Zikri Rahman

Membaca catatan Liew Chin Tong tentang bagaimana Pakatan Harapan (PH) runtuh dek kerana percaturan politik Muhyiddin Yassin serta troika Azmin – Hishamuddin – Hamzah dengan merujuk kisah “Dr Jekyll and Mr Hyde” menunjukkan beberapa perkara.

Pertama, ia bukan saja menelanjangkan betapa gila kuasanya elit politik Malaysia; tidak kira parti politik serta NGO yang hanya mempergunakan terma “rakyat” dan “perubahan”. Kedua, tidak ada satu pun di dalam tulisan Liew Chin Tong itu yang meletakkan peri-penting desakan serta suara rakyat kebanyakan yang melangkaui percaturan politik dalaman parti mereka. Semuanya hanya tentang mereka; elit politik Malaysia.

Bahkan, ini menunjukkan juga bagaimana politik acuan perkongsian kuasa (consociational) di Malaysia dalam kerangka politik berasaskan kaum menemui jalan buntu. Selama hampir dua tahun memerintah, PH masih berlegar seputar persoalan reaktif menanggapi persepsi orang Melayu terhadapnya. Yang lebih pandir, suara akar umbi dari parti yang mendesak untuk manifesto ditunaikan dilihat bersebarangan dengan elit di dalam parti masing-masing.

Apa tiada seorang pun yang mahu “mendisiplinkan” Mahathir saat mulutnya meratib-ratib “Melayu malas”? Apa tiada seorang pun yang memikirkan bagaimana pemotongan subsidi dan belanja untuk rakyat kebanyakan akan memberi kesan? Apa alasan-alasan MP mereka sewaktu tidak mahu ke Parlimen dulu? Bahkan, malang beribu kali malang, pemimpin NGO Malaysia sendiri terpalit dengan sengketa politik dalaman yang bobrok, bukannya mahu mendesak perubahan total dan struktural untuk dijalankan.

22 bulan lamanya, “pendedahan” Chin Tong ini sekadar melengkapkan cerita bagaimana elit politik kita sekadar menangguk di air yang keruh. Dengan merujuk “Dr Jekyll and Mr Hyde” bukan saja menunjukkan sisi betapa talam dua mukanya seorang Muhyiddin, tetapi juga jeliknya elit politik kita dalam menunggang agenda rakyat.

Kisah “Dr Jekyll and Mr Hyde” yang digunakan Chin Tong itu sebenarnya merupakan bayangan populisme dan moral politik PH serta NGO yang bertengek (namakan saja pemimpin NGO yang sibuk melobi kuasa itu juga!) dengannya itu yang gagal. Gagal kerana saatnya rakyat benar-benar mahukan sebuah perubahan yang lebih baik dengan budaya politik yang melangkaui perkauman, alih-alih, PH masih menggunakan cara pandang dan naratif yang sama.

Bahkan, PH terjebak dengan percaturan politik yang melanggar moral politiknya sendiri (jika ada!) yang serba-serbi tidak menguntungkan sedikitpun pada Mak Cik Kiah anak-beranak. Sebaliknya, percaturan elit politik pula yang diangkat-angkat dalam membina dan mencantas pengaruh sesama sendiri tanpa sedikitpun menguntungkan rakyat kebanyakan.

Kita pun tahu, di hujung cerita “Dr Jekyll and Mr Hyde” itu bagaimana – watak utama akhirnya memilih menjadi Mr Hyde. Dan seperti itulah, PH memilih riwayatnya, untuk sekadar menjadi cerminan kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sekarang. PH terperangkap di dalam batang tubuh yang sama dek kerana mereka sendiri mengkhianati moral politik serta tidak serius menongkah arus dalam mengangkat budaya politik nasional yang benar-benar mahu meletakkan suara dan mandat rakyat.

Inilah, sebenar-benar serum yang didambakan Dr Jekyll, kalau benar-benar beliau mahukannya. Namun, seperti hujung ceritanya, Dr Jekyll sendiri tidak dapat menyangkal “godaan kuasa” dan itulah yang terjadi pada PH, secara kolektif akhirnya.