Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya. Bersama kita Takahara Suiko!

Yang kelima di #MalaysiaYangMuda, sidang redaksi bertanyakan tiga soalan kepada Takahara Suiko, pendepan kugiran The Venopian Solitude, serta projek bunyi solonya, VIONA. Bunyi elektro-popnya (dan bukan itu sahaja!),kata Taka, adalah hasil eksperimen dengan apa yang ada di tangannya, sedikit rencah synth dan gorengan bes serta ukulele. Albumnya, dari EP pertama Kereta Merah (2015) sehinggalah Hikayat Gundik Berirama (2019) nikmat dan gurih dilayan sebagai sebuah rangkaian album yang konsepsual – di mana lagu dan liriknya yang saling bercerita. Wawancara ini mengajak Taka berbicara tentang arkib bunyi, proses meramu lagu serta bunyinya yang Malaysiana (!?) itu. Jemput!

the-venopian-solitude-part2-gallery02

Takahara Suiko

MM: Malaysia Muda / TS: Takahara Suiko

MM: Melihat kepada praktik muzik, kami percaya bahawa Taka ada arkib bunyi yang tersendiri. Boleh kongsi apa yang ada di dalam arkib bunyi tersebut?

TS: Saya tak terlalu memikirkan tentang arkib bunyi. Saya cuma pakai apa-apa stock plugin, iaitu bunyi-bunyi yang tersedia dalam DAW (Digital Audio Workstation) saya, iaitu Ableton Live 10. Saya rasa untuk kepakaran saya yang tidak seberapa dan juga ribuan plugin yang terdapat dalam Ableton sendiri, saya tak perlu membeli plugin/instrumen baharu, malah saya berpeluang untuk menggodek parameter-parameter dengan lebih mendalam untuk menepati citarasa saya. Tambahan pula, dari segi alat muzik fizikal, saya lebih cenderung ke ukulele dan bes, kerana alat-alat tersebut hanya mempunyai empat tali dan lebih mudah untuk dikuasai daripada alat-alat muzik lain.

MM: Adakah ada apa-apa bunyi yang sangat Malaysiana bagi Taka? Yang sekali kita dengar terus, haaaa, ini Malaysia! Dan bagaimana kemudiannya bunyi-bunyi ini membentuk corak muzik Taka sendiri?

TS: Saya tidak berpendapat bahawa saya sendiri membawa nilai bunyi Malaysiana, walaupun kugiran saya The Venopian Solitude menerapkan ciri-ciri irama Melayu dalam susunan lagu dan juga persembahan kami.

Sebagai VIONA (projek solo), saya mengambil inspirasi daripada pelbagai bunyian yang saya dengari sepanjang hidup saya. Ada kalanya saya cuba untuk meniru rentak muzik tradisional berdasarkan apa yang saya dengar. Sesetengah para pemurni muzik tradisional mungkin kurang setuju dengan pendekatan saya yang kurang tepat, dan mungkin ada juga yang merasakan saya sepatutnya menelaah genre itu dengan lebih mendalam. Namun, saya buat muzik untuk kepuasan diri, dan sebagai suatu jalan keluar utama untuk memproses emosi yang bergelut dalam kepala dan dalam diri saya.

Melalui The Venopian Solitude (TVS), ramai yang mengatakan bahawa kami membawa genre yang unik. Proses kami sekumpulan biasanya melibatkan semua orang bermain-main sewaktu latihan. Proses ‘main-main’ itulah yang biasanya membuahkan idea yang mengarut, namun bagi saya kemengarutan itulah yang membuatkan kami berasa seronok dan tidak terlalu tertekan. Saya cuba untuk mewujudkan persekitaran yang mendorong setiap ahli kumpulan untuk bereksperimen. TVS diumpamakan seperti sebuah taman permainan dan juga makmal ujikaji; apa-apa bunyian atau cara baharu yang ingin mereka cuba, TVS adalah tempatnya.

hikayat

Hikayat Gundik Berirama (2019)

MM: Taka menulis dan menggarap lagu sendiri. Dan sekarang, Taka menulis lagu dengan cukup rencam, lagi-lagi melibatkan soal diskriminasi gender, sinikal terhadap kepandiran sosial serta politik dalam negara. Bagaimana Taka meletakkan naratif yang peribadi ke dalam persoalan yang boleh dikatakan, sejagat seperti ini?

TS: Jawapannya semudah ini; tujuan saya menulis lagu sejak dahulu lagi ialah sebagai suatu jalan untuk saya memproses dan mengurus setiap emosi yang berkecamuk dalam diri saya. Penulisan muzik bagi saya ialah suatu terapi, dan pada masa yang sama juga bukanlah suatu minat yang mendalam, malah muzik bagi saya ialah keperluan seperti makan dan tidur. Oleh sebab itu, setiap karya yang tercipta secara tidak sengaja menjadi naratif peribadi; kerana setiap lirik itu datang daripada fikiran separa sedar saya (lebih tepat lagi, dari ‘atas sana’).

Namun ada juga lirik yang secara tersuratnya tidak kelihatan peribadi (lagu Seri Luka mengisahkan seorang anak kecil yang dicabul ahli keluarganya yang lebih tua), lagu-lagu sebegitu terhasil kerana saya begitu terkesan dengan wacana-wacana yang cukup grafik atau menimbulkan perasaan marah, lalu secara tidak sengaja saya ‘menjelma’ (embody) sebagai watak-watak dalam cerita-cerita tersebut, dan untuk menguruskan emosi serta pemikiran itu, saya harus menulis untuk mengeluarkan perasaan tersebut.

Karya Takahara Suiko juga boleh dilayan di laman Instagram, Facebook dan Soundcloud di antaranya.