Aiman Caezar

Baru-baru ini, Senator yang baru saja dilantik, YB Wan Ahmad Fayhsal lewat bebenang ciapannya di Twitter cukup mengejutkan. Beliau mengutarakan sebuah idea yang sudah lama tidak dibincangkan: Ketuanan Melayu.

Seringkali, kita diusulkan dengan idea Ketuanan Melayu untuk menjustifikasi alasan sesebuah polisi dan tindakan digunakan ke atas individu. Misalnya, soal kuota pemilikan, hak tanah serta penggunaan Akta Hasutan. Begitupun, YB WAF menatijahkan Ketuanan Melayu di dalam bentuk yang lain. Beliau menggunakannya untuk mengabsahkan peralihan kuasa yang tidak demokratik tempohari kepada asbab pemerintahan berasaskan Bumiputera – politik itu sendiri.

Sheraton, dan apa yang berlaku selepasnya itu, jauh dari sebuah proses yang demokratik atau sepatutnya yang perlu kita gelarkan sebagai: kudeta tanpa darah.

Sebaliknya beliau menggambarkan ianya persis sebuah saga kembalinya kepada ketulenan ideologikal serta daya untuk mengutuhkan komitmen partinya berdasarkan konsep Ketuanan Melayu — menariknya, sebagai Pengamanahan Melayu (Malay Custodianship) dan bukan lagi sebagai Ketuanan Melayu.

Bernama Ketuanan

Ini isinya yang kedua. Tindakan YB WAF menterjemahkan Ketuanan Melayu, yang seringkali digunakan itu, ke definisi Pengamanahan Melayu seakan-akan dibuat tanpa niat. Sekilas yang kita tahu dari balasan ciapan di Twitter asalnya itu, ramai yang menolak penterjemahannya itu. YB WAF, kata mereka, sekadar menjenamakannya semula.

Namun apa yang dilakukan YB WAF itu bukan sekadar menjenamakannya semula. Definisi sangat penting, lebih-lebih lagi bagi YB WAF. Terma yang digunakannya jauh dari tidak disengajakan. Apa yang dilakukannya ini mengarah kepada perkembangan nativisme Melayu yang baru, yang terlihat sopan — sekaligus membahayakan.

Menggunakan definisi ‘pengamanahan’ berbanding ‘ketuanan’, yang seringkali tampak emosional itu sendiri sangatlah manipulatif. ‘Ketuanan’ membawa kepada gambaran definisi yang terang-terangan bersifat menguasai serta xenofobia. Berbanding ‘pengamanahan’ yang membangkitkan rasa selamat, bahkan cukup mengelirukan seperti rasa dijaga rapi serta dipelihara. Seseorang yang amanah seringkali ditanggapi tidak memiliki apa pun dalam jagaannya. Tugasnya – satu-satunya – hanyalah berwaspada terhadap apa yang dijaganya. Apa salahnya kalau yang amanah itu hanya dari sesebuah kaum sahaja, kan?

Inilah rekaan yang diajukan oleh YB WAF. Yang menjunjung ketuanan seringkali dilihat menghunus kerisnya, dengan penuh berang menyatakan dirinya itulah tuan di ‘Tanah Melayu’. Berbanding, yang ‘Pengamanah Melayu’ ini tampaknya seperti terbuka dengan kemungkinan bahawa mereka tidak memiliki Malaysia. Mereka hanya menjaganya: bukan untuk dirinya, namun untuk semua. Munasabahlah!

Amanah secara tersirat mengandung makna tanggungjawab. Di dalam hal ini, tersurat di dalam polisi seperti “kemakmuran bersama” itu. Ini rekayasa YB WAF yang kedua, yang lebih merbahaya.

Pengamanah Melayu sekarang punyai tanggungjawab, sekaligus, tugas moral untuk memerintah. Apa lagi, jika kita mempunyai tanggungjawab terhadap sesuatu, itu kan tugas moral kita untuk memastikan semuanya dijaga dalam kawalan kita – untuk menjaganya? Pengamanah Melayu bukan saja-saja mahu ambil tanggungjawab gara-gara berahi terhadap kuasa, atau mandat pilihanraya. Mereka memerintah kerana mereka perlu – ianya sebuah tugas moral untuk memenuhinya.

Jadi, yang menjunjung Ketuanan Melayu dengan mahu mendominasi bukan Melayu lewat rasa kedudukannya yang tinggi, diletakkan ke tepi dahulu. Di tempatnya sekarang digantikan dengan mereka itu – Pengamanah Melayu: penuh rendah diri, bertanggungjawab serta bekerja keras bagi mencapai cita yang lebih tinggi.

Begitulah bagaimana Ketuanan Melayu berubah. Yang dulunya sebuah ideologi digunakan untuk mendominasi dengan ganas, ianya berubah kepada bagaimana elit Melayu mempunyai ‘beban moral’ untuk mentadbir. YB WAF dan yang bersengkongkol dengannya sekarang bukan semata-mata sekadar ahli politik saja: dengan mereka terbeban akan budi dan cita yang lebih tinggi.

Akibatnya itu cukup menakutkan. Misalnya, dahulu kita boleh membangkang idea Ketuanan Melayu itu terus sebagai sesuatu yang tidak bermoral, perkauman dan zalim. Namun, dengan rekayasa YB WAF, ia ditanggapi sebaliknya. Kini, mereka yang mempersoal Ketuanan Melayu yang amanah itulah yang dilihat tidak bermoral. “Siapa kamu yang mahu menghalang kami untuk mencapai kemakmuran bersama?”

Benarlah, mustahil YB WAF yang hanya seorang itu dapat ‘membina’ sesebuah ideologi. Namun, usahanya untuk meletakkan pentadbiran sekarang tampak mempunyai moral itu jelas. Ianya memperlihatkan bagaimana kerajaan yang ada hari ini mahu mencerminkan dirinya. Ia mahu percaya bahawa diri merekalah yang membawa daya paling luhur dalam mempertahankan hak moral orang Melayu. Kerajaan hari ini melihat diri mereka berbeza berbanding dengan Pakatan Harapan yang dilihat sebagai sebuah kerajaan teknokrasi yang rencam budaya serta ‘sekular-liberal’ (baca: tidak bermoral) itu.

Pun begitu, asas moral di mana kerajaan hari ini didirikan cukup goyah. Lantikan politik ke banyak kerusi GLC. Perjanjian yang melibatkan permohonan dan peruntukan lesen spektrum (yang kemudiannya segera dibatalkan). Percubaan untuk membalak secara sembrono tanpa segan. Niat reformasi yang sinikal — saatnya mereka mahu mengekalkan kuasa! Menggunakan pandemik global untuk menjadikan pelarian dan imigran seakan penjenayah. Mendiamkan diri perihal keganasan polis. Apa yang berlaku ini bahkan gagal untuk memperjelaskan seperti apa naratif amanah dan kemakmuran bersama yang dibawa mereka itu. Melihat kepada polisi yang dibawa mereka ini, ianya menjadi bukti bahawa percubaan untuk memulihkan ideologi jadong ini gagal sepenuhnya

Jelas bahawa kesan dari kononnya Pengamanah Melayu yang ‘baru dan ditambah baik’ itu samalah seperti ‘model lapuk’ Ketuanan Melayu. Semuanya berjalan seperti biasa. Namun, sesuatu yang lebih merbahaya adalah kecenderungan kerajaan hari ini untuk memoralkan nativisme.

Kita akan melihat bagaimana polisi yang dirumuskan dengan dasar hak Melayu ke atas tanah yang dikongsi bersama ini – bukan lagi sekadar hak istimewa yang diwarisi, tetapi sebagai sebuah hak moral. Kita akan melihat bagaimana kempen politik akan datang dijalankan untuk menggambarkan kepimpinan Melayu – bukan sebagai mereka yang mahu menakluki, tetapi sebagai penjaga. Sukar untuk digambarkan apakah strategi seperti ini akan berhasil, jika dilihat pada situasi kita hari ini. Begitu juga bagaimana nativisme kemudian akan berubah lagi. Pun begitu, kita perlu melihat perangkapnya dari jauh, dan mengelak dari terjebak ke dalamnya.

Makluman: Tulisan asal oleh Aiman Caezar ini diterjemah oleh Zikri Rahman, penggerak Malaysia Muda.