Aiman Caezar

child marriage

Hannah Yeoh semasa ini sedang disiasat lagi. Kini untuk satu ciapan di Twitternya (selalunya kiriman Twitter yang dicari) pada 9 Mac lepas.

MP Segambut ini mempersoalkan status pelan nasional dalam menangani perkahwinan kanak-kanak yang dilancarkan awal tahun ini. Apatah lagi sekarang apabila sebuah parti Islam memegang pentadbiran kementarian yang berkait.

Ciapan Hannah Yeoh, kalau diambil luar konteks, dapat dilihat sebagai ingin disampaikan kepada sebuah khalayak yang khusus. Ianya bermain dengan kerisauan golongan liberal tentang pengaruh Islam politikal dalam pemerintahan. Ianya agak mudah, kemudiannya, untuk mereka yang dikatakan sebagai ‘cybertrooper’ untuk mengangkat isu ini dan mengapi-apikan ketakutan komuniti Melayu Muslim yang sudah lama terpendam.

Akan tetapi, tidak ada keraguan bahawa kegusaran Hannah Yeoh itu berasas. Penyelesaian isu perkahwinan kanak-kanak tidak mengambil tempat yang tinggi dalam senarai keutamaan pemerintahan ini. Dan isu ini akan tamat di situ sahaja sebagai satu kes fitnah. Itupun, sehinggalah Mahamad Naser Disa, yang merupakan bekas CEO Iksim, masuk sama dalam perbahasan ini.

Naser mendakwa bahawa Hannah Yeoh menceroboh ruang sakral raja-raja negara sebagai ketua agama. Ini merupakan dakwaan yang luar biasa. Dan ia membawa isu ini terus langsung kepada denyut nadi berkenaan identiti Melayu di Malaysia kontemporari.

***

Setakat ini, hujah Naser adalah seperti berikut: perkahwinan orang Muslim, yang dewasa atau sebaliknya, adalah urusan agama. Dan ianya adalah tertakluk khusus kepada bidang kuasa Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri masing-masing. Pemerintahan persekutuan tidak mempunyai kuasa terhadap kawal selia bidang ini.

Ini adalah sebab mengapa pemerintahan Pakatan tidak dapat melangkaui peringkat pelan awal suatu kemungkinan larangan perkahwinan kanak-kanak di seluruh negara.

Kerana ini juga Naser melihat kiriman Hannah Yeoh sebagai percubaan untuk memaksa persetujuan Raja-Raja di setiap negeri. Ini tentunya di luar batasan sama sekali, terutamanya apabila dibangkitkan oleh (1) seorang bukan Melayu; (2) seorang wanita.

Sebagai jawab balas, Hannah Yeoh, dengan disokong Wan Azizah, berhujah bahawa beliau langsung tidak berniat untuk menyampaikan maksud yang sedemikian. Ini kerana, pada asasnya, sebetulnya peranan pembangkang adalah untuk bertanyakan tentang status sesebuah dasar yang sebelumnya ketika mereka memegang pemerintahan. Tambahan, Hannah Yeoh adalah seorang penggubal undang-undang yang berpengalaman. Beliaulah yang lebih memahami dan menghormati hubungan pengagihan kuasa.

Perdebatannya sekarang kemudian bertukar menjadi penyanggahan berterusan sekitar persoalan Perlembagaan, norma politikal, dan kebebasan bersuara.

“Apakah soalan lewat ciapannya itu, Hannah melampaui garis batas yang sedia ada diwujudkan?” Ianya adalah sebuah soalan yang perlu dijawab para peguam, polis, dan pelajar politik Malaysia. Namun, fokus kepada isu ini hanya mengalih perhatian kita daripada dua perkara yang sebaliknya kita harus beri tumpuan.

***

Bagaimana “Perkahwinan Kanak-Kanak” seakan-akan menjadi pertaruhan segalanya?

Pertamanya, adalah situasi tidak munasabah oleh kenyataan Naser yang mengaitkannya menerusi lensa komuniti Melayu Muslim. Hak untuk berkahwin dengan perempuan bawah umur yang merupakan suatu tindakan yang menentang gerak hati kita telah menjadi satu isu di mana komuniti Melayu Muslim rasa perlu untuk dipertahankan.

Seseorang itu dapat mengatakan bahawa Naser tidaklah mempertahankan perkahwinan kanak-kanak secara terus, tetapi hanya mempertahankan peranan Raja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi konteks adalah segalanya.

Dalam kes ini, tidak penting hujah apa yang dibentuk untuk mempertahankan peranan Raja-Raja dalam Perlembagaan atau peranan agama. Hakikatnya, semua akan pada akhirnya mempertahankan satu posisi yang pada asasnya tidak bermoral: ekploitasi perempuan muda oleh lelaki yang lebih tua.

Komuniti Melayu Muslim kini melihat mereka terhimpit dalam keadaan yang sulit. Mereka terperangkap – menuntut hak untuk berkahwin dengan perempuan yang muda. Jika tidak, mereka akan menghadapi risiko dituduh menentang institusi yang paling penting: Raja-Raja.

Naser cukup licik memasukkan jarum kejahatannya (dan secara sedar) menggunakan taktik ini. Beliau telah memaksa komuniti Melayu ke suatu posisi yang tiada jalan keluarnya. Satu jalan yang hanya mempertentangkan kita di antara satu sama lain: masyarakat Malaysia yang sudahpun tersangkut dalam satu perang budaya yang melumpuhkan.

Tetapi Naser, dalam mengguna pakai tipu muslihat ini, juga sedang mengambil risiko yang besar. Beliau telah meletakkan tanggungjawab untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak kepada Raja-Raja mereka sendiri.

Tidakkah ianya  juga bermaksud bahawa Naser cuba untuk bercakap bagi pihak Raja-Raja dengan menyimpulkan bahawa tiada pengisytiharan berkait soalan perlembagaan ini adalah suatu persetujuan oleh Raja-Raja secara tidak langsung? Oleh yang demikian, siapa yang sebenarnya melampaui garis batas sekarang?

***

Perempuan Muda Diabaikan – Sekali Lagi!
Yang keduanya, adalah kita terlepas pandang dengan apa yang sebenarnya penting. Setiap hari, perempuan bawah umur yang berisiko melihat (atau diberitahu) bahawa perkahwinan kepada lelaki yang umurnya tiga kali lebih tua adalah satu-satunya jalan penyelesaian hidup mereka.

Pelan awal pemerintah yang sebelumnya perlu dihargai kerana mengenalpasti sebab-sebab sosio-ekonomi yang menjadi punca terjadinya perkahwinan sebegini. Tetapi, malangnya, pelan ini gagal menjawab soalan “mengapa perkahwinan kanak-kanak adalah salah?” bagi memuaskan para pengkritiknya.

Oleh itu, ianya menjelaskan mengapa hujah untuk mengurangkan umur bagi memberi keizinan untuk berkahwin menjadi efektif bagi golongan tertentu. Mereka mengajukan satu kes moral yang lebih jelas dan mudah. Perkahwinan kanak-kanak “diperlukan” untuk mengelakkan penyakit sosial seperti zina (persetubuhan sebelum kahwin) dan pembuangan anak.

Sebaliknya, pelan awal hanya memberikan frasa-frasa yang menarik tetapi umum. Contohnya, anak-anak adalah “masa depan negara ini” dan “janji untuk sebuah Malaysia yang lebih baik”. Ini mungkin berjaya digunakan untuk sebuah negara yang sifat moralnya sekular, mana pemahaman sebegini cenderung untuk diterima sebagai yang sudah sedia wujud. Tetapi, ianya tidak begitu efektif untuk sebuah negara yang kebanyakan rakyatnya mencerna pengetahuan moral mereka semata-mata daripada kitab.

Hasilnya, orang-orang tua hanya sibuk bertengkar tentang isu-isu yang tingkat pentingnya hanyalah sepele. Bilamana ini tidak berlaku, mereka hanya sibuk menghubungi polis untuk membuat laporan terhadap pihak yang berseberang pendapat dengan mereka.

Sementara itu, perempuan-perempuan bawah umur yang tidak mempunyai perlindungan yang sewajarnya di seluruh negara terus menderita seperti yang selalunya. Sengsara dan bersendirian dalam menghadapi ketiadaan harapan.

Memfokuskan Semula Perbahasan

Perbahasan tentang perkahwinan kanak-kanak menunjukkan sesuatu yang sangat salah dalam bagaimana kita memperlakukan anak-anak kita.

Pelan awal mengatakan bahawa perkahwinan bawah umur adalah tidak baik kerana ia merampas daripada mereka “Malaysia yang lebih baik”. Pendokong kahwin bawah umur pula berhujah bahawa ianya patut diterima bagi menyelesaikan “masalah-masalah sosial”.

Kedua-dua kes ini melakukan kesalahan menggunakan kanak-kanak sebagai kaedah untuk mencapai sesuatu tujuan. Kedua-duanya gagal untuk mengiktiraf bahawa setiap kanak-kanak adalah manusia yang berharga, dan melihat diri mereka sebagai seorang insan. Hak seorang kanak-kanak perempuan untuk suatu zaman muda yang merdeka daripada eksploitasi haruslah diwujudkan bagi mereka, dan untuknya sahaja. Bukan semata-mata untuk negara. Apatah lagi masyarakat.

Perkahwinan kanak-kanak bukanlah suatu dasar sosial. Kita mesti bersetuju di atas premis bermula dengan kesedaran nurani ini. Ianya perlu ditanggapi sebagai sebuah persoalan moral. Sebarang usaha untuk menghitungnya sebagai perkara yang lain hanyalah tabir semata-mata.

Makluman: Tulisan asal oleh Aiman Caezar ini diterjemah oleh Siyyah, penggerak Malaysia Muda.