Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya. 

Tamu kesembilan di #MalaysiaYangMuda minggu ini, kami bersama Saudara Eko Prayitno Joko, seorang tenaga pengajar di Universiti Malaysia Sabah dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan. Dengan kajiannya yang memfokuskan tentang kerencaman masyarakat yang bersinggungan soal politik dan sejarah Sabah, kami di sidang redaksi Malaysia Muda bertanyakan tiga soalan kepadanya seputar “historiografi pembebasan”, perkembangan penulisan “sejarah dari bawah” di Sabah dan seperti apa sejarah mahu digambarkan? Ayuh bersama menggeluti persoalannya bersama kami. Silakan.

Eko Prayitno

Saudara Eko Prayitno Joko

MM: Malaysia Muda / EPJ: Eko Prayitno Joko

MM: Persoalan historiografi sejarah sangat penting. Apatah lagi persoalan serta perkembangan sejarah yang semakin beragam kini. Di dalam buku yang diterbitkan bersama teman-teman akademik yang lain berjudul Historiografi Politik Sabah, kita melihat kepada bagaimana naratif sejarah Sabah itu mahu dibina dari sumber tempatan; misalnya lewat koleksi surat Zakaria Gunn, tokoh nasionalisme yang terlibat dengan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu, PASPAM, AGABA, PIS antara lainnya. Begitupun, kita juga sedar bagaimana wawasan historiografi yang dibugar dari sumber tempatan juga berkemungkinan dilencongkan untuk digunakan entiti yang berkepentingan. Bagaimana Saudara melihat persoalan dan cabaran menanggapi persoalan historiografi yang sebegini?

EPJ: Manipulasi sejarah bukan suatu perkara baru dalam konteks pembentukan negara dan bangsa di Malaysia kerana pengetahuan dan kekuasaan sudah “bersulam satu” semasa fakta sejarah diciptakan. Justeru, menulis sejarah sebenarnya tidak hanya menandakan kegiatan yang bersifat “intelektual”, tetapi juga bermakna “politik”.

Atas kecenderungan tersebutlah yang memungkinkan terdapat pandangan bahawa sejarah bukan suatu disiplin ilmu yang dapat menerangkan perkara sebenarnya berlaku, sebaliknya sekadar menyatakan suatu yang terjadi daripada sudut pandang tertentu bersandarkan kepentingan kekuasaan, ideologi, mahupun kepentingan sejarawan itu sendiri.

Dengan itu, kerap kali kita dapat melihat sejarah digunakan sebagai “alat” untuk menguasai ruang pemikiran kumpulan kaum / etnik di Malaysia sehingga sejarah yang ditulis cenderung bersifat “apa yang dikatakan terjadi” dan bukannya “apa yang sebenarnya terjadi”.

Hakikat ini dibuktikan menerusi “historiografi sejarah nasional” yang dihadirkan sebagai wacana tandingan kepada sentrik Barat masih tidak demokratik dan manusiawi sifatnya kerana dikembangkan tanpa perubahan secara struktural.

Begitu pula dengan peralihan paradigma terkemudiannya daripada sejarah “politik ke sosial”, “dari atas ke bawah” dan “dari orang besar kepada orang biasa” juga cenderung dimanipulasi atas kehendak untuk berkuasa daripada kumpulan di luar lingkaran kekuasaan sedia ada.

Dalam kepincangan seperti ini, kita memerlukan “Historiografi Pembebasan” yang bersifat kritis dalam penggunaan sumber sejarah, bertanggungjawab dalam penghasilan penulisannya serta mampu bertindak sebagai pencerahan kepada pemesongan fakta sejarah.

Sekiranya “Historiografi Pembebasan” dapat dihadirkan dalam penulisan sejarah, sudah pasti mampu mengurangkan nilai subjektiviti, walaupun tidak sepenuhnya dan mendekati (bukan menghasilkan) penulisan sejarah “seperti yang seadanya”.

Soal penerimaan terhadap wacana baru yang dikemukakan melalui “Historiografi Pembebasan” sebagai suatu kebenaran yang tidak berpihak perlu diserahkan kepada para pembaca untuk mengadilinya. Sekiranya terdapat ketidaksetujuan berkaitan fakta sejarah yang ditampilkan dan dianggap berpihak, maka anti-tesis kepada penulisan sedia ada perlu dihasilkan.

Proses ini sebenarnya sangat diperlukan agar penulisan sejarah yang sekian lama bersifat “seragam” menjadi “pelbagai ragam” dalam memahami peristiwa masa lalu yang kebanyakannya lebih “gelap” berbanding “terang”.

MM: Terdapat kecenderungan sejarawan untuk menulis sejarah secara langsung bersinggungan dengan Negara. Dalam hal ini, Sabah dengan kerumitan demografi masyarakat yang kontemporari, misalnya dengan kewujudan masyarakat tanpa negara dan dokumen, sekaligus memberikan kemungkinan baru untuk kita menulis sejarah. Apakah wujud perkembangan penulisan sejarah yang sebegini di Sabah dalam menangkap kerumitan masyarakatnya?

EPJ: Pergeseran tema historiografi dari “sejarah makro” kepada “sejarah mikro” semakin mendapat perhatian dalam kalangan saintis sosial dan kemanusiaan yang menjadikan Sabah sebagai wilayah penelitiannya. Kebanyakan usaha ini dilakukan kerana timbul kesedaran bahawa buat sekian lamanya “historiografi sejarah nasional” tidak memiliki akar persoalan daripada masyarakat, tidak memiliki kemampuan mencerahkan masyarakat dan memberi sumbangan bagi pemecahan sejarah kekinian mahupun masa hadapan.

Maka sebab itu, semakin kerap kita mendengar penemuan kembali “suara mereka yang jarang didengar” berkenaan masyarakat tanpa negara, golongan buruh, suara korban keganasan, suara golongan miskin dan suara orang yang termarjinalkan.

Sebenarnya usaha mengangkat permasalahan ini dalam historiografi Sabah bukan suatu yang baru kerana telah dimulakan sejak tahun 1970-an, tetapi cenderung “memaknakan” kelompok terbabit dalam sudut pandangan negatif.

Pemaknaan ini hanya berubah dan diangkat sebagai wacana tandingan yang sudah diterbitkan dalam bentuk buku, jurnal dan dipaparkan di dada akhbar apabila Unit Penyelidikan dan Pembangunan Etnografi (UPEP), Universiti Malaysia Sabah ditubuhkan pada awal tahun 2000-an.

Kebanyakan kelompok penelitian yang bergabung dalam unit tersebut mempunyai “nama” besar dalam membicarakan berkenaan persoalan keselamatan, imigran dan buruh antaranya Azizah Kassim, Ramli Dollah dan Wan Shawaluddin Wan Hassan.

Pada masa sama, terdapat juga kajian berkenaan masyarakat tanpa negara, Bajau Laut dan kanak-kanak jalanan yang diketuai oleh Sabihah Osman, Ramzah Dambul, Kntayya Mariappan dan Saffie Abd Rahim yang hanya terhenti sebagai laporan kajian, tetapi tersedia untuk rujukan penyelidikan.

Ketertarikan terhadap tema sedemikian semakin diperluaskan apabila Badariah Saibeh yang sememangnya bergelumang dengan persoalan pendidikan masyarakat tanpa negara dalam kajian Doktor Falsafahnya, kini giat menjalankan kajian serupa bersama kumpulan penyelidikannya dari UMS dan UKM.

Walau bagaimanapun, kebanyakan penulisan yang dihasilkan berkaitan “sejarah mikro” ini masih jauh daripada yang diharapkan dan belum bersifat adil dalam memberikan ruang kepada masyarakat bawahan, orang kecil, individu tidak ternama dan golongan buta huruf sehingga sukar menemukan pengalaman mereka dalam konteks sejarah nasional.

Kekurangan ini yang berusaha ditampung kemudiannya dengan kehadiran kelompok aktivisme di luar universiti antaranya adalah Neldy Jolo, Mukmin Nantang, Jefry Musa dan Rien SD dalam bentuk penulisan popular dan esei pendek.

Kesemua penulisan yang diketengahkan oleh kelompok aktivisme ini adalah bersifat emansipasi yang dibangunkan secara praksis dengan menubuhkan sekolah alternatif sebagai wadah mendidik masyarakat tanpa negara di Sabah.

Politik Sabah

Historiografi Politik Sabah, terbitan Kedai Hitam Putih (2019)

MM: Hampir mustahil untuk menulis tentang sejarah Sabah tanpa melihat kepada sumber-sumber lampau pra-kolonial, misalnya melibatkan Kerajaan Sulu, Kesultanan Maguindanao, dan lainnya sekaligus mungkin memerangkap para penyelidik saat hasil dapat penelitian berlawanan dengan kepentingan sejarah Malaysia atau Filipina, misalannya. Bagaimana sebagai seorang sejarawan, kita menampilkan sejarah bukan sahaja sekadar seadanya tetapi juga serumitnya?

EPJ: Saranan Ranke untuk menghasilkan sejarah “seperti yang seadanya” hampir mustahil dihadirkan dalam penulisan sejarah kerana kebenaran sejarah bukan bersifat objektif, sebaliknya adalah relatif dengan adanya komponen subjektif yang dihasilkan oleh semangat zaman.

Meskipun, dalam disiplin ilmu sejarah, “kebenaran” sejarah dikatakan mampu dicapai dengan memisahkan antara subjek dengan objek, namun secara realitinya perkara ini tidak mungkin diwujudkan. Pemilihan bidang, tema dan sumber yang akan digunakan sudah cukup jelas menunjukkan kecenderungan sentiasa berdampingan dengan sejarawan dalam menghasilkan penulisannya.

Bagi saya, kebenaran sejarah “seperti yang seadanya” tidak pernah berjaya dihasilkan oleh sejarawan di belahan dunia kerana sumber sejarah yang ditemui dan digunakan oleh sejarawan tidak pernah lengkap akibat tidak direkodkan oleh saksi sejarah mahupun berada di luar pengetahuan manusia.

Akhirnya, kekurangan ini terpaksa ditampung untuk menjadikannya sebuah naratif bersandarkan kepada “interpertasi” daripada sejarawan yang mementaskan kembali peristiwa masa lalu dalam fikirannya. Perkara sama terpaksa dilalui oleh sejarawan semasa mengkaji sejarah moden Sabah kerana penggunaan “sumber sezaman” dan “sumber primer” juga tidak pernah lengkap, terdedah kepada pemesongan dan penciptaan fakta sejarah menyebabkan sebahagian daripada realiti sejarah telah ditinggalkan.

Oleh sebab itu, sejarawan tidak boleh sekadar berharap kepada pengumpulan “sumber sezaman” dan “sumber primer” dalam menghasilkan penulisannya, tetapi juga “memahami pemikiran di sebalik sumber” kerana usaha mengetahui masa lalu adalah dengan memikirkan tentang masa lalu itu sendiri. Atas kekangan ini menjadikan usaha menulis sejarah adalah pekerjaan yang sangat rumit kerana “masa hadapan adalah pasti, hanya masa lalu yang tidak pasti”.