Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, May 5, 2020
Editorial
Dengan berakhirnya Perang Dingin serta runtuhnya tembok Berlin pada November 1989, yang menjadi lambang ketara bagaimana secara simboliknya kaum manusia dipecah-pecahkan dan bisa terkurung di dalam sangkar sebuah bandar, Persidangan Umum UNESCO membangunkan ‘Komunikasi Strategi Baru’ atau New Communicaton Strategy untuk mendorong kebebasan informasi menjelang dekad-dekad yang mendatang.
Ini membawa kepada The Windhoek Declaration for the Developement of a Free, Independent and Pluralistic Press – suatu penyataan prinsip-prinsip kebebasan akbar yang dianjurkan wartawan-wartawan akbar Afrika pada tahun 1991. Deklarasi ini dihasilkan di sebuah seminar UNESCO pada Mei 1991.
Tarikh mana Deklarasi ini diangkat dan digunapakai, iaitu 3 Mei, kemudiannya diumumkan sebagai Hari Kebebasan Akbar Sedunia atau World Press Freedom Day.
Deklarasi Windhoek atau Windhoek Declaration dilihat sangat berpengaruh di dalam menegaskan komitmen komuniti antarabangsa terhadap kebebasan akbar.
Bagi kita, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kerap dianggap sebagai antara hari biasa di dalam kalendar tahunan. Ia bukannya seperti Hari Buruh (untuk mengiktiraf semua jasa pekerja), atau Hari Guru (untuk berterima kasih kepada mereka yang mendidik negara), dan bukannya juga seperyi Hari Ibu (tanpa mereka, kita tidak akan berada di sini).
Dunia ini mungkin sahaja masih berfungsi dan akan terus berjalan walaupun tanpa kewartawanan. Walaubagaimanapun, ini bukannya sebab mengapa kita tidak perlu meraikan hari berkenaan. Ia perlu, kerana kita harus senantiasa bebas untuk bercakap benar tanpa rasa takut atau berat sebelah.
Akhbar, arus perdana atau alternatif, besar atau kecil, atas talian atau bercetak, seharusnya tidak dimonopoli oleh kerajaan, bangsawan minyak, sebuah parti politik, kroni, atau sebuah korporat yang memiliki hubungan politik yang menggunakan kroni daripada pemerintahan untuk mengumpul semua kontrak.
Akhbar tidak boleh dikongkong oleh peraturan di mana mereka terpaksa meminta kebenaran daripada pemerintahan, atau ahli sebuah parti politik hanya untuk bercakap benar. Akhbar tidak boleh dibungkam dan dihukum kerana mendedahkan suatu kebenaran yang ditafsir sebagai “mengganggu” atau “palsu” oleh sebilangan mereka yang berkuasa dan berpengaruh. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, dan penggubalan tidak adil terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia menjadi rantai besi dan gilotin kepada kebebasan informasi, membebankan dan memancung kewartawanan dan menyembunyikan kebenaran untuk masa sekian lama.
Seperti disebut Alan Moore (pengarang V for Vendetta dan Watchmen):
“Sementara kayu baton boleh menjadi pengganti kepada pertuturan, kata-kata akan sentiasa mengekalkan kuasanya. Kata-kata menawarkan jalan memberi makna, dan bagi mereka yang ingin mendengar, aksi melafaz kebenaran. Dan kebenarannya adalah, untuk mengatakan sesuatu yang tidak betul dengan negara ini, bukan? Kekejaman dan ketidakadilan, intoleransi dan penindasan. Dan bila mana dulunya kamu miliki kebebasan untuk membantah, berfikir dan bertutur sebagaimana yang diperlukan, sekarang kamu melihat tapisan dan sistem pengawasan yang memaksa kamu untuk patuh dan meminta kamu untuk menyerah sahaja.”
(While the truncheon may be used in lieu of conversation, words will always retain their power. Words offer the means to meaning, and for those who will listen, the enunciation of truth. And the truth is, there is something terribly wrong with this country, isn’t there? Cruelty and injustice, intolerance and oppression. And where once you had the freedom to object, to think and speak as you saw fit, you now have censors and systems of surveillance coercing your conformity and soliciting your submission.)
Kita akan tetap menentang sebarang paksaan untuk tunduk terhadap kekuasaan. Kita tidak akan patuh begitu sahaja dengan individu dan pihak yang memegang kuasa. Kaum muda negara ini telah jemu dan letih dengan yang tua dan tidak relevan lagi; kita akan sentiasa mengkritik kuasa; dan kita tidak akan dibutakan dengan dasar yang membungkam serta tapisan yang dilaksanakan!
Selamat Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, dan silakan lihat e-zine kami yang pertama di sini:
https://malaysiamuda.wordpress.com/magazine/
Salinan cetak akan disediakan seawalnya yang mungkin;
Untuk memberi sebarang maklum balas, pesanan atau untuk menyumbang kepada terbitan kami, sila hubungi:
editor.malaysiamuda@gmail.com