Hanis Hafizah
Cantik Itu Melukakan, Dan Cantik Itu Juga Dari Luka
I. PENGENALAN
Membaca tajuknya, Cantik Itu Luka, sahaja sudah dapat dibayangkan apakah yang mahu disampaikan oleh Eka Kurniawan. Tidak ada seorang manusia di dunia ini yang benci akan kecantikan. Tuhan itu cantik dan suka akan kecantikan. Cantik adalah subjektif mengikut cita rasa, preskripsi atau dogma setiap satu umat manusia yang berbilion-bilion ini. Spektrum cantik berbeza, tetapi mungkin akan sama mengikut kelompok sesuatu komuniti, bergantung pada sosio-budaya dan pengalaman setempat. Betapa kecantikan mempunyai harga dan kos yang tinggi sebagaimana kisah dalam Cantik Itu Luka.

Pada mulanya, saya skeptik dengan plot Dewi Ayu bangkit dari kuburan. Adakah ini satu tipikal cerita zombi? Heh. Sungguh, saya silap. Tulisan Eka punyai sentuhan magis melarutkan semua imaginasi mistik menjadi adunan satu cerita tragis, absurd, gelap dan sedikit humor tetapi kau akan tetap tersihir menggagahkan diri habiskan bacaan 478 muka surat. Seorang pelacur cantik dambaan semua lelaki Halimunda, bangkit dari kuburan setelah 21 tahun mati ini hanyalah diceritakan ketika bab prolog dan epilog, mengapit sejarah hidup Dewi Ayu. Bahkan, termasuklah kisah hidup daripada generasi datuk neneknya hinggalah generasi cucunya. Lima keturunan generasi, dan Dewi Ayu berada di tengah-tengah. Umpamanya mahu mengatakan, sesuatu kerja dek setan terkutuk; mayat pun boleh bangkit semula. Agaknya pasti mempunyai sebab yang kuat mengapa jadi begitu.
Dewi Ayu adalah anak hasil sumbang mahram Henri dan Anue Stammlerr; adik-beradik tiri, berlainan ibu sama ayah. Ibunya, Aneu, adalah anak kepada orang Belanda, Ted Stammler dan Ma Iyang, gadis peribumi. Tidak hairanlah kecantikan Dewi Ayu persis dewi, campuran dua genetik bangsa Eropah dan Asia. Sepanjang Dewi Ayu menjadi pelacur, dia melahirkan empat orang anak perempuan yang tak diketahui siapa bapa mereka. 3 daripadanya mewarisi kecantikannya; Alamanda, Adinda dan Maya Dewi. Bosan dengan anak-anak yang cantik yang sering disebut orang direbut jantan, ketika kandungan yang keempat, Dewi Ayu berdoa agar anaknya yang bongsu ini dilahirkan hodoh. Doanya dimakbulkan. Ironinya, si hodoh dinamakan sebagai si Cantik, lalu Dewi Ayu mati selepas 12 hari melahirkan Si Cantik ketika berumur 52 tahun tanpa melihat langsung wajah anaknya.
II. HALIMUNDA DAN PERIODE PERALIHAN KUASA KOLONIAL
Kisah ini dilatarkan ketika zaman akhir kolonial Belanda, sebelum dan selepas dimasuki oleh Jepun, diresapi dengan ideologi komunis dan akhirnya mendapat kemerdekaan. Bermula daripada kisah cinta yang tak kesampaian Ma Gedik dan Ma Iyang disebabkan rakusnya pegawai Belanda yang mengambil perempuan peribumi sebagai gundik atau nyai walaupun sudah mempunyai isteri sebangsa mereka.
Ada beberapa watak dalam Cantik Itu Luka adalah diinspirasikan daripada watak-watak sebenar dan juga pahlawan nasional Indonesia. Kisah Komrad Salim berdasarkan daripada kisah benar Musso, salah seorang pemimpin Partai Komunis Indonesia yang juga mati ditembak di kamar mandi. Shodancho pula diinspirasikan daripada watak Supriyadi, Shodancho PETA (Pembela Tanah Air) yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan Indonesia selama 2 bulan (1945) walaupun Supriyadi tidak pernah hadir untuk menuntut jawatannya. Shodancho adalah lambang wakil militia manakala Komrad Kliwon lambang kepada Partai Komunis. Dari awal, kedua-duanya sering bertembung dan bertelagah. Lihat sajalah, Shodancho merebut Alamanda menggunakan cara keji walaupun mengetahui Alamanda mencintai Komrad Kliwon. Satu hal, Kliwon (baca : komunis) tidak menggunakan kekerasan/pemerkosaan yang sering dikaitkan dengan komunis untuk mendapatkan Alamanda, walaupun dia jatuh cinta sejak Alamanda berumur 8 tahun. Kliwon berjanji untuk mendapatkan Alamanda dengan cara terhormat walaupun janji itu dikhianati oleh Shodancho dan Alamanda sendiri.
Halimunda, nama tempat yang berasal daripada perkataan halimun, yang juga bermaksud kabus. Sebagaimana namanya dan sifat kabus, pandangan kita akan kabur secara keseluruhan. Kita tak akan tahu apa yang ada di dalam kabus melainkan melihat sendiri dari jarak dekat. Terperinci dan lebih jelas. Terdapat banyak watak yang diceritakan di dalam ini. Bayangkan sudahlah ceritanya bersambungan lima keturunan generasi. Watak-watak kecil berkaitan juga turut diceritakan serba sedikit kisah hidup mereka. Mungkin disebabkan ini, wujud sesetengah pembaca yang putus asa di tengah jalan yang merasakan ini terlalu meleret dan tidak perlu. Di sinilah letaknya ketelitian Eka dalam menyusun plot Cantik Itu Luka. Setiap satu-satu watak adalah saling berkaitan – interconnected. Begitu juga takdir kehidupan yang hadirnya setiap orang dalam hidup kita sebenarnya mempunyai sebab dan tujuan. Walaupun kita tak akan tahu sebab dan tujuan ketika itu. Mungkin setelah beberapa lama baru kita akan mengetahuinya.
III. PERIHAL LELAKI
Lelaki-lelaki terhandal, Halimunda, selain punyai nama, kekuatan fizikal dan juga kuasa, punyai ciri tipikal lelaki alfa; Komrad Kliwon, Maman Gendeng, Shodancho, dan juga Edi Idiot (Bishma), semua diceritakan kisah hidup mereka. Oleh sebab dalam diri mereka ada sesuatu perasaan yang tidak beres menjadikan mereka melepaskan kemarahan dengan pemberontakan. Di sebalik setiap amok dan perasaan yang menyebalkan, mungkin ada perjalanan hidup yang menyedihkan. Konflik kehidupan menjadikan manusia sama ada lebih maju ke hadapan (memijak) atau terkebelakang (dipijak). Mereka inilah juga (kecuali Edi Idiot yang mati dibunuh Maman Gendeng) yang berkahwin dengan ketiga-tiga anak perempuan Dewi Ayu. Lelaki-lelaki terhandal memenangi perempuan-perempuan tercantik Halimunda. Lalu membenarkan teori evolusi Darwin “survival of the fittest”.
Secara sinisnya, lelaki dan keinginan seksual bersama perempuan cantik itu adalah satu fitrah semula jadi. Bezanya, sama ada itu hanyalah fantasi atau direalisasikan dengan apa jua cara sekalipun, sama ada dengan cara halal atau haram. Adalah bias kalau perkara ini ditekankan kepada lelaki sahaja. Zaman sekarang, ramai sahaja ada perempuan juga lebih mementingkan rupa. Sekali lagi ditekankan, cantik tetap subjektif, walaupun kadang persetujuan definisi cantik itu boleh dibuat secara kolektif. Ini yang mahu disampaikan Eka, secara harfiahnya manusia adalah sama, punyai ciri anggota badan, akal dan nafsu. Sama ada kita ialah manusia memandu hidupnya menggunakan akal, atau manusia yang memandu hidupnya menggunakan nafsu. Yang mana satukah kita?
“Patah hati oleh kekasih yang cantik? Kuberi kau saran, Nak, carilah kekasih yang buruk rupa. Mereka cenderung tak akan membuatmu terluka,” – roh jahat Ma Gedik.
Agaknya yang buruk rupa tahu, tidak mudah untuk mendapat kesempatan mendapatkan cinta, jadinya lebih setia dan berhati-hati dalam semua perbuatan. Agaknyalah…
“Apa yang salah dengan perempuan buruk rupa? Mereka bisa dientot sebagaimana perempuan cantik,” – Krisan.
Bidasan terhadap lelaki memandang rupa perempuan.
“Tak ada bezanya prajurit rendahan atau Kaisar Jepun. Mereka semua sama mengincar selangkangan betina.” – Dewi Ayu.
Ini bidasan terhadap perempuan pula, yang memandang status lelaki.
IV. PERIHAL BIDALAN HIKAYAT
Banyak sekali hikayat atau pun sejarah yang disebutkan berkaitan dengan perempuan cantik. Contohnya hikayat Sheherazade, Gandari dan Draupadi dari kitab Mahabharata, Helen dalam Troy, Dyah Ayu Pitaloka penyebab terjadinya perang Bubat antara kerajaan Majapahit dan Sunda. Persamaan antara semua metafora ini adalah, watak utamanya adalah perempuan cantik yang mempunyai status sosial dan menjadi rebutan lelaki terutama mereka yang mempunyai kuasa. Dewi Ayu punyai semua ciri itu, status sosialnya adalah tinggi kerana cucu seorang pegawai Belanda, cantik kacukan dan menjadi kegilaan ramai lelaki. Hanya satu perbezaan iaitu Dewi Ayu adalah seorang pelacur. Tak ada perempuan di dunia ini jikalau mempunyai peluang lebih baik, tidak terhimpit dengan tekanan ekonomi atau stigma masyarakat mahu meneruskan menjadi pelacur.
“Ia sendiri tak pernah sungguh-sungguh mengaku bahawa ia menjadi pelacur kerana keinginannya sendiri, sebaliknya ia selalu mengatakan bahawa ia menjadi pelacur karena sejarah. Sebagaimana sejarah menciptakan seseorang menjadi nabi atau kaisar.” – Dewi Ayu
V. ANTARA PELACUR DAN MASYARAKAT
“Pelacur itu penjaja seks komersial, sementara seorang isteri menjajakan seks secara sukarela. Masalahnya aku tak suka bercinta tanpa dibayar,” – Dewi Ayu
Ayat Dewi Ayu yang ini terus mengingatkan saya kepada buku Perempuan di Titik Nol oleh Nawal El Sadawi. Juga kisah mengenai seorang pelacur kelas tinggi di Mesir. Lebih kurang sama sahaja makna ayat kedua-duanya.
“Bahwa lelaki memaksa perempuan menjual tubuh mereka dengan harga tertentu dan bahwa tubuh yang paling murah dibayar adalah tubuh sang isteri. Semua perempuan adalah pelacur dalam satu atau lain bentuk. Karena saya merasa cerdas maka saya memilih untuk menjadi pelacur yang bebas dari pada seorang isteri yang diperbudak.” – Firdaus, Perempuan di Titik Nol.
Bukanlah di sini untuk memperlekehkan institusi perkahwinan yang mulia. Sebaliknya meletakkan empati buat Dewi Ayu dan Firdaus, yang keduanya dipaksa menjadi pelacur daripada usia yang muda tanpa ada sebarang pilihan lain. Sekali terjebak dalam kancah pelacuran adalah sukar untuk keluar dan mendapat penghormatan tinggi dari masyarakat. Kekal dipandang dan dilayan sebagai objek seks atau dihukum berdosa selamanya oleh masyarakat walaupun ada yang sudah lama bertaubat. Kalau tak percaya, kau tengok sahajalah drama Nur.
Dewi Ayu mengetahui akan hal ini, lalu sebelum sebarang umpatan daripada perempuan-perempuan suci lain, dia sendiri terlebih dahulu menutup ruang-ruang fitnah, dengan sentiasa berpakaian sopan ketika di luar dan, tidak merayu merata-rata. Perjalanannya seharian hanyalah dari rumah hingga ke rumah pelacuran sahaja. Dengan cara itu sahajalah dia mengangkat martabat dirinya.
VI. KOMUNISME DAN KOLONIALISME
Hantu komunis menghantui Shodancho dan penduduk setempat seolah-olah menggambarkan walaupun sisa-sisa partai komunis sudah tidak wujud, tetapi pemerintah (kerajaan) takut akan pengikut ideologi itu kembali lalu menggugat kuasa pemerintahan. Penduduk Halimunda dan Alamanda tenang sahaja menghadap hantu-hantu. Ironi sekali, Shodancho yang punya kekuatan fizikal, anak buah dan senjata menikus berjumpa dengan hantu komunis. Sesungguhnya yang mempunyai lebih banyak kepentingan akan lebih takut kuasa terancam berbanding mereka yang tidak punya apa-apa.
Berterima kasihlah dengan komunisme, kerana merekalah terbentuknya Serikat Nelayan. Disebabkan mereka jugalah banyak membangunkan kerja-kerja sosial bersama demi kebaikan masyarakat. Mana mungkin nelayan persendirian kecil melawan bot besar milikan militia yang mencerobohi sempadan laut untuk para nelayan. Haruslah dengan berorganisasi.
“Orang-orang tertindas hanya memliki satu alat untuk melawan; amuk, dan jika aku harus memberitahumu, revolusi tak lebih amuk bersama-sama, diorganisir oleh sebuah partai.” – Komrad Salim.
Ketika mana kisah ini berlaku ketika pasca Perang Dunia Kedua, dan semangat revolusi menentang kolonial dan kapitalis menebal terutama mereka yang mengikut fahaman komunis. Indonesia kaya dengan sumber. Bangsa peribumi , para petani harus bekerja secara buruh paksa, tetapi yang mendapat hasilnya ialah para kolonial. Sudahlah peribumi melarat di negara sendiri, dan dipaksa tunduk hormat kepada “tetamu” bangsa Eropah atas dasar berkongsi teknologi dan meningkatkan tamadun. Entah atas definisi apa dimaksudkan tamadun itu. Adalah tidak mungkin melawan kaum borjuis tanpa memberontak, kerana kaum borjuois mendapat kesenangan dan kekayaan melalui eksploitasi tenaga buruh orang-orang bawahan.
“Jangan biarkan orang-orang miskin ini menjadi marah. Orang lapar yang marah tak akan ada yang sanggup menghadapinya.”
VII. PERIHAL PEREMPUAN (DAN CANTIK)
Setiap watak perempuan yang cantik yang dikisahkan di dalam ini, walaupun secara fizikalnya cantik tetapi setiap satunya personalitinya berbeza.
Dewi Ayu, cantik dan elegan. Hakikatnya ialah seorang perempuan yang jelita secara fizikalnya, perwatakannya adalah feminin, mandiri, ekspresif, penuh belas kasihan, tidak perlu mengangkat senjata atau mengetuai revolusi untuk menyatakan yang dia seorang yang tegas dan tahu apa yang beliau mahukan, jujur tetapi keras dalam kelembutan. Sudah tentu paling utama, beliau tidak perlu merendahkan perempuan lain demi mengangkat dirinya. Katanya, oleh sebab sifatnya yang tenang, jadinya dia dipilih menjadi pemimpin pelacur di rumah Mama Kalong. Ciri pemimpin harus bersifat tenang dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Menolak sesuatu yang tak bisa ditolak adalah hal yang lebih menyakitkan dari apa pun,” – Dewi Ayu.
Alamanda (anak sulung Dewi Ayu) , cantik dan racun. Agaknya disebabkan mengetahui pekerjaan ibunya dan melihat pelbagai jenis lelaki; berkahwin, bujang, duda, yang berpangkat atau tidak, yang kaya atau yang fakir, tua atau muda, akan berusaha untuk meniduri ibunya, beliau membesar menjadi seorang pendendam. Mematahkan hati lelaki adalah hiburan baginya. Walaupun selepas berkahwin dengan Shodancho, beliau tetap enggan memberikan cinta kepada suaminya.
“Aku menyukai laki-laki, tapi aku lebih suka melihat mereka menangis kerana cinta.” – Alamanda.
Adinda (anak kedua Dewi Ayu), cantik dan pengubat. Disebabkan kakaknya, Alamanda mengecewakan Kliwon, dan beliau sendiri berusaha mendekati Kliwon agar dapat mengubatinya.
Maya Dewi (anak ketiga Dewi Ayu), cantik dan menenangkan. Maman Gendeng berkahwin dengannya cumalah atas dasar memenuhi permintaan Dewi Ayu, walaupun ketika itu umurnya baru 12 tahun. Walaupun awalnya, pada mata Maman Gendeng, Maya Dewi hanyalah seorang budak dan melayannya secara kehormat seperti seorang budak, dan langsung tidak menyentuhnya sehingga dewasa. Umur budak tidak menjadikan Maya Dewi semua perangainya kebudakan. Kerja rumah tangga tetap diuruskannya dengan sempurna, sehinggakan Maman Gendeng sendiri mengakui merasakan ketenangan apabila pulang ke rumah.
Nurul Aini (anak Alamanda dan Shodancho), cantik dan pelindung. Tidak ada pernyataan yang mengatakan Nurul Aini juga cantik luar biasa. Cuma ada satu dua kali disebut sepintas lalu. Nurul Aini umpama sidekick adiwira. Tak lengkap jikalau dirinya tak ada. Tak lengkap kecantikan Rengganis Si Cantik, tanpa bantuan pertolongannya. Nurul Aini sentiasa ada untuk menolong saat-saat Rengganis berbuat sesuatu yang membahayakan dirinya sendiri.
Rengganis Si Cantik (anak Maya Dewi dan Maman Gendeng), cantik dan memabukkan. Bersahaja, naif dan juga nakal mungkin. Kecantikan dan sikapnya yang tidak kisah apa pun, memabukkan semua yang melihatnya. Dengan sikap sebegitu, dengan mudah sahaja dipermainkan oleh Krisan (anak lelaki Adinda dan Kliwon). Dirogol oleh Krisan, lalu mudah saja mengatakan pada semua bahawa beliau sebenarnya dirogol oleh anjing hingga hamil. Anjing juga yang mendapat nama!
Apa, kau ingat menjadi mudah jika menjadi cantik? Lihat sajalah berapa banyak kali sering diambil kesempatan. Berapa kali diancam keselamatan. Bagaimana mahu tetap merasa selamat? Manusia sekeliling mempunyai jangkaan yang tinggi (expectation) terhadap yang cantik. Jikalau tak, mudah sekali direndahkan dan diperbodohkan.
VIII. PERIHAL MENJADI TIDAK CANTIK ATAU HODOH
Satu-satunya watak yang berlawanan dengan semua yang cantik tadi, Si Cantik. Ekstrem sekali deskripsi dirinya. Umpama raksasa, belum lihat lagi sudah terasa aura jelik dan menakutkan. Ah, ada-ada sahaja manusia ini. Cantik atau hodoh, secara rohaninya, tetap sama. Punya hati dan perasaan. Bagi Si Cantik, buruk rupa adalah satu kutukan. Bagi Dewi Ayu, buruk rupa adalah anugerah. Agaknya Dewi Ayu bosan menjadi cantik. Baginya kerana cantiklah, dia menerima kutukan nasib menjadi pelacur. Begitulah manusia, tidak ada yang sempurna. Sering mahukan apa yang dia tidak ada, jarang sekali bersyukur.
IX. PERIHAL MENJADI HAKIM
Awal-awal cerita lagi sudah digambarkan, kuburan juga dikelaskan mengikut cara kehidupan. Hujung kuburan buat golongan celaka, selebihnya mungkin dikategorikan mulia. Peraturan begini digariskan oleh agamawan Kyai Jahro dan si penggali kubur. Manusia suka benar berlagak menjadi Tuhan menghukum apa yang nampak pada luaran. Sedangkan Tuhan menilai apa yang di dalam. Agama hanya pada ritual tidak bermakna jika tidak mengangkat nilai-nilai manusiawi. Bagai kulit kacang kosong tiada biji.
Lagi lagak manusia menjadi Tuhan ialah ketika Makojah, si perawan tua, penjaga Ebi Idiot mati. Disebabkan sepanjang hidupnya, orang-orang di sekelilingnya kebanyakannya mati, lalu disumpah masyarakat dikatakan sial.
“Tapi kematian beruntung orang-orang yang tinggal serumah dengannya membuat tak seorang lelaki pun punya keberanian mengambil risiko hidup bersamanya. Mereka lebih suka mengahwini gadis yang lebih buruk darinya namun bisa hidup lebih lama daripada kahwin dengannya untuk kemudian segera mati. Dalam hal ini, tak seorang pun tahu dari mana asal-usul kesialannya, dan tak seorang pun mencoba melihat kematian yg biasa-biasa saja. Semua orang berprasangka buruk.”
X. KESIMPULAN
Bayangkan seorang Eka Kurniawan adalah seorang perempuan, makanya segala isu yang disebutkan di dalam buku ini agaknya terus menjadi kontroversi hebat. Nasiblah baik penulis adalah seorang lelaki. Walaupun terdapat banyak babak sensual dan vulgar, tetapi segalanya tetap bergantung pada kaca mata seorang pembaca. Bahagian mana yang mahu diambil pelajaran. Sama ada mahu menjadi mata lalat yang sentiasa mencari kotoran dan najis atau mahu menjadi seperti mata lebah; mencari bunga dalam apa jua keadaan untuk dijadikan madu.
Perihal cantik daripada pandangan seorang penulis lelaki. Luka yang disebutkan di sini juga kebanyakannya daripada pandangan lelaki. Kerana perempuan cantik, kerajaan boleh runtuh. Kerana perempuan cantik, dua kuasa boleh berperang. Kerana perempuan cantik, sering mengecewakan hati lelaki.
Ini pandangan dari seorang perempuan pula. Ya, benar. Cantik itu luka. Cantik itu melukakan diri sendiri dan orang lain. Dan boleh jadi kerana luka, dia tumbuh menjadi bertambah cantik. Pilihlah yang mana satu yang kau mahu.
Makluman: Sumber gambar dari sini.