Editorial
#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya. Bersama kita Show Ying Xin!
Masuk siri ketiga #MalaysiaYangMuda, sidang redaksi bertanyakan tiga soalan kepada Show Ying Xin, penggerak bersama di Amateur 業餘者, pustakawan di Rumah Attap Library and Collective serta seorang felo penyelidik di Malaysian Institute, Australia National University. Membaca dan menulis tentang sastera, kajian Ying Xin khusus tentang sejarah budaya dan debat sastera seputar Malaya sekitar 1940 – 1960an. Di sini, ringkas kami bertanyakan tentang detik sejarah sastera Malaysia sehinggalah ke bahan baca yang mahu dicurinya. Jemput.

MM: Malaysia Muda / YX: Ying Xin
MM: Kalau boleh ubah satu detik dalam sejarah sastera Malaysia, akan pilih detik yang mana? Dan mengapa?
YX: Mungkin, sewaktu pemisahan Singapura dari Malaysia tahun 1965 yang terkesan dengan faktor politik (ketika itu)? Bagi memahami sejarah dan tradisi sastera serantau, hampir mustahil untuk melihatnya dari sudut pandang dua negara yang berbeza. Lebih-lebih lagi Singapura sendiri merupakan pusat percetakan dan penerbitan ketika zaman kolonial. Bagaimana mungkin seseorang boleh membezakan dan memperakui karya-karya Munshi Abdullah hanya milik warga Malaysia atau Singapura, sastera Melayu Baba (yang dicetak banyak di Singapura) sebagai hanya milik Singapura atau Malaysia, atau Wang Gungwu (di mana koleksi puisinya yang pertama pada tahun 1950 cuba untuk bereksperimentasi dengan bahasa ‘Engmalchin’ yang hibrid) itu sebagai milik Singapura atau Malaysia?
MM: Sebagai seorang yang terlibat dengan banyak kerja terjemahan dan penulisan non-fiksyen, boleh kongsi sebuah buku, puisi, sajak atau lagu yang patut kita semua terjemah dan beri pada makhluk asing, kalau-kalau mereka singgah untuk kenal apa itu Malaysia?
YX: Kalau ada sebuah karya yang mungkin saya mahu sarankan, boleh jadi ianya novel oleh seorang penulis komunis Malaya, Jin Zhimang yang menulisnya di dalam bahasa Cina berjudul Hunger, yang diterbitkan tahun 1960. Ketika itu, beliau merupakan pejuang gerila di dalam hutan. Mungkin sesetengah bahagian tulisannya agak terlalu ‘berceramah’ bagi generasi kita, namun gambarannya yang jernih tentang keadaan tragik berkenaan kebuluran serta kematian yang dihadapi komrad-komradnya di dalam hutan cukup kuat. Ianya melangkaui tujuan propaganda apa yang dikatakan sebagai sastera komunis. Seperti yang kita tahu, jika dibandingkan dengan negara lain di Asia Tenggara, kemerdekaan Malaya seringkali ditanggap sebagai peralihan kuasa yang aman (walau realitinya tidak). Orang muda di Malaysia hari ini mungkin cemburu melihat ‘revolusi’ yang terjadi di Vietnam, Indonesia dan Burma ketika tempoh pasca-perang. Begitupun, inilah pentingnya untuk kita melihat novel Hunger ini seangkatan dengan Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako serta sastera anti-kolonial lainnya sebagai tradisi panjang ‘sastera revolusionari’ kita.
MM: Boleh ceritakan pengalaman pertama waktu terdetik nak curi buku? Kalau tak pernah rasa nak mencuri, boleh kongsi buku apa yang akan dicuri kalau ada peluang?
YX: Soalan nakal ni! Ada sekali saya meminjam buku Le Père Goriot karya Balzac dari pustaka universiti. Ianya sebuah karya terjemahan ke dalam bahasa Cina yang diterbitkan pada 1940-an oleh Fu Lei (penterjemah tersohor sastera Perancis ke dalam bahasa Cina). Saya benar-benar hendak memiliki buku vintaj ini dengan mahu membikin laporan palsu kepada pustaka bahawa saya hilang buku yang dipinjam ini dan sanggup untuk membayar denda. Namun, akhirnya saya terlalu cuak untuk melakukannya…
