sepanjang jangkahayat reproduksi tidak mencukupi untuk menggantikan beliau dan pasangan beliau.[iii]
Mari beralih ke angka kematian pula. Angka kematian kasar meningkat 2.3 peratus dari tahun 2017 ke tahun 2018, iaitu daripada 168,168 kepada 172,031. Kadar kematian Kasar (CDR) kekal 5.3 peratus per 1000 populasi kedua-dua tahun ini.[iv] Angka warga emas juga meningkat 0.3 peratus pada suku tahun pertama tahun 2019. Wanita di Malaysia hidup purata 76.8 tahun manakala lelaki di Malaysia hidup purata 71.7 tahun.[v] 70-76 tahun bermakna seseorag individu mampu hidup 10 tahun selepas umur pencen (itupun jika mempunyai pencen). Siapa yang menjaganya? Cukupkah pencen atau wang simpanan semasa bekerja?.
Desakan dan tekanan menghimpit waris (atau anak-anak, untuk diskusi yang lebih merangkumi semua kita akan gunakan istilah waris disini). Malah, kerja-kerja penjagaan dihenyakkan kepada golongan wanita dengan momokan bahawa wanita penyayang, pengasih dan mempunyai sentuhan prihatin. Wanita zaman moden harus menggalas ‘double burden’, istilah yang digunakan untuk menunjukkan bahawa wanita mempunyai tanggungjawab berganda, tetapi jika dimasukkan menjaga warga emas, mungkin istilah ‘double burden’ tadi akan menjadi ‘triple, quadraplet atau octaburden’. Tangan hanya dua, kudrat semakin terhad, bagaimana mahu menyelesaikan dilema ini?
Kajian yang dilakukan oleh Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk “Time To Care: Gender Inequality, Unpaid Care Work and Time Use Survey” menyatakan bahawa kerja-kerja penjagaan di luar pasaran buruh formal masih dilakukan oleh wanita, di mana angka wanita melakukan kerja penjagaan adalah 76.2 peratus manakala lelaki hanya 23.8 peratus, angka yang tidak pernah seimbang sejak tahun 2010 (79.2% wanita, 20.8% lelaki).[vi] Oleh sebab masih banyak pihak yang menggalakkan kerja-kerja penjagaan ini dilakukan wanita atas alasan ia naluri biologi (yang langsung tidak bersandarkan apa-apa bukti saintifik mahupun empirikal), golongan wanita dibebankan dengan beban yang tidak masuk akal.
Apa solusi kita?
Fenomena ini bukan fenomena terpencil, tetapi trend global. Soalnya, bagaimanakah negara kita menghadapi permasalahan ini? Di Malaysia, kita masih bergantung penuh dengan ikatan kekeluargaan dan persaudaraan untuk menyelesaikan masalah kerja penjagaan ini. Rumah orang tua masih dianggap tabu, dan sesiapa yang menghantar orang tua masing-masing ke rumah orang tua akan digelar anak derhaka. Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai terlalu banyak komuniti sasaran yang perlu dijaga, daripada fakir miskin, orang tua, Orang Kurang Upaya sehinggalah kes keganasan rumah tangga. Semuanya membuatkan Jabatan ini tidak menang tangan menangani kerja-kerja ini. Lebih membuatkan keadaan parah adalah bagaimana Malaysia tidak mempunyai industri kerja-kerja sosial yang berkembang, dan jawatan serta peluang kerjaya dalam bidang ini yang terhad dan tidak banyak, walaupun peluang dan ruang untuk mengembangkan industri ini sangat tinggi. Masalah kedua, adalah bagaimana majoriti rakyat berada dalam kelas B40 (bawahan 40) yang tidak memungkinkan mereka menggajikan pekerja sosial untuk menjaga golongan warga emas tadi, walhal mereka perlu keluar bekerja, atau langsung tidak mampu menanggung warga emas di sekeliling mereka.
Tanpa menafikan tanggungjawab moral yang dipunyai oleh anak-anak dan waris, kita masih perlu bertanya soalan jujur dan mendesak ini, apakah solusi kita?
Wabak penyakit COVID-19 yang memaksa kita bertahan lebih sebulan berdiam di dalam tempat tinggal masing-masing dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan yang kemudiannya disambung ke Fasa 3 menimbulkan perasaan sangsi dan cemas. Kita semua di tinggalkan dalam kebingungan adakah PKP ini akan segera selesai ataupun masih perlu mengunci diri lagi.
Siapa pula yang bertanya kebajikan warga emas yang tinggal seorang diri, tanpa waris ini?
Sepantas mana kerajaan melakukan kerjanya, dan bagaimana pula kerajaan tahu dan mahu mencari warga emas dan individu yang tidak mempunyai kesihatan yang baik dan berseorangan ini?
Apa yang jiran sekeliling lakukan?
Sudahkah anda juga bertanya jiran sebelah hari ini, apa khabar semuanya?
Ain Nasiehah ialah Pegawai Pembinaan Kapasiti di Institut Wanita Berdaya, dan percaya kita perlu melihat krisis COVID-19 dengan kacamata gender.
[i] http://content.time.com/time/world/article/0,8599,1976952,00.html
[ii]https://www.independent.co.uk/news/long_reads/lonely-deaths-japan-die-alone-clean-apartments-japanese-industry-next-homes-clear-a8182861.html
[iii]https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=165&bul_id=bE5PcWNLaFBMUy9FK3ZhOEpTdG0xdz09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09
[iv]https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=155&bul_id=aWJZRkJ4UEdKcUZpT2tVT090Snpydz09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09
[v]https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=YnV4S1FyVnNzUWJlQ3F5NHVMeFY3UT09
[vi]http://www.krinstitute.org/assets/contentMS/img/template/editor/Publications_Time%20to%20Care_Full%20report.pdf