WhatsApp Image 2020-05-15 at 01.27.44

‘At the end of the day, Art is not essential pun’, Izat Arif (2020)

Zikri Rahman

Dua isu yang berlegar-legar di ruang maya awal minggu ini cukup menyesakkan. Pertama, isu bayaran di antara seorang penggiat teater, Aloy Paradoks dengan penerbit teaternya, Ogy Ahmad Daud. Kedua, melibatkan seorang pengkarya, Izat Arif yang diancam saman oleh pengusaha fesyen, Vivy Yusof gara-gara tuduhan memplagiat. Isu-isu ini bukanlah kali yang pertama, apatah lagi yang terakhir bagi mereka yang bergelumang dalam dunia penulisan, pengarahan hinggalah ke seni visual.

Ditambah pula wabak Covid-19, ramai di antara pekerja seni-budaya yang langsung putus punca pendapatan seawal bulan Mac lalu sekaligus menyukarkan kehidupan bagi menampung diri dan keluarga. Keadaan ini sekaligus membuka pekung isu-isu lain di dalam industri seni-budaya kita di Malaysia. Dari isu soal bayaran tertunggak, tiadanya jaringan sosial, pengurusan yang caca-marba, gaji yang tidak setimpal, isu keselamatan di tempat kerja sehinggalah hak serta kebebasan untuk berkarya.

Bersama dengan kami minggu ini, Saudara Al Jafree Md Yusop, pengarah filem, pengkarya serta penggerak bersama Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT) serta Saudari Melati Hassan* yang juga seorang penulis skrip, pengkritik serta pengarah di dalam memahami situasi yang membelenggu golongan karyawan di Malaysia.

Di mana ruang bersuara pekerja seni-budaya kita?

Tidak dapat dibayangkan tanpa adanya karya-karya seni dan budaya untuk dinikmati, hampir mustahil kita dapat mengharungi waktu-waktu sukar di dalam PKP. Walaubagaimanapun, di sebalik industri yang menjana pendapatan ratusan juta saban tahun serta didukung ribuan pekerja industri, seakan-akan tidak banyak yang kita ketahui tentang cabaran serta keluhan yang dihadapi mereka. Seringkali kisah yang dilalui oleh Aloy Paradoks atau Izat Arif hanyalah sekadar berita tular seminggu dua untuk kita kemudian memilih untuk melupakannya.

Melalui wawancara singkat Malaysia Muda ini, saya cuba untuk mendapatkan gambaran ringkas keadaan di dalam industri. Seakan-akan, tidak wujud apa-apa badan atau persatuan yang berfungsi untuk mengangkat soal hak pekerja seni-budaya di Malaysia khususnya soal bayaran serta kebebasan berkarya.

Di Malaysia, seperti yang kita maklum, badan-badan yang memfokuskan pembangunan filem melalui FINAS, persatuan pengarah seperti FDAM, persatuan penulis seperti PENA serta pengkhususan yang lain melibatkan penggiat teater, penerbit serta pekerja seni-budaya memang sekian lama wujud. Namun persoalannya, adakah badan dan persatuan ini kemudiannya dapat menyuarakan hak terbanyak para pekerja seni-budaya?

Bagi Jafree, ianya berpunca dari kegagalan persatuan atau badan dalam “memikirkan soal dasar jangka masa panjang”. Bayangkan, dengan persatuan-persatuan yang ditubuhkan sudah sekian lama, yang hanya mampu digerakkan dalam mengharungi Covid-19 adalah sekadar kebajikan yang bersifat jangka masa pendek. Ianya cukup berbeza dengan kemampuan, misalnya di Amerika Syarikat seawal tahun 1964, yang dapat menyediakan skim pencen dan dana kecemasan yang termaktub di bawah National Arts and Cultural Development Act 1964. Malangnya, seperti yang ditanggapi Jafree, persatuan malahan badan kerajaan tidak suka “akan orang yang bising, (yang) mereka suka (hanya) orang yang bodek.”

Bertitik-tolak dari hal ini, Melati juga berpendapat yang sedemikian di mana ruang di dalam persatuan “tidak boleh diharap sangat”, apatah lagi, persatuan yang wujud “hanya sekadar perlu, (dan) bukan atas dasar mahu memperjuangkan sesuatu”. Lebih tegas mempersoal, Melati kemudian bertanyakan kepada mereka yang di FDAM pada hari ini apa ada “di antara mereka, (siapa) yang bikin filem dengan penuh maruah?”

Persoalan-persoalan ini cukup penting untuk dibangkitkan saatnya kita melihat bagaimana industri seni-budaya kita yang tidak lagi berada di bawah satu bumbung, terpecah-pecah serta bersifat individual. Cara kerja ‘freelancing’ sekaligus membuka lebih banyak ruang eksploitasi khususnya berkaitan soal kontrak serta monopoli di dalam industri. Tanpa wujudnya sebuah dasar jangka masa panjang serta persatuan yang dapat mendukung hak para pekerja seni-budaya, hampir mustahil untuk kebajikan semua golongan pekerja dapat dibangunkan.

Monopoli pihak swasta, misalnya oleh dua gergasi besar industri kreatif seperti Astro dan Media Prima yang memegang hampir keseluruhan ekosistem industri kreatif sangat memberi kesan jangka masa panjang kepada pekerja seni-budaya. Ini juga kita dapat lihat  lewat politik ‘gatekeeping’ di dalam dunia seni visual yang seringkali dimonopoli oleh para kolektor serta galeri-galeri, baik persendirian mahupun awam. Bahkan, seperti yang dilalui oleh Izat Arif,  yang berdepan risiko undang-undang yang seringkali digunakan golongan elit untuk memeras dan menindas pengkarya. Pekerja dan pengkarya seni-budaya sekaligus dihimpit dilema serta etika ekonomi dan sosial bahana dari monopoli yang sebegini.

WhatsApp Image 2020-05-16 at 18.52.41

Emel yang dikatakan dari peguam Vivy Yusof kepada artis, Izat Arif.

Bayangkan, seperti yang dikongsikan oleh Jafree, bagaimana di dalam industri perfileman pada tahun 1999 kosnya “adalah RM 200,000 dengan penggambaran berjalan selama dua minggu. Manakala, “selepas hampir 20 tahun (kemudiannya), ianya sesuatu yang normal untuk pembikinan telemovie dibuat dengan kos sebanyak RM 100,000 dengan tempoh penggambaran hanya selama seminggu” tanpa mengira kos yang naik berlipat kali ganda. Ianya  sebuah  kebiasaan bagi syarikat-syarikat  yang memegang monopoli sekaligus memaksakan kontrak yang berat sebelah sebegini ke atas pekerja seni-budaya. Justeru, ianya memberi kesan secara langsung kepada kualiti pekerja serta proses pengkaryaan di Malaysia.

Realiti yang mencengkam para pekerja seni-budaya ini turut dilalui oleh semua yang terlibat di dalam industri seni-budaya. Baru-baru ini, kita turut digemparkan dengan sebuah portal yang hanya membayar penulisnya sebanyak RM 50 per artikel, para artis yang kemudian tidak dibayar gara-gara karya yang dibikin kemudiannya ditapis serta penulis skrip seperti Aloy Paradoks yang terpaksa menagih hak bayarannya di sosial media! Apakah ini adil bagi sebuah industri yang cukup gah seperti ini?

Sistem kontrak yang sebegini turut memberi kesan kepada hak pekerja di mana ianya mengikat pekerja kepada syarikat produksi dan bukannya secara langsung kepada syarikat-syarikat korporat yang memonopoli. Sekaligus, seperti yang dinyatakan oleh Melati, “apabila hal ini berlaku, produksi sudah tentu akan mendengar kata syarikat, manakala individu pula tak punya pilihan banyak, hanya menerima apa saja yang ditawarkan produksi”. Seperti yang kita maklum, dengan fokus untuk membuat untung semata-mata, hak pekerja kemudiannya akan diketepikan.

Ke arah sebuah masyarakat di mana pengkaryanya bermaruah.

Dengan segala kesungguhan para pekerja seni-budaya kita hari ini, Melati berpendapat bahawa pucuk-pangkalnya, adalah bagi pekerja seni-budaya untuk mulai sedar akan proses mereka dalam menuntut hak. Dan satu yang perlu ditangani adalah “kurangnya kesedaran tentang hak sendiri. Saya percaya ramai pekerja industri ditindas kerana hal ini. Akibat kurangnya kesedaran inilah, maka tak ada siapa ingin menuntut apa-apa”.

Ini turut dipersetujui oleh Jafree di mana kita perlu mencari semula kerana “keberanian untuk bersuara itu yang tiada”. Benar, untuk menyedari serta berani untuk menyuarakan hak akan berdepan dengan risiko namun, “kita kena sentiasa berani untuk bersuara, kita kena sentiasa desak. Untuk keberanian, itu yang perlu kita cari.”

Keberanian dalam hal ini akan muncul saatnya menyedari bahawa “kita melawan untuk hak kita; hak kolektif” khususnya berkaitan soal kebajikan pekerja. Jafree berkongsi bagaimana KOMFIT serta beberapa persatuan lain ketika itu mendesak akan isu ketika Festival Filem Malaysia 28 di mana pengkategorian filem mahu dipecahkan mengikut faktor bahasa dan bukan faktor kualiti semata-mata.

Pengalaman ini sekaligus menyakinkan Jafree bahawa kesatuan sangat penting di dalam kalangan pekerja seni-budaya saatnya berdepan dengan situasi yang sukar. Berkongsi lanjut tentang hal ini, Jafree melihat semula kepada tradisi dan sejarah kesatuan di antara pekerja seni-budaya. Seawal zaman kegemilangan, Studio Jalan Ampas melalui syarikat seperti Cathay Kris dan Shaw Brothers, para pekerja seni-budaya “berada dalam satu kelompok, melepak sekali. Masa melepak mereka berbincang banyak perkara. Secara automatik, mereka berpersatuan.”

Pengalaman ini penting untuk memupuk persefahaman dan dialog di antara pekerja seni-budaya. Apatah lagi, seperti yang dikongsi Melati, di mana “pekerja industri” kita cenderung “terpecah (akibat) aspek ras, berlainan bidang serta tujuan mereka berkarya (samada benar untuk berkarya atau sekadar untung)”. Sekaligus, ianya memberikan kesan kepada pembentukan kesatuan dan organisasi, apatah lagi untuk melangkaui persatuan sedia ada.

Quo vadis pekerja seni-budaya?

Sungguh, perkara ini merumitkan. Namun, dengan melihat sejenak ke perkembangan kegemilangan sejarah seni dan budaya kita, ianya sekaligus mengajar kita satu perkara. Seperti yang diutarakan oleh Jafree, selain dari kemampuan untuk berorganisasi dalam menuntut hak mereka, pekerja seni-budaya ketika tahun 60-an itu turut menggeluti serta mempunyai kesedaran politik yang pro-pekerja.

Ianya termanifestasi menerusi “karya-karya mereka, misalnya Antara Dua Darjat dan Penarek Becha (arahan P. Ramlee) di mana ianya soal pertembungan sosial yang sangat kuat. Hang Jebat karya Hussein Hanif, dan juga Chuchu Datuk Merah oleh M. Amin’. Kesedaran politik ini sekaligus memacu mereka untuk bukan saja menyentuh subjek yang sebegini tetapi juga mempengaruhi pembentukan organisasi.

Organisasi ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk memahami, misalnya bagaimana ketika ini “kita semuanya diatur di antara ASTRO, Media Prima atau RTM dan mereka mengasing-asingkan pekerja-pekerja seni budaya”. Perubahan bukan semata-mata hadir di dalam bentuk organisasi tetapi siapa yang berada di dalam organisasi yang turut disentuh oleh Melati, di mana apa yang perlu dituntut sebaliknya adalah “ruang yang mampu menghimpunkan pekerja seni dan budaya ini tanpa mengira latar, keupayaan dan yang paling penting adalah untuk melangkaui ras. Tetapi persoalannya, bagaimana?”

Jafree juga melihat kepada perlunya berpersatuan khususnya apabila melihat kembali usaha KOMFIT serta “Freedom Film Network dan juga SUARAM untuk diwujudkan sebuah akta khusus bagi menampung kebajikan pekerja seni-budaya” ketika pemerintahan Pakatan Harapan yang lepas. Namun, seperti yang kita sedar, “tiada dasar (jangka masa panjang) yang dibentangkan” oleh mana-mana pihak sehingga ke hari ini.

Keupayaan untuk menjamin hak kebebasan berkarya juga amat dekat dengan kebebasan ekonomi para pekerja seni-budaya kita hari ini. Di dalam hal ini, Jafree turut berkongsi bagaimana hampir mustahil untuk seseorang pengkarya yang “benar-benar menulis, mungkin tak lebih dari dua karya dalam masa setahun” untuk hidup dengan jumlah bayaran yang diterima. Sekaligus, sistem royalti, proses pengarkiban karya serta sumber maklumat perlu dirombak bagi melibatkan kesemua sektor seni bagi memastikan kesemua pengkarya mempunyai peluang ekonomi yang lebih luas.

Ianya turut bersangkutan dengan saranan untuk melihat pembudayaan akar umbi oleh pekerja seni budaya melibatkan penubuhan sinema komuniti bagi “menayangkan filem yang sukar menembusi pasaran” serta menerusi sistem pendidikan dengan subjek apresiasi filem dengan bertujuan “mewujudkan khalayak yang faham tentang seni budaya”. Usaha-usaha ini sudah pun dijalankan di banyak negara, misalnya bagi khalayak di Filipina dan Argentina.

Sungguh, proses pembudayaan dan pendidikan seni-budaya ini akan mengambil masa yang cukup panjang bagi menjawab persoalan betapa tempangnya ekonomi serta sosial sedia ada, apatah lagi berdepan krisis seperti Covid-19. Usaha ini, bahkan tidak mampu menjawab secara terus mengapa karya Izat Arif ditapis Vivy Yusof atau Aloy Paradoks terpaksa menagih hak bayarannya dari Ogy di media sosial. Tidak!

Namun, besar harapan lewat perkongsian ini, yang jelas tuntutannya adalah bagi mewujudkan sebuah ekosistem bukan saja terhenti kepada pentingnya berpersatuan tetapi untuk menuntut solidariti sesama kaum pekerja. Lebih-lebih lagi saat berdepan dengan institusi, individu serta aparat berkuasa yang bukan saja buta seni, malahan seringkali menggunakan seni dan budaya semata-mata untuk pundak dan tembolok sendiri. Yang seribu kali malang, menimpa dua teman kita sedari awal minggu ini. Sekaligus menuntut kita berusaha untuk menyusun bersama!

Oh ya, SELAMAT HARI LEBARAN semua!

*Makluman: Saudari Melati Hassan merupakan nama samaran.