Editorial
#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya. Bersama kita Azmyl Yunor!
Bukan calang-calang, minggu pertama ini, sidang redaksi Malaysia Muda bertanyakan tiga soalan pendek kepada Azmyl Yunor; hero folk kita yang merupakan seorang penyanyi dan penggubah lagu. Beliau juga seorang ahli akademik dan penulis berlatarbelakangkan disiplin kewartawanan dan filem. Pernah dan masih menganggotai hampir lapan buah projek kugiran, serta pernah dan akan mengeluarkan lebih sepuluh album dan EP. Ikuti temubual singkat kami seputar album konsepnya dan mengapa Dylan dianugerahkan Hadiah Nobel.
MM: Malaysia Muda / AY: Azmyl Yunor
MM: Kalau ikut nafas lirik dan lagu, memang feel KL habis semua album. Tapi kalaulah boleh bikin satu album konsep tentang sebuah tempat kecuali KL dan dalam Malaysia, dekat mana akan dipilih? Kenapa tempat tu yang akan dipilih?
AY: Bangi – adalah ‘kampung’ aku sejak 30 tahun lalu selepas kami sekeluarga berpindah dari KL waktu aku berusia 12 tahun. Secara kebetulan juga, album terbaru aku yang bakal dilancarkan tahun ni “John Bangi Blues” memang berkonsepkan tentang Bangi dan kawasan sekitarnya. Contoh, kawasan ‘KL South‘ seperti yang dipaparkan di papan-papan iklan pemaju pangsapuri sebagai keranda kayangan serta kawasan Dengkil dan Sepang yang juga habitat spesies “lori hantu” yang memamah bukit-bukit dan bekas-bekas lombong.
MM: “Sepanjang zaman, semangat rakyatmu cekal” – ini lirik dalam Tanah Air Ku. Semangat dan rakyat dalam lipatan sejarah kita yang mana bikin meremang bulu roma dan menitis air mata?
AY: Dalam kita berdepan dengan krisis COVID-19 (sekarang). Walaupun ada segelintir yang degil dan bebal, majoriti kita masih kekal cekal. Penghormatan tertinggi diberikan kepada barisan hadapan atas pengorbanan mereka.
MM: Waktu tulis lagu, lebih banyak mendengar ke membaca? Apa yang lainnya dalam kedua-dua cara ni? Soalan nakal, setuju ke Bob Dylan dapat Hadiah Nobel Sastera dulu?
AY: Lebih kepada naluri, itu yang paling penting dan lebih aku suka. Membaca tu memang secara automatik tapi tak semestinya membaca dengan tujuan untuk berkarya. Berkarya tu kadang-kadang menjelma tanpa sedar, seperti mengelamun di siang hari.
Ya, aku sangat bersetuju (Dylan gondol Hadiah Nobel Sastera). Aku masih tak faham kenapa golongan-golongan penulis masih menyisihkan golongan penggubah lagu dari kelompok mereka – bukankah lirik-lirik itu juga puitis dan asas karyanya melibatkan perkataan? Mungkin iri hati kot sebab ramai yang masih bertanggapan yang arena seni muzik ni cuma ‘glamor’ dan kosong tanpa isi. Besar jurang perbezaan antara ‘artis’ dan ‘seniman’ dan selagi masyarakat tak tahu perbezaannya, selagi itulah kita takkan maju ke hadapan.
Ikuti kerja-kerja muzik Azmyl Yunor lewat saluran Youtube, Facebook dan Spotify-nya.
