Editorial
#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.
Masuk minggu kesepuluh di #MalaysiaYangMuda, kami bersama Shaq Koyok, seorang artis kontemporari dan aktivis alam sekitar suku Temuan yang berasal dari Banting, Selangor. Beliau merupakan penerima geran Anugerah Merdeka pada tahun 2017 bagi menjalankan kajian lapangan seni serta budaya orang Asli di Malaysia serta di beberapa buah negara lain. Kami di sidang redaksi Malaysia Muda, melontarkan tiga soalan kepadanya berkenaan proses pengkaryaan bagi pameran solonya yang akan datang, pengalaman awalnya menuntut hak tanah warisan serta usaha dekolonisasi seni di Malaysia.

Saudara Shaq Koyok dan karyanya.
MM: Malaysia Muda / SK: Shaq Koyok
MM: Antara yang menarik perhatian dalam proses pengkaryaan Shaq ialah penggunaan sumber bahan dan teknik; tikar mengkuang, pigmen warna semulajadi serta teknik anyaman. Bagaimana dan mengapa pemilihan sumber bahan pengkaryaan penting dalam proses seni Shaq sendiri?
SK: Sejak berpameran di Galeri Petronas pada tahun 2016, saya mula mahu membawa pandangan serta media baru yang saya rasa tidak diambil kira dalam seni walaupun mempunyai nilai yang tinggi.
Dalam pada masa yang sama, latar belakang saya amat dikelilingi dengan seni anyaman Orang Asli. Rumah yang pertama keluarga saya tinggal dulu pun banyak mengunakan teknik menganyam dan juga bahan dari alam. Dengan itu, ianya banyak mempengaruhi kehidupan saya sejak kecil sampai sekarang.
Saya jugak selalu melakukan bengkel anyaman kepada sesiapa sahaja, terutamanya semasa pameran seni. Jadi, anyaman itu sendiri menjadi sebuah jati diri sebagai seorang artis Orang Asli. Saya juga mahu memartabatkan seni anyaman Orang Asli yang ramai orang mengatakannya hanyalah sebagai “kraf”.
Tapi, saya rasa kita sebagai artis di Asia, seni anyaman ini amatlah sinonim dengan jati diri kita. Lagipun, bahan itu sendiri menunjukkan kekayaan bio-kepelbagaian yang kita ada di negara ini. Pada masa yang sama, sumber bahan ini menjadi terjemahan aktivisme (saya) dalam membawa mesej mencintai alam.

Shaq Koyok, ‘Confession of Palm Oil’ (2013)
MM: Lewat karya seni yang dibangunkan Shaq, kita dapat mengikuti hubungan sosial yang terbina sesama kita di dalam lingkungan alam. Bertitik-tolak dari itu, kita juga melihat Shaq secara langsung terlibat dengan aktivisme khususnya lewat isu alam sekitar dan hak ke atas tanah, bagaimanakah isu sebegini memperbesarkan sudut pandang dan proses pengkaryaan Shaq sendiri?
SK: Aktiviti aktivisme saya pada mulanya datang dari kes di mana saya menyaksikan sendiri pembalakan yang berlaku di kampung semasa tahun 1990an.
Selepas saya pergi ke sekolah menengah, saya juga banyak mengikuti pak cik saya ke bengkel-bengkel kesedaran mengenai hak tanah Orang Asli di negeri lain seperti di Perak.
Semasa di universiti juga, saya banyak membuat hasil seni berdasarkan kes pembalakan serta kes hak tanah yang berlaku di Malaysia.
Saya juga banyak melihat hasil-hasi seni dari penggiat seni Orang Asal di negara-negara seperti Australia dan New Zealand.
Dengan itu, saya banyak dipengaruhi oleh aktivisme dalam hasil seni mereka yang sekaligus banyak membantu masyarakat tempatan serta masyarakat di luar dalam memahami kes hak tanah yang agak kompleks ini.
Saya juga mahu dengan menggunakan seni, saya dapat memberi pandangan sebagai seorang yang kreatif untuk memahami kisah yang kompleks ini.

Shaq Koyok, ‘Master Weaver’ (2017)
MM: Karya Shaq bukan sekadar sebagai sebuah proses dokumentasi khazanah dan warisan Orang Asli yang kaku, sebaliknya adalah usaha untuk memperbanyakkan naratif serta visual tandingan terhadap budaya dominan. Bagaimanakah Shaq kemudiannya melihat kepada proses pembudayaan dan pengkaryaan masyarakat orang Asli hari ini? Seperti apa Malaysia perlu belajar dari tradisi leluhur kita ini?
SK: Memang saya ingin melihat seni Orang Asli diangkat bersama dengan hasil seni Barat yang banyak diguna pakai oleh penggiat seni kita di negara ini.
Saya rasa, sebagai seorang penggiat seni Orang Asal di Asia, kita perlulah mengolah hasil seni yang ada di negara kita.
Selain itu, saya juga mahu membina pemikiran “dekolonisasi” dalam pandangan seni tempatan yang sudah banyak serta masih menggunakan formula yang lapuk serta jemu untuk dipandang.
Pemikiran “dekolonisasi” ini bukannya sebuah perkara baru dalam seni, namun ianya tidak begitu mendapat perhatian kepada penggiat seni.
Ini adalah kerana hasil seni tempatan banyak dipengaruhi oleh pembeli dan juga pengusaha galeri yang hanya mementingkan keuntungan.
Selain itu, saya juga banyak membaca buku-buku yang diterbitkan oleh masyarakat Orang Asal di kawasan “Pasifik Selatan” yang progresif dan menarik.
Dengan menggunakan bahan atau sumber tempatan, saya rasa hasil seni itu sendiri akan berkembang dengan lebih bermakna serta mempunyai nilai kebudayaan yang kaya.
Dengan itu, saya mahu membina pemikiran baru dalam seni tempatan serta mahu melihat hasil seni Orang Asal di negara ini dihargai dan juga diraikan bersama.
Makluman: Sumber gambar ‘Shaq Koyok’ dari web ini. Manakala gambar-gambar karya adalah daripada koleksi Shaq Koyok sendiri.
