Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya. Bersama kita Mark Teh!

Masuk siri kedua #MalaysiaYangMuda, sidang redaksi bertanyakan tiga soalan kepada Mark Teh, seorang pembikin persembahan, peneliti serta kurator menetap di Kuala Lumpur. Mark juga salah seorang ahli Five Arts Centre, kolektif yang ditunjangi artis, penerbit serta aktivis. Projek-projek kolaboratifnya yang rencam sering menangkap persoalan sejarah, memori serta ‘pemetaan tandingan’ (counter-mapping) – yang mengambil bentuk spekulatif serta dokumentari. Bersama kami meneroka bayangan warga dan Malaysia yang seperti apa wujud lewat kerja-kerja seni budayanya. Silakan.

MM: Malaysia Muda / MT: Mark Teh

MM: Tak banyak koleksi atau antologi drama skrip lengkap yang dibukukan oleh kolektif teater di Malaysia – ada yang terus hilang, ada yang sukar nak ketemu. Jadinya, antara yang bikin kerja-kerja dokumentasi ini adalah teman-teman di Five Arts Centre. Untuk itu, ada tidak sebuah “long-lost” skrip drama Malaysia yang paling teruja waktu pertama kali dibaca atau dijumpai? Apakah judul skripnya dan ada apa dengan karya itu?

MT: Kalau merujuk kepada Staging History, ya, ianya antologi drama skrip yang disunting oleh Kathy Rowland dan diterbitkan oleh June Tan pada 2015. Ia sebuah koleksi 15 teks pertunjukan dan persembahan dari beberapa penulis yang telah dipentaskan oleh Five Arts sejak 1984 hingga 2014. Menariknya, ia penerbitan kami yang pertama, walaupun kolektif sudahpun wujud sejak 1984. Sejak beberapa tahun lalu, persoalan dan kerja berkaitan dokumentasi dan pengarkiban menjadi lebih penting dan berfokus – kami juga menggerakkan My Art Memory Project (dimulakan oleh Kathy), sebuah arkib atas talian untuk mengumpul dan mendigitkan data sejarah berkaitan seni persembahan di Malaysia, serta Arkib Seni Pendidikan Malaysia, yang menelusuri pendidikan seni tidak formal, dipelopori oleh Janet Pillai.

1.a Staging History (2015, Five Arts Centre) cover

Muka depan buku Staging History

Saya tidaklah terlibat secara langsung dengan penerbitan Staging History, namun bagi saya, ianya sesuatu yang menarik di mana mereka yang terlibat memilih beberapa teks dari persembahan “devised” sejak tahun 90-an – My Grandmother’s Chicken Curry &.., A Chance Encounter and Lina dan Lijah. Biasanya, teks persembahan ini tidak ditulis oleh seorang pengarang atau dramatis, sebaliknya dibikin oleh pelakon dengan kerjasama pengarah – ianya seringkali diadaptasi dari pengalaman mereka sendiri, digerakkan oleh kelompok (ensemble-driven), autobiografikal, berbilang bahasa, yang membentuk perca tulisan dan persembahan. Beberapa projek Krishen Jit ketika zaman ini antara yang sering dirujuk sebagai contoh teater “devised” – US:  Actions & Images (1993), Work – The Malaysian Way (1996), and A Chance Encounter (1999).  Ada juga beberapa yang lain turut bekerja sebegini – Thor Kah Hoong yang mengetuai kumpulan Kami Kasih melalui siri persembahan mereka Caught in the Middle serta Janet Pillai melalui model teater-dalam-pendidikan yang Boalian serta memasukkan persembahan teater kanak-kanak yang turut dikembangkan ketika itu.

Yang mengujakan buat saya bukanlah “long-lost” atau skrip yang dilupakan, sebaliknya saya ingin mengangkat kaedah penulisan, kaedah kurasi serta teks persembahan “tikam-tikam” oleh Leow Puay Tin. Selain daripada tiga pementasan utamanya (Three Children, A Modern Woman Called Ang Tau Mui dan Family) yang dipentaskan dan diterjemah, beliau juga ada membikin sebuah gabungan karya yang serupa menggunakan pelbagai kaedah bentuk penulisan yang diterbitkan beliau serta penulis lainnya. Lewat projek ini, beliau menggunakan kaedah“nasib” dan kerawakan secara performatif, sebagai cara menyusun dalam menentukan turutan cerita dan babak. Caranya adalah dengan menjemput audiens untuk menggunakan roda nasib (wheel of fortune), lucky dip, baling dadu atau mengocok kad untuk menentukan jalan cerita. Persembahan biasanya berlaku dalam tempoh waktu yang terhad – sekitar 60 minit saja. Jadi, mungkin jalan cerita untuk hari ini bermula dengan cerita 4, diikuti cerita 9, cerita 1, kemudian cerita 12 dan seterusnya. Pada hari yang berikutnya, turutan cerita akan ditentukan oleh audiens lain pula. Jadinya, lebih banyak cerita yang boleh ‘dipentaskan’ dalam tempoh yang diperuntukkan – dari satu sudut, ianya membina fiksyen yang tidak sempurna, mengingatkan kita kepada kemungkinan alternatif serta kisah yang tidak tertonjol. Strategi ini mengingatkan saya pada buku RPG, berjudi dan baca kad tarot. Kami cuba untuk membikin sesuatu berkaitan dengan projek tikam-tikam ini dalam beberapa tahun lagi.

1.b Leow Puay Tin bersama roda tikam-tikam di 'UTIH... Celebrating Krishen' (2006, Sek San Gallery KL)

Leow Puay Tin bersama roda tikam-tikam, 2006.

MM: Waktu mengarah skrip teater Baling, bagaimana proses nak tangkap ketegangan waktu rundingan tu? Bagaimana proses tekstual ke pentas berlaku dengan keterhadan (limitation) sumber yang ada dalam membayangkan pembinaan masyarakat kita hari ini?

MT: Kami sudah membikin beberapa persembahan berkait Rundingan Baling 1955 sejak 2005 – sebagai persembahan teater fizikal di dalam universiti dan juga gelanggang futsal, serta sebagai acara berkala di mana kami membacakan transkrip penuh rundingan sepanjang dua hari itu – dengan menjemput peguam, aktivis, wartawan, mahasiswa, sosiologi antaranya. Lebih lima jam lamanya, ahli Parlimen dan mereka yang lain membacakan ungkapan oleh Tunku Abdul Rahman, David Marshall serta Chin Peng.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Baling (membaling), UiTM Shah Alam, 2006

Sebenarnya, kandungan dan teks transkrip 1955 ini sendiri cukup tegang, menggugah serta penuh drama – ketiga-tiga pemimpin berdebat perihal makna nasion, kebebasan, kemerdekaan, penyerahan, kesetiaan, ideologi – dua tahun sebelum Malaya merdeka. Isi yang diperdebatkan itu masih kena dengan keadaan di Malaysia hari ini, sepanjang kami melakukan tur bagi persembahan ini, walau dalam konteks yang berlainan.

Rundingan 1955 sebuah peristiwa yang cukup performatif. Keseluruhan media antarabangsa ditumpu dan dirangka penuh sensasi bagi rundingan ini – sebuah perjumpaan di antara pemimpin negara yang bakal merdeka dengan “orang paling dikehendaki oleh Empayar British”. Dalam konteks hari ini, rundingan ini bolehlah ditanggapi seperti uji bakat British terhadap Tunku Abdul Rahman. Tunku kemudiannya ke London beberapa hari selepas Rundingan Baling bagi membincangkan syarat untuk pentadbiran sendiri serta kemerdekaan secara langsung dengan British – jadi British memerhati dengan penuh minat bagaimana beliau akan “mengurus” Chin Peng. Inilah sebabnya mengapa transkrip ini wujud sebenarnya – Britishlah yang merakamkannya.

2.f Anne James & Chua Beng-Huat membaca di The 1955 Baling Talks (2011, Singapore Arts Festival)

Anne James dan Chua Beng Huat membaca di The 1955 Baling Talks, 2011.

Lewat Baling, persembahan yang sudah berkeliling ke sepuluh buah kota di Asia dan Eropah sejak 2015, para pelakon – Anne James, Fahmi Fadzil, Faiq Syazwan Kuhiri and Imri Nasution – kemudian membacakan teks rundingan 1955, bergilir memeran watak sebagai Tunku, Marshall dan Chin Peng di dalam beberapa babak. Babak pertama, teks Tunku dilakonkan oleh Faiq, di dalam babak seterusnya yang melibatkan teks oleh Tunku, ianya dibacakan oleh Fahmi, kemudian oleh Anne, dan begitulah seterusnya. Kami menggunakan strategi ini untuk mewujudkan jarak dengan audiens – supaya mereka tidak menyamakan watak sejarah dengan para pelakon. Supaya tidak tercampur-aduk. Fokusnya adalah pada perkataan yang diungkap dan digunakan oleh mereka ini  – untuk mengambil kira teks dan subteks dengan lebih dalam, dan membayangkan rangka tindak (blueprints) untuk Malaya dalam membayangkan serba-serbi kemungkinan yang tidak diambil. Di dalam persembahan, pelakon memegang transkrip – satu cara untuk menyatakan bahawa ungkapan dan ucapan, juga adalah benda, sebuah objek.

Di antara babak lakonan dalam rundingan Baling, kami memasukkan babak di mana pelakon akan mempersembahkan pengamatan dan penelitian mereka tentang bagaimana imej seorang Chin Peng sebagai musuh utama Malaysia dibina sejak berdekad lamanya oleh British dan kerajaan Malaysia. Jadi, persembahan ini mengajak penonton untuk melihat dari dalam tentang Rundingan Baling 1955, dan kemudian melihatnya dari luar bagaimana propaganda dijalankan terhadap Chin Peng, sosok kompleks – seseorang yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaya/Malaysia sedari 1955, namun terus ‘menghantui’ kita, walaupun selepas pemergiannya.

MM: Ada sesuatu yang menarik dalam projek yang digerakkan, misalnya menerusi siri “Version 2020 – The Complete Futures Of Malaysia” yang bermain dengan naratif dan intervensi sejarah. Bagaimana proses sejarah yang spekulatif ini dapat membuka dialog tentang, bukan saja masa depan tetapi masa lalu?

MT: Ini adalah kerana kami sudah membikin bab-bab lainnya bagi The Complete Futures of Malaysia dengan menggali dalam sisi positivistik, ‘kepembangunan’ ‘masa depan’ Malaysia seperti yang diunjurkan ahli politik dan teknokrat – jadi untuk Version 2020, saya memberikan tumpuan kepada pengalaman individu yang membesar ketika era Wawasan 2020. Lima pelakon – Fahmi Reza, Faiq Syazwan Kuhiri, Imri Nasution, Lee Ren Xin dan Roger Liew – yang semuanya lahir di antara 1977 dan 1990, setahun sebelum Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991.

Di dalam Version 2020 kami membangunkan struktur secara berkala (episodic) serta berperca (collagistic) yang membenarkan pelakon untuk melangkaui zaman: sewaktu kanak-kanak dan remaja pada tahun 1990-an, ‘masa depan’ (2020 atau 2050), serta ‘semasa’ sekitar tahun 2017 dan 2018 (ketika kami mula keliling bikin tur), dan sewaktu dengannya.Ada sebuah babak di mana kami secara kolektif ‘mempersembahkan’ ucapan Mahathir tahun 1991 sewaktu mengumumkan Wawasan 2020. Hari ini, kita dapat mengungkapkan bahawa Wawasan 2020 sebenarnya adalah kapitalisme neoliberal dalam acuan ‘nilai Asia’, yang membezakannya dari jalur ‘Barat’ yang diangkat Thatcher dan Reagan ketika itu.

3.j Version 2020 (2018, Theater Commons Tokyo, Japan)

Version 2020, Theater Commons Tokyo, 2018.

Persembahan ini bertujuan untuk menggali masa depan Malaysia, namun seperti apa yang dibayangkan ketika masa lalu, melalui pengalaman lima warga Malaysia. Misalnya, Imri, seorang pembikin filem, yang membina semula pengalamannya mengikuti perarakan Merdeka tahun 1994, di hadapan Mahathir dan Agong. Beliau adalah seorang dari ribuan pelajar sekolah yang disusun mengikut warna untuk membentuk Jalur Gemilang dan logo Wawasan 2020 di Dataran Merdeka. Di dalam persembahan ini, Imri menilai semula dirinya yang menjadi piksel individu dalam lautan manusia menjadi sebuah mesin “telepanduan” (teleprompter) di Dataran – yang membentuk acuan nasionalistik yang diri kita sendiri tidak dapat lihat, namun dipancarkan ke seluruh negara melalui RTM. Dari satu sudut, ianya serupa seperti bagaimana kerja seni gergasi negara yang bersifat partisipatoris – misalnya dengan lukisan, karangan dan mural yang terpaksa kita lakukan di sekolah ketika tahun 90-an untuk membayangkan seperti apa Malaysia di tahun 2020.

Di dalam babak yang lain, Faiq berkongsi ‘lawatannya’ ke Malaysia pada tahun 2050, menerusi penyelidikannya ketika ke Ekspo Negaraku, Dataran Merdeka. Pameran mahal TN2050 (Transformasi Nasional) pada tahun 2017 – hasil buah fikiran oleh Najib dan Khairy Jamaluddin, hanyalah sebuah ‘rebranding’ Wawasan 2020 dengan tujuan yang hampir sama. Projek menelan belanja RM 37 juta ini merangkumi lima buah kubah besar yang membayangkan rakyat Malaysia pada tahun 2050 – ‘dibungkus’ dalam fantasi yang langsung tidak lestari yang diungkap dalam bahasa seperti “Revolusi Industri 4.0”, ‘smart cities’, ‘Internet of Things’, ‘augmented reality’, etsetra.

Kami juga membikin bahagian persembahan yang lain, di mana Fahmi Reza berkongsi pengalamannya pada tahun 2012 ketika ‘menduduki’ Dataran Merdeka dan ditahan ketika ambang protes Bersih 3.0. Jadinya, lewat persembahan kami, Dataran Merdeka muncul sebagai sebuah metafor yang generatif, atau bentuk-meta (meta-form) yang menghasilkan bayangan tentang Malaysia yang cukup berbeza – sejak zaman penjajahan ke Merdeka sehinggalah ke Wawasan 2020, membawa ke Reformasi dan protes Bersih, dan seterusnya. Padang yang menghijau itu dapatlah difikirkan seperti ‘layar bayangan’ (green screen) di mana kemahuan oleh warga Malaysia yang berlainan diunjurkan serta ditandingkan.

3.i Version 2020 (2017, Spielart Festival Munich, Germany)

Version 2020, Spielart Festival Munich, 2017.

Melalui persembahan ini, kami berterusan cuba menghancurkan dan menyusun ‘layar bayangan’ ini berulang-kali. Di babak terakhir – ketika kami mengoyak terus ‘layar’, kelima-lima pelakon kemudiannya membayangkan seperti apa kota dari masa depan, kota yang dilenyapkan, puitika kota, kota yang tidak mungkin, kota yang penuh percanggahan, kota yang diimpikan, kota yang dibayangkan, kota yang masih dapat kita bina – kota-kota yang mungkin menjadi sebahagian KL.

Nota kaki: Semua gambar yang dikepilkan dalam artikel adalah perkongsian oleh Mark Teh.