Editorial
#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya. Bersama kita, Kolektif Cempaka!
Buat pertama kali, untuk kali keenam di #MalaysiaYangMuda minggu ini, sidang redaksi Malaysia Muda bertanyakan tiga soalan bukan kepada individu, sebaliknya kepada sebuah gerakan kolektif. Memperkenalkan Kolektif Cempaka; kelompok anarkis dari Jalan Ipoh. Sebagai sebuah gerakan, Kolektif Cempaka fokus membikin zine dan bengkel, serta membina jaringan dari kelompok anarko-feminisme dan anarko-queer. Bersama Kolektif Cempaka, kita menjenguk ringkas sejarah dan bentuk anarkisme di Malaysia, serta masyarakat seperti apa yang mahu dibangunkan bersama. Yuk!

Salah seekor penggerak Kolektif Cempaka yang tekun. #ACAB
MM: Malaysia Muda / KC: Kolektif Cempaka
MM: Anarkisme sebagai ideologi dan praktik sering dianggap asing dalam konteks politik moden Malaysia. Bagaimana kemudiannya Kolektif Cempaka melihat rencamnya tradisi dan sejarah gerakan yang wujud dan mengakar di rantau ini sebagai sebuah acuan kepada praksis kolektif?
KC: Sejarah awal anarkisme di sini (yang dipanggil Tanah Melayu pada ketika itu) sebenarnya sudah bertapak sejak awal tahun 1908 lagi melalui kelompok anarkis dari Tanah Besar China.
Gerakan mereka mungkin tidak dikenali umum kerana mereka bergerak secara rahsia dengan penerbitan risalah-risalah anarkisme (mungkin zine?) dalam bahasa Tionghua pada awalnya, sehinggalah pada tahun 1921 di mana mereka mula menganjurkan perarakan Hari Buruh (May Day) di Ipoh secara terbuka.
Pada tahun 1990-an pula kita melihat kemunculan kelompok anarko-punk di ruang-ruang alternatif, yang membawakan lebih banyak lagi idea-idea ‘berbahaya’ melalui muzik dan penulisan zine – malah ada penggiat yang masih aktif sehingga sekarang.
Anarkisme memang sentiasa akan disalah anggap dan dijadikan sebagai ‘hantu momok’ di mana-mana sekali pun. Bagi ramai orang, anarkis adalah mereka yang tidak mahu menurut pada peraturan dan undang-undang, membaling bom petrol ke arah pihak berkuasa, membakar bangunan dan menghancurkan harta benda awam. Dan untuk mengasingkan tanggapan umum bahawa anarkis adalah mereka yang membahayakan adalah suatu usaha yang sukar.
Cempaka menyedari akan perkara ini, dan kami sendiri tahu bahawa untuk menjelaskan tentang apa itu ‘anarkisme yang sebenar’ sebenarnya bukanlah tugas kami yang utama. Tapi apa yang kami perlu lakukan adalah untuk menyampaikan adanya definisi anarkisme yang lain – yang bebas dari huru-hara, kekacauan, dan kekeliruan.
Mengikut pengalaman peribadi kami sendiri, aksi massa terbesar yang melibatkan kelompok anarkis adalah pada perarakan May Day pada tahun 2015 yang lalu. Ketika itu, kelompok anarkis secara beramai-ramai telah menggunakan taktik black bloc, dan seluruh ibu kota digegarkan dengan aksi kemusnahan harta benda dan vandalisme. Pihak berkuasa membalas dengan penangkapan lebih dari 50 orang peserta perarakan dan seterusnya membungkam gerakan anarkisme di Malaysia.
Namun apa yang terjadi selepas itu? Pada sambutan May Day tahun-tahun berikutnya, jumlah kelompok anarkis yang menyertai perarakan semakin lama semakin berkurangan akibat tekanan dari pihak berkuasa.
Apa yang membezakan gerakan anarkisme pada tahun 1908 sehingga 1920-an, kelompok anarko-punk pada awal 90-an, kumpulan black bloc pada tahun 2015, dan sekarang? Adakah kita masih lagi terperangkap di dalam acuan yang sama? Ke mana perginya rakan-rakan anarkis kita yang lain? Adakah kalian sudah berhenti marah-marah? Ini adalah antara persoalan yang sentiasa berada di fikiran kami. Namun kami tidak akan cuba untuk menghuraikannya di sini.
Bagi Kolektif Cempaka, mungkin penyampaian maklumat mengenai anarkisme seringkali disebarkan dengan cara yang kurang sesuai – merujuk kepada halangan bahasa, dan seterusnya maklumat tersebut hanya akan tersebar di kalangan kelompok terdekat kita sahaja.
Kami cuba sedaya-upaya untuk mengelak dari menggunakan jargon-jargon atau istilah yang sukar difahami (walaupun ‘tepat’ menurut Kamus Dewan) kerana apa gunanya kita menggunakan ayat yang berbunga-bunga dan ‘tinggi’ apabila tiada seorang pun yang akan faham mesej yang ingin kita sampaikan?
Zine yang kami terbitkan akan diterjemah dan pelbagai perkongsian di laman media sosial kami juga digunakan dalam Bahasa Melayu, jika boleh. Ini kerana kami sedar bahawa sebenarnya tidak perlu pun berbahasa Inggeris untuk menyampaikan anarkisme.
Kami juga mengerti bahawa penggunaan bahasa yang sesuai dan istilah yang tepat akan menyenangkan peralihan maklumat. Menggunakan terma ‘gotong-royong’ untuk menjelaskan tentang konsep mutual aid, misalnya.
Pernah sekali, kami dijemput untuk menganjurkan sebuah bengkel zine mengenai hak-hak reproduktif dan kesihatan wanita di sebuah kawasan Felda. Kebanyakan peserta bengkel adalah wanita dan kaum ibu yang berumur 40 tahun ke atas.
Kami pun berbincang sesama sendiri – bagaimanakah caranya untuk menyampaikan konsep keizinan dan penjagaan diri dalam bahasa yang mudah difahami dan sifar kontroversi? Bagaimana jika para peserta tidak faham kerana terasa asing atau menganggap bahasa kami sebagai celupar?
Pada awalnya kami berasa risau untuk menyampaikannya, namun ia tetap berjalan lancar. Malah, kami dijemput untuk menganjurkannya sekali lagi!
Juga pernah terjadi, ada rakan kami yang mahu membeli zine dibikin oleh kami di sebuah festival zine tempatan, tetapi akhirnya membatalkan niat untuk membeli kerana kebanyakan zine yang tinggal adalah dalam bahasa Inggeris.
Dua peristiwa yang dinyatakan di atas memperkuatkan lagi kaedah kami untuk menyampaikan idea-idea anarkisme di dalam bahasa yang mudah difahami.
Kami mahu tetap belajar dari sejarah dan taktik gerakan anarkisme tempatan terdahulu, dan seterusnya membina naratif kami sendiri. Ini salah satu cara kami untuk memberitahu kepada semua bahawa corak anarkisme kami tidak sama dengan corak anarkisme orang lain, walaupun kita berkongsi latar tempat yang sama.

1312!
MM: “Kuasai Kekuasaan”, ini laungan dari Kolektif Cempaka. Kuasa apa yang dimaksudkan dalam hal ini? Adakah dengan menguasai kekuasaan, sekaligus ianya membayangkan kemungkinan untuk akhirnya menjadi penguasa – yang sangat paradoks untuk sebuah kolektif bertunjangkan anarkisme?
KC: Pertama sekali, ini soalan yang sangat menarik! Tak sangka ada yang peka pada laungan kolektif kami.
Di awal penubuhan Cempaka, kami sedar bahawa latar belakang para pengasas kami semuanya berbeza; dari gerakan seni ke sastera DIY, skena punk tempatan, kelab pemikiran dan pembacaan keagamaan yang alternatif, aktivisme feminis serta seksualiti dan hak kesihatan reproduktif, sehinggalah penglibatan penganjuran sesebuah kempen politik bersama NGO-NGO serantau.
Dan apabila kami mula bergerak bersama, kami menyedari bahawa satu perkara yang kami sentiasa tidak berpuas hati selama ini adalah sama, iaitu apabila terdapat segolongan orang yang mempertikaikan kerja-kerja kami hanya kerana kami ‘muda’, ‘mentah’, ‘tidak berpengalaman’, ‘tidak berdaftar secara sah’, atau ‘nama kami tidak terkenal di kalangan aktivis-aktivis lain’. Hal ini dengan mudahnya dijadikan suatu senjata yang digunakan kepada kami oleh para aktivis lain untuk menidakkan ideologi politik serta kaedah gerak kerja kami.
Apabila kami melaungkan slogan utama kami – “Kuasai Kekuasaan (Dominate Dominance)” mengenai kuasa dan kekuasaan, ia sebenarnya sebuah serangan dan suatu cabaran kepada kekuasaan dan dominasi dari pelbagai sudut. Sebagai contoh, dominasi kaum lelaki di dalam dunia yang penuh dengan budaya patriarki, atau dominasi orang tua di dalam dunia yang berlandaskan senioriti.
Ada pelbagai jenis kekuasaan dalam hidup kita, dan sepanjang masa kita perlu tunduk pada kekuasaan tersebut. Wanita harus mendengar cakap lelaki, atau orang muda perlu sentiasa tunduk hormat pada orang yang lebih tua. Kekuasaan di dalam bentuk ini sebenarnya akan sentiasa wujud, walaupun di dalam sebuah skena atau lingkungan masyarakat yang paling progresif sekalipun.
Kuasa memang suatu konsep yang memabukkan, dan kami berpendapat bahawa, “Sudah, cukup. Masa anda sudah tamat. Kini kami datang untuk merebut dan merampas kembali kuasa tersebut dari tangan anda.” Dan ya, ianya memang berbaur ugutan dan ancaman! (ketawa)
Cempaka mahu semua orang mengenal pasti setiap ‘kekuasaan’ yang wujud di sekeliling kita, dan seterusnya mencari jalan untuk menguasai kembali ‘kekuasaan’ tersebut. Ketahuilah bahawa kuasa sentiasa boleh dicabar oleh sesiapa pun, bahkan anda sendiri boleh mencabar kekuasaan Cempaka sekiranya anda mendapati kami sudah mula menguasai orang lain.
Ada beberapa kali kami berhadapan dengan ‘kekuasaan’ dari pelbagai bentuk dan sudut. Sebagai satu contoh, kempen mutual aid Agihan Solidariti dari kami yang dimulakan sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan akibat wabak COVID-19.
Kami memutuskan untuk memulakan kempen tersebut apabila perasaan semua orang sedang bercampur-baur, menunggu perutusan yang seterusnya dari pihak Kerajaan, ditakutkan dengan undang-undang pengawalan yang ketat, dalam masa yang sama gusar dan risau akan keterlangsungan hidup apabila ramai pekerja terpaksa diberhentikan, dipotong gaji, atau syarikat-syarikat perusahaan dilanda kerugian dan akhirnya ditutup.
Kami berasa geram dan marah akan ‘kekuasaan’ yang digunakan oleh pihak Kerajaan yang memberikan mesej bercampur-campur dan tanpa sebarang kepastian, serta tiada sebarang inisiatif pun oleh Kerajaan pada ketika itu (sebelum pakej bantuan ekonomi diumumkan). Mereka cuma mahu kita duduk diam-diam di rumah – dalam masa yang sama kita semua tak tahu nak makan apa esok.
Dan sebagai sebuah kolektif yang berpaksikan anarkisme – di mana kami merujuk sejarah dan model mutual aid yang dipraktiskan oleh golongan anarkis lain sejak awal lagi, kami memulakan Agihan Solidariti dengan hanya bermodalkan sebuah akaun bank peribadi, dua buah komputer dan sebuah telefon bimbit untuk menyusun laman web, menguruskan sumber, memeriksa permohonan bantuan serta menghubungi para pemohon. Kami mengosongkan akaun bank tersebut dan bergantung 100% kepada sumber dana yang didermakan oleh orang ramai.
Kesudahannya, inisiatif kami tidak diambil kira langsung untuk disenaraikan ke dalam sebuah laman web yang menghimpunkan inisiatif-inisiatif akar umbi lain di Malaysia dalam melawan wabak COVID-19!
Agaknya mereka anggap inisiatif kami tidak penting (walaupun dilaksanakan sejak awal PKP, bahkan model laman web tersebut juga hampir sama dengan model laman web asal kami – juga, kami antara yang terawal menggunakan slogan tanda palang #kitajagakita) tetapi hanya disebabkan kami adalah sebuah kolektif tanpa nama dan bukan ‘insitusi dan NGO yang berdaftar’, jadi inisiatif kami tidak dapat dikenal pasti kesahihan dan kejujurannya (menurut mereka). Tetapi kami tetap okey – sepanjang kempen Agihan Solidariti berlangsung, seramai 83 orang pemohon telah menerima bantuan dari kami dan baki dana selebihnya didermakan kepada Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan.
Nah, inilah dia salah satu contoh ‘kekuasaan’ dan ‘dominasi’ yang kami maksudkan dalam laungan kami, dan bagaimana ancaman serta cabaran kepada ‘kekuasaan’ tersebut akhirnya dijadikan senjata untuk mempertikaikan, menidakkan, menenggelamkan, dan melupakan gerak kerja kami – kerana mereka tahu model dan tindakan aksi langsung kami sebenarnya masuk akal, cuma tidak selesa dengan dari mana kami berasal – iaitu anarkisme.
Mereka suka dengan nilai-nilai estetika anarkisme, contohnya melaungkan slogan “Eat the rich!” atau “Kill all landlords!” di Twitter tetapi apabila kami mengajak mereka untuk bersama-sama melakukan mana-mana aksi langsung, mereka adalah orang pertama yang akan meninggalkan kami untuk ditangkap oleh pihak berkuasa.
Hanya kerana kolektif kami tidak berdaftar dan pegangan politik kami yang terasing serta tidak mengikut acuan politik arus perdana mereka, tidak bermaksud kami tidak boleh turut serta dalam usaha memberi bantuan di dalam peperangan melawan sebuah pandemik global. Oleh itu, kami menyeru agar semua orang untuk sentiasa mencabar setiap kekuasaan yang ada di dalam hidup mereka!

MM: Dari penerbitan zine, ke kursus kilat berkaitan gerak kerja kolektif-kolektif lainnya, Kolektif Cempaka melihat kepada kemungkinan untuk membangunkan naratif dari Asia Tenggara. Naratif dari Asia Tenggara yang bagaimana kemudiannya yang dibayangkan?
KC: Apabila kita bercakap mengenai ideologi politik, selalunya orang akan merujuk kepada pemikir sains politik dari Barat. Begitu juga dengan anarkisme.
Dan apabila slogan “Tiada Negara, Tiada Sempadan!” dilaungkan oleh para anarkis, kami juga selalu memikirkan, ‘sempadan’ yang bagaimana? Dan apa itu ‘negara’? Seperti di dalam soalan asal anda, Asia Tenggara sebagai sebuah konsep baharu yang diperkenalkan sewaktu perang dunia, maka apakah itu yang ditafsirkan sebagai ‘kawasan’ atau ‘wilayah’?
Seperti yang kita maklum, konsep sempadan dan negara itu diputuskan oleh mereka yang mempunyai kekuasaan – selalunya dengan cara penjajahan untuk meluaskan empayar mereka, jadi apakah yang ditinggalkan kepada kita selepas mereka pergi?
Konsep sempadan dan negara itu sendiri berbeza-beza merujuk kepada siapa yang bercakap dan kepada siapa anda bertanya. Konsep negara bangsa oleh kaum-kaum asal dan peribumi di Amerika tidak sama dengan pemahaman moden kita. Nusantara atau Melayu Raya menurut sesetengah pendapat adalah meliputi sehingga ke kepulauan Filipina.
Di Australia dan Kanada, contohnya, terdapat suatu usaha untuk mengambil hati rakyatnya apabila laman-laman web kelolaan Kerajaan dikehendaki untuk memberikan kenyataan perakuan di mana mereka bertapak di atas tanah yang diwariskan kepada kaum pribumi sebagai penjaga tanah yang asal. Tetapi untuk apa perakuan tersebut diberi apabila tanah warisan mereka masih lagi dijarah untuk mendapatkan sumber asli dan khazanah bumi?
Cempaka sebenarnya sudah jelik dan muak apabila kebanyakan naratif-naratif anarkisme selalu datang dari dunia Barat dan dalam bahasa Inggeris, seakan-akan cuba untuk memadamkan catatan-catatan anarkisme Asia padahal di timur, kita juga ada gerakan anarkisme Jepun dan Korea untuk dijadikan rujukan.
Malah kesan dari gerakan anarkis tempatan yang kami ceritakan di soalan pertama tadi masih boleh kita lihat sekarang iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang merupakan kesinambungan dari Printing Presses Ordinance 1920 – dan digunakan sebagai senjata untuk menyekat bahan-bahan penerbitan dan penyebaran idea anarkisme (dan lain-lain).
Dengan memperakui wujudnya penjajahan dan hasil tinggalannya, maka kita perlu melakukan sesuatu yang lebih baik lagi dengan apa yang kita ada. Kami tidak boleh berpura-pura bahawa penjajahan itu tidak pernah berlaku dan bagaimana tinggalannya membentuk corak pemikiran kita masa kini.
Bagaimana pula dengan anarkisme India? Atau anarkisme Filipina? Apa itu anarkisme Nusantara, misalnya? Kami tidak mahu merujuk kepada penulisan-penulisan pemikir atau tokoh-tokoh terdahulu (jika ada), tetapi kami mahu mendefinisikannya sendiri.
Apabila kami berhubung dengan kolektif-kolektif anarkis dari tempat lain, Bandilang Itim di Filipina atau Sindikasi di Indonesia contohnya, kami menyedari bahawa kita semua mempunyai satu persamaan – iaitu kesan penjajahan yang tinggal di dalam diri kita. Kesannya terhadap rakyat mungkin berbeza menurut kawasan, tetapi kita semua memikul suatu bentuk beban, iaitu trauma intergenerasi yang diturunkan kepada kita dari generasi terawal, dan kami berharap generasi akan datang tidak akan lagi memikulnya dari kita.
Kami pernah dijemput untuk menjadi panel dalam perbincangan krisis perubahan iklim di dunia dengan kolektif dan penggiat seni global bersama Micro Galleries. Melalui perbincangan tersebut, kami membangkitkan isu cengkaman kolonialisme dalam ruang penghasilan seni dan bagaimana perjuangan krisis iklim di Asia Tenggara seringkali tidak didengari oleh dunia kerana didominasi oleh bangsa berkulit putih.
Sebenarnya, apa yang dimahukan oleh rakyat yang tinggal di negara yang pernah dijajah bukanlah kemaafan dari cucu dan waris penjajah. Apa yang kami mahukan adalah perkara ini menjadi pengajaran kepada semua orang, tentang bagaimana sesebuah penaklukan dan rampasan kuasa autonomi sesebuah masyarakat meninggalkan kesan meskipun setelah ratusan tahun sejak perkara itu terjadi. Bagaimana, sebagai hasil tinggalan penjajahan, perkara ini tidak akan berulang lagi, dalam apa jua ruang; tanah, seni, dan juga pemahaman politik.
Apabila kita berkongsi penjajah dan penguasa yang sama, kita juga berkongsi pendekatan dan strategi untuk menentang mereka. Sebagai contoh, dahulu kita selalu panik apabila ditembak gas pemedih mata semasa aksi demonstrasi. Apabila peserta protes di Hong Kong menjumpai kaedah untuk mematikan gas pemedih mata dengan mudah dan berkongsikannya kepada seluruh dunia, peserta protes di Indonesia mula mengikuti kaedah tersebut. Dan seterusnya, kaedah tersebut boleh diikuti oleh semua orang, termasuklah kita di sini.
Jadi untuk menjawab soalan anda dengan lebih mudah: Cempaka cuba untuk mengumpul lebih banyak lagi naratif mengenai anarkisme (yang selalunya sengaja ditenggelamkan oleh pemerintah) di dalam rantau Asia Tenggara, kerana itu yang paling dekat dengan di mana kita bertapak – tetapi naratif dari ‘Asia Tenggara’ yang alternatif dan tidak mengikut acuan penjajah, malah yang didefinisikan sendiri. Kami sedang membina jaringan perhubungan bersama kolektif-kolektif anarkis lain di sekitar kami, dan kemudian cuba untuk menjangkau dengan lebih jauh lagi.
Sebab itulah, apabila orang bertanya Cempaka datang dari mana – kami hanya cuma menjawab, “Jalan Ipoh!” (ketawa)
Makluman: Semua gambar dikongsi oleh Kolektif Cempaka.