Sophie Shakur

moratorium

Moratorium pinjaman yang berlangsung selama 6 bulan akan berakhir pada 30 September 2020 nanti. Peminjam harus kembali membayar pinjaman kereta, rumah dan sebagainya kepada pihak bank. Kelonggaran yang diberikan selama 6 bulan telah membantu rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah bagi meneruskan kehidupan.

Logik di sebalik moratorium, adalah untuk membantu rakyat mempunyai aliran tunai bagi kegunaan asas kehidupan yang penting seperti makanan, perumahan, kesihatan dan sebaginya. Ini jelas menunjukkan manfaat moratorium yang bukan sahaja mengurangkan lonjakan dalam peratus kemiskinan, ia juga membenarkan rakyat terus berbelanja bagi membantu ekonomi negara.

Dengan keadaan ekonomi di mana ramai telah dibuang kerja atau diberi pengurangan gaji, bayangkan jika duit yang ada dihabiskan untuk membayar pinjaman bank, berapa yang tinggal bagi keperluan lain seperti membayar sewa? Buat ketika ini kita juga tidak memiliki undang-undang atau akta untuk menghalang penyewa dihalau pemilik rumah. Jika mereka dihalau kerana tidak mampu untuk membayar sewa, ke mana harus mereka pergi?

Baru-baru ini, tular kisah seorang ibu dan enam orang anaknya yang terpaksa tidur dalam kereta selepas diusir tuan rumah. Beliau telah hilang pekerjaan sejak PKP dan tidak mampu membayar jumlah sewa yang tertunggak. Jika moratorium tidak dilanjutkan terutamanya bagi golongan B40, kita akan melihat banyak lagi kes-kes sebegini. Adakah ini akan menjadi normal baru?

Ramai peminjam disarankan untuk berbincang dengan pihak bank untuk menyusun semula pembayaran pinjamanan, terutamanya bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan dan menerima potongan gaji. Ini bermaksud peminjam dan pihak bank harus mempersetujui perjanjian baru berdasarkan jumlah yang mampu dibayar.

Contoh mudahnya, jika selama ini pinjaman rumah dengan pembayaran bulanan sebanyak RM400 bagi tempoh 20 tahun, berdasarkan perjanjian baru, kemungkinan bayaran bulanan boleh dikurangkan sebanyak RM200 bagi tempoh yang lebih lama seperti 30 tahun.

Perjanjian bergantung kepada aliran tunai dan kemampuan peminjam untuk membayar dan ianya berbeza bagi setiap peminjam. Namun, peminjam harus mengambil kira kuantiti kadar bunga kerana kemungkinan tempoh pembayaran yang lebih lama akan tingkatkan jumlah kadar bunga yang dibayar kerana kadar bunga akan dikenakan berdasarkan baki tertunggak peminjam.

Jika peminjam masih tidak mampu untuk membuat perjanjian yang baru, kerana menghadapi keadaan kewangan yang menekan, mereka akan dirujuk supaya mendapatkan pertolongan nasihat atau kaunseling di Agensi Kaunseling dan Pengurusan (AKPK). Namun persoalannya, apakah yang akan terjadi jika pihak AKPK tidak dapat membantu golongan ini? Di mana harus golongan ini mengadu nasib?

Walaupun terdapat cadangan untuk melanjutkan tempoh moratorium kepada segelintir golongan sasaran, ianya bermaksud hanya kumpulan khusus yang terjejas akibat Covid-19. Namun, sifatnya tidak menyeluruh bagi semua. Ia masih bergantung kepada pihak bank untuk memberikan atau tidak lanjutan moratorium kepada peminjam.

Bank adalah institusi kewangan yang bergantung kepada konsep untung dan rugi. Sejauh mana juga bank ingin membantu peminjam tetap terikat kepada penyata kewangan, prospek keuntungan, dan sebagainya. Bank juga mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi kehendak pemegang saham. Dan pemegang-pemegang saham ini bukanlah terdiri daripada rakyat biasa.

Dengan memberi kuasa kepada bank untuk menentukan proses moratorium seolah-olah kita bermain dengan nasib. Adakah akan ada jaminan daripada pihak bank yang mereka akan memberikan semua moratorium kepada semua peminjam mereka yang terkesan? Apa yang akan terjadi sekiranya seseorang itu sedang menghadapi masalah kewangan namun tidak layak menerima moratorium daripada pihak bank selepas September?

Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati 75% daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan RM 1,000 dan jika mereka dibebani dengan hutang yang banyak, kemungkinan peminjam akan mengambil alternatif untuk menggadai barang di pajak gadai atau meminjam wang daripada along.

Selepas berakhirnya tempoh PKP, ramai yang meluru ke pajak gadai untuk menebus barang kemas yang digadai, membuat pembayaran faedah, melanjutkan tempoh gadaian selain ada segelintir yang membuat pajakan. Peratusan ini mungkin akan meningkat jika mereka tiada pilihan.

Selain daripada itu, terdapat juga segelintir yang meminjam duit daripada along untuk sara hidup. Jika pinjaman bank terus menghimpit dan mereka terpaksa meminjam daripada along, bagaimana keselamatan keluarga mereka apabila mereka tidak dapat membayar kadar bunga yang tinggi?

Penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma berkata keputusan lanjutan pemberian moratorium itu mampu meningkatkan keberlangsungan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Golongan PKS merupakan antara golongan yang paling terkesan bermula dengan PKP, apabila mereka tidak dapat menjalankan perniagaan mereka. Mereka juga menghadapi masalah apabila terpaksa membayar kos seperti sewa kedai, pekerja, dan sebaginya tanpa memperolehi keuntungan selama beberapa bulan.

Walaupun golongan PKS ini telah dibenarkan beroperasi semula namun keuntungan tidak seperti dahulu kerana kekurangan pelanggan. Jika dahulu Mak Cik Kiah boleh mendapat RM 100 higga RM200 menjual nasi lemak, namun kemungkinan untuk mendapatkan RM50 juga sangat susah pada waktu sekarang. Kalau di dalam tempoh enam bulan moratorium juga banyak PKS yang masih menghadapi masalah kewangan, bagaimana pula jika tanpa moratorium?

Jika kerajaan serius dalam mengurangkan jurang kekayaan antara yang kaya dan miskin, maka pelanjutan moratorium haruslah diberikan kepada golongan B40, M40, dan PKS. Jika tidak, selepas ini, yang miskin akan bertambah miskin, dan akan hanya menghabiskan sisa hidup membayar hutang pinjaman.

Selama ini, syarikat-syarikat korporat telahpun menikmati bailout daripada kerajaan terdahulu, dan bagi kerajaan sekarang salah satu caranya untuk membuktikan mereka berjiwa rakyat adalah dengan memberikan juga bailout kepada rakyat.