Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya. Bersama kita Sharon Chin!

Masuk siri keempat #MalaysiaYangMuda, sidang redaksi bertanyakan tiga soalan kepada Sharon Chin, seorang artis dan penulis yang sekarang menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan. Bentuk karyanya cukup luas – meliputi cetakan, lukisan sehinggalah berjinak-jinak ke alam permainan komputer. Kerja-kerjanya turut dipamerkan bukan saja di Malaysia, malahan berjalan ke biennale serta muzium luar negara. Lewat wawancara ini, kami bertanyakan tentang karya yang menangkap situasi di Malaysia sekarang, dalam menjadi karya yang abadi serta apa itu ‘Ayuh, Merapat’. Silakan.

IMG_6516

Artis, Sharon Chin di dalam habitatnya.

MM: Malaysia Muda / SC: Sharon Chin

MM: Kalau ada sebuah karya yang boleh ‘tangkap’ keadaan di Malaysia sekarang, apakah ia? Mengapa karya ini yang kemudiannya dipilih?

SC: Pada mulanya saya teringatkan karya ‘Dalam’ (2001) oleh Simryn Gill, siri foto yang menggambarkan ruang dalaman 260 buah rumah di Semenanjung Malaysia. Memang kena – sedang kita sekarang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita duduk di rumah masing-masing; kediaman kita tidak serupa, kita menempuhi keadaan PKP dalam keadaan yang tidak sama.

Tapi, sekian lama saya mengamati karya Simryn, ada sesuatu yang mengganggu, ianya ibarat sebutir pasir yang bakal membentuk intan. Bukan apa yang ada pada karya itu: benar, saya menganggapnya hebat, sama seperti si pengkaryanya. Namun, karyanya (hebat) kerana ia sebuah respon yang cukup mengesankan terhadap sesuatu yang dilazimkan, khususnya apabila karya ini sangat menyentuh yang umum namun cukup peribadi. Saya teringat akan Makcik Kiah, yang baru-baru ini menjadi gambaran ringkas untuk melambangkan ‘kita’, iaitu satu imejan yang mampu berucap kepada dan untuk ‘Malaysia’.

Meskipun tajuk dan isi karyanya ‘Dalam’, tetapi ianya adalah gambaran yang ditujukan kepada dunia luar. Dapat dikesan bahawa foto-foto ini ditangkap oleh seseorang yang menyayangi Malaysia, dan mungkin kepingin padanya. Karya ini sering dipamerkan dalam susunan grid, dengan setiap foto mempunyai saiz dan format yang sama. Ertinya, tidak kira jika duduk di rumah kampung, pangsapuri, banglo, villa, atau pondok: di dalam, kita semua sama. Jika perlu dipilih satu karya untuk mewakili kita, saya memilih ‘Dalam’, kerana ia satu gambaran yang indah lagi benar.

IsmailHashim2

Ismail Hashim, ‘Ants Can, Malaysians Sure Boleh!’ (2010)

Tetapi, jika diminta untuk memilih karya yang menunjukkan kita kepada diri kita, saya mencadangkan ‘Ants Can, Malaysians Sure Boleh!’ (2010) oleh Allahyarham Ismail Hashim. Dalam beberapa foto kecil, sekumpulan semut dilihat mengangkat bangkai seekor lipas dan memindahkannya dari lantai, ke dinding dan akhirnya ke sebuah sudut lain dalam kamar. Tidak kira anda duduk di rumah kampung, pangsapuri, banglo, villa, pondok, kuarters sempit, kem tahanan atau gelandangan, anda pasti kenal akan lipas dan semut. Ada di antara kita yang jadi lipas, ada yang jadi semut, ada yang hari ini adalah seekor lipas yang menitahkan semut, dan esok akan menjadi mayat yang dijunjung dan kemudiannya dimakan semut. Di dalamnya, kita semua adalah seekor lipas dan sekumpulan semut. Di dalamnya, kita semua ada tugas masing-masing. Di dalam, kita semuanya sama.

IsmailHashim1

Ismail Hashim, ‘Ants Can, Malaysians Sure Boleh!’ (2010)

MM: Sharon sudah berkarya menggunakan banyak medium; dari instalasi, cetakan, lukisan sehinggalah ke seni persembahan dan lain-lain. Kalau mahu diri akhirnya diabadikan dan diingati sebagai sebuah karya, dalam bentuk medium yang bagaimana?

SC: Jika saya seorang sosialis yang baik, saya pasti menjawab: saya berusaha demi kolektif, tidak pernah terfikir untuk pengabadian diri atau karya. Malangnya…

(Dulu) saya pernah ditanya, pengkarya jenis apa awak sebenarnya? Saya menjawab, saya seorang pengkarya Malaysia. Tahu-tahulah, bila keluar sesuatu yang berbaur kebangsaan seperti ini, pasti sukar dicabar, kan? Saya sebut Malaysia bukan dalam erti kata bersungguh ‘mengangkat bendera‘, tetapi membawa erti tempat atau setempatnya. Yakni, segala gerak hati dan minda yang menyeru agar pengkaryaan saya datang dari tempat atau tanah ini, dan ianya sebuah pengamatan terhadap penduduk di tempat atau tanah ini terdahulunya. Jadi, pertamanya, ingatilah saya sebagai seorang pengkarya Malaysia.

Kam Raslan pernah menulis dalam esei untuk pameran Selamat Datang Ke Malaysia (2007), di mana ayatnya lebih kurang begini : ‘we are all so different and our artists must be our rivers.’ Saya berharap agar hasil kerja saya dapat membuktikan bahawa saya hadir di zaman saya dengan penuh kesedaran, dan telah menjadi seorang saksi yang peka dan benar. Kedua, ingatilah saya sebagai sebatang sungai yang kecil namun deras, yang mengalir jauh melewati semua tempat, terutamanya buat yang rendah dalam serba sederhana.

BibiChew_WhereHaveAllTheRiversGone_detail

Bibi Chew, ‘Where Have All The Rivers Gone?’ (2017)

Saya pernah menerima sebuah ‘pujian’ yang pelik daripada seorang tauke kedai bingkai. Beberapa tahun dahulu, semasa mengambil bingkai yang sudah siap di kedainya, ada pelanggan lain yang menjeling saya dari bawah ke atas dan bertanya: “Are you an artist?” Tauke itu kemudiannya ketawa, dan menyampuk dalam Kantonis: 这一粒, 是真的!”Ini, (artis) betul-betul punya la!” Saya takkan pernah melupakan yang itu. Adapun, sekali-sekala saya merenung memori ini dengan penuh suka, umpama ianya sebiji guli yang cantik. Jadi, yang ketiga, ingatlah saya sebagai artis yang “betul-betul punya la!”

MM: Sharon dan beberapa kawan ada bikin “Ayuh, Merapat! Assemble, Now!” bersama-sama. Di dalamnya, kita boleh lihat beberapa model organisasi, misalnya yang digagaskan oleh Murray Bookchin serta apa yang berlaku di Rojava sehingga sekarang. Namun, apakah cabarannya untuk membikin sebuah gerakan dengan semangat yang sama di Malaysia? Apakah yang dipelajari secara reflektif dalam berhubung dengan pekerja dan komuniti seni di Malaysia?

SC: Ayuh, Merapat! datang dari semangat 9 Mei 2018. Saya tidak mahu melanjutkan sistem lama dengan hanya memberinya nama yang baru. Sama seperti masa Covid19 sekarang, tapi dengan lebih jelas dan penuh tekad. Apa yang dulu hanya saya fikir-fikirkan, sekarang saya akan cuba melaksanakannya.

Ayuh_BM1

Poster Sidang Umum

Ayuh, Merapat! adalah sebuah cadangan untuk proses membuat keputusan beramai-ramai, yang menekankan penglibatan pada tahap paling lokal atau setempat. Setiap sesi, seramai lima atau lebih orang berkumpul untuk membincangkan tiga isu utama yang dihadapi oleh mereka. Ianya dipanggil Sidang Setempat dan dianjurkan secara mandiri. Setiap Sidang Setempat akan memilih dua orang perwakilan untuk ke Sidang Umum, iaitu perjumpaan besar-besaran yang diadakan di ruang awam. Perwakilan akan membentangkan isu utama Sidang Setempat mereka kepada semua perwakilan Sidang Setempat yang lain.

Ianya digubal untuk menangani beberapa sifat dalam komuniti seni yang tidak menggalakkan perkongsian sesama pengkarya. Yakni, pemusatan yang berlebihan, melibatkan pengaruh, kuasa dan sumber. Sama ada di bandar, ataupun dalam kalangan sesetengah pihak. Kerencaman komuniti kami, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kelas, bahasa, dan lain-lain, sebenarnya satu kelebihan. Tapi mengapa sejak sekian lama, iany menjadi punca persaingan, rasa curiga dan salah faham antara satu sama lain? Siapa yang untung (dalam hal ini)? Mungkin, mereka yang mengambil alih kebolehan kami untuk membentuk rangkaian dan hubungan secara langsung, meskipun dengan niat baik, hendak menolong. Sementara itu, kami dijinakkan dengan naratif bahawa kami, sebagai seorang pengkarya hanya perlu berkarya. Kami hanya digelar sebagai penjana kandungan kreatif dan (seakan) menerimanya dengan senang hati. Kami seakan lebih rapat dan percaya dengan mereka yang memasarkan, membeli dan memilih karya kami untuk dipamerkan berbanding pengkarya seperjuangan.

Ayuh_BM2

Poster Sidang Umum

Ayuh, Merapat! mencari aras paling rendah (atau mudah) untuk keterlibatan komuniti sebenar. Kerana itu, kami bermula di tahap tempatan. Kumpulan kecil melibatkan lima orang atau lebih sudah wujud, sebenarnya – kawan-kawan yang mengajak pergi warung, kafe kopi artisan serta panggilan Zoom untuk mengumpat dan bersembang, inilah sebenarnya Sidang Setempat!

Proses Ayuh, Merapat! cuba untuk membentuk rangkaian antara semua kumpulan ini. Ingat, rangkaian, iaitu jaringan kita, adalah sebuah kuasa komuniti. Jadi kuasa itu perlu dikelola secara demokratik dan bersama, bukan diberi kepada sesiapa sahaja, meskipun datang dengan niat baik hendak menolong.

Politik bermaksud pengelolaan dan perancangan kuasa dan sumber sesebuah komuniti. Dalam maksud sebenar ‘politik’ ini, apa yang saya pelajari adalah: berpolitik merupakan kerja yang paling cerewet tapi perlu. Maaf cakap, tapi mereka yang SUKA pada aktiviti berpolitik (termasuk aktivis) sedikit sebanyak patut dicurigai. Proses berpolitik harus mudah, jarang dan singkat. Bertukang, berkebun, memasak, mengasuh orang kesayangan, belajar, berseni – semua ini lebih penting dan memanfaatkan berbanding politik. Ars longa vida brevis. Seni cukup panjang, tapi hidup pendek. Pastilah, saya sendiri tidak mahu bersidang panjang dan juga mahu pulang ke rumah untuk berkarya, dek kerana umur yang makin panjang!! Begitupun, politik menjaminkan kebebasan kita untuk terus berkarya dalam keadaan yang saksama dan bermaruah. Ertinya kebebasan adalah untuk memilih tugas dan kewajiban.

Makluman: Semua gambar yang dikepilkan dikongsi oleh artis, Sharon Chin.