Oleh MN

I.

Memang benar seperti kata Harold Laswell, politik adalah siapa mendapat apa, bila dan bagaimana.

Ketika buku Politics: Who Gets What, When and How ditulis pada tahun 1937, Laswell menawarkan suatu analisa tentang apa itu kekuasaan.

Secara ringkasnya, kekuasaan menurut Laswell adalah manipulasi golongan elit ke atas bukan elit dengan tujuan untuk menghasilkan sebuah keputusan yang melibatkan pengagihan sumber yang terhad.

Pemerintahan sesebuah kerajaan perlu ditadbir dalam keputusan politik yang secara ideal dan prinsipnya mewakili suara pandangan orang ramai.

Namun, realitinya tidak begitu. Politik selalu berkesudahan dengan golongan berkuasa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Bukan kepentingan rakyat yang terbanyak.

Kemelut dalaman Pakatan Harapan adalah kes klasik yang digambarkan oleh Laswell. Akhirnya rundingan mereka cuma sekadar memilih pemimpin sedia ada. Menawarkan dua calon tua yang sekadar pragmatik dan manipulatif. Bukan pemimpin muda yang ada daya imaginasi untuk melihat politik di luar kanta politik kepartian.

Soal kesetiaan terhadap idea dan komitmen mereka terhadap perjuangan demokrasi dan keadilan sosial jatuh nombor dua.

Menegakkan orde lama lebih mustahak kerana daya politik cuma sekadar meneruskan sistem sedia ada yang percayakan daulah ‘necessary evil’ untuk berkuasa.

Bayangkan sahaja betapa Malaysia membuang masa dua dekad terperangkap dalam pertembungan dua personaliti gergasi politik ; Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad.

II.

Krisis Reformasi 1999 pada awalnya menjanjikan suatu kelainan. Buat kali pertama ruang budaya dan aktivisme dibuka luas untuk meneroka ruang politik tanpa parti politik sebagai sebuah aktivisme, sebuah gagasan kebebasan.

Sikap kerajaan autoritarian semi-demokrasi semasa pemerintahan Dr. Mahathir mencipta ruang lingkup kebebasan melalui gerakan seni dan kebudayaan. Semuanya bermula dengan sebuah perlawanan terhadap kegilaan dasar kerajaan Mahathir yang menyekat kebebasan sebagai sebuah kemajuan, bukan Sains dan Teknologi yang beliau (Dr Mahathir) dambakan.

LAHIRNYA GERAKAN IDEA

Aktivisme tumbuh dan membesar dengan nilai kosmopolitan, kesaksamaan dan autonomi. Komuniti Seni Jalan Telawi, Middle East Graduate Centre, Suara Anum, Universiti Bangsar Utama dan banyak lagi gerakan budaya akarumbi lahir secara organik. Mereka mencipta kreativiti atas nama protes dan demokrasi.

Suara Anum ketika itu mewakili sekelompok anak muda ideal yang percayakan demokrasi liberal sebagai jalan keluar melawan autokrasi kerajaan ‘keras’ Dr Mahathir. Resah mereka disuarakan dengan tulisan, forum dan aktivisme.

Sebahagian mereka menulis. Sebahagian mereka beraktivisme dengan pendidikan sehingga lahir beberapa projek yang boleh dikira agak berjaya. Salah satunya Mentari Project, projek tuisyen percuma di PPRT Mentari yang diusahakan oleh Nik Nazmi dan kawan-kawannya.

Ramai penggerak awalnya kini profesional belaka. Ada yang menduduki tangga korporat yang tinggi. Ada yang kaya-raya dan ada yang masih mencuba nasib dengan politik.

Komunite Seni Jalan Telawi (KSJT) lahir daripada rahim kebebasan sebagai sebuah kebebasan.

Seni itu adalah politik dan politik adalah seni tanpa perlu secara literalnya dikaitkan dengan sebarang ideologi politik.

Semuanya wajib datang dengan ilham dan kebebasan tanpa perlu label politik untuk bergerak Ideologi mereka adalah kebebasan tanpa terikat untuk menjadi komunis, sosialis, agamis atau liberalis!

Sefaham saya KSJT adalah kesinambungan Manifes Kebudayaan (Manikebu) di Indonesia. Projek Manikebu digerakkan budayawan, Goenawan Muhammad yang ditubuhkan bagi melawan gelombang ‘Seni untuk Rakyat’ yang menganggap bahawa kesenian atau kebebasan itu harus bersandar dengan ideologi sebagai keterikatan.

Middle East Graduate Centre (MEGC) pula terdiri daripada sekelompok graduan Timur Tengah yang belajar agama tetapi tak berminat dengan wacana agama di Malaysia yang bersifat gerakan semata-mata. Wacana agama perlu dikembangkan dan dibesarkan menjadi sebuah wacana yang meliputi seni, sastera dan intelektual.

Harapan mereka suatu hari nanti kuliah agama di masjid-masjid dijadikan pusat bukan sahaja untuk membincangkan idea Syeikh Wahbah Zuhaili tentang hukum Islam, tetapi mungkin kuliah Adonis tentang Sastera, Mahmoud Darwish tentang Sajak ataupun Naguib Mahfouz tentang cerpen!

Sebahagian pendirinya masih aktif. Al-Mustaqeem masih menterjemah. Hakim Ramlee masih bergiat aktif dalam siri seminar dan program latihan politik seperti Sekolah Politik dan Sekolah Demokrasi.

Universiti Bangsar Utama (UBU) sebagai sebuah gerakan budaya yang mahu keluar daripada kepompong politik kepartian. Isham Rais dan Fathi Aris bertindak sebagai pendokong intelektual. Walaupun UBU sebenarnya takkan tercetus tanpa pendiri awal seperti Jonah, Rahmat, Din, Ijan, Black, Tad, Koy, Hasmi dan beberapa yang lain lagi.

Universiti Bangsar lebih dikenali sebagai manifestasi Agitprop versi Malaysia. (Agitprop) Agitasi Propaganda merujuk kepada satu movement 1920an di Soviet yang menggerakkan propaganda seni untuk rakyat bagi menyokong gagasan Komunisme Soviet.

Isham menganggap UBU sebagai sebuah allegori terhadap propaganda gerakan kesenian yang sangat politikal. UBU kononnya adalah projek jalan keluar pencerahan menjelang Reformasi.

Munculnya gerakan-gerakan ini penghujung era Reformasi adalah kerana satu harapan. Mereka sudah penat melihat politik sebagai tempat bergulat personaliti-personaliti yang cuma memikirkan cara untuk berkuasa.

Ironinya sebahagian besar yang terlibat dalam gerakan-gerakan di atas kini tersepit dengan kekuasaan dan meninggalkan idea masing-masing di tepi. Mungkin mereka sudah faham bahawa realitinya politik adalah matlamat menghalalkan cara yang sudah lama diperjuangkan oleh Dr Mahathir sendiri.

KERAJAAN TANPA IDEA, NEGARA TANPA KONSEPSI

Suatu ketika dahulu semasa peristiwa Konfrontasi 1963-1966, Soekarno pernah menuduh Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Tanpa Konsepsi’ kerana menurut Soekarno lahirnya Malaysia cuma sebagai benteng Paksi Barat di Asia Tenggara.

Beliau cukup marah dengan Tunku kerana Tunku gagal untuk menjelaskan projek Malaysia sebagai sebuah idea yang mempunyai latar sejarah Nusantara.

Cuma bagi Soekarno, projek Malaysia cuma sekadar projek anti-komunisme yang bakal menghalang cita-cita Indonesia Raya beliau. Dengan nada marah, beliau bilang bahawa Malaysia adalah Negara Tanpa Konsepsi kerana motif penubuhan Malaysia yang tidak jelas dan samar-samar.

Sekarang Malaysia sekali lagi tersepit. Bukan kerana ia adalah sebuah negara tanpa konsepsi, tetapi kerana Malaysia hari ini adalah sebuah kerajaan tanpa idea. Semuanya tak jelas.

Masa depan Malaysia kini bergantung dengan sebuah perjudian tentang siapa mendapat jumlah nombor majoriti sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi yang ada untuk membentuk kerajaan.

Pakatan Harapan ataupun Perikatan Nasional cuma operator. Yang penting cuma siapa mendapat apa, bila dan bagaimana!

Berapa harga yang perlu dibayar, duit yang perlu berhabis dan jawatan untuk didagangkan; semuanya melambangkan prinsip demi rakyat itu tidaklah penting. Kerana Malaysia kini adalah sebuah kerajaan tanpa idea.

Muhammad Nazreen adalah pengasas kedai buku atas talian, Bukuku Press yang menawarkan bahan bacaan sejarah, politik dan budaya.